Maju Melayu Perkasa!

07 Februari 2008

Mohd Salleh Perang arkitek pembangunan Johor


Oleh Mohd Azis Ngah dan Mohd Roji Abdullah


MOHD SALLEH PERANG orang yang bertanggungjawab membuka Batu Pahat.

Peta dilukis Datuk Bentara Luar dianggap yang pertama dan paling lengkap bagi sebuah negeri di Tanah Melayu

JIKA menjejakkan kaki ke Batu Pahat, Johor pasti terjumpa Masjid Jamek Datuk Bentara Luar, Jalan Mohd Salleh dan Sekolah Menengah Datuk Bentara Luar.

Siapakah sebenarnya Datuk Bentara Luar atau Mohd Salleh sehinggakan namanya diabadikan di merata tempat di Batu Pahat dan dikenang sehingga sekarang.


Beliau ialah Datuk Mohd Salleh Perang yang diberi gelaran Datuk Bentara Luar iaitu seorang tokoh besar yang banyak berjasa kepada negeri Johor seperti mencipta peta lengkap negeri Johor dan membuka bandar Batu Pahat.

Mohd Salleh adalah birokrat Johor yang bertanggungjawab dalam bidang tanah dan perladangan gambir dan lada hitam. Selaku Ketua Jabatan Tanah dan Ukur Negeri, beliau membuat peta negeri yang lengkap bertulisan jawi.

Tindakan pertamanya adalah melukis sebuah peta pembangunan negeri Johor yang menunjukkan semua jalan dan bandar yang akan dimajukan atau dibina di seluruh negeri Johor. Ia menunjukkan bentuk muka bumi dan semua daerah di Johor.



Peta yang dilukis dianggap yang pertama sekali dan paling lengkap bagi sebuah negeri di Tanah Melayu.

Kemahiran beliau berbahasa Cina dan tahu selok belok adat resam Cina membolehkan beliau mempunyai hubungan yang rapat dengan Sistem Kangchu Cina. Beliau mengiringi Sultan melawat negeri China pada 1880-an.

Pada 4 November 1893, Mohd Salleh yang tinggal di Kampung Senangar, dipanggil ke Johor Bahru mengadap Sultan Abu Bakar dan seminggu kemudian pada 11 November, beliau dititah Sultan Abu Bakar untuk membuka Batu Pahat dan membangunkan kawasan berkenaan.

Ketika itu, Batu Pahat adalah sebuah penempatan kecil yang dibuka oleh orang kenamaan termasuk penghulu dan ketua kampung.

Batu Pahat yang terletak di kawasan Simpang Kanan, kira-kira tujuh batu dari kuala Sungai Batu Pahat dikenali ketika itu sebagai 'Pulau Kundur'.

Namun beliau memulakan usaha bagi membangun bandar itu dan menyediakan kemudahan jalan serta pejabat kerajaan, dengan sistem pentadbiran moden.

Pembukaan rasmi Batu Pahat diadakan pada 1 Januari 1894 oleh Mohd Salleh sendiri dengan dihadiri oleh Orang Kaya, penghulu dan orang kenamaan tempatan. Bandar itu mula berkembang maju di bawah Mohd Salleh yang menjadi wakil Raja memerintah Batu Pahat.

Beliau kemudian menjadi Pesuruhjaya Kerajaan dan menggalakkan orang kampung membuka kebun dan membuat parit tali air.

Pada masa sama, pelabur asing mula datang membuka kebun, ladang serta berniaga di Batu Pahat. Kebolehan Mohd Salleh berbahasa Cina menyebabkan beliau disukai orang Cina serta faktor yang membawa kemajuan ekonomi dan harmoni kepada masyarakat setempat.

Kejayaan beliau dalam pentadbiran Batu Pahat diakui oleh Pesuruhjaya Besar Johor, Ungku Sulaiman Daud ketika dalam rangka lawatan tugas Ungku di Batu Pahat pada 21 Disember 1896.

Apabila Sultan Abu Bakar mangkat, berlaku perubahan pemerintahan apabila Kerajaan British mula memperluaskan pengaruh. Sedikit demi sedikit penasihat di semua daerah Johor mula dipecat terutama orang Melayu yang berkebolehan dalam pentadbiran dan pembangunan.

Setiausaha Kehormat, Persatuan Sejarah Malaysia Kawasan Batu Pahat, Abdullah Datuk Mohd Noor, berkata Jalan Mohd Salleh ialah lokasi paling awal mengabadikan nama tokoh birokrat Melayu Johor itu.

