Maju Melayu Perkasa!

27 Januari 2008

Projek landasan berkembar disalur kepada DPMM?


Oleh: WAN NAJIB WAN DAUD

PULAU PINANG 25 Jan. - Kementerian Kewangan masih mengharapkan agar kerja-kerja pembinaan landasan kereta api berkembar dari Ipoh, Perak ke Padang Besar, Perlis yang bernilai RM3.8 bilion dapat disalurkan kepada kontraktor bumiputera melalui Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM).

Menteri Kewangan Kedua, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop menegaskan, konsortium yang diterajui oleh Gamuda Holdings Bhd. dan MMC Corp., berhak untuk menganugerahkan kerja-kerja kontrak kepada sesiapa dan sebagai kerajaan, pihaknya akan cuba memudahkan permintaan DPMM itu.

Gamuda pada pertengahan Disember lalu, mengumumkan kontraktor bumiputera berpeluang mendapatkan kerja bernilai RM3.8 bilion dalam projek landasan berkembar yang menelan belanja RM12.5 bilion.

Ia membabitkan pembinaan lebih daripada 100 buah jambatan, 30 bangunan stesen, lebih daripada 180 kilometer kerja-kerja pembetungan dan parit serta lebih daripada 300 kilometer kerja-kerja pembinaan trek dan utiliti.

"Kami (kerajaan, DPMM dan konsortium) selalu berbincang tentang hal ini dan sebagai kerajaan, kami akan cuba memudahkan segala urusan mereka," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Ikrar Gemilang Sekolah Menengah Kebangsaan Perempuan St. Georges di sini hari ini.

Dalam laporan akhbar hari ini, Presiden DPMM, Syed Ali Mohamed Al Attas menyatakan rasa tidak puas hatinya terhadap MMC-Gamuda kerana mahu menyerahkan kontrak kerja-kerja pembinaan tanpa melalui DPMM.

Katanya, beliau akan membawa perkara itu kepada Nor Mohamed bagi perbincangan lanjut kerana melihat penganugerahan kontrak tanpa melalui DPMM seolah-olah mencabar kewibawaan ahli perniagaan bumiputera lain.

Malah dalam pertemuan awal dengan, Nor Mohamed sebelum ini, cadangan itu mendapat reaksi positif dan untuk tujuan itu DPMM telah menubuhkan Master Vendor Corporation Sdn. Bhd. (MVC) yang berperanan sebagai vendor utama kepada kontraktor bumiputera.

Syed Ali berkata, kira-kira 120 kontraktor Kelas A dan 1,000 kontraktor kelas lain akan menerima manfaat dalam perancangan pihaknya.

Dalam pada itu Nor Mohamed berkata, pihaknya akan cuba memenuhi tuntutan DPMM dan akan berbincang dengan MMC-Gamuda bagi mengatasi masalah tersebut demi kebaikan semua.

"Mereka perlu bekerjasama bagi menjayakan projek tersebut dan kerajaan akan cuba membantu," katanya lagi.

Sastera bukan sekadar picisan


Oleh: ZAINUDIN OMAR

Membaca tulisan Azman Ismail (sisipan Mega, Utusan Malaysia 24 Januari) berkenaan dengan Komsas 2010 dan keluhan Sasterawan Negara, A. Samad Said amat menyentuh perasaan. Sekiranya benar dakwaan bahawa Pusat Perkembangan Kurikulum (PPK), Kementerian Pelajaran ingin menggantikan karya-karya para Sasterawan negara atau karyawan mereka yang berautoriti dalam bidang sastera dengan karya-karya picisan seawal 2010, ternyata itu langkah mundur dalam bidang sastera negara.

Tradisi pengajaran Sastera di sekolah menengah Negara kita sejak dahulu sehinggalah ke era Komponen Sastera Dalam Bahasa Melayu (Komsas) ketika ini cukup memperkayakan pemikiran dan berperanan dalam membentuk kehalusan akal budi pelajar. Ia dijalankan dengan cara memperkenalkan novel-novel besar Nusantara yang sesuai dengan peredaran masa dan isu, tanpa meninggalkan persoalan dan tema utama kemanusiaan sejagat. Persoalan dan tema ini tidak pernah berubah kerana itulah tujuan asasi mata pelajaran sastera diperkenalkan.

Sejak tahun 70-an, pelajar kita didedahkan dengan novel-novel 'berat' Indonesia seperti Salah Asuhan' oleh pengarang Abdul Moeis, diikuti oleh Atheis karya Achdiat Karta Mihardja dan Keluarga Gerilya oleh Pramoedya Ananta Toer. Selain itu, Kementerian Pelajaran juga memperkenalkan novel Sandera karya Keris Mas, Seorang Tua di Kaki Gunung oleh Azizi Abdullah serta pelbagai kumpulan cerpen dan puisi.

Kesemua novel dan kumpulan puisi/cerpen tersebut mengungkap persoalan yang amat kaya dan tidak ternilai kesannya dalam membentuk sanubari dan insani pelajar. Ambil saja contoh novel Atheis yang memaparkan penggulatan batin seorang Islamis tradisionalis berdepan dengan segala ideologi moden yang muncul dalam latar Perang Dunia Kedua. Atau ambil saja contoh perjuangan yang penuh patriotik oleh watak-watak seperti Saaman dari keluarga Amila dalam Keluarga Gerilya. Atau kegigihan dan berjayanya Azizi menghayati dengan penuh empati cara fikir dan bertindak seorang tua di sebuah kampung pedalaman.

Apakah hal ini mampu didapati dari novel picisan? Mungkin PPK dalam mengemukakan cadangan tersebut mengambil kira bahawa mata pelajaran Komsas perlu diambil oleh semua pelajar tanpa mengira kaum.

Sastera bukan sekadar mudah dihadam pelajar, kerana membentuk kehalusan berfikir dan akal budi bukan soal mudah dan boleh dilakukan sekelip mata. Sastera bukan juga soal popular, jauh lagi picisan. Jika premis pemikiran ini yang hendak digunakan oleh PPK, maka elok sekali buku teks dan sukatan mata-mata pelajaran yang lain juga dirombak.

Buanglah topik teori binomial yang sukar di dalam mata pelajaran Matematik Tambahan atau Kimia Organik dalam mata pelajaran Kimia. Jadi apa yang tinggal lagi?

Kuala Lipis destinasi pelancongan baru


Oleh: HARIS FADILAH AHMAD


KESENIAN dan budaya kaum Orang Asli di pedalaman antara aset yang menjadi tarikan pelancong ke Bandar Kuala Lipis.

KUALA LIPIS 25 Jan. – Sebuah projek papan maklumat lengkap pelancongan berkonsepkan ‘lawatan sehari’ telah dibina di Kuala Lipis dalam usaha kerajaan membangunkannya sebagai bandar sejarah.

Projek yang telah direalisasikan sejak dua bulan lalu itu dipasang di pintu masuk bandar Kuala Lipis berdekatan Kompleks Pejabat Kerajaan Daerah Lipis untuk memudahkan pengunjung mengetahui lebih mendalam mengenai sejarah di daerah ini.

Komitmen Majlis Daerah Lipis (MDL) yang dipertanggungjawab terhadap projek berkenaan mendapat sokongan pelancong asing dan penduduk tempatan apabila mereka menyifatkan usaha tersebut ke arah menjadikan Kuala Lipis bandar ilmu berasaskan bidang sejarah dan kebudayaan tempatan.

Antara maklumat yang tertera pada papan berkenaan ialah penerangan mengenai artifak peninggalan British abad ke-19 seperti bekas kediaman Residen British, Sir Hugh Clifford di Bukit Residen (1922), Sekolah Menengah Clifford (1913) dan Kelab Pahang (1907).

Turut dimuatkan maklumat tentang kedudukan rumah bekas setiausaha kerajaan negeri (1920), kediaman rasmi pegawai daerah (1929), Istana Hinggap (1926), pejabat pos (1910), asrama jururawat (1926) serta Kompleks Pentadbiran Daerah Lipis (1919).

Ahli Majlis Perunding Belia Pahang, Baharuddin Saaid, 49, berkata, usaha MDL itu bertepatan dan seiring dengan hasrat kerajaan menyuntik nilai jati diri dan patriotisme di kalangan belia berasaskan pengetahuan sejarah tempatan.

‘‘Sesuai dengan tempat yang menjadi logistik bagi pentadbiran dan ketenteraan British abad ke-19, artifak di bandar Lipis perlu dikaji oleh belia dan pelajar ketika melawat dan meninjau artifak berkenaan,” katanya kepada Utusan Malaysia, di sini hari ini.

Usaha kerajaan mengeluarkan peruntukan yang banyak, tegas beliau, tidak sia-sia jika penduduk memanfaatkannya untuk pengetahuan sekali gus menarik ramai pelawat ke bandar bersejarah itu.

Pengerusi Remaja Gerakan Belia 4B Pahang, Ahmad Daniar Ismail, 31, berkata, papan maklumat mengenai artifak British antara projek yang boleh menambahkan keceriaan bandar.

‘‘Artifak ini boleh dieksploitasi untuk pembangunan pelancongan di Lipis sekali gus merancakkan kegiatan ekonomi penduduk tempatan menerusi projek inap desa di kampung tradisional Melayu di sini,” katanya.

Beliau yang juga Timbalan Pengerusi Belia 4B Kuala Medang, berkata, pelancong yang singgah di Kuala Medang dapat berkunjung ke bandar Kuala Lipis sebagai pengisian bagi program inap desa di bawah pengurusan belia kampung tersebut.

Seorang pelancong dari Ireland, Mike Vaughn, 24, berkata, kunjungan sehari bersama keluarganya ke bandar Lipis mencerminkan suasana seperti di tempat tinggalnya kerana artifak bangunan masih mendominasi bentuk seni bina kolonial.

‘‘Saya rasa macam berpijak di tanah air sendiri (Ireland) kerana bangunan lama di sini masih kekal untuk tatapan pelawat. Penduduk di sini sepatutnya berbangga kerana artifak ini jarang terdapat di tempat lain,” katanya.

Penuntut jurusan kejuruteraan itu menambah, papan maklumat yang tertera gambar dan tulisan yang jelas, memudahkan pelawat mengenali lebih dekat sejarah kolonial di daerah Lipis dan mudah dirakam oleh lensa digital dan kamera video.

Belia Orang Asli Kampung Bencah Kelubi, Halim Rahman, 26, berpendapat, projek papan maklumat sejarah membolehkan Kuala Lipis dikenali orang ramai sebagai bandar bersejarah dan pernah menjadi ibu negeri Pahang.

‘‘Lebih elok pihak berkuasa di sini membina sebuah lagi papan maklumat mahu pun galeri berkaitan dengan kehidupan kami (Orang Asli) di Lipis dari aspek kesenian untuk tatapan pelawat,” katanya.

Usaha itu juga, kata Halim, untuk menghargai peranan kaum Orang Asli di pedalaman, antara yang menjadi aset pembangunan pelancongan di daerah Lipis.

Sementara itu, Ahli Parlimen Lipis, Datuk Dr. Mohamed Shahrom Osman, berkata, projek berkenaan bertujuan untuk mengindahkan lagi bandar ini bagi memenuhi keperluan sektor pelancongan yang merupakan antara agenda pembangunan daerah Lipis pada masa akan datang.

Jangan biar fikiran tertutup


Bersama:KAMIL MAJID
Saudara,
Islam satu nama yang mencukupi bagi memahami makna dan maksud Islam yang bersifat menyeluruh; akidah, syariat, akhlak dan adab. Adapun perkataan selepasnya hanyalah sekadar memberikan maksud tambahan, atau penekanan aplikasi atau penekanan khusus sahaja kepada aspek ketamadunan.

Ketika umat Islam dijajah pada zaman penjajahan Barat, Jamaluddin Afghani memperjuangkan pembebasan dan kemerdekaan, bukan sahaja kepada umat Islam tetapi bagi keseluruhan bangsa Timur yang terjajah agar membebaskan diri daripada penjajah Barat. Pada masa itu mula dikenali “Islam siyasi – Islam politik”.

Sebelum itu, Islam tidak sangat dikaitkan dengan politik. Justeru umat Islam sebelumnya banyak membincangkan Islam secara tradisional dari sudut ilmu, akidah, ibadat, dakwah, tasawuf dan seumpamanya.

Samalah halnya, sebutan nama bagi umat Islam mencukupi dengan menyebut umat Islam. Tetapi, bagi menerangkan bangsa yang khusus, dikatakan umat Islam Turki, umat Islam Melayu, Arab atau lainnya.

Selepas Jamaluddin Afghani, muridnya Muhammad Abduh, merasakan tidak cukup perjuangan Islam menekankan aspek politik sahaja. Politik sekadar memenuhi maksud emosi dan semangat. Lalu diperkenalkan reformasi pendidikan, terkenal pula istilah tarbiah/Islam tarbawi. Istilah ini banyak digunakan oleh Abu Hasan ‘Ali al-Nadwi, pemikir Islam dari India.

Apabila jatuhnya kerajaan Uthmaniah di Turki,bagi membangkitkan semula kebangkitan Islam, lalu diperkenalkan pendekatan Islam haraki. Setelah negara umat Islam mencapai kemerdekaan, kemajuannya masih terhad, ditekankan pula pendekatan ketamadunan dengan nama “Islam hadhari”. Bagi mereka yang berminat dengan kerohanian, mereka menamakan pendekatan mereka dengan istilah, Islam sufi.

Ramai orang awam menjadi keliru dengan pelbagai pendekatan ini. Dalam perbincangan bidang pemikiran Islam di universiti, perkara ini menjadi perkara biasa dibincangkan, terutama bidang pemikiran Islam.

Merujuk kepada peristilahannya, tidaklah ada salahnya menggunakan istilah tersebut. Malah pemakaian istilah hadhari ini di kalangan pemikir Arab, perbincangan perkara ini digunakan oleh tokoh ikhwan Muslimin seperti Abdul Mun‘im Abul Futuh, malah beberapa wacana dan tesis menggunakan judul buku dan tesis dengan istilah “Masyru‘ al-Islami al- Hadhari” atau ”Masyru‘ al-Hadhari al- Islami”.

Kontroversial

Di Malaysia, istilah manhaj Islam Hadhari diperkenalkan. Mungkin ia menjadi kontroversial kerana istilah ini muncul dari lidah orang politik. Ia mendapat respons negatif dari pihak-pihak lain. Tetapi secara ilmiahnya, ia bukan istilah yang pelik, terutama, bagi mereka yang mendalami pemikiran Ibn Khaldun, Malik bin Nabi mahupun al-

Qaradawi sendiri.

