Maju Melayu Perkasa!

29 April 2008

Kontraktor perlu bijak tangani masalah kenaikan bahan binaan


Oleh SYED RIDZUWAN SYED ISMAIL

KANGAR 26 April - Menteri Besar Perlis, Datuk Dr. Md. Isa Sabu menasihatkan kontraktor pembinaan menangani masalah kenaikan harga bahan binaan termasuk besi dan keluli secara bijaksana supaya perniagaan dapat diteruskan.

Beliau berkata, antara jalan penyelesaian ialah menjalin hubungan yang rapat dan baik dengan para pengeluar serta pembekal bahan binaan.

Katanya, usaha meminimumkan kos projek juga boleh dilakukan tanpa mengurangkan mutu kerja bagi sesebuah projek.

"Saya sedar kenaikan bahan tersebut di pasaran memberikan tekanan kepada kontraktor tetapi ini tidak seharusnya dijadikan alasan untuk mereka mengaku kalah dalam mengusahakan bidang ini," katanya di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis perasmian Mesyuarat Agung Perwakilan Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) cawangan Perlis di sini hari ini.

Terdahulu ketika berucap pada majlis yang sama, Yang Dipertua DPMM cawangan Perlis, Fauzi Hassan memberitahu, kenaikan harga bahan binaan yang keterlaluan dan kesukaran mendapatkan bekalan bahan binaan merupakan cabaran yang terpaksa dihadapi kontraktor kebelakangan ini.

Masalah itu juga, menurutnya, memberi tekanan kepada para kontraktor yang perlu menyiapkan sesebuah projek mengikut masa yang telah ditetapkan.

"Bagi memastikan sesuatu projek yang diberikan siap mengikut jadual, kontraktor perlu bijak mengurus masa agar sesuatu masalah dapat diatasi.

"Orang yang bijak menguruskan masa akan lebih mudah melaksanakan tugasnya dengan lebih berkesan," kata Md. Isa.

Perluas konsep makanan halal


Oleh ANGELINA SINYANG

IPOH 27 April - Pengertian tentang konsep makanan halal tidak wajar disempitkan hanya untuk memenuhi keperluan orang Islam se- mata-mata.

Sebaliknya, ia perlu diperluas dan dipromosikan sebagai makanan yang bersih, suci, berkhasiat dan mempunyai harga berpatutan agar semua golongan masyarakat mampu menikmatinya.

Presiden Persatuan Cina Muslim Malaysia (Macma), Datuk Mustapha Ma berkata, pengertian konsep yang lebih luas itu adalah selaras konsep global dalam ajaran Islam.

Beliau berkata, konsep makanan halal yang dipromosikan sekarang agak memalukan kerana menyempitkan fikiran apabila pasarannya hanya dikhususkan untuk orang Islam sedangkan ia sepatutnya perlu dipromosikan kepada orang bukan Islam tempatan dan global.

''Konsep halal seharusnya dilihat sebagai makanan menyelerakan, suci, berkhasiat, disediakan dalam persekitaran bersih, dijual pada harga berpatutan serta jualan dengan jujur dan ikhlas.

''Jika ada produk 20 gram dijual dengan kadar harga ditetapkan tetapi dikurangkan kepada 15 gram dengan harga sama, ia sudah menjadi produk tidak halal," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis perasmian Mesyuarat Agung Tahunan Ke-14 Macma yang disempurnakan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin di Institut Tabdiran Islam (INTIM) di sini hari ini.

Ketika ini, katanya, ramai keluarga Cina tidak dapat menerima ahli keluarga mereka memeluk Islam berbanding agama lain kerana mereka menganggap pertukaran kepada Islam akan menjadikan penganutnya terputus sama sekali hubungan dengan keluarga asal serta adat budaya mereka.

''Masalah ini timbul kerana mereka tidak faham konsep Islam sebenar kerana pemahaman keluarga Cina ialah apabila menganut Islam bermakna seseorang Cina 'masuk Melayu'. Mereka tidak mahu anak mereka hilang identiti dan budaya yang diwarisi turun-temurun," ujarnya.

Mustapha berkata, tiada unsur dalam Islam yang menunjukkan agama itu bersifat anti-Cina, malah, di China sendiri terdapat lebih ramai penganut Islam dan masjid berbanding di Malaysia.