Katanya, pada 1911, Pesuruhjaya Lembaga Bandar Batu Pahat mencadangkan semua jalan di bandar itu diberi nama sempena tokoh Melayu yang banyak berjasa kepada negeri Johor sebagai mengenangkan sumbangan mereka membangunkan kawasan berkenaan.

"Sebenarnya beliau meminta supaya nama sebenarnya dijadikan sebagai nama jalan itu bukannya nama yang lebih dikenali sebagai Datuk Bentara Luar seperti yang dicadangkan sebelum itu," katanya.

Selain Jalan Mohd Salleh, sebuah sekolah di Batu Pahat diberi nama Sekolah Menengah Datuk Bentara Luar serta mercu tanda Batu Pahat iaitu Masjid Jamek Datuk Bentara Luar, yang dikenal pasti antara masjid tertua di bandar itu.

Sebelum ini, Masjid Jamek Datuk Bentara Luar dikenali sebagai Masjid Jamek Bandar Penggaram, bagaimanapun atas titah Sultan Johor, Sultan Iskandar, pada 3 Oktober 1996, nama masjid berkenaan ditukar secara rasmi.

"Sultan bertitah mahukan nama tokoh yang banyak berjasa kepada negeri Johor khususnya Batu Pahat diabadikan pada masjid berkenaan.

"Sumbangan Mohd Salleh membuka bandar Batu Pahat lebih 100 tahun lalu menjadi kebanggaan masyarakat di sini dan sewajarnya lebih banyak tempat mengabadikan nama beliau," katanya.

FAKTA: Datuk Mohd Salleh Perang

  • Dilahirkan pada 1841 dan meninggal dunia pada Jumaat, 21 Julai 1915 (jam 6.15 petang). Beliau dikebumikan di Tanah Perkuburan Mahmoodiah, Johor Bahru.

  • Memegang jawatan penting pada 1856 hingga 1912 dalam pentadbiran kerajaan Johor. Tugas utama beliau adalah merancang pembangunan negeri Johor.

  • Bertanggungjawab membangunkan pusat bandar seperti Bandar Maharani (1888) dan Bandar Penggaram (1893),

  • Menjadi Pesuruhjaya Kerajaan bagi dua wilayah Johor itu sebelum dipanggil semula bertugas di Johor Bahru.

  • Dianggap sebagai arkitek dan perancang pembangunan negeri Johor.

  • Kerjaya beliau bermula dengan jawatan Pesuruhjaya Polis Negeri, dan berakhir sebagai ahli Dewan Negeri dan juga ahli Jemaah Menteri.

  • Persatuan Sejarah Malaysia Kawasan Batu Pahat pernah mengemukakan cadangan supaya sebatang jalan utama di Batu Pahat diberi nama Jalan Bentara Luar kerana jarak Jalan Mohd Salleh yang ada terlalu pendek.

  • Mohd Salleh Perang sendiri pernah meminta Lembaga Bandar Batu Pahat supaya nama jalan yang dicadangkan diambil sempena nama beliau hanya diletakkan nama sebenarnya bukan jawatannya.
  • Abdullah Hukum dari pedagang jadi pembesar


    Oleh Mohd Azis Ngah


    ABDULLAH Hukum antara pembesar Melayu yang disegani di Kuala Lumpur.

    Sultan Selangor lantik Abdullah Ketua Masyarakat Kuala Lumpur

    KAMPUNG Hj Abdullah Hukum, Jalan Haji Abdullah Hukum di Bangsar dan yang terbaru, Apartmen Haji Abdullah Hukum adalah antara tempat yang diambil sempena nama Haji Abdullah Hukum.

    Siapakah sebenarnya Haji Abdullah Hukum? Tentu ramai generasi muda yang tidak mengetahui nama tokoh besar ini dalam sejarah tanah air dan kaitannya dengan Kuala Lumpur dan Selangor.


    Nama sebenar Haji Abdullah Hukum ialah Muhammad Rukun. Beliau kemudian digelar mengikut adat sebagai Arya Jaya. Ketika menunaikan fardu Haji ke Makkah dan berada di Padang Arafah, beliau digelar sebagai Haji Abdullah Hukum.

    Nama itu terus kekal hingga ke akhir hayatnya dan digunakan sehingga sekarang. Tokoh besar ini dilahirkan pada 1835 dan meninggal dunia sekitar tahun 1930-an ketika berusia kira-kira 100 tahun.