Barangkali, jika mereka yang hanya terdedah dengan buku-buku tauhid, usuluddin dan fikah, atau tasawuf sahaja dan kurang meneliti karya-karya dalam bidang pemikiran atau tamadun, istilah demikian agak kurang ditemui.

Pada hemat saya, isu gagasannya lebih penting dibincang dari soal nama. Banyak nama jika diperdebatkan hanya menghabiskan masa sahaja. Saya sendiri keliru mana yang betul antara “goreng pisang” atau “pisang goreng”, mana yang betul antara “Perdana Menteri” dan “Menteri Perdana”.

Jika perkara Islam hadhari ini mahu didebatkan, perdebatan gagasan lebih elok diteliti. Malah soal pelaksanaan lebih perlu dipolimikkan.

Menariknya, gagasan lain banyak dihasilkan buah pemikirannya oleh para pemikir. Kekuatan para pemikir, gagasannya lebih mendalam. Negatifnya, bertahun malah kadangkala berkurun lamanya, gagasan itu tinggal sebagai teori. Tidak ada jentera yang dapat melaksanakannya. Kelebihan gagasan ahli politik pula, mungkin gagasan mereka lebih mudah diaplikasi kerana ada jentera apalagi jika ada peruntukan. Sedangkan teori para politikus mudah dilaksana, gagasan para pemikir mungkin timbul atau tenggelam, berdasarkan pendukung dan kekuatan murid-murid mereka.

Jika ingin dikaitkan maksud Islam Hadhari paling kecil, saya melihat sedikit demi sedikit ada kemajuan, asalkan kita mahu melihat dengan kaca mata putih. Saya berkesempatan melawat Kaherah akhir tahun lepas (2007) untuk satu penyelidikan ilmiah. Ketika saya singgah di lapangan terbang antarabangsa Dubai (transit sembilan jam), masjid di lapangan terbang itu elok dan selesa. Tetapi lebih selesa lagi surau Rawat dan Rehat (R&R) di Dengkel, pertengahan jalan antara Subang Jaya ke lapangan terbang Kuala Lumpur (KLIA). Saya kurang selesa bersembahyang di surau lapangan terbang antarabangsa Jakarta mahupun Kaherah ketika berada di dua buah lapangan antarabangsa negara umat Islam ini, berbanding dengan surau R&R di Tapah ketika berehat di lebuh raya utara – selatan untuk ke Ipoh.

Jadi pada saya, Islam hadhari di Malaysia mula menampakkan kemajuan, apabila keselesaan beribadah di perjalanan Lebuh raya utara – selatan Malaysia lebih baik daripada beberapa surau lapangan terbang antarabangsa dunia Islam lainnya.

Kuliah

Menariknya, Islam hadhari sudah dijadikan mata kuliah di peringkat pengajian tinggi. Di Universiti Malaya subjek diperkenalkan dengan nama “Islam Pendekatan hadhari”. Diserap pula dalam kurikulum maktab dan sekolah menengah. Malah sistem pengajian Jawi, Quran dan Arab (J-Qaf) antara produk Islam hadhari. Saya diberitahu oleh ketua pengarah Jakim antara produk Islam hadhari juga apabila calon-calon saintis dan profesional UIA mula dididik menghafal Quran hasil kerjasama UIA dan Jakim. Sedangkan sebelum ini ramai lulusan pengajian Islam pun tidak menghafal sepenuh sebuah al-Quran.

Sebab itu, adalah penting umat Islam berfikiran terbuka dan jangan membiarkan pemikiran tertutup pada satu-satu tafsiran sahaja (khususnya dalam perkara furu‘). Adapun perkara pokok agama tidak mungkin banyak tafsirannya terutama yang sudah ada ijmak ulama tentang itu seperti haramnya arak, perzinaan, riba, rasuah dan seumpamanya.

Pada hemat penulis, isu Islam hadhari bukanlah perkara pokok (yang menyentuh soal akidah, ibadat khusus dan berkait perkara qat‘i). Tetapi ia seperti berulangkali ditegaskan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, ia berkait dengan urus tadbir negara. Ia tidak jauh, malah kesinambungan daripada dasar Penerapan Nilai-Nilai Islam Dalam Pentadbiran Negara malah, kesinambungan daripada gagasan perjuangan menjayakan Islam yang syumul.

Penjelasan ini secara terang, bagaikan lampu bersuluh, bahawa menerima gagasan Islam hadhari jauh lebih baik daripada menolaknya. Tinggal lagi, bagaimana setiap orang harus berusaha memantapkan gagasan ini dan lebih penting menjayakan pelaksanaannya daripada asyik berpolimik di kedai-kedai kopi.

Saya masih jauh daripada berpuas hati, melihat tidak hadharinya tandas masjid sepanjang perjalanan dari Kuala Lumpur ke Kota Bharu Kelantan (selama saya berulang alik sejak tahun 1981- kira-kira 27 tahun), sehingga ramai mereka yang memilih tandas stesen minyak yang lebih bersih berbanding tandas masjid. (Kerajaan sepatutnya melantik petugas dan memberikan peruntukan).

Kadangkala mereka yang membaca khutbah tentang kebersihan tidak mampu menjamin kebersihan masjid, atau menampal ayat Quran di dinding restorannya, dalam masa yang sama tidak mampu mnghalang tikus berlari-lari di bawah kaki ketika makan (dua kali penulis mengalaminya) di restoran Melayu Muslim.

Oleh itu, sebelum semua kita suka berbincang perkara yang besar – dalam konteks ini – pastikan rambut dan janggut lebih terurus, kebersihan kuku dan pakaian terjaga kerana itu adalah sunah nabi. Apatah lagi, jika mulut selalu mengumpat, cakap kurang berdisiplin, bukan sahaja bersalahan dengan gagasan Islam hadhari, malah bertentangan dengan Islam tulen. Islam hadhari tidak lebih daripada sebahagian daripada Islam yang syumul yang sejak tahun 70-an abad lalu diperjuangkan oleh para pencinta Islam.

Dalam usia yang agak subjektif tua, saya lebih ingin melihat individu dan rumah tangga umat Islam tertib daripada berkhayal melihat dunia Islam yang aman, kerana jika rumah tangga masih kucar-kacir pengurusannya, bagaimana diharap masyarakatnya tertib. Jika diberikan amanah mentadbir sebuah sekolah atau sebuah jabatan masih belum mampu, apatah diharap dapat mentadbir sebuah negara?

Malah jika pendekatan hadhari pun masih sukar untuk difahami, apakah mudah untuk memahami pelaksanaan Islam yang tulen yang jauh lebih kompleks dan memerlukan keterampilan yang cukup tinggi? Wallahualam.

- Prof. Madya Mohamad Kamil Ab. Majid ialah Ketua Jabatan Dakwah dan Pembangunan Insan, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya, 50603 Kuala Lumpur. E-mel: kamilmajid50@yahoo.com.

Gejala IBS di kalangan golongan muda


Bersama:Dr. ABDUL MALIK JAMAL BUHARI (Pakar Runding Perubatan dan Gasteroenterologi Kelana Jaya Medical Centre (KJMC)
Gabungan dua atau lebih penyakit
Doktor,Saya telah mengalami sakit ini semenjak setahun yang lepas di mana setiap kali membuat aktiviti sukan, peluh akan keluar dengan banyak dan ketegangan leher akan berlaku.

Saya juga sakit di belakang kepala sehingga menyebabkan kehilangan keseimbangan badan (pitam) berserta perasaan seolah-olah angin berada di perut tidak boleh keluar.

Gejala-gejala ini berlarutan setiap hari sehingga mengganggu aktiviti seharian saya.

Melalui pemeriksaan doktor, kamera telah dimasukkan melalui dubur ke dalam usus besar (kolonoskopi) dan keputusannya tiada masalah.

Saya juga telah membuat penampalan gegendang telinga kanan seperti yang disarankan oleh doktor kerana saya mengadu selalu ketegangan leher sehingga menyebabkan hilang imbangan.

Pemeriksaan sinar-X di belakang leher pula menunjukkan urat tunjang di belakang terlalu menegak.

Untuk mengurangkannya gejala yang muncul, saya akan menjolok ke dalam mulut supaya angin keluar bersama muntah.

Jika tidak reda juga, saya akan ke klinik berdekatan dan doktor akan memberi suntikan. (ada ketika sehinggakan 3 suntikan diperlukan dalam satu minggu).

setiap pagi ketika membuang air besar pula, saya akan mengambil masa yang lama sehingga 1/2 jam, najis lembik seperti najis cirit-birit tetapi ianya tidak keluar terus. saya terpaksa meneran seperti najis keras (tidak lawas).

Apakah penyakit yang saya hidapi dan doktor berkepakaran apa yang patut saya jumpa?

– Hadi.

Jawapan

Pada pendapat saya, anda menghadapi beberapa masalah kesihatan pada masa yang sama.

Sebagai contoh, masalah ketegangan leher dengan peluh selepas senaman, sakit kepala dengan masalah keseimbangan badan dan masalah angin setiap hari.

Dengan gegendang telinga telah dibetulkan, urat tunjang di belakang terlalu menegak dan kolonoskopi normal, saya mengagak anda mengalami masalah gabungan fungsi dispepsia (bukan ulser) dan sindrom kerengsaan usus (IBS).

Anda dinasihatkan menemui pakar gastroenterologi untuk menjalani beberapa ujian lanjut untuk menolak kemungkinan masalah kesihatan lain sebelum menerima jangkaan diagnosis di atas.

Ujian lanjutan ini termasuk ujian darah dan OGDS (gastroskopi).

Memandangkan anda juga mempunyai tanda-tanda cemas (anxiety), anda juga mungkin memerlukan ubat untuk masalah berkenaan.

Selain itu, senaman leher akan membantu mengurangkan ketegangan dan sakit kepala.

IBS bukan gastrik

Doktor,
Umur saya 24 tahun. Saya sering mengalami cirit-birit, muntah dan gastrik sebelum saya keluar dari rumah.

Saya mengalami masalah ini sejak dari bangku sekolah lagi.

Perkara ini sering membuatkan kesihatan saya terganggu dan saya hanya selesa apabila berada di dalam rumah.

Apakah yang patut saya lakukan untuk mengatasi masalah ini?

Adakah susu soya elok untuk mengubati penyakit gastrik kerana setahu saya orang yang mengalami gastrik tidak boleh meminum susu biasa.

– Rain, Petaling Jaya.

Jawapan

Untuk makluman anda, masalah yang dihadapi ini bukan masalah gastrik tetapi lebih kepada sindrom kerengsaan usus (IBS).

Gejala yang anda sebutkan dan jangka masa gejala ini menyerang menunjukkan ke arah kemungkinan besar IBS.

Ramai di kalangan golongan muda kini didapati mengalami masalah serupa tetapi kebanyakannya dapat menyesuaikan diri dan masalah ini tidak menjejaskan kehidupan seharian mereka.

Bagi kes anda pula, jika masih tidak dapat menyesuaikan diri dengan gejala yang timbul sehingga terpaksa mengurangkan aktiviti luar, anda dinasihatkan untuk berjumpa pakar gastroenterologi untuk ujian lanjut dan nasihat pengambilan ubat bersesuaian.

Susu pula boleh menjadi baik atau buruk untuk masalah gastrik.

Dalam jumlah kecil, susu membantu mengurangkan tahap keasidan di dalam perut dan mengurangkan kesakitan akibat gastrik.

Dalam jumlah besar pula, kalsium di dalam susu mungkin akan menyebabkan kerengsaan kepada lapisan tisu perut dan menyebabkan rasa sakit bertambah.

Selain daripada itu, tiada beza di antara jenis susu yang sesuai untuk diminum pesakit gastrik.

- Hantarkan soalan-soalan anda kepada Tanya Dr. Pakar, Mingguan Malaysia, Utusan Melayu (M) Bhd., 46M Jalan Lima Off Jalan Chan Sow Lin, 55200 Kuala Lumpur atau e-mel: kesihatan@utusan.com.my atau faks: 03-92213752.

Renungan nasib Melayu


Oleh: DR. SYED ALI TAWFIK AL-ATTAS

SEKIRANYA diteliti ucapan-ucapan siasah Dato’ Onn Ja‘afar, kita akan mendapati bahawa apa yang dihasratkan oleh pentadbiran beliau bukan sekadar untuk menuntut kemerdekaan dari kerajaan penjajah British, dan bukan juga bertujuan semata-mata untuk pembangunan kuasa siasah Melayu atau ke arah kemajuan ekonomi orang Melayu.

Tujuannya yang lebih besar ialah untuk berjuang menghapuskan sifat haiwaniah manusia yang keji, dan dalam hal ini ia merujuk kepada sikap sesetengah orang Melayu yang pernah satu ketika tidak dapat menerima teguran, yang cenderung untuk memfitnah, hasad, cemburu, takbur, tamak dan tunduk kepada pihak penguasa yang zalim. Contohnya, Onn menyebut bahawa, “Ada dua tempat orang Melayu hendak bertenggek; pertama, kepada jiran-jiran mereka; kedua, kepada musuh orang Melayu… kita tidak seharusnya memikirkan usaha untuk mendapatkan kedudukan sahaja di masa yang sama kita menolak bangsa kita.” Istilah ‘bertenggek’ dalam bahasa Melayu biasanya dikaitkan dengan burung yang hinggap di atas dahan. Walau bagaimanapun, perkataan bertenggek dalam hubungan ini tidak membawa apa-apa makna yang dapat difahami. Maka, kita perlu mentafsirkan secara ilmiah apa yang dimaksudkan. Apabila seekor burung bertenggek di atas ranting, misalnya, ia kadangkala membersihkan bulunya untuk menarik perhatian, atau mungkin menarik perhatian burung lain yang berlainan jantina. Perbuatan mengemas diri untuk mendapatkan perhatian inilah yang merupakan sikap sombong yang dimaksudkan. Kita dapat merumuskan bahawa apa yang dimaksudkan oleh Onn ialah sekurang-kurangnya terdapat dua jenis orang Melayu; mereka yang menyamai ciri-ciri yang disebutkan tadi dan mereka yang sebaliknya. Bagi mereka yang cenderung kepada sifat-sifat keji di atas, Onn berkata, “Sebelum ini saya merujuk kepada bahaya yang melingkungi orang-orang Melayu di Semenanjung ini tanpa perlu menyebut dari pihak mana (bahaya ini timbul. Sekarang saya katakan bahawa bahaya ini) timbul dari orang Melayu sendiri.” Adakah bahaya yang disebut oleh Onn ini merujuk kepada bahaya yang berada di luar orang Melayu? Atau adakah bahaya yang dimaksudkan merujuk kepada kejahilan sebagai kesan dari tindakan membenarkan sifat haiwaniah orang-orang Melayu ini timbul? Kita mengatakan bahawa yang kedua adalah benar. Untuk memahami apa yang dimaksudkan oleh Onn apabila beliau mengatakan orang Melayu sebagai ancaman besar kepada diri mereka sendiri, kita harus faham dahulu kejadian diri manusia.