Ketika ini, katanya, kira-kira satu peratus atau 57,000 daripada lebih lima juta orang Cina di Malaysia yang menganut Islam dengan sebahagian besarnya tinggal di Selangor.

Benarkah Skim Mikro Kredit membantu peniaga kecil?


Oleh AMRAN AHMAD

KETIKA kerajaan mengumumkan Skim Mikro Kredit, golongan peniaga kecil di negara ini berasa gembira dan lega kerana skim itu dilancarkan khususnya bagi membantu golongan berkenaan mendapatkan pinjaman modal untuk perniagaan.

Pada masa yang sama, skim itu sekali gus dapat menangani masalah Along atau ceti haram di negara ini yang sering menimbulkan masalah kepada peminjam yang gagal membayar balik pinjaman mereka, termasuk golongan peniaga kecil yang sukar mendapatkan pinjaman modal daripada bank.

Along bukan sahaja mengaut keuntungan berlipat kali ganda daripada kadar faedah yang tinggi yang dikenakan ke atas pinjaman yang diberikan, tetapi juga bertindak ganas termasuk memukul apabila peminjam lewat atau gagal membayar balik pinjaman mereka.

Menyedari masalah yang dihadapi oleh peniaga kecil itu untuk mendapatkan modal perniagaan, kerajaan mewujudkan Skim Pinjaman Mikro Kredit supaya peniaga-peniaga kecil mempunyai saluran untuk mendapatkan modal perniagaan dengan cara yang mudah, murah dan selamat.

Sebelum ini, Along mengambil kesempatan daripada kerumitan yang dihadapi oleh peniaga terbabit yang kebanyakannya peniaga Melayu, yang tidak dapat meminjam dari bank-bank tempatan.

Walaupun 'periuk nasi' Along terganggu seketika, dengan kehadiran skim itu, tetapi kini keadaan kembali memihak kepada Alon-Along ini kerana masyarakat peniaga kecil kembali menjadi pelanggan aktif dengan mereka (Along), setelah Skim Mikro Kredit, khabarnya gagal membantu mereka untuk mendapatkan modal dengan mudah dan murah.

Malahan ramai peniaga kecil yang telah memohon pinjaman, akhirnya terpaksa menolak tawaran pemberian pinjaman antara RM5,000 hingga RM50,000 di bawah skim itu kerana kadar faedah yang dikenakan terlalu tinggi hingga menyukarkan mereka untuk membayar balik ansuran bulanan.

Mereka berpendapat penubuhan skim itu telah lari daripada tujuan sebenar ia ditubuhkan iaitu untuk memberi pinjaman mudah dan murah kepada peniaga kecil bagi mengembangkan perniagaan mereka.

Ini kerana tidak masuk akal, jika pemohon yang meminjam pinjaman sebanyak RM30,000 di bawah Skim Mikro Kredit terpaksa membayar balik pinjaman tersebut yang dikira sekali dengan faedah berjumlah RM45,000, secara ansuran dalam tempoh beberapa tahun.

Ini bermakna peminjam terpaksa membayar faedah sebanyak RM15,000 iaitu 50 peratus atau separuh daripada jumlah pinjaman yang diterima.

Jika ini keadaannya, kadar faedah yang dikenakan di bawah skim itu lebih tinggi daripada kadar faedah atau caj yang dikenakan oleh kad kredit.

Berdasarkan terma-terma pinjaman di bawah skim itu pula, jika peminjam tersebut dapat membayar balik pinjaman mereka lebih awal sekalipun, sebagai contoh dalam masa setahun, peminjam masih perlu membayar faedah berjumlah RM5,000 untuk setahun.

Faedah sebanyak itu tentunya satu jumlah yang cukup membebankan bagi peniaga kecil yang terdiri daripada peniaga pasar malam, tukang gunting rambut, penyedia perkhidmatan dobi dan pengusaha kedai makan serta warung.

Selain kadar faedah yang lebih tinggi daripada caj yang dikenakan oleh syarikat kad kredit, peniaga kecil yang menjana perolehan tahunan yang rendah turut menghadapi dilema terpaksa menunggu agak lama untuk mendapatkan kelulusan bagi permohonan pinjaman yang mereka buat di bawah skim tersebut.