    Ayahnya dikenali sebagai Sekancing yang bermakna ‘kunci pintu’ dan bergelar Tuk Pangku. Nama ayahnya kemudian ditukar kepada Haji Abdul Rahim, juga ketika berada di Padang Arafah, Makkah.

    RUMAH asal Abdullah Hukum di Kampung Haji Abdullah Hukum.

    Haji Abdullah Hukum berketurunan suku kaum Kerinci dan berasal dari kariah Sungai Abu, jajahan Sungai Penoh di Kerinchi, Sumatera, Indonesia.

    Beliau datang berdagang bersama ayahnya ke Tanah Melayu pada 1850 ketika berumur 15 tahun. Mereka singgah di Melaka selama tiga malam dan menumpang di rumah Datuk Dagang Haji Said, bapa mentua kepada Tambi Abdullah yang juga seorang hartawan di Kuala Lumpur.

    Dari Melaka mereka belayar menuju ke Pengkalan Kempas dan dari situ Abdullah Hukum mengambil upah menggalas kain daripada seorang saudagar kain keturunan Kerinci, iaitu Haji Abdul Rahim untuk pergi ke Sungai Ujong.

    Mereka tinggal di situ selama lapan hari dan disebabkan tiada pekerjaan yang sesuai, mereka mengikut rombongan orang menggalas kain pergi ke Kuala Lumpur kerana di situ dikatakan banyak pekerjaan seperti bertanam sayur dan mendulang bijih timah.

    PAPAN tanda ke Kampung Haji Abdullah Hukum di Lembah Pantai.

    Abdullah Hukum menetap di Selangor selama lebih 85 tahun, iaitu sejak berumur 24 tahun di bawah kerajaan Melayu (1850-1874) dan 61 tahun di bawah pemerintahan kerajaan kolonial British (1874-1930-an).

    Menurut catatan riwayatnya, Abdullah Hukum tinggal lama di Tanah Melayu dan hidup di dua zaman yang berlainan iaitu lebih dua dekad di zaman ‘keris dan pemuras’ di bawah pemerintahan kerajaan Melayu dan lebih enam dekad selanjutnya di bawah pemerintahan kolonial British.

    Ketika Abdullah Hukum tiba di Kuala Lumpur, beliau menumpang tinggal di rumah Haji Abdul Ghani, orang Air Bangis (Minangkabau) yang berniaga di satu lorong yang dikenali sebagai Java Street.

    Sungguhpun Kuala Lumpur menjadi semakin maju dan berkembang pesat selepas campur tangan British pada 1875, penduduk Melayu yang berjaya untuk berkongsi kemajuan awal Kuala Lumpur sejak 1850-an mula tersisih daripada arus pembangunannya.

    Ketika itu, Abdullah mendapat kebenaran membuka kebun di Bukit Nenas dan membuka kawasan perkampungan Sungai Putih, (sekarang Jalan Bangsar). Beliau akhirnya menetap di Sungai Putih, iaitu di kampung yang kini dikenali sebagai Kampung Haji Abdullah Hukum.

    Abdullah kemudian dilantik sebagai seorang daripada ketua masyarakat di Kuala Lumpur dengan gelaran Tuk Dagang Dianjuk. Apabila umurnya meningkat hampir 80 tahun (1912) beliau memohon bersara dari jawatan ketua itu dan mendapat pencen daripada kerajaan.

    Abdullah bersama Raja Bilah ialah pembesar bagi masyarakat Kuala Lumpur ketika itu bertugas mengutip hasil dagangan yang lalu lintas melalui Sungai Klang atau Sungai Gombak. Cukai timah ialah seringgit sebahara (tiga pikul).

    Beliau dikatakan terbabit secara langsung dalam pembangunan Kuala Lumpur, misalnya beliau adalah ketua yang membuka kawasan Pudu-Bukit Bintang dan membuka kebun di Bukit Nenas, selain kawasan Sungai Putih. Pada hari ini Sungai Putih dikenali sebagai Jalan Bangsar.

    Di sekitar kawasan Sungai Putih ada sebuah kampung Melayu dinamakan Kampung Haji Abdullah Hukum sempena nama beliau. Abdullah yang juga digelar Arya Jaya mengikut adat, pernah dilantik Sultan Selangor, Sultan Abdul Samad sebagai Ketua Masyarakat Kuala Lumpur dengan gelaran Tuk Dagang Dianjuk.