Manusia adalah kewujudan yang satu akan tetapi mempunyai dua ciri. Mengenai penciptaan manusia, al-Quran menyebut bahawa manusia mempunyai jasad yang termasuk dalam spesies haiwan dan roh yang bukan dari spesies tersebut; roh inilah yang mentadbir jasad sama ada ke arah kebaikan atau keburukan. Manusia telah diberikan ilmu mengenai kejadian setiap benda kerana Allah telah mengajar manusia nama-nama setiap benda bagi membolehkan mereka mengetahui hubungan benda-benda dan memahami maknanya dalam susunan kewujudan (tidak semestinya bermakna zat atau fitrah roh itu sendiri, akan tetapi merujuk kepada sifat-sifat benda). Menurut al-Quran, manusia telah diberikan ilmu mengenai roh ini (bermakna dirinya). Ilmu ini begitu mendalam dan tidak dapat digarap sepenuhnya, akan tetapi sedikit mana pun ia, cukup untuk membolehkan manusia memahami kejadian dirinya, dan akhirnya membawanya menuju kepada ilmu berkenaan Allah. Al-Quran menerangkan bahawa roh adalah entiti yang satu, individu yang dirujuk sebagai qalbu (al-qalb), nafs (al-nafs), akal (al-‘aql) dan roh (al-roh). Keempat-empat istilah ini merupakan aktiviti-aktiviti yang berlainan akan tetapi kesemuanya merujuk kepada entiti yang satu, iaitu roh. Ia dikenali dengan banyak nama kerana ia sentiasa melakukan aktiviti dengan menzahirkan dirinya melalui salah satu dari bentuk yang disebutkan di atas. Disebabkan manusia telah diberikan ilmu mengenai Allah, manusia telah diikat dengan satu perjanjian di mana beliau mengenali Allah, menyedari siapa Dia, telah mensabitkan kebenaran dan mengakui Allah sebagai Penciptanya, yang akhirnya menyebabkan manusia tahu siapa dirinya dan apa yang harus dilakukan. Ilmu mengenai diri juga terikat kepada perjanjian ini, kerana kefahaman mengenai diri manusia akan membawa kepada kefahaman tentang Tuhannya.

Manusia diikat oleh agama Islam melalui penyembahan yang sedar dan rela. Di sebalik sifat lupa yang ada pada manusia, dia dikurniakan akal, mempunyai daya pancaindera yang tertentu dan yang lebih menarik, pendengaran merupakan pancaindera yang terakhir terbina kerana melalui deria inilah ilmu secara umumnya diterima. Manusia dilengkapkan dengan akal untuk memandu mereka membezakan antara kebenaran dengan kepalsuan dan antara kebaikan dengan keburukan. Bagi menjelaskan lagi apa yang dimaksudkan, biarlah kita merujuk kepada kisah Nabi Ibrahim. Apabila Nabi Ibrahim memikirkan mengenai bintang-bintang dan menyangka bahawa mereka adalah Tuhan, baginda akhirnya mendapati bahawa bintang-bintang akhirnya menghilang, maka baginda menumpukan perhatian kepada bulan sambil menyangka bahawa dengan saiznya dan kuasa sinarannya, ia adalah Tuhan sehinggalah baginda mendapati ia juga hilang. Kemudian baginda menyangka matahari sebagai Tuhan sehingga baginda mendapati matahari juga terbenam. Akhirnya, baginda menyerah kepada Allah agar memberi panduan dan menunjukkan kebenaran kepada baginda. Contoh ini menunjukkan kepada kita bagaimana aktiviti akal dan fikiran serta mempamerkan kekurangan akal apabila membuat kesimpulan berkaitan dengan ilmu berkenaan Allah.

Kesan

Kesan epistemologi dari empat perkataan yang menerangkan roh sebagai satu entiti dapat dilihat dari makna perkataan-perkataan ini dari segi bahasa. Contohnya, al- nafs bererti nafas, dari akar kata nafasa yang menunjukkan perlakuan. Oleh itu, hakikat manusia bukanlah sesuatu yang diam akan tetapi dinamik dan sentiasa berada di dalam keadaan aktiviti. Lagipun, dari satu segi, ia berpunca dari tiupan Allah sendiri, dan Allah adalah satu kewujudan yang tidak diam akan tetapi dinamik tanpa ada perubahan berlaku pada dirinya, tanpa sifat sentiasa menjadi tanpa kesudahan (becoming). Allah tidak pernah mengalami perubahan. Dia bukan seperti Aristotle menerangkan tentang diri-Nya bahawa Dia diam dan tidak bergerak. Ini menunujukkan bahawa kefahaman Islam mengenai Tuhan adalah amat berbeza dengan kefahaman agama-agama lain khususnya agama-agama Barat berkenaan Tuhan.

Perkataan-perkataan ini mempunyai dua makna; di satu segi mereka merujuk kepada sesuatu yang bersifat kebendaan dan di satu segi merujuk kepada sesuatu yang bukan benda. Merujuk kepada makna kebendaan dari perkataan ‘hati’, ia bermakna alat yang terletak di sebelah kiri dada yang mengedar darah ke seluruh badan. Merujuk kepada makna kebendaan dari perkataan ‘roh’, ia adalah individu yang ada di hadapan kita. Aspek kebendaan akal pula merujuk kepada penzahiran aktiviti otak; walaupun otak hanyalah alat kepada akal, akan tetapi aktiviti dan tugas roh terletak atau tertumpu di otak. Keempat-empat perkataan ini merujuk kepada perkara yang satu dan sama dan yang tidak boleh disukat dari segi masa dan tempat; ia adalah sesuatu yang dicipta. Satu-satunya cara untuk mengetahuinya ialah dengan mengetahui kesan aktiviti yang kelihatan lahir darinya. Sekiranya tidak, fitrahnya tidak akan dapat difahami.

Dari segi makna rohaniah perkataan-perkataan ini, orang Islam memahami ‘hati’ sebagai satu alat penganggap rohaniah yang menerima cahaya ilham; ‘akal’ juga sebagai alat rohaniah yang berfikir, yang aktif, yang sentiasa merenung hakikat segala sesuatu; ‘diri’ (al-nafs) merujuk kepada roh yang menjawab, “Bahkan! Kami bersaksi,” kepada soalan Allah “Bukankah Aku Rabb (yang telah memelihara dan menjaga kamu)?” (7/al- A’raf, 172); roh (spirit) mungkin merupakan kata majmuk untuk keempat-empat perkataan tersebut ketika ia dalam bentuk yang abstrak. Berkaitan dengan manusia, ada sifat-sifat yang baik dan buruk berkenaan dengan jasad. Oleh itu, berkenaan dengan jiwa haiwaniah, secara umumnya ia difahami sebagai kecenderungan kepada apa yang bertentangan dengan jiwa akliah. Al-Quran menyebut, umumnya, jiwa ini mempunyai tiga peringkat; jiwa yang sudah mencapai ketenangan dan keamanan, iaitu sentiasa dalam keadaan mengingati perjanjiannya dengan Tuhan, yang dirujuk sebagai jiwa yang tenang (al-nafs al-mutma‘innah). Ia tidak lagi berada dalam keadaan berubah-ubah. Kemudiannya, ada jiwa yang sentiasa berusaha memperbaiki dirinya, selalu membaiki dirinya dan melihat kesilapan diri dan dikenali sebagai jiwa yang mencela dirinya (al-nafs al-lawwamah). Yang terakhir, jiwa yang cenderung ke arah keburukan, atau yang mengarah kepada keburukan (al-nafs al-ammarah bi‘l-su’).

Cukuplah untuk kita katakan bahawa sekiranya golongan orang Melayu masih dibelenggu dengan ‘katatonia intelektual’ (intellectual catatonia) terhadap agama, sejarah dan falsafah mereka, di masa yang sama membenarkan sifat-sifat buruk yang disebutkan tadi terzahir, maka ini akan mensia-siakan apa yang telah mereka lakukan. Keadaan tersebut, sekiranya dibiar bermaharajalela, mengingatkan sesuatu yang disampaikan kepada kita oleh Sayidina Ali ibn Abi Talib (semoga Allah meredai beliau). Pada satu hari, dua orang lelaki yang bersikap sombong sedang bersama-sama dengan Sayidina Ali dan bercakap besar tentang diri mereka. Sepanjang bersama mereka, Sayidina Ali dengan sabar mendengar kesombongan dan kemegahan mereka. Kemudian beliau bertanya mereka, “Adakah kamu berdua berbangga dengan keadaan jasad kamu yang semakin luntur sedangkan roh kamu berada di dalam neraka? Sekiranya kamu berdua mempunyai kerja, nescaya kamu akan mempunyai amanah tanggungjawab; sekiranya kamu berdua mempunyai akhlak, kamu akan mempunyai maruah diri; sekiranya kamu bersungguh-sungguh dalam agama nescaya kamu akan mempunyai kemuliaan. Jika tidak, keldai adalah lebih baik dari kamu berdua; dan kamu berdua tidaklah lebih baik dari orang lain.”

Jadi, adakah bangsa Melayu menghargai nasihat-nasihat Onn? Janganlah kita terpedaya untuk mempercayai bahawa perwakilan orang Melayu terkecuali dari memikul tanggungjawab; ini memandangkan hakikat bahawa Presiden UMNO yang juga Perdana Menteri telah mengakui “kita mesti menyalahkan diri kita sendiri.” Sekiranya suara ramai dalam UMNO gagal menyedari kelemahan-kelemahan mereka, masalah perpecahan dan kejahilan akan terus berlaku. Walaupun begitu, hanya UMNO sahajakah yang patut memikul beban tanggungjawab?

Kita boleh menyimpulkan bahawa tanggungjawab terletak di atas bahu mereka yang diamanahkan kerana mereka dianggap memiliki kewibawaan ilmu. Tetapi malangnya, di kalangan mereka yang telah membenarkan bahaya yang disebutkan oleh Onn bermaharajalela; merekalah yang mendakwa bahawa sejarah dan falsafah sudah tidak relevan. Ketidakmampuan mereka untuk mencipta takrifan, dan kejahilan mereka berkenaan ilmu Islam, sejarah, falsafah dan pemikiran Islam secara umum, membuktikan hakikat ini. Menurut mereka, apa yang diperlukan sekarang bukan sejarah atau falsafah, tetapi kefahaman yang mendalam tentang al-Quran dan Sunah Rasulullah (sallallahu ‘alaihi wa salam), seiring dengan kefahaman terperinci tentang fardu ain dan fardu kifayah. Sementara al-Quran adalah diwahyukan oleh Allah secara harfi dan ma‘nawi, hadis adalah ketetapan dan pedoman Rasulullah (sallallahu ‘alaihi wa salam) yang terilhamkan dalam pelbagai ehwal amal islami. Dalam perkataan lain, hadis adalah kata-kata Rasulullah sendiri; dari segi ini, hadis adalah berlainan dari al-Quran walaupun tidak mungkin untuk memisahkan kedua-duanya dari ajaran Islam. Makna hadis secara yang menyeluruh – kenyataan, perbuatan dan kebenaran Rasulullah dinamakan Sunah Nabi. Mengenai fardu ain yang wajib ke atas semua orang Islam, ia seharusnya tidak menimbulkan sebarang masalah sekiranya rukun-rukun agama Islam difahami dengan tepat. Mengenai fardu kifayah pula, sebab mengapa ia hanya wajib ke atas sebahagian Muslim dan bukan ke atas semua, adalah kerana ia memerlukan kefahaman yang mendalam lagi berwibawa seiring dengan pengamatan yang luas terhadap al-Quran, Islam, pandangan alam Islam, sejarah dan falsafah. Tambahan pula pembahagian kepada dua jenis ilmu ini “Merupakan aturan untuk berlaku adil terhadap ilmu dan manusia yang menuntut ilmu, kerana semua ilmu yang menjadi prasyarat kepada ilmu yang pertama adalah bagus untuk manusia, sedangkan bukan semua ilmu jenis yang kedua adalah bagus untuknya; kerana manusia yang mencari ilmu jenis yang kedua, yang akan berpengaruh besar dalam menentukan peranan dan kedudukan duniawinya sebagai warganegara, tidak semestinya adalah manusia yang baik.”

Kalam

Tambahan pula, al-Quran sebagai kalam Allah yang diwahyukan secara harfi dan ma‘nawi, turut menggariskan unsur-unsur dasar dalam pandangan alam Islam. Ini memerlukan kepada akal yang memahami sejarah dan falsafah Islam, yang sebahagiannya adalah ta‘wil kepada ayat-ayat al-Quran yang mutashabihat yang berdasar kepada tafsiran ayat-ayatnya yang muhkamat. Ini tidak pula mengandaikan bahawa pentafsiran ayat-ayatnya yang muhkamat adalah mudah atau senang. Cukup untuk kita meneliti karya-karya besar berjilid-jilid para mufasir seperti Ibn Kathir, Fakhr al-Din al-Razi dan al-Baydawi, sekadar menyebut beberapa nama, untuk menyedari bahawa usaha ini perlu kepada kewibawaan ilmu. Tetapi menurut aliran pemikiran masa kini, sejarah dan falsafah tidak lagi relevan. Benarkah dakwaan ini? Ataupun aliran masa kini yang menolak sejarah dan falsafah, dan pemikiran Islam secara umumnya, merupakan akibat daripada kejahilan dan sifat angkuh?

Jadi bagaimanakah orang Melayu boleh menguasai ilmu sekiranya golongan yang telah diamanahkan untuk menyampaikannya itu sendiri membenarkan jiwa mereka cenderung ke arah keburukan, atau yang mengarah kepada keburukan? Ada yang telah diamanahkan untuk menyampaikan ilmu yang bermanfaat bagi manusia, dari segi kedua-duanya kebahagiaan kebendaan dan kerohanian, sibuk menumpukan usaha mereka untuk menguatkuasakan syariah, yang pada hakikatnya perlu kepada kefahaman yang bersungguh-sungguh mengenai sejarah dan falsafah. Ada juga kecenderungan untuk bersembunyi di belakang ‘pihak berwajib’ dan menyebut nama pemimpin-pemimpin kerajaan. Ini pasti mengakibatkan kehilangan identiti. Amatlah mengecewakan bahawa tradisi akliah dan suasana ilmiah yang dicita- citakan belum lagi wujud kerana sejumlah yang agak besar dari mereka yang berkedudukan tinggi kuasanya hanyalah kerana ‘siapa yang mereka kenal’, dan bukan kerana ‘apa yang mereka tahu’.