Masalah ini timbul dipercayai kerana bank-bank yang melaksanakan skim itu tidak memberi kuasa kepada cawangan-cawangan mereka untuk memproses permohonan pinjaman dari luar ibu pejabat.

Hanya kakitangan dan pegawai bank-bank terbabit di ibu pejabat di Kuala Lumpur sahaja mempunyai kuasa untuk mengendalikan semua permohonan termasuk dari luar Kuala Lumpur.

Selain kadar faedah yang tinggi antara 15 hingga 17 peratus setahun (berdasarkan baki asas tahunan), peminjam turut menanggung yuran proses yang tinggi iaitu sekurang-kurangnya RM100 atau satu peratus daripada jumlah pinjaman penuh dan bayaran insurans.

Selain Bank Simpanan Nasional (BSN), institusi perbankan lain yang paling ramai dikunjungi oleh peniaga kecil untuk memohon pinjaman di bawah skim itu ialah Bank Rakyat dan Bank Pertanian.

Antara kelayakan asas bagi seseorang peniaga kecil untuk memohon pinjaman di bawah skim itu ialah rakyat tempatan yang berumur antara 21 hingga 60 tahun dan memiliki salinan daftar dan/atau lesen perniagaan, selain syarat sudah menjalankan perniagaan dalam tempoh minimum dua tahun.

Ubah suai sistem tender


Oleh Mastura Jaafar


Kerja-kerja yang dilakukan oleh pekerja syarikat kontraktor yang dilantik perlu ada kawal selia supaya binaan tahan lasak dan berkualiti.
- Gambar hiasan


Banyak pihak menyokong usaha kerajaan untuk menstruktur semula Badan Pencegah Rasuah (BPR). Sudah tentu kerajaan menyedari penstrukturan semua adalah satu langkah yang amat penting untuk meningkatkan keberkesanan, ketelusan dan akauntabiliti awam dan kepercayaan rakyat.

Tahun demi tahun, di negara kita terdapat peningkatan kadar kesalahan yang bersabit dengan rasuah. Peningkatan kadar rasuah sebanyak 28 peratus dalam tempoh lima tahun adalah satu angka yang amat membimbangkan.

Dalam ucapan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi pada Forum Integriti ASEAN baru-baru ini menyatakan, sistem pemerolehan awam sedia ada dan prosedur menganugerahkan kontrak kerajaan penuh dengan peluang-peluang untuk rasuah.

Cuba kita perhatikan situasi dalam industri binaan terutamanya prestasi projek-projek kerajaan. Apakah punca-punca kegagalan projek-projek yang dilaksanakan oleh sektor awam seperti projek ibu pejabat Matrade (Malaysian External Trade Development Corporation), kelewatan penyiapan bangunan makmal komputer sekolah, keretakan dalam projek MRR2 (Lebuhraya Lingkaran Tengah Dua), siling runtuh di beberapa bangunan kerajaan di Putrajaya, kegagalan reka bentuk bangunan hospital yang menimbulkan banyak masalah di peringkat penyelenggaraan dan yang paling terkini ialah kejadian bumbung sekolah runtuh di Terengganu.

Menurut jabatan Kerja Raya (JKR), sehingga tahun lepas, sebanyak 10 projek mega yang bernilai sehingga berbilion ringgit adalah antara 215 projek terbengkalai (Utusan Malaysia, 2 Februari 2007).

Bagaimana pula dengan isu rasuah dan kontraktor Alibaba yang berleluasa dalam industri binaan? Kedua-dua isu ini saling berkait dan menjadi punca utama kepada kegagalan projek dalam industri binaan. Apabila bajet yang diperuntukkan tidak dapat diagihkan kepada keseluruhan rantaian pembekalan daripada pihak kerajaan kepada kontraktor utama dan paling akhir kepada tenaga kerja, maka akan berlaku kepincangan dalam pelaksanaan kerja.

Isu keperluan untuk menangani rasuah pernah dibangkitkan oleh Persatuan Kontraktor Malaysia namun ia sukar untuk dibanteraskan tanpa penstrukturan semula sistem pemerolehan.