    Sejak Kuala Lumpur dibuka hingga 1890-an, Bukit Nenas adalah pusat kuasa bagi masyarakat Melayu kerana wakil Sultan menetap di situ. Jika terdapat sebarang keramaian tradisional seperti sempena pelantikan ketua atau pembesar masyarakat Melayu, ia akan diadakan di Bukit Nenas.

    Antaranya sempena pelantikan Tuk Alam Setapak, Tuk Bela Sungai Cantik, Imam Perang Muhammad Arif, Raja Utih dan Tuk Dagang Dianjak (Haji Abdullah Hukum sendiri), di mana satu keramaian diadakan selama tujuh hari tujuh malam menurut adat keramaian zaman dulu.

    Cucu Abdullah, Esah Hassan, 71, ketika ditemui Berita Minggu menjelaskan, arwah datuknya seorang yang sangat tegap, berbadan besar, tinggi dan berkulit cerah.

    “Ketika umur saya 10 tahun, saya masih ingat atuk hanya duduk terbaring di rumah, dia sakit tua selama beberapa tahun. Emak saya cakap atuk menghidap penyakit bisul di tengkuk, katanya sakit orang kaya.

    “Saya pun tak ambil kisah sangat hal itu sebab masih kanak-kanak. Apa yang saya tahu dia memang sakit lama dan selepas beberapa tahun meninggal dunia di rumah emak saudara saya. Sekarang rumah itu saya tinggal bersama suami, Muhamad Amir Mahmud, 75,” katanya.

    Esah dan Muhamad Amir adalah sepupu dan kini masih tinggal bersebelahan rumah asal yang dibina Abdullah di Kampung Haji Abdullah Hukum. Rumah yang mempunyai 18 tiang itu dikatakan dibina sejak lebih 100 tahun lalu dan masih kukuh sehingga sekarang.

    Tangga batu rumah itu juga dibina berdasarkan ciri rumah orang Melaka, dipercayai mengikut cita rasa isterinya, Zainab Ismail yang berasal dari Melaka.

    Ketika kawasan perumahan di kampung itu dirobohkan untuk tujuan pembangunan, keluarga Abdullah merayu agar rumah tinggalan pengasas kampung itu dipelihara dan dikekalkan sebagai warisan sejarah yang boleh dikunjungi generasi akan datang.

    “Kami akur diarah berpindah atas nama kemajuan dan tak kisah jika rumah kami dirobohkan. Cuma kami minta kerajaan jangan robohkan rumah pusaka bersejarah ini untuk tatapan akan datang,” katanya.

    Fakta: Abdullah Hukum

  • Mengambil upah membuat tali air di Segambut (Batu Lima di Setapak) bekerja dengan Sutan Puasa.

  • Mendulang di Setapak.

  • Petani dan kontraktor membina batas untuk Raja Bilah.

  • Menjadi juak-juak (orang yang mengiringi Raja atau membawa alat kebesaran) kepada seorang pembesar Selangor, Raja Mahmud Tengku Panglima Raja .

  • Memainkan peranan penting dan terbabit dalam beberapa peperangan di Selangor sehingga 1870-an.

  • Peniaga kain di Semenyih.

  • Membuka tanah dan perkampungan di Pudu dengan perkenan Raja Laut yang ketika itu menjadi Raja Muda Selangor. Beliau diangkat menjadi Penghulu Masjid di Pudu oleh Raja Laut.

  • Menjadi nakhoda mengambil upah membawa beras dari Kelang ke Kuala Lumpur dengan perahu dan membeli kerbau dari Pahang dan Dungun di Terengganu untuk diniagakan di Kuala Lumpur.
  • Muzium Adat tonjol budaya kita



    KeKKWakomited kekal kesinambungan bangsa untuk tatapan generasi muda

    PEPATAH Melayu menyebut 'Adat itu jika tidur menjadi tilam, jika berjalan menjadi payung, jika di laut menjadi perahu, jika di tanah menjadi pusaka'. Itu menunjukkan adat adalah satu institusi yang penting. Tanda pentingnya sehingga ada yang mengatakan: ‘Biar mati anak daripada mati adat’ dan ‘mati anak gempar sekampung, mati adat gempar sebangsa’.

    Pada zaman globalisasi ini, adat semakin terabai dan diketepikan. Ia disebabkan tiada usaha untuk menjaga dan menghargainya, terutama mendedahkan adat kepada golongan muda.


    Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan (KeKKWa) menyedari pentingnya adat. Akhirnya dengan cetusan idea Menterinya, Datuk Seri Dr Rais Yatim, Muzium Adat tersergam indah di Kuala Klawang, Jelebu, kira-kira 36 kilometer dari Seremban.

    Muzium Adat yang diletak di bawah kelolaan Jabatan Muzium Malaysia adalah yang pertama seumpamanya di negara ini memberi tumpuan terhadap aspek kehidupan masyarakat Malaysia atau dikenali sebagai adat.

    Dr Rais merasmikan Muzium Adat itu, hari ini. Muzium itu mula dibina pada 2005 dan menjadi tempat menghimpunkan adat daripada pelbagai etnik di Malaysia. Muzium itu dibuka setiap hari kecuali Hari Raya Puasa dan Haji. Masuk adalah percuma.

    Sesuai dengan lokasinya di Negeri Sembilan sebagai ‘Tanah Beradat’, muzium itu menyediakan satu segmen khusus mengenai Adat Perpatih bagi menonjolkan Negeri Sembilan sebagai sebuah negeri yang mengamalkan Adat Perpatih.

    Sebenarnya, adat bukanlah peraturan yang bertulis, tidak juga terjadi atas perundingan dan muafakat, tetapi seperti yang dikatakan Dr Nordin Selat: ‘Adat itu adalah peraturan hidup di dunia. Yang menjadi tujuan adat ialah untuk kebaikan’.

    Adat ini diterjemahkan kepada umum menerusi artifak yang mempamerkan adat, teknik persembahan, termasuk audio visual dan jalan cerita mengenainya. Selain itu, koleksi buku mengenai adat pelbagai etnik di negara ini juga disediakan untuk bacaan pengunjung.

    Dengan mengambil alih bangunan Umno Bahagian Jelebu, Muzium Adat mempunyai empat galeri pameran, iaitu;

    l Galeri Pertama: Memberi tumpuan kepada pengenalan dan konsep adat di Malaysia. Ia meliputi sejarah awal tercetusnya adat terbesar di Alam Melayu iaitu Adat Perpatih dan Adat Temenggong menerusi replika Batu Batikam dan Batu Baling. Pada galeri itu juga disertakan peralatan upacara adat serta pakaian adat daripada pelbagai kaum di Malaysia.

    l Galeri Kedua: Mempamerkan adat yang dikaitkan dengan kitaran hidup manusia termasuk kelahiran, perkahwinan, kematian dan kegiatan ekonomi serta amalan seperti bobohizan, adat turun perahu, perubatan tradisional dan menifastasi adat menerusi peralatan muzik.

    l Galeri Ketiga: Orang ramai yang mengunjungi muzium akan dapat melihat kegiatan intelektual di istana dan rakyat dengan mempamerkan artifak seperti manuskrip daripada Sejarah Melayu, Batu Bersurat Terengganu serta cerita rakyat.

    Selain itu, pada aras berkenaan turut mempamerkan adat yang dikaitkan dengan kedaulatan dan kekuasaan Raja-Raja Melayu menerusi artifak seperti keris kuasa, tengkolok, singgahsana Yang di-Pertuan Agong Pertama serta amalan undang-undang adat di Sarawak yang diamalkan suku kaum Iban.

    l Galeri Keempat: Mempamerkan segmen khusus mengenai Adat Perpatih secara historikal yang bermula dari Sumatera (Alam Minangkabau) sehingga bertapak di Negeri Sembilan yang disokong dengan artifak.

    Selain itu, pada segmen ini turut memperlihatkan keutuhan Adat Perpatih dari sudut struktur sosial seperti Datuk Berlapan, peranan Ibo Soko yang dimanifestasikan menerusi diorama dan artifak. Segmen Adat Perpatih turut menonjolkan sistem tanah adat serta simbol ritual menerusi replika Batu Megalith, Pengkalan Kempas.

    Muzium ini juga memiliki pusat sumber yang antara lain mengandungi koleksi buku mengenai adat pelbagai etnik di Malaysia. Pada masa sama, muzium ini akan menyokong penyelidikan berterusan akan dilakukan oleh kurator muzium dengan pihak berminat.

    Jadi, pastikan Muzium Adat dimasukkan dalam kalendar yang harus dikunjungi, terutama rombongan pelajar sekolah dan seisi keluarga ketika bertandang ke Negeri Sembilan.

    Rencana disediakan Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan (KeKKWa)