- DR. SYED ALI TAWFIK AL-ATTAS ialah ketua pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM).

22 Januari 2008

Teks Komsas perlu utama jiwa remaja



KEMELUT pemilihan teks baru Komponen Sastera Dalam Mata Pelajaran Bahasa Melayu (Komsas) untuk digunakan pada masa akan datang muncul lagi. Pelbagai reaksi dapat dibaca melalui akhbar. Tidak kurang juga yang menyebarkan maklumat itu melalui SMS dan blog.

Pada saya, Pusat Perkembangan Kurikulum, Kementerian Pelajaran wajarlah diberikan kepercayaan sepenuhnya untuk melaksanakan tugas mereka.

Pandangan yang terpapar di dada media tidak lebih daripada mewakili kelompok atau individu tertentu.


Tanpa segan silu pihak terbabit menyebut nama yang wajar diberikan perhatian supaya karya mereka dipilih. Oleh itu, pandangan berkenaan seolah-olah mewakili individu tertentu.

Dalam hubungan ini saya tidak menyalahkan pihak berkenaan. Kita perlu melihat perkara ini dari perspektif yang pelbagai.

Kita tidak harus taksub dengan karya sastera kelompok tertentu atau individu tertentu yang memenangi hadiah sastera.

Karya pihak berkenaan memang tinggi mutunya pada mata pengkaji sastera dan juri yang mengadili karya berkenaan.

Namun demikian, kita juga perlu mementingkan jiwa remaja yang baru mendapat pendedahan dalam bidang sastera.

Mereka patut didedahkan dengan karya yang ringan secara relatifnya dan sesuai dengan penerimaan mereka.

Beberapa teks Komsas yang lalu tidak dapat memenuhi penerimaan remaja, akibatnya mereka hanya membaca buku ulasan untuk menjawab soalan peperiksaan.

Pusat Perkembangan Kurikulum mempunyai kredibiliti dalam menjalankan tugas membuat pemilihan. Kakitangan kementerian yang dilantik sebagai ahli jawatankuasa pemilihan bukan sembarangan pada pendapat saya.

Masyarakat perlu mengakui bahawa di kalangan guru dan kakitangan kementerian, ada juga pihak yang memiliki kepakaran dan berpengalaman dalam bidang tugas yang dipertanggungjawabkan.

Mereka sudah pasti tidak akan memilih karya yang rendah mutunya dan mempunyai bahasa tidak memenuhi keperluan pendidikan mata pelajaran bahasa Melayu di sekolah.

Oleh yang demikian, PPK tidak harus dipengaruhi oleh mana-mana pihak mahupun individu dalam membuat keputusan. Gurulah yang akan melaksanakan pengajaran Komsas di sekolah. Mereka tentu lebih tahu keperluan murid dan sukatan pelajaran yang digubal.

Jadi, dalam hal ini PPK mestilah bertegas dan melaksanakan tugas dengan telus dalam pemilihan teks Komsas mahupun sastera selagi karya mempunyai nilai integriti yang tinggi untuk diteladani oleh pembaca remaja masa kini.

GURU KAMPUNG,
Kuala Langat, Selangor.

Sarjan Hassan buru komunis kerana dendam


Oleh Mohd Amin Jalil


SARJAN Hassan ketika menerima anugerah Military Medal dari Leftenan Kol EA Hefford.

Anak kelahiran Kampung Pantai dianugerah Military Medal pada 1953

UMUM mengenali Sarjan Hassan sebagai filem lakonan Allahyarham Tan Sri P Ramlee yang digarap berdasarkan kisah seorang anggota Askar Melayu yang tidak mengenal erti gentar ketika menentang penjajah Jepun di Tanah Melayu.

Filem perang itu begitu popular pada awal 60-an, tetapi kisah yang dipaparkan itu agak menyimpang jauh daripada kisah sebenar liku hidup Sarjan Hassan Othman yang dipaparkan kali ini.


Sarjan Hassan dianggap patriot terbilang yang pernah dilahirkan Askar Melayu kerana kejayaannya membunuh 11 anggota komunis ketika menjadi ketua seksyen dan platun dalam Batalion Empat Rejimen Askar Melayu selama tiga tahun dari 1950 hingga 1953.

Beliau dilahirkan pada 15 Februari 1927 di Kampung Pantai, tidak jauh dari Seremban, Negeri Sembilan dan berkelulusan darjah lima Sekolah Melayu. Allahyarham Sarjan Hassan memulakan kerjayanya dalam perkhidmatan tentera pada 21 Disember 1946 sebagai rekrut Askar Melayu dan menjalani latihan di Port Dickson selepas berlaku satu peristiwa ngeri yang mengorbankan isteri dan keluarganya.

Usaha menjejak sejarah perjuangan dan susur galur patriot ini bukan tugas mudah sehingga penulis mengambil masa hampir sebulan membuat rujukan di pusat sumber serta merisik di kawasan perkampungan asal Allahyarham.

Penulis juga berusaha mengesan saudara mara Allahyarham di Kampung Pantai dan Rasah yang dikatakan tempat tinggal terakhirnya.

Bagaimanapun, seorang penduduk asal Kampung Pantai, Ishak Harun, 72, ketika ditemui berkata, melalui cerita orang lama yang didengarnya, Allahyarham begitu bersemangat untuk memburu pengganas selepas beberapa ahli keluarganya, termasuk isterinya dibunuh dengan kejam oleh komunis.

"Saya tidak dapat mengesahkan sama ada Allahyarham yang berasal dari kampung ini adalah Sarjan Hassan yang kisahnya difilemkan itu atau Hassan lain," katanya.

Katanya, sepanjang pengetahuannya, tiada juga sebarang peninggalan seperti rumah atau tinggalan lain milik keluarga Sarjan Hassan untuk menyokong bukti yang Allahyarham dilahirkan dan pernah menetap di kampung berkenaan.

Rujukan di Muzium Negeri Sembilan dan Muzium Tentera Darat, Port Dickson berjaya menyingkap sedikit kisah latar belakang Sarjan Hassan yang memang menunjukkan Allahyarham berasal dari Kampung Pantai.

Sebaik menamatkan latihan rekrut pada 10 Jun 1947, Hassan menyertai Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu dan dilantik menjadi Lans Koperal pada 28 April 1948 sebelum bertukar ke Batalion Keempat rejimen itu pada 1 Disember 1949 dan dinaikkan pangkat Koperal pada 24 Oktober 1950.

Kesungguhannya yang tinggi dalam menjalankan tugas yang diamanahkan membolehkan pejuang itu dinaikkan pangkat Sarjan mulai 1 September 1952 dan terus mencurahkan bakti kepada Batalion Keempat yang berpangkalan di Mentakab, Pahang.

Kompeninya ditugaskan beroperasi di kawasan Triang, Pahang, bermula pada 16 November 1953 dengan Allahyarham dilantik mengetuai pasukan rondaan mengandungi sembilan anggota selepas menerima arahan daripada Pegawai Memerintah.

Satu daripada kisah keberaniannya adalah ketika diarahkan mengetuai pasukannya menyiasat bunyi tembakan yang didengar dari arah barat daya satu kawasan hutan di Triang

Selepas satu jam meninggalkan pangkalan, peninjau kumpulan ronda mendengar bunyi pokok ditebang, lantas Sarjan Hassan memerintahkan pasukannya merangkak ke hadapan dalam barisan menghala ke arah bunyi potongan pokok berkenaan.

Dalam jarak kira-kira 150 meter dari bunyi potongan itu, Allahyarham menghentikan pergerakan anggota ronda dan memerintahkan seorang pegawai tidak bertauliah dalam platunnya membentuk satu kedudukan serang hendap.

Sarjan Hassan membawa seorang anggota berpangkat prebet mengikuti di sebelah kanan sasaran bagi membuat tinjauan di kawasan berkenaan dan mendapati beberapa pengganas komunis sedang sibuk membuat persiapan untuk mendirikan khemah.

Beliau kemudian mengambil keputusan untuk menyerang pasukan pengganas berkenaan bersama anggota prebet terbabit dari arah strategik, yang akan membolehkan pengganas ditawan atau ditembak oleh anggota pasukannya yang lain jika melarikan diri.

Bagaimanapun, kehadiran beliau bersama prebet berkenaan disedari seorang pengganas yang terus mensasarkan laras senapangnya ke arah mereka, tetapi Allahyarham lebih pantas melepaskan tembakan yang berjaya membunuh pengganas terbabit.

Seorang lagi pengganas juga berjaya dibunuh Sarjan Hassan, manakala dua rakan mereka melarikan diri ke arah kedudukan kumpulan serang hendap dan menerima nasib yang sama di tangan anggota kumpulan platun pimpinan Allahyarham.

Sarjan Hassan menunjukkan keberanian yang tinggi dalam membuat keputusan menyerang perkhemahan pengganas walaupun hanya disertai seorang anggotanya.

Kemahiran menggunakan senjata dengan baik memberikan kelebihan kepada beliau ketika berdepan saat cemas dan kecekapan itu berjaya menyelamatkan nyawa seorang anggota lain.

Kejayaan berkenaan dicapai melalui ketenangan dan kepantasan bertindak serta perhitungan muslihat yang tepat dan bijak di samping kemahirannya menguasai suasana hutan tebal yang cukup tinggi.

Kelebihan itu membolehkan Sarjan Hassan mendedahkan semua empat pengganas yang ditemuinya dan menentukan mereka tidak terlepas daripada kumpulan rondaannya.


Dinaikkan pangkat Leftenan Muda pada 1957

MAKLUMAT dari Muzium Negeri Sembilan dan Muzium Tentera Darat merekodkan Sarjan Hassan pernah menjadi ketua seksyen dan platun dalam Batalion Empat Rejimen Askar Melayu selama tiga tahun dari 1950 hingga 1953 dan secara peribadi dikatakan berjaya membunuh 11 pengganas.

Bagaimanapun, ada juga maklumat mengatakan beliau berjaya membunuh 54 anggota Bintang Tiga sepanjang perkhidmatannya dan atas kecemerlangan itu, Sarjan Hassan disokong Pegawai Memerintah Batalion, Leftenan Kol EA Hefford dianugerahkan Military Medal (MM) pada 30 Disember 1953.

Beliau menerima pengiktirafan itu apabila Ratu melalui London Gazette menganugerahkan MM kepada Sarjan Hassan pada 12 Mac 1954 yang disampaikan Pesuruhjaya Tinggi British di Tanah Melayu, Sir Donald MacGillivray di King's House, Kuala Lumpur.

Selain MM, Sarjan Hassan juga dianugerahkan General Services Medal dan Mention in Despatches oleh Kerajaan British pada 1950 dan 1952 kerana keberaniannya ketika berhadapan dengan pengganas komunis sewaktu menjalankan operasi.

Di atas kejayaan dan kecemerlangannya itu, beliau terpilih mengikuti latihan kadet Federation Training Wing di Port Dickson mulai 10 Jun 1957 dan ditauliahkan pangkat Leftenan Muda Batalion Kelima Rejimen Askar Melayu pada 7 Ogos tahun berkenaan.

Allahyarham juga dikatakan terbabit dalam tindakan menggagalkan usaha 400 hingga 500 anggota komunis di Water Fall Estate, Rawang Selangor yang cuba mensabotaj kemerdekaan negara 10 hari sebelum 31 Ogos 1957.

Beliau kemudian ditugaskan di Briged Kedua Infantri pada 4 Disember 1959 dan menamatkan perkhidmatan sebagai Penolong Ketua Kompeni di Kompeni Lima Melayu pada 5 Ogos 1962 selepas berkhidmat selama 16 tahun dengan menyandang pangkat terakhir sebagai Kapten.

Hasil perkongsian hidup dengan isteri keduanya, Aishah Bujang yang dikatakan berasal dari Kampung Rasah yang dikahwini pada 20 Januari 1952, mereka dikurniakan lapan cahaya mata, empat lelaki dan empat perempuan.

Pejuang negara ini menghembuskan nafas terakhir pada 30 April 1991 akibat sakit jantung di Hospital Besar Seremban (sekarang Hospital Tuanku Jaafar) dan dikebumikan di Makam Haji Said, Seremban, tetapi usaha menjejak makamnya juga menemui jalan buntu.

Antara anugerah lain yang diperoleh beliau ialah Pingat Jasa Kebaktian (PJK) dan Ahli Mangku Negara (AMN).

Belajar daripada sejarah silam


Oleh Nazmi Yaakub


KHUSYUK: Sebahagian daripada khalayak tekun mendengar pengalaman tokoh wartawan Indonesia, khususnya pada zaman sebelum merdeka.

Wartawan Melayu wajar lebih berfungsi dalam memelihara, perkukuh hubungan dua hala antara Malaysia, Indonesia

PENGALAMAN kewartawanan Melayu pada zaman sebelum kemerdekaan negara ini dan Indonesia wajar ditelaah dan dirujuk sebagai landasan untuk memperkukuhkan hubungan wartawan rumpun Melayu terutama pada saat hubungan dua negara sering dilanda kontroversi.

Hubungan baik wartawan kedua-dua negara pada zaman itu tetap terjalin meskipun berdepan pelbagai halangan terutama membabitkan masalah komunikasi dua hala kerana mereka terpaksa bergantung kepada kemudahan pos dan telegram.


Apatah lagi kemudahan pos dan telegram yang disediakan pihak penjajah Inggeris serta Belanda menyebabkan ada wartawan yang tebal semangat nasionalisme memilih untuk tidak menggunakannya kerana tidak mahu memberikan walaupun sesen kepada penjajah.

Pengalaman kewartawanan Melayu itu dikongsi Penerima Anugerah Tokoh Wartawan Melayu Indonesia, Dr Rosihan Anwar pada Syarahan Perdana Memperkukuhkan Setia Kawan Wartawan Dunia Melayu di Petaling Jaya, baru-baru ini, sekali gus mengingatkan wartawan hari ini untuk menghargai hubungan yang sudah lama terbentuk.

Rosihan berkata, pertemuan pertamanya dengan Tokoh Wartawan Negara dan Penerima Anugerah Tokoh Wartawan Melayu Malaysia, Tan Sri (Dr) Abdul Samad Ismail kira-kira 60 tahun lalu, tidak berlaku secara fizikal, sebaliknya melalui tulisan dalam majalah politik, Siasat.

BERI TUMPUAN: Rejal (tiga dari kiri) bersama khalayak khusyuk mendengar syarahan Dr Rosihan.