Isu ketirisan pemberian kontrak kerajaan di mana 85.37 peratus projek yang diberikan kepada bumiputera dalam tahun 2006 telah dilaksanakan oleh kaum lain. Masalah kelewatan pembayaran daripada kerajaan bagi tempoh 2000 sehingga 2006, menunjukkan kerajaan gagal membuat pembayaran berjumlah RM23.7 bilion kepada 18,000 kontraktor utama dan sub kontraktor yang telah melaksanakan projek-projek kerajaan.

Kewujudan kontraktor Alibaba yang 'dibenarkan' dalam industri telah meningkatkan bilangan kontraktor yang tidak aktif dan tidak berwibawa dalam industri pembinaan. Ketidakseimbangan antara bilangan kontraktor dengan penawaran kerja dalam industri telah menyebabkan hanya sebilangan kecil kontraktor yang mampu bersaing dalam industri.

Ternyata, terdapat kelemahan dalam sistem pemerolehan (tender) yang diamalkan oleh sektor awam sehingga membawa wujudnya pelbagai permasalahan dalam sektor ini.

PenstrukturanSejak sedekad lalu, isu penstrukturan semula sistem pemerolehan sektor awam telah dijadikan sebagai agenda penting di beberapa negara seperti Filipina, Bangladesh, Afrika Selatan, United Kingdom dan beberapa jabatan kerajaan di Amerika Syarikat.

Antara kepentingan penstrukturan semula sistem pemerolehan adalah untuk meningkatkan kecekapan dan keberkesanan, nilai kewangan yang lebih baik dalam perbelanjaan kerajaan, mengurangkan birokrasi dan mewujudkan persekitaran persaingan yang sihat dan sebagainya.

Jika kita imbas balik sistem pemerolehan sektor awam yang digunakan sehingga hari ini, kita hanya mengambil dan mengubah suai sistem yang dibawa masuk oleh penjajah. Kita mungkin tidak sedar bahawa selama ini sistem pemerolehan tersebut tidak mengambil kira isu-isu setempat seperti budaya, sistem pentadbiran dan struktur autoriti sektor awam.

Oleh itu sistem ini telah mempunyai banyak lompang. Contohnya, kita sedia maklum bahawa penghijrahan besar-besaran kaum Cina daripada Tanah Besar Cina telah mewujudkan budaya perniagaan yang hebat. Mereka menguasai segala sektor daripada pengeluar produk binaan, pembekal bahan dan juga pembekal tenaga kerja.

Di sini kita perlu melihat di manakah kekuatan usahawan Melayu dan bagaimana mereka boleh bekerjasama dengan golongan Cina untuk turut maju.

Di sini penulis melihat kegagalan sistem pemerolehan asal menyebabkan semakin hari kian ramai mereka yang menjadi kontraktor hanya untuk mendapatkan komisen. Kerja-kerja pembinaan ditinggalkan kepada kontraktor lain. Ini menggalakkan berlakunya fenomena 'multi layer sub contracting' atau wujudnya beberapa kontraktor yang hanya mengambil komisen dalam satu kontrak.

Amalan ini akan menyebabkan pihak akhir dalam rantaian pembekalan hanya melaksanakan kerja dengan tahap keuntungan yang minimum atau langsung tidak mendapat sebarang keuntungan. Perkara inilah yang seterusnya akan mempengaruhi prestasi projek.

Salah satu isu utama perlu ditonjolkan ialah sistem dan budaya kerja sektor awam. JKR ialah satu jabatan yang mempunyai kewibawaan dan terlibat secara langsung dalam memberi sebarang nasihat teknikal kepada kerajaan.

Penyeliaan dalam tempoh pembinaan amat penting untuk memastikan kualiti kerja yang dihasilkan mengikut spesifikasi dalam kontrak. Apabila banyak kepincangan berlaku dalam pelaksanaan projek-projek sektor awam, kewibawaan jabatan ini telah dipersoalkan.

Adakah kegagalan projek sektor awam akan berlaku sekiranya setiap pihak mempunyai dan mengikuti etika kerja masing-masing? Pernah Menteri Jabatan Kerja Raya pada tempoh tersebut mengutarakan kemungkinan keperluan untuk JKR memulihkan moral kerja mereka untuk menjadi jabatan yang lebih cekap dan bertanggungjawab.