"Atas permintaan bekas Perdana Menteri Indonesia pertama, Sutan Syahrir, saya menubuhkan Siasat untuk mengurangkan sikap radikal rakyat Indonesia ketika itu yang mahu berperang berterusan dan melawan penjajah Belanda habis-habisan.

"Ini bertentangan dengan polisi Sutan Syahrir yang mahu menggunakan gerakan diplomasi, tetapi pada masa sama tidak melepaskan (kemungkinan) strategi perang," katanya yang memimpin majalah Siasat bermula 1947 hingga 1957.

Khalayak syarahan dimaklumkan bahawa Abdul Samad mengirimkan surat yang mengandungi tulisan mengenai pandangannya terhadap isu yang berkaitan dan beliau terpanggil untuk menyiarkannya majalah Siasat.

"Abdul Samad beberapa kali mengutus surat, tetapi saya tidak membalasnya kerana tidak mahu menggunakan pejabat pos Belanda. Pertemuan saya dengan (Dr) Ishak Muhammad atau Pak Sako pula berlaku pada Pertemuan Sastera di Kuantan," katanya.

Lewat pengalaman kewartawanan dan perhubungan dengan wartawan di rantau Nusantara terutama negara ini, Singapura serta Brunei Darussalam, Rosihan merumuskan wartawan Melayu sewajarnya berfungsi sebagai penjaga mengelakkan hubungan kedua-dua negara daripada menjadi tidak harmoni.

"Wartawan bukan sekadar melaporkan berita, sebaliknya terlatih berfikir termasuk menjawab persoalan yang membabitkan hubungan antara negara. Dalam pertarungan dunia global, wartawan Melayu perlu mampu menjawab persoalan berkaitan globalisasi secara waras," katanya.

Rosihan yang dilahirkan di Solok, Sumatera, Indonesia pada 10 Mei 1922, pernah menjadi wakil Hindustan Times, The New Strait Times, Asia Week, World Forum Features London, The Age Melbourne, The Strait Times Singapore dan Asia Pasific.

Syarahan Perdana itu diadakan sempena Anugerah Tokoh Wartawan Dunia Melayu anjuran Persatuan Bekas Wartawan Berita Harian Malaysia (PBWBHM) dan turut dihadiri bekas Pengarang Kumpulan Berita Harian Sdn Bhd, Datuk Ahmad Rejal Arbee yang juga Timbalan Presiden PBWBHM.

Seramai lapan tokoh wartawan menerima anugerah itu termasuk Abdul Samad dan Tan Sri Mazlan Nordin muncul sebagai penerima Anugerah Tokoh Wartawan Melayu Malaysia manakala Rosihan dan Tarman Azzam pula mendapat Anugerah Tokoh Wartawan Melayu Indonesia.

Tokoh Wartawan Melayu Singapura pula diberikan kepada Othman Wok dan Sulaiman Jeem serta Awang Ahmad Mohd Arshad dan Pengiran Fatimah Pengiran Md Noor meraih Tokoh Wartawan Melayu Brunei.

Semua penerima membawa pulang trofi, sijil serta wang tunai bernilai RM2,000 setiap seorang yang disampaikan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo dan hadir sama Presiden PBWBHM, Dr Alias Mohamed; Pengarang Eksekutif Rencana Berita Harian, Zainuddin Ayip serta Pengarang Eksekutif Harian Metro/Metro Ahad, Mustapa Omar.

Sejarah masih relevan


Oleh ABDUL GHANI ABU


Subjek sejarah yang diajar dengan berkesan mampu membentuk para pelajar yang mempunyai jati diri. – Gambar hiasan.

“SUDAH terhantuk baru tengadah” begitulah bunyi pepatah yang sering diungkapkan apabila kita sedar daripada kesilapan yang dilakukan. Selagi tidak terhantuk, selagi itulah kita alpa dan berasa selesa dengan situasi semasa, tanpa beringat akan pengalaman lepas atau pengalaman individu lain.

Di sinilah letaknya fungsi sejarah. Namun, kebanyakan daripada masyarakat hari ini tidak lagi memandang pada mata pelajaran Sejarah di sekolah, apatah lagi generasi muda yang mula melabel subjek ini sebagai tiada nilai ekonominya.

Dalam perkembangan globalisasi yang berteraskan liberalisasi ekonomi, generasi muda semakin khayal dengan keseronokan teknologi. Dengan alasan gaya hidup terkini, mereka tidak lagi memandang pada mata pelajaran Sejarah. Sebaliknya, melihat mata pelajaran berteras Sains dan Matematik seperti Fizik, Biologi, Kimia, Matematik tambahan, kejuruteraan, dan Perakaunan, berupaya menjamin masa depan kerjaya mereka.

Kepesatan perkembangan teknologi yang sememangnya diakui bercambah seiring perkembangan ilmu sains dan matematik telah menutup mata sebahagian masyarakat terhadap mata pelajaran kemanusiaan seperti Geografi dan Sejarah khususnya.

Mereka melihat pembangunan tamadun Barat berkembang pesat dimangkin oleh ilmu sains semata-mata. Oleh itu, untuk mencapai taraf pembangunan yang sama, masyarakat di sini juga perlu menguasai ilmu sains. Hal ini memang tidak dapat dinafikan ada relevannya. Namun, kehebatan sesebuah tamadun bukanlah terletak pada pencapaian gemilang ilmu sains sahaja. Sebaliknya, ia perlu diimbangi dengan keutuhan jati diri rakyat yang datangnya daripada ilmu kemanusiaan.

Kita sering membuat perbandingan tentang betapa indahnya kota cinta Paris, hebatnya teknologi penyiasatan CSI di New York, dan kecanggihan sistem pengangkutan awam di kota London. Kemudian kita persoalkan kenapa ia tidak berlaku di negara kita? Ditambah lagi persoalan, walaupun mereka hebat berteknologi, namun masyarakatnya punya jati diri yang utuh. Perlu diingat mereka ini pewaris bangsa penjajah. Ketamadunan mereka dibina dengan “keserasian” ilmu sains dan ilmu kemanusiaan juga. Teori-teori ilmu kemanusiaan dan sains sosial berkembang di negara mereka. Lantas kita di sini juga menghantar para pelajar mempelajari pengalaman mereka.

Barat dapat diperhatikan perkembangan kedua-dua bidang ilmu, iaitu sains dan kemanusiaan. Hal ini bagi mereka penting kerana proses pembinaan jati diri sebagai rakyat perlu diimbangi. Maka tidak hairanlah, dalam sistem pendidikan mereka mata pelajaran Geografi dan Sejarah menjadi keutamaan bermula di peringkat rendah lagi.

Hal ini demikian kerana menurut mereka bagi melahirkan generasi yang bangga dengan negaranya, mereka perlu didedahkan dengan keagungan tamadun bangsa mereka yang diwarisi zaman-berzaman. Mereka juga didedahkan dengan dunia luar di peringkat sekolah rendah lagi. Mereka perlu menjadi pewaris bangsa penjajah juga, tetapi dalam konteks dunia yang baharu, iaitu globalisasi.

Persoalannya, di manakah mata pelajaran Sejarah dalam sistem pendidikan kita? Sementelahan kita asyik mempersoalkan generasi muda merupakan pewaris generasi masa depan negara. Kita perlukan perubahan minda dalam kalangan masyarakat tentang mata pelajaran Sejarah.

Memang tidak dapat dinafikan, proses pengajaran dan pembelajaran mata pelajaran Sejarah bermula di peringkat sekolah rendah lagi, iaitu menerusi subjek Kajian Tempatan kepada para pelajar di tahap dua (tahun 4 hingga 6). Kemudian, di peringkat menengah diteruskan dengan mata pelajaran Sejarah dari tingkatan satu hingga lima. Di peringkat rendah, para pelajar didedahkan dengan konsep asas sejarah, bermula yang dekat dengan diri mereka, keluarga, masyarakat, kawasan setempat dan peristiwa penting sejarah negara. Di peringkat sekolah menengah pula, mereka mempelajari sejarah politik, ekonomi dan sosial negara berlatar belakang zaman prasejarah, Kesultanan Melayu Melaka, penjajahan, perang dunia, prakemerdekaan, sehinggalah negara mencapai kemakmuran pada hari ini. Jika dilihat secara kasar, kurikulum sejarah itu amat tuntas dan holistik sifatnya. Namun di manakah kecacatan yang menjadi punca pengabaian mata pelajaran sejarah ini? Adakah guru yang kurang kemahiran “dipaksa” mengajar sejarah atau pun penggubalan kurikulum itu kurang menarik perhatian pelajar? Sememangnya persoalan ini kritis untuk dijawab. Pakar pedagogi dan mereka yang terlibat dengan pembinaan kurikulum ini sahaja yang boleh merungkaikannya. Tetapi, itu persoalan yang terus berlaku dan akan terus berlaku, selagi kesan pembinaan generasi yang prihatin sejarah tidak dapat dilahirkan.

Anjakan paradigma masyarakat tentang kepentingan ilmu sejarah perlu dilakukan. Sejarah bukanlah suatu mata pelajaran yang bersifat metafora, sebaliknya berdiri di atas fakta yang kukuh. Setiap perkara yang berlaku sama ada berkaitan dengan diri sendiri, masyarakat atau negara, perlu disedari ada kaitan dengan sejarah. Sekurang-kurangnya kita pernah berkata, “tidak ingatkah apa yang telah berlaku dahulu”. Hal ini merujuk kepada peristiwa yang pernah berlaku sebelum ini. Ini juga suatu disiplin dalam sejarah. Masyarakat perlu ada kefahaman bahawa Sejarah itu bukanlah suatu mata pelajaran yang perlu menghafal semata-mata tentang sesuatu peristiwa. Sebaliknya, jika ditelusuri banyak kemahiran yang cuba digarap melalui pembelajaran mata pelajaran Sejarah. Para pelajar diajar tentang kemahiran Kajian Masa Depan. Melalui kemahiran ini, para pelajar dilatih menggunakan fakta yang sedia ada untuk meramalkan apa yang akan berlaku pada masa depan. Selain itu, semangat ingin tahu disemaikan ke dalam jiwa pelajar. Mereka dididik dengan kemahiran Inkuiri Penemuan. Kemahiran ini penting bagi melahirkan insan pelajar yang sentiasa mempersoalkan fakta yang diperoleh, lantas mereka mencari kebenaran ke atas fakta tersebut. Ini merupakan sebahagian daripada penerapan yang ada dalam mata pelajaran sejarah yang mungkin tidak disedari oleh para ibu bapa.

Kita tidak mahu generasi muda pada hari ini terus alpa dengan kemodenan yang dicanang oleh liberalisasi ekonomi. Secara tidak sedar, kita mungkin dijajah kembali dalam bentuk yang baharu. Musuh dalam selimut, atau gunting dalam lipatan begitulah boleh diibaratkan kepada perkembangan teknologi moden seperti Internet dan 3G, sekiranya rakyat tiada jati diri yang kukuh. Janganlah kita menjadi seperti kata pepatah “yang dikejar tak dapat, yang dikendong keciciran.” Pembinaan jati diri ini hanya dapat dipupuk melalui kesedaran terhadap kepayahan generasi terdahulu membina sebuah negara bangsa. Mata pelajaran Sejarah merupakan faktor penting dalam mencapai usaha tersebut.

* PENULIS bertugas sebagai Editor Bahagian Majalah di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan pernah terlibat sebagai Editor buku teks Kajian Tempatan dan Sejarah terbitan DBP.

Modus operandi terciptanya bangsa Melayu


SEHINGGA hari ini, masih belum ada penjelasan yang sah, berasaskan sumber bukti yang sahih dan selaras dengan realiti, siapakah sebenarnya yang dinamakan ‘orang Melayu’ itu.

Justeru, tanpa memahami sifat asasi siapa orang Melayu, maka perbicaraan tentang apa saja termasuk kebudayaan dan kesenian mereka pastinya terawang-awang kerana tidak berpijak di alam nyata.

Secara tersurat dan tersirat, buku ini cuba menepis kajian mengaitkan pembawa Gendang Dongson yang pernah dilakukan para penyelidik dalam bidang etnolinguistik purba itu, tentang asal usul dan pembentukan orang Melayu sebagai satu bangsa.

Malah, buku ini secara tegas menolak istilah Austronesia-Polenesia yang merujuk bahasa induk rumpun Melayu seperti diuar-uarkan sarjana Barat.

Hujahnya, perkataan Melayu memang wujud sejak zaman purba lagi, selewat-lewatnya abad ke-5 Masihi tetapi bukan merujuk sebagai bangsa Melayu tetapi hanya nama bagi sebuah kerajaan di Palembang.

Dijelaskan, bahawa orang Melayu itu adalah bersifat poligenesis, iaitu bukan dari baka dan tanah asal yang tunggal. Sebab utama kenapa hal ini berlaku kerana sifat orang Melayu itu sendiri yang terdiri daripada pelbagai kumpulan etnik.

Ia turut menjelaskan sifat-sifat orang Melayu secara empiris. Bertitik tolak dari premis itulah, dijelaskan beberapa teori penting mengenai kebudayaan, kesenian, etos, ritual dan aspek-aspek kebudayaan Melayu.

Jika kita kaji, sebenarnya terdapat banyak unsur luaran dalam kebudayaan Melayu yang datang daripada pelbagai pengaruh. Keadaan ini menyebabkan sentiasa berlaku perubahan dan penambahbaikan dalam kebudayaan Melayu.

Sama ada kita suka atau tidak, teori tentang asal usul Melayu yang dihuraikan oleh Stamford Raffles pada awal abad ke-19, dianggap masih relevan diguna pakai sehingga hari ini kerana ia selari dengan Perlembagaan Persekutuan.

Raffles menjelaskan secara terperinci: “Teori yang amat jelas tentang asal usul orang Melayu ialah mereka tidak wujud sebagai satu bangsa yang tersendiri sebelum tibanya orang Arab dari Laut Timur. Pada ketika ini mereka telah menjadi bangsa yang berbeza daripada bangsa mereka yang asal.

Catatan-catatan Raffles ini menjelaskan kepada kita bahawa gelombang Islam yang dibawa oleh golongan pedagang dan pendakwah Arab telah membina seluruh masyarakat rantau ini menjadi satu ‘bangsa baru’, iaitu bangsa Melayu yang dinamakan ‘orang Jawi’.

Raffles menjelaskan: “Perkataan jawi ialah istilah Melayu yang membawa maksud sebarang perkara yang mengalami percampuran atau kacukan. Misalnya sesuatu bahasa dari sesebuah negeri ditulis dengan menggunakan huruf daripada bangsa lain. Bahasa ini dinamakan bahasa jawi atau bahasa campuran.”