Bagaimanapun, etika dan integriti sukar dilaksanakan apabila sistem pemerolehan yang diamalkan membenarkan mereka mengambil peluang untuk mendapatkan kemewahan dan mengetepikan segala tanggungjawab hakiki mereka.

Sehingga hari ini, banyak usaha dibuat dalam usaha menangani masalah dalam industri. Contohnya JKR melaksanakan penyemakan suku tahunan dan mengenakan penalti bagi kontraktor yang gagal serta mewujudkan jabatan juruukur bangunan untuk menyemak bangunan-bangunan yang telah siap bagi mengelakkan pelbagai masalah selepas pembinaan.

Kementerian Kesihatan pula menyediakan standard piawaian bagi kontrak dan penyelenggaraan projek-projek hospital supaya dipastikan hanya kontraktor yang berwibawa dilantik.

Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (LPIPM) juga turut melancarkan Pelan Master Industri Pembinaan (CIMP) dalam usaha untuk menjadikan industri pembinaan Malaysia mampu bersaing di peringkat antarabangsa.

Dalam CIMP, CIDB juga menggarislan keperluan untuk melihat semula sistem pemerolehan yang diguna pakai dalam industri. Model Terms of Construction Contract for Subcontract Work 2006 juga dilancarkan bagi mengatasi masalah isu pembayaran daripada kontraktor utama kepada sub kontraktor.

Namun bagaimana untuk menangani masalah pembayaran daripada kerajaan kepada kontraktor utama? Oleh itu, setiap jalan penyelesaian yang diutarakan hanya akan memberikan kesan sekiranya perkara yang menjadi akar umbi segala permasalahan diselesaikan dahulu.

Ternyata penstrukturan semula sistem pemerolehan amat penting dan perlu disegerakan untuk memulihkan imej sektor awam dan industri pembinaan. Kajian untuk melihat penstrukturan semula sistem pemerolehan dalam industri pembinaan telah dilaksanakan oleh Universiti Sains Malaysia dengan kerjasama daripada beberapa profesional yang terlibat dalam industri pembinaan.

Wajarkah Kursi Pengajian Melayu di New Zealand dikekalkan?


Oleh ABD. AZIZ ITAR


MANTAN penyandang Kursi Pengajian Melayu New Zealand, Dr. Hood Mohd. Salleh (kiri) bersama Dr. Othman Yatim pada seminar bagi membincangkan kursi itu di UKM, Bangi, baru-baru ini.

TAHUN ini merupakan tahun ke-12 penubuhan Kursi Pengajian Melayu di Universiti Victoria, Wellington, New Zealand. Penubuhan kursi itu merupakan inisiatif gigih mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad pada 27 Mac 1996.New Zealand merupakan antara negara yang memberi peluang kepada penubuhan Kursi Pengajian Melayu selepas Amerika Syarikat dan Belanda.

Kursi Pengajian Melayu antara lain bertujuan mewujudkan kesedaran orang ramai serta persefahaman antara Malaysia dan New Zealand membabitkan bidang sejarah, geografi, politik, ekonomi, masyarakat, seni, budaya serta bahasa.

Bagaimanapun, selepas lebih sedekad penubuhan kursi itu, ia dilihat masih belum memberikan impak yang besar terhadap usaha untuk mempromosikan seni, budaya dan pelancongan secara keseluruhan di negara itu.

Banyak faktor dan petunjuk yang dapat menggambarkan tentang situasi itu, contohnya buat masa ini cuma terdapat 15 pelajar sahaja yang mengikuti Pengajian Melayu di universiti tersebut.

Sehubungan itu, pelbagai pihak melihat suatu kajian atau penilaian semula perlu dibuat untuk menilai dan mengamati semula peranan serta menyelami permasalahan yang dihadapi oleh kursi - sama ada ia masih relevan untuk dikekalkan ataupun sebaliknya.

Namun, penyandang Kursi Pengajian Melayu di Universiti Victoria, Prof. Datuk Dr. Othman Yatim menegaskan kursi itu patut dikekalkan. Ini kerana, ia boleh membantu memperkenalkan