Keterangan-keterangan yang diberi oleh Raffles ini boleh dijadikan modus operandi untuk menjelaskan proses kemunculan bangsa Melayu dan perkembangan alam Melayu.

Elok juga dimaklumkan bahawa Raffles adalah seorang Kristian yang anti-Islam. Bagaimanapun, agak ironisnya, dalam sentimen anti-Islam yang menggelegak itu, beliau terpaksa akur dengan kenyataan bahawa pendakwah Islam adalah orang yang mementingkan kedamaian sehingga mampu membina satu rupa bangsa baru yang dinamakan ‘bangsa Melayu’.

Seperti disebutkan, tiga faktor yang mendorong terbinanya bangsa Melayu iaitu hasil perkahwinan dengan orang beragama Islam, penggunaan bahasa Jawi-Arab dan menjadi Muslim.

Dapatlah dirumuskan bahawa, daripada pemerhatian yang dilakukannya, Raffles dengan tegar menyatakan ‘bangsa Melayu’ dengan sifat-sifat yang ada pada hari ini adalah ciptaan agama Islam dan ‘tidak wujud’ pada zaman sebelum kedatangan Islam ke rantau ini.

Rakaman yang sama turut dibuat oleh Howison pada era Raffles. Malah, sehingga awal abad ke-20, Wright & Cartwright turut menyatakan tali pengikat masyarakat watan di negeri-negeri Melayu ialah kesatuan bahasa dan agama Islam yang dianggap lebih penting daripada penyatuan darah.

Berdasarkan catatan Raffles, Howison dan Wright dan Cartwright, asas yang membentuk bangsa Melayu ialah agama Islam dan diikuti amalan berbahasa Melayu dan budaya Melayu. Tiga unsur inilah yang menjadi tiang seri bangsa dan kebudayaan Melayu.

Itulah sebabnya mengapa masyarakat kita tidak menganggap golongan Baba dan Nyonya Melaka sebagai Melayu walaupun mereka fasih berbahasa dan berkebudayaan Melayu.

Ini kerana orang Melayu tidak menerima sesiapa yang bukan Islam sebagai Melayu walaupun masyarakat Baba dan Nyonya berbahasa dan berbudaya lebih Melayu daripada mereka kerana mewarisi unsur klasik sejak zaman Kesultanan Melaka.

Begitu juga, seseorang yang beragama Islam tetapi ‘tidak mahu’ menjadi Melayu, seperti golongan Muslim India (atau mamak di Pulau Pinang) dan golongan ‘sayyid’, tidak dianggap sebagai Melayu sehingga kini.

Ini bertepatan dengan definisi Melayu secara rasmi berdasarkan Perlembagaan Persekutuan (Perkara 160[2] iaitu: “Melayu ertinya seseorang yang menganuti agama Islam, lazim bercakap bahasa Melayu, menuruti adat istiadat Melayu.”

Judul: Asas Kebudayaan dan Kesenian Melayu

Penyunting: Dr. Mohamed Anwar Omar Din

Penerbit: Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia

Tebal: 273 halaman

ISBN: 978-967-942-805-2

Pengulas: SAHIDAN JAAFAR

Memperkasa pantun Melayu


Oleh SALMAH ZAINAL ABIDIN

DI institusi pengajian tinggi seperti Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), pantun memang dianggap istimewa. Tidak lama dulu, sebidang tanah dalam kampus UKM yang subur dengan buah-buahan dan tanaman yang sering diungkapkan dalam pantun telah diangkat menjadi taman pantun.

Pantun dan seloka terus diperkasa di kampus UKM melalui ucapan dan alu-aluan yang menjadi halwa telinga di majlis-majlis kelimuan mahupun majlis mahasiswa.

Kecintaan yang tinggi Naib Canselor, Prof. Datuk Dr. Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabudin terhadap seni penulisan pantun dan seloka menjadi wadah bagi warga universiti terus memartabatkan seni pantun.

Pantun dan seloka dapat dipelihara dan diperturunkan di kampus apabila warga kampus daripada kalangan sarjana, kakitangan dan mahasiswa boleh menggarap pantun dan seloka dengan baik sekali.

Keindahan pantun terus menjadi bidang kajian yang penting di UKM. Banyak kerja mendokumentasikan warisan bangsa ini terus dilakukan. Portal Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA) misalnya menyimpan ribuan pantun Melayu yang amat berharga.

Terbaru, terbit buku Pantun Peranakan Baba: Mutiara Gemilang Negeri-Negeri Selat oleh Prof. Dr. Ding Choo Ming, sarjana ATMA, UKM yang menyusur galur sejarah kemunculan pantun di kalangan suatu etnik hasil pertembungan Cina - Melayu. Salah satu ciri yang menonjol pada Peranakan Baba di Melaka ialah kebolehan mereka berpantun. Ciri inilah yang membezakan mereka daripada ‘sepupu’ mereka di Pulau Pinang, mahupun di Sarawak, Thailand dan Vietnam. Mereka berbahasa Melayu sebagai bahasa ibunda. Nyonya berkebaya dan bersarung selain suka berpantun dan berdondang sayang.

Humor

Buku Pantun Peranakan Baba: Mutiara Gemilang Negeri-Negeri Selat ini merakamkan pantun Peranakan Baba Melaka, yang sarat dengan unsur-unsur kreativiti, humor, nasihat dan ilmu pengetahuan.

Buku ini mendokumentasi beberapa jumlah karya terdahulu yang merakamkan pantun Peranakan Baba sebagai salah satu khazanah seni budaya yang unik hasil pertembungan dua budaya Cina dan Melayu.

Ding membicarakan keistimewaan pantun-pantun ini dari aspek nilai estetikanya, pengarang dan kepengarangannya. Pantun adalah satu bentuk sastera lisan orang Melalyu yang diperturunkan dari satu generasi ke satu generasi yang tersebar ke seluruh Nusantara. Dengan lahirnya masyarakat Peranakan Baba, hasil perkahwinan campur antara lelaki Cina dengan wanita daripada rumpun Melayu, maka lahirlah kesusasteraan Peranakan Baba di Melaka, Singapura dan Pulau Pinang.

Peranakan Baba amat tertarik dengan pantun dan syair Melayu dan mereka menghayatinya sehingga bukan saja boleh berjual beli pantun dan syair, malahan boleh pula mendendangkan pantun dengan iringan alat muzik yang lebih dikenali sebagai berdondang sayang.

Antara tokoh Peranakan Baba yang terkenal ialah Baba Chia Kim Teck, yang kemudian diberi julukan Raja Pantun Baba, sesuai dengan kepandaiannya berdondang sayang.

Apa yang lebih menarik ialah selain pandai menulis, membaca dan menguasai bahasa Peranakan Baba, sesetengah Peranakan Baba generasi baru seperti Siow Hay Yam, Baba Chia Kim Teck, Wan Boon Seng, Lim Hock Chee, Bateck, dan Baba Chiong Tat telah menjadi pengarang, penulis, editor dan sasterawan.

Mereka ini terkenal sebagai pengarang yang telah memajukan pantun Melayu, selain mencipta pantun dan syair yang baru, melalui penerbitan.

Puisi-puisi itu telah menjadi pentas bagi mereka meluahkan perasaan, isi hati, rasa rindu, kasih syang, harapan, nasihat, pandangan, suka duka dan sebagainya.

Pantun Peranakan Baba: Mutiara Gemilang Negeri-Negeri Selat sarat dengan contoh-contoh pantun Baba yang indah dan puitis dalam pelbagai situasi.

Hasil gigih kajiannya, pengarang telah dapat mendokumentasikan susur galur Peranakan Baba melalui foto-foto tokoh, paparan aktiviti Peranakan Baba daripada penerbitan majalah dan contoh-contoh iklan hasil kreativiti Peranakan Baba yang diterbitkan di majalah.

Buku ini adalah satu-satunya karya yang menyelidik tentang pantun Peranakan Baba secara menyeluruh dan lengkap dengan contoh-contoh dan bukti sejarah yang memperkuatkan lagi penulisan ini.

Tentunya buku ini menjadi rujukan penting para sarjana bidang ilmu dan menjadi khazanah amat berharga bagi para mahasiswa dan pelajar untuk mendalami seni pantun mahupun keunikan masyarakat Baba di alam Nusantara.

Menjiwai nasionalisme Tun Razak


Oleh MOHD. ARIF ATAN

KELMARIN (14 Januari) majlis tahlil dan bacaan Yasin telah selamat diadakan di kediaman ibu Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sempena 32 tahun pemergian mantan Perdana Menteri kita yang kedua, Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein.

Jasanya menyediakan tapak pembentukan sebuah bangsa Malaysia tetap sentiasa diingati walaupun hayat kepimpinannya bertahan enam tahun sahaja bermula dari 1970. Sudah ditakdirkan Tuhan, beliau pergi sebelum sempat melihat hasil usaha pembinaan semula masyarakat dan ekonomi yang mula dipeloporinya.

Belajar daripada peristiwa berdarah 13 Mei 1969, beliau bersama kepimpinannya yakin bahawa semangat nasionalisme kepada sebuah negara bangsa bernama Malaysia mestilah berteraskan sistem nilai tempatan.

Ini sebagai syarat penting bagi mewujudkan sebuah bangsa Malaysia berbilang kaum yang bersatu padu berkongsi fahaman dan cara hidup yang sama.

Gelaran Bapa Pembangunan bukan sekadar menghargai jasa Tun Razak dalam pembangunan ekonomi malah turut melangkaui pembangunan sosial. Langkah pertama yang dilakukan oleh ‘jurutera’ sosial ini ialah menjadikan Rukun Negara sebagai ejen sosialisasi pembentukan semangat bangsa Malaysia seawal peringkat bangku sekolah lagi.

Ini disusuli dengan dasar-dasar kebangsaan berkaitan bahasa, pendidikan dan kebudayaan. Tujuannya tidak lain tidak bukan mahu melihat bangsa yang progresif, maju dan dalam masa yang sama memiliki jati diri dan identiti nasional tersendiri.

Dalam perkembangan politik tanah air, terbinanya Barisan Nasional (BN) adalah bukti pemikiran jauh beliau mahu merapatkan lagi interaksi kaum melalui medium politik.

Turut memberi impak yang bukan sedikit ialah pembinaan semula ekonomi mega menerusi Dasar Ekonomi Baru (DEB) dan rancangan Felda. Sungguhpun, sasaran 30 peratus dalam DEB gagal diraih kerana ketirisan di tangan sebahagian pihak pelaksana dasar tetapi secara umumnya bangsa Melayu telah mengalami peningkatan mobiliti sosial yang besar dalam tempoh singkat. Bilangan golongan kelas menengah Melayu bertambah.

Oleh itu, tentulah mengecewakan jika ada kalangan golongan korporat dan profesional Melayu hari ini menafikan peranan dasar tersebut. Pendirian ahli perniagaan bumiputera terkaya, Tan Sri Syed Mokhtar Albukhary yang telah dinobatkan sebagai Tokoh Maal Hijrah 1429 wajar dicontohi.

Beliau model korporat Melayu yang tetap mengenang budi apabila mengakui dirinya adalah ‘anak’ kelahiran DEB melalui bantuan Mara dan UDA.

Hakikatnya, segala sumbangan bakti Tun Razak yang berjiwa nasionalis ini menuntut setiap daripada kita melakukan muhasabah diri. Sejauh mana kita benar-benar ikhlas meneruskan kesungguhan pelaksanaan Dasar Bahasa Kebangsaan, Dasar Pendidikan Kebangsaan serta Dasar Kebudayaan Kebangsaan?

Adakah wajar dasar-dasar kebangsaan tersebut sewenang-wenangnya dibiar tewas dalam landaan pengaruh liberalisasi dan globalisasi?

Legasi yang ditinggalkan Tun Razak dalam hal berkaitan pengukuhan negara bangsa sentiasa relevan dan mesti dijiwai oleh pemimpin dan rakyat Malaysia.

Pena-PSU kukuhkan bahasa dan sastera Melayu


PADA 23 hingga 30 Januari ini bakal berlangsung Minggu Bahasa Antarabangsa di Prince of Songkla University (PSU), Hatyai, Thailand. Selama tempoh itu akan diadakan forum dan pelbagai aktiviti kebahasaan melibatkan bahasa Melayu, Inggeris, Thailand, Korea, Jepun dan Indonesia.

Malaysia akan diwakili oleh Persatuan Penulis Nasional (Pena). Ia juga akan bertanggungjawab mengadakan aktiviti untuk lebih 100 mahasiswa program bahasa dan sastera Melayu di universiti tersebut.

Aktiviti yang akan diadakan pada 29 akan membabitkan pengenalan tentang pelbagai genre kesusasteraan termasuk sastera tradisional yang berkembang dalam masyarakat Melayu. Antaranya gurindam dan syair.

Selain itu, Pena juga akan memberi pendedahan dan perkongsian pengalaman tentang metodologi pengajaran serta penerapan bahasa serta sastera Melayu di peringkat sekolah serta institusi pengajian tinggi.

Pada umumnya, mahasiswa-mahasiswa program Ijazah Sarjana Muda tersebut membuat pengkhususan dalam bidang bahasa, linguistik, kesusasteraan dan sosiobudaya Melayu.

Di PSU, pengajian bahasa Melayu diletakkan di bawah Jabatan Bahasa dan Linguistik bersama bahasa-bahasa lain iaitu Inggeris, Perancis, Jepun, Cina dan Kemboja.

Jabatan tersebut merupakan salah satu daripada dua jabatan (jabatan lain ialah Pendidikan) yang ditawarkan oleh Fakulti Seni Liberal, kampus PSU cawangan Hatyai.

Sementara itu, empat wakil Pena iaitu Mohamad Saleeh Rahamad (Universiti Malaya), Ghaffar Abdullah (Dewan Bahasa dan Pustaka), Nassury Ibrahim (Maktab Perguruan Kota Bahru) dan Shamsuddin Othman (Universiti Putra Malaysia) akan membentangkan kertas kerja masing-masing mengenai bahasa dan sastera Melayu mutakhir.

Antara lain kertas-kertas kerja tersebut akan memperkatakan pendekatan untuk mewujudkan hubungan yang lebih erat antara Pena dan Jabatan Bahasa Melayu di PSU.

Sebenarnya Pena telah merintis kerjasama dalam bidang kesusasteraan dan penerbiatan dengan Persatuan Penulis Thailand atau Semakhom Nakhian Thai (Writers Association of Thailand - WAT).

Pertemuan itu berlangsung di Universiti Rajabhat Nakhon Si Thammarat (URN) pada 26 hingga 29 Julai tahun lalu. Ia merupakan susulan daripada hubungan Pena dengan beberapa aktivis sastera Melayu Selatan Thai seperti pensyarah di Sekolah Pengajian Seni, Universiti Walailak, Abdul Razak Pandangmalam.

Tetap Melayu walau fasih bahasa Inggeris


Oleh WAN SHAHARA AHMAD GHAZALI

MASYARAKaT khususnya ibu bapa Melayu tidak perlu khuatir mendorong anak-anak mereka menguasai bahasa Inggeris walaupun mereka sendiri tiada kemahiran itu.

Malah, mereka wajar menggalakkan anak-anak untuk fasih bertutur dan menulis dalam bahasa Inggeris bagi meluaskan peluang kerjaya apabila mereka memasuki sektor pekerjaan.

Isteri Tunku Mahkota Johor, Raja Zarith Sofiah Sultan Idris bertitah, jati diri kemelayuan tidak akan hilang hanya dengan fasih dalam bahasa tersebut sekiranya anak telah diterapkan dengan unsur-unsur tradisi sedari kecil.

Raja Zarith Sofiah bertitah, keupayaan menguasai bahasa Inggeris menunjukkan rakyat mengambil berat mengenai hala tuju negara kerana ilmu wujud daripada bahan bacaan berkualiti yang kebanyakannya di dalam Bahasa Inggeris.

“Bahasa Inggeris adalah bahasa antarabangsa yang mempunyai kuasa nilai ekonomi berbilion dolar, apatah lagi satu pertiga daripada dunia bertutur atau belajar dalam bahasa tersebut,” titah baginda dalam Syarahan Umum Felo Diraja bertajuk Menjadi Global : Penggunaan Bahasa Inggeris dalam Abad Ke-21 Malaysia di Dewan Senat Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di Bangi, Selangor, baru-baru ini.

Syarahan umum tersebut dihadiri oleh Naib Canselor UKM, Profesor Datuk Dr. Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabudin; Naib Canselor Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Profesor Datuk Dr. Ismail Bakar dan 300 lagi ahli akademik termasuk pegawai-pegawai kanan, dan graduan lepasan siswazah.

Baginda yang merupakan Felo Diraja Pusat Pengajian Bahasa dan Linguistik, UKM berkata, setiap ahli masyarakat perlu memahami kepentingan penguasaan Bahasa Inggeris di kalangan golongan muda sebagai bahasa antarabangsa.

Tambah baginda, seluruh rakyat Malaysia bertanggungjawab membantu dan menyediakan prasarana agar semua orang mampu bertutur dan menulis dengan lancar dan penuh yakin.

Kepentingan bahasa ini, tambahnya perlu ditekankan bukan sahaja di peringkat pengajian tinggi seperti yang berlaku kini, malah sebaiknya dari dari peringkat akar umbi lagi iaitu sekolah rendah dan prasekolah.

Justeru, masyarakat harus diingatkan agar berusaha menguasai bahasa Inggeris dan mengejar ilmu supaya negara tidak tertinggal jauh ke belakang berbanding lain-lain negara di dunia.

Selain itu, baginda juga yakin penguasaan Bahasa Inggeris mampu membantu graduan mendapatkan pekerjaan dengan lebih cepat.

“Kita menghasilkan graduan yang bijak tetapi kemahiran Bahasa Inggeris yang lemah telah menyekat mereka daripada mengeluarkan potensi sebenar mereka,’’ titah baginda.

Ini, menurut baginda, menyebabkan potensi modal insan negara tidak digunakan secara optimum yang seterusnya menyebabkan negara pula tidak mencapai potensi kemajuan yang sepatutnya.

Raja Zarith Sofiah turut mencadangkan beberapa langkah yang boleh dijadikan budaya untuk memperbaiki penguasaan bahasa tersebut di kalangan generasi muda.

Menurut baginda, faktor persekitaran seperti stesen televisyen wajar lebih proaktif dan menyediakan kemudahan mempelajari bahasa kepada penonton.

“Konsep rancangan realiti popular misalnya, Akademi Debat atau Akademi Bahasa Inggeris boleh digunakan bagi mengganti Akademi Fantasia,’’ titahnya.

Selain itu, baginda menggalakkan ibu bapa dan pihak sekolah membiasakan anak-anak dengan buku berbahasa Inggeris bagi memperbaiki tatabahasa serta serta memupuk keyakinan diri.

Di mana sastera kita?


OLEH PUTERA AHMAD

TINDAKAN (keputusan?) Pusat Perkembangan Kurikulum (PPK) tidak memilih karya-karya sasterawan negara (SN), penerima S.E.A. Write Awards, dan pengarang-pengarang penting Malaysia untuk teks baru Komponen Sastera dalam Mata Pelajaran Bahasa Melayu (Komsas) dapat dianggap menghina dan memperleceh para pengarang/sasterawan mapan dan sastera Melayu.

Alasan PPK tidak memilih karya-karya sasterawan mapan (seperti dilaporkan sebuah akhbar baru-baru ini) bahawa “sebahagian teks sedia ada berat dan tidak sesuai untuk pelajar” tidak dapat diterima. Tindakan tidak melantik sarjana kesusasteraan dan pengarang sebagai Ahli Jawatankuasa (panel) Pemilih Buku Teks Komsas juga dianggap menghina dan menafikan kesarjanaan dan kepakaran tokoh-tokoh sastera kita.

Tidak dinafikan memang terdapat beberapa buah karya (baik cerpen, novel, puisi mahupun drama) yang diguna pakai dalam Komsas sekarang berat, sukar difahami, dan tidak sesuai untuk khalayak remaja. Malah terdapat ‘buku’ (belum tentu sebuah novel mengikut takrifnya yang sebenar) yang diguna pakai atas asas kepentingan memperbaiki imej kalangan tertentu.

Karya-karya jenis begini menjadikan pelajar, malah guru menguap dan ‘pening’ untuk mempelajari dan menghayatinya. Dengan itu, pastilah karya-karya begini tidak dapat membantu menarik minat insan remaja terhadap sastera, malah akan membuatkan mereka muak terhadap sastera.

Namun, masih terdapat banyak karya sasterawan mapan kita yang mudah difahami, yang sesuai untuk khalayak remaja, yang boleh dipilih untuk teks Komsas bagi menggantikan teks yang sedia diguna pakai kini.

Sementelahan pula Malaysia satu-satunya negara di dunia yang mempunyai tradisi sastera remaja yang pernah berkembang subur sejak pertengahan dekad 1980-an. Sejak itu dipersetujui secara konsensus tentang takrif dan konsep sastera remaja. Hal ini pernah ditulis oleh Othman Puteh dan Abdul Ahmad yang tersiar di dalam Dewan Sastera dan Mingguan Malaysia pada sekitar dekad 1990-an. Sejak itulah terhasil dan terbit ratusan karya remaja, terutamanya genre cerpen dan novel remaja yang termasuk dalam takrif dan konsep sastera remaja yang sebenar-benarnya, terutamanya yang diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

Novel remaja

Hingga kini terdapat novel remaja seperti Manikam Kalbu karya Faisal Tehrani (menang hadiah pertama Sayembara Mengarang Novel Jubli Emas DBP), Soh Siew Sin (novel perpaduan remaja pelbagai kaum) karya Othman Puteh, Fitrah Kimiawi (DBP, 2005) (berlatarkan sains) karya Rahmat Haroun Hashim, Menyisih Awan Kelabu (DBP, 2005) Gelombang Buana (DBP, 2007) (citra kegigihan seorang remaja) karya Osman Ayob, Terima Kasih Nudra Syafini (DBP, 1985) (psikologi remaja) dan Pelarian ke Angkasa (novel cereka sains) (‘K’ Publishings, 1987) karya Abdul Ahmad, Selagi Dusunku Berbuah (Marwilis, 1987) oleh A.Rahim Abdullah, Pada Suatu Perjalanan (DBP, 1995) oleh Tuan Faridah Syed Abdullah dan banyak lagi.

Di samping itu, terdapat banyak cerpen remaja yang sesuai seperti Komeng karya Ajikik, sejumlah cerpen di dalam antologi Teratai Merah (PFB, 1995), beberapa buah cerpen remaja oleh Khadijah Hashim, Mohd. Ismail Sarbini, Jalil A. Rahman, Othman Puteh, Ajikik, Ali Majod, A. Rahim Abdullah, Ghazali Ngah Azia yang nama mereka mantap sebagai pengarang karya remaja.

Begitu juga dengan puisi. Terdapat beberapa puisi Rahman Shaari seperti Harga Remaja, Sahabat, Permatang Budi; segugus puisi remaja di dalam antologi Peneraju Zaman (DBP, 2004) selenggaraan Dharmawijaya, puisi-puisi remaja Lim Swee Tin, A. Rahim Abdullah dan banyak lagi.

Sebahagian judul ini dianggap karya klasik oleh ramai pengkaji kesusasteraan remaja. Berdasarkan pengamatan, kesemua karya ini menggunakan sistem bahasa sastera yang cukup baik, indah berseni dan cocok untuk pelajar menengah. Ceritanya menarik dan mempunyai mutu atau nilai sastera yang tinggi. Sementara tema dan mesej yang terjalin atau tersirat cukup sesuai untuk khalayak remaja. Sastera beginilah yang dimaksudkan oleh Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) yang berupaya menjana modal insan seperti diharapkan Perdana Menteri. Sastera beginilah yang dapat mencapai harapan Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia, Datuk Alimuddin Mohd. Dom “bagi memperkasa mata pelajaran itu dalam membantu menangani gejala sosial pelajar.”

Kami sudah lama berkecimpung dalam arena kesusasteraan, namun anehnya tidak mengenali banyak nama pengarang yang karyanya dipilih untuk teks Komsas. Berdasarkan beberapa nama pengarang dan karya-karya yang dipilih, kami rasa, panel pemilih teks Komsas yang baru tidak banyak tahu tentang pengarang dan sasterawan yang disebut tadi, apatah lagi karya-karya mereka.

Panel pemilih itu barangkali lebih banyak terdedah kepada karya-karya popular yang bercambah di dalam pasaran terbuka. Atau, mungkin panel pemilih mengambil jalan mudah dengan bertindak secara tangkap muat. Atau boleh jadi, terdapat gejala penyelewengan atau ‘main kayu tiga’.

Kalau tidak, mengapakah tidak terpilih karya-karya remaja yang diterbitkan oleh DBP. Padahal, DBP adalah agensi penerbitan yang begitu gigih menerbit karya remaja yang baik-baik, yang begitu terkawal dari segi mutu bahasa dan sasteranya.

PPK tentunya sedar dan peka bahawa rata-rata pelajar menengah yang bakal menggunakan seluruh teks Komsas itu terdiri daripada insan remaja (13-20 tahun). Apa sahaja yang disogok dalam jangka usia begini akan mendatangkan kesan jangka panjang. Sekiranya disogokkan karya sastera popular, dengan pemakaian sistem bahasa yang rata-rata tidak kuat, yang cacamarba, yang temanya popular, unsur pemikirannya tidak kuat, maka begitu sahajalah yang akan mereka tanggap terhadap sastera Melayu.

Cadangan dan pemilihan beberapa buah karya remaja dalam program Komsas ini merupakan usaha besar dan menyeluruh untuk mendekatkan insan remaja terhadap sastera. Dengan itu, barulah sastera akan terus hidup bererti dalam tamadun bangsa kita. Barulah sastera dapat memainkan antara peranan murninya sebagai wadah pembinaan sahsiah insan (remaja).

Apabila terjadi, apalah maknanya sasterawan mapan kita bertungkus lumus memerah otak menghasilkan karya bermutu tinggi dan penerbit serius membelanjakan jutaan ringgit menerbitkan karya besar, apalah faedah diadakan sayembara demi sayembara untuk ‘menimbulkan’ karya bermutu, akhirnya karya popular yang mutunya boleh dipertikai yang dipilih. Apalah makna ‘diangkat dan dianugerah’ Sasterawan Negara kepada sembilan orang sasterawan besar kita? Apalah erti pengiktirafan S.E.A. Write Awards terhadap segugus sasterawan kita?

Juadah selera empat PM


SEORANG Perdana Menteri dari kaca mata rakyat biasa adalah individu yang penuh berkepimpinan dan berkarisma. Perdana Menteri seringkali sinonim dengan perwatakan yang serius dan kelibat mereka lebih banyak kelihatan di majlis-majlis rasmi.

Hakikatnya, Perdana Menteri juga adalah seorang manusia biasa dan ketika berada di rumah, mereka tetap menjalani rutin sama seperti rakyat kebanyakannya.

Buku Selera Perdana ini mengangkat salah satu sisi kebiasaan Perdana Menteri itu dan ia lebih menarik apabila menyentuh mengenai perkara yang jarang diketahui oleh orang ramai iaitu makanan kegemaran mereka.

Istimewanya buku ini, ia adalah rakaman pengalaman seorang wanita yang bernama Safiah Mahmood atau lebih dikenali sebagai Kak Orkid yang telah berkhidmat sebagai Timbalan Penyelia Perempuan di Bahagian Perumahan, Jabatan Perdana Menteri selama 23 tahun.

Tugas itu memerlukan Kak Orkid menyelia rumah-rumah Kerajaan Persekutuan termasuk kediaman empat Perdana Menteri iaitu Tunku Abdul Rahman, Tun Abdul Razak, Tun Hussein Onn dan Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Di sinilah menjadikan buku Selera Perdana ini sangat unik dan berbeza kerana ia membawa pembaca menyoroti rutin empat pemimpin negara dari aspek pemakanan peribadi dan keraian bersama keluarga, sahabat handai serta tetamu negara.

Buku ini juga secara terancang ingin merakam sumbangan kerjaya Kak Orkid dan petugas di bahagiannya yang terbabit dalam penyelenggaraan rumah kebajikan dan kediaman Perdana Menteri sebagai warisan budaya negara.

Sehingga 1996, Kak Orkid bersama pasukannya memainkan peranan penting dalam pengendalian rumah-rumah tersebut dan majlis yang diadakan.

Buku ini dibahagikan kepada lima segmen warisan budaya iaitu gaya pemakanan keempat-empat Perdana Menteri, bakti dan budi Kak Orkid dan pasukannya, juadah berserta resipi termasuk yang menjadi kegemaran Perdana Menteri serta kaedah penyajian dan peralatan memasak.

Sebanyak 122 resipi masakan dan dua minuman termasuk 33 resipi yang menjadi kegemaran bekas Perdana Menteri dimuatkan dalam buku ini.

Kebanyakan resipi itu juga pernah dihidangkan di kediaman keluarga-keluarga tokoh negara berkenaan.

Daripada pengalaman Kak Orkid, Almarhum Tunku Abdul Rahman mengakui beliau suka dikenali sebagai Perdana Menteri yang gembira. Ia dijelaskan dengan kelazimannya berkumpul bersama ahli keluarga dan kerabat serta sahabat handai.

Tunku Abdul Rahman yang pandai memasak makanan Barat seperti daging panggang bagaimanapun lebih menggemari sambal belacan dan ulam-ulaman.

Selera beliau turut dibawa ke dalam gaya pemerintahannya yang begitu menitikberatkan kehidupan harmoni antara kaum sebagai langkah awal membina negara Malaysia.

Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein pula memiliki cita rasa desa dan menyenangi tradisi Melayu.

Menghidang

Pada eranya, baik untuk kalangan keluarga, sahabat handai mahupun tetamu negara, kaedah makan dan menghidang adalah dalam gaya tradisi Melayu iaitu dengan menyediakan sebuah mangkuk cuci tangan untuk setiap orang.

Seleranya yang menyenangi hidangan desa membayangkan betapa dekatnya jiwa beliau dengan masyarakat luar bandar dan tidak hairanlah agenda membela nasib rakyat marhaen menjadi keutamaan semasa pemerintahan beliau.

Allahyarham Tun Hussein Onn pula biarpun terdedah dengan etika dan protokol kehidupan Barat sejak kecil bagaimanapun menggemari masakan tradisi Melayu di samping masakan yang mempunyai pengaruh Asia Barat.

Penataan hidangan dengan gaya formal mencerminkan peribadi beliau yang begitu mementingkan disiplin dan dengan sikap itulah setiap agenda pembangunan khususnya aspek keselamatan dan perpaduan negara digerakkan.

Perdana Menteri keempat iaitu Tun Dr. Mahathir pula menggemari masakan berasaskan daging yang dipercayai dapat mempertajamkan minda serta sumber dorongan beliau sepanjang lebih dua dekad memodenkan negara.

Selera Perdana turut memuatkan beberapa menu masakan yang menjadi kegemaran bekas Perdana Menteri yang sebahagian besar daripadanya bukan lagi menjadi menu harian rakyat di negara ini.

Bukan sesuatu yang pelik hari ini apabila generasi muda tidak lagi mengenali juadah seperti halwa maskat, agar-agar sakar, wajik sirat, kacau labu atau keledek, nasi pilau dan nasi ulam, jauh sekali memiliki kemahiran untuk memasak sendiri.

Justeru usaha membukukan resipi masakan tradisional dan warisan ini seharusnya mendapat pujian dan ia pastinya lebih dihargai apabila juadah itu merupakan kegemaran bekas pemimpin terulung negara.

Seperkara yang tidak boleh dielakkan apabila menyentuh mengenai usaha murni menerbitkan buku berbentuk sejarah dan warisan ini adalah penglibatan bekas Menteri Kebajikan Masyarakat Tun Fatimah Hashim.

Seperti kata penulis buku ini Habibah Yahaya dan Fadillah Yakin, Tun Fatimah memainkan peranan yang sangat besar dalam menyuntik semangat sehingga membolehkan buku ini disiapkan di sebalik pelbagai rintangan dan cabaran yang didepani.

Tun Fatimah yang cukup terkenal dengan kerja-kerja amal dan kemasyarakatan sepanjang hidupnya turut menerajui usaha yang sama dalam penerbitan buku ini apabila menjadi pengerusi dan penaung projek amal Penerbitan Buku Selera Perdana.

Menerusi projek itu, keuntungan daripada penjualan buku Selera Perdana yang setakat ini sudah dicetak sebanyak 3,000 naskhah akan disalurkan untuk membantu anak-anak yatim dan anak-anak ibu tunggal dari kawasan perumahan kos rendah dan sederhana di sekitar Bangsar.

Tajuk: Selera Perdana

Penulis: Datin Habibah Yahaya

dan Fadillah Yakin

Harga: RM200

Halaman: 296

Pengulas: MOHD. KHUZAIRI ISMAIL

Pengurusan sekolah dipersoal


ADAKAH sesuatu institusi itu berhak mengganggu ketenteraman penduduk setempat? Atau, adakah masalah sebenar, dalam keadaan begini, kejahilan sesetengah pihak tentang keagungan hak individu yang mengatasi kepentingan bersama masyarakat?

Masalah di sini berkisar sekitar tidak peduli sebuah Sekolah Menengah Kebangsaan di Jalan Hulu Langat yang selain menyebabkan kesesakan lalu lintas setiap hari, juga menggunakan sistem pembesar suara pada setiap hari persekolahan.

Kesesakan itu boleh dielak oleh penduduk setempat dengan tidak menggunakan jalan berkenaan pada waktu-waktu tertentu.

Hal kedua juga tidak menjadi masalah jika pihak sekolah menghormati ketenteraman tetangga dan persekitaran. Tetapi oleh kerana kejahilan pentadbir sekolah, sistem pembesar suara diguna pada tahap volume yang tinggi dan inilah yang menjadikannya satu masalah yang tidak boleh dihindari.

Selain pencemaran bunyi yang paling mengganggu adalah sikap separuh guru yang langsung tidak menyenangkan. Suara tinggi membentak, terjerit-jerit marahkan murid-murid adalah amat tidak wajar.

Paling tidak menyenangkan juga adalah bahasa yang digunakan oleh mereka ini; seringnya bahasa pasar, lagi kasar. Sepertinya, mereka ini tidak layak mendidik minda muda yang masih sedang dibentuk!

Yang lagi membimbangkan adalah sikap mereka ini yang membingungkan saya. Apa mereka tidak mengerti bahawa adanya sekolah ini di tengah-tengah perkampungan agak padat jelas akan mewarnakan penduduk-penduduk setempat terhadap mereka? Tidakkah mereka mempunyai harga diri yang menuntut supaya tindak-tanduk mereka mengharumkan nama mereka dan bukan sebaliknya?

Tanggungjawab

Inilah yang menjadi tanda tanya sebenar bagi saya: Adakah para pentadbir dan para guru sekolah benar-benar berwibawa menjalankan tanggungjawab mereka? Adakah nilai-nilai kemasyarakatan yang murni diajar kepada murid-murid sekolah ini?

Adalah agak sukar diterima akal jika yang mengatur dasar sekolah sendiri, yang tidak memahami peraturan hidup bermasyarakat, mampu memberi generasi muda kita pendidikan yang mereka perlukan. Kesosialan beginilah yang menjadikan penuntut Malaysia, terutamanya anak-anak Melayu, kekok bergaul apabila di seberang laut dan dengan itu tidak mendapat manfaat sepenuhnya daripada pengalaman merantau, satu unsur tradisi Melayu lama yang amat berharga.

Dengan ini, adalah menjadi tanggungjawab kita bersama untuk memperbetulkan kecelaan pada sistem persekolahan negara ini kerana manalah kita tahu berapa sekolah di negara ini mempunyai tadbir urus yang begini tidak sempurna.

– WARGA DITINDAS KEJAHILAN.

18 Januari 2008

Syed Mokhtar model jutawan pemurah


Oleh Mohamad Sofee Razak

PEMILIHAN Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhari, personaliti dan ikon unggul dunia korporat negara sebagai Tokoh Maal Hijrah 1429 tahun ini adalah pemilihan bijak dan kena pada masanya.

Walaupun ada persepsi bahawa anugerah berprestij itu layak diberikan hanya kepada tokoh agama, tanggapan seperti ini tidak tepat kerana Islam itu bukan hanya bersifat ritual semata-mata, malah satu cara serta gaya hidup yang lengkap, syumul dan holistik.

Beliau menerima anugerah Tokoh Maal Hijrah 1429 daripada Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) baru-baru ini.


Syed Mokhtar antara manusia terkaya di Asia dan anak Melayu terkaya di negara ini. Syed Mokhtar yang berasal daripada sebuah keluarga Arab Hadhrami kurang berkemampuan di Alor Star kini memiliki harta bernilai RM4.16 bilion seperti dilaporkan dalam Senarai Bilionaire Dunia Forbes 2007.

Kekayaan beliau tidak dijadikan milik peribadi bahkan dikongsikan dan diwakafkan kepada seluruh umat Islam di Malaysia dan seluruh dunia.

Seawal usia 25 tahun, Syed Mokhtar sudah menyumbang separuh daripada gaji RM1,500 yang diterima kepada 15 keluarga miskin, manakala bakinya digunakan untuk membiayai persekolahan adiknya.

Pesanan ibunya, Sharifah Rokiah Syed Mohamed Rahmat supaya menyerahkan separuh daripada pendapatan yang diterima setiap bulan kepada fakir miskin, kekal menjadi azimat dan pegangan hidupnya sehingga kini.

Walaupun sudah lebih 30 tahun berlalu, 15 keluarga terbabit masih menerima bantuan daripada Syed Mokhtar, selain beberapa keluarga baru dipilih menggantikan mereka yang sudah meninggal dunia.

Syed Mokhtar berkata, kerajaan memberi bantuan kewangan kepadanya ketika mula-mula berniaga serta mahu membalasnya dengan menolong golongan susah, termasuk membina masjid dan membiayai kos mengerjakan ibadat haji.

Nama beliau begitu dekat di hati orang miskin, fakir, anak yatim dan orang kurang upaya (OKU) di negara kita oleh kerana sifat pemurah dan penyayangnya kepada golongan terbabit. Beliau sanggup melakukan apa saja untuk mengeluarkan golongan tidak bernasib baik ini daripada belenggu kemiskinan, kebuluran, buta huruf dan kesengsaraan di mana saja mereka berada sehinggalah beliau menubuhkan sebuah yayasan khas untuk tujuan murni itu.

Beliau menubuhkan Yayasan Albukhary pada 1996 sebagai sayap kerja kebajikan dan menyalurkan dana bagi kerja amal yang kini berkembang sebagai entiti amal global dan aktif dalam penubuhan serta pembiayaan Muzium Kesenian Islam Malaysia dan Program Biasiswa Albukhary.

Sejarah awal beliau bukanlah datang daripada keluarga yang senang, tetapi mampu bangkit dan berjaya memecah tembok kemiskinan keluarganya untuk muncul sebagai manusia paling berpengaruh di dunia korporat di negara kita.

Sehingga 2006, yayasan ditubuhkannya sudah menyumbang hampir RM1 bilion secara langsung kepada usaha kebajikan, termasuk menyertai proses membina semula kehidupan pelarian Afghanistan, bantuan mangsa gempa di Pakistan dan Iran serta mangsa bencana tsunami di Aceh, Indonesia.

Selain itu, yayasan beliau juga sedang berusaha menubuhkan sebuah hospital Aids di Uganda bagi membantu kanak-kanak jalanan di Afrika dan merintis program bantuan kemanusiaan bagi mangsa perang di Iraq dan Lubnan.

Bermula dengan perniagaan lembu dan beras, kini tidak satu pun sektor penting yang menjadi injap ekonomi negara yang tidak diceburi gergasi korporat ini meliputi sektor pembinaan, ICT, import eksport, cari gali minyak, perbankan Islam, perhotelan, automotif dan sebagainya sama ada di dalam dan luar negara.

Syarikat Kumpulan Albukhary yang dibangunkannya juga terbabit dalam beberapa industri utama negara antaranya pengangkutan, logistik, utiliti, pertahanan, makanan dan kewangan.

Aspirasi dan manifestasi hijrah meletakkannya berada di kedudukan sekarang dan beliau tidak lagi menoleh ke belakang ditelan sejarah lama, bahkan terus memecut kerjaya korporatnya dan tidak mustahil beliau bakal menjadi manusia terkaya di Malaysia suatu hari nanti.

Menelusuri sejarah kejayaan dan sumbangan beliau mengingatkan kita kepada sirah sahabat jutawan seperti Uthman Ibnu Affan dan Abdul Rahman Bin Auf yang memperhambakan diri dan kekayaan mereka seluruhnya kepada Islam dan umat Islam.

Kekayaan dan kemewahan tidak menjadikan mereka lupa diri, bongkak dan hilang rasa hormat kepada orang miskin, bahkan seluruh kekayaan mereka diwakafkan kepada pembangunan dan kebajikan Islam.

Realiti inilah yang berlaku kepada tokoh yang bernama Syed Mokhtar Al-Bukhari ini dan beliau menggunakan segala kekayaannya untuk membina rumah anak yatim dan fakir, rumah perlindungan kepada orang tidak bernasib baik, institusi khas untuk golongan OKU, membina institusi pendidikan khas kepada anak miskin melalui pembiayaan biasiswa, tuisyen percuma dan pelbagai lagi yang benar-benar memberi manfaat kepada pembangunan Islam di negara kita.

Kesedaran tinggi mengenai keperluan menguasai ilmu mendorong beliau membantu hampir 22,000 pelajar daripada kalangan mereka yang kurang berkemampuan mengikuti tuisyen dalam subjek Sains, Matematik dan bahasa Inggeris sejak empat tahun lalu.

Setakat ini, seramai 372 pelajar dari 47 negara minoriti Islam yang belajar di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) ditaja sepenuhnya oleh Yayasan Albukhary. Prinsip berbakti selagi hidup yang disemai ibu bapanya sejak kecil terus mendorong Syed Mokhtar mengumpul harta dan berkongsi rezeki bersama insan yang memerlukan bukan saja di Malaysia, malah di seluruh dunia.

"Sejak kecil jiwa saya dibentuk kedua-dua orang tua, terutama ibu untuk sentiasa membantu golongan susah yang memerlukan. Saya sendiri tidak berpeluang melanjutkan pelajaran selepas Tingkatan Lima berikutan kesempitan hidup.

"Saya fikir peluang itu (belajar) perlu diberikan kepada orang lain yang tidak mampu," katanya yang kali pertama berkongsi kisah suka duka dan rahsia kejayaan kepada media tempatan baru-baru ini.

Pemilihan beliau sebagai Tokoh Maal Hijrah 1429 dan siri kejayaan serta kecemerlangan beliau sewajarnya menjadi motivasi dan inspirasi kepada rakyat Malaysia. Beliau membuktikan bahawa apa saja yang dihajati boleh diperoleh sekiranya kuat bekerja, tawakal dan berdoa kepada Allah di samping mengaplikasikan segala keistimewaan dan kebijaksanaan dikurniakan Allah serta bukannya bergantung kepada nasib dan takdir semata-mata.

Pemilihannya sebagai Tokoh Maal Hijrah tahun ini kerana kejayaan beliau yang dianggap luar biasa, selain kebijaksanaan menjalankan perniagaan serta sifat kemanusiaan yang menjadi kebanggaan rakyat Malaysia dan umat Islam di seluruh dunia.

Penulis, lulusan Sarjana Komunikasi Massa dan Sarjana Muda Undang-undang UiTM kini berkhidmat sebagai peguam bela dan peguam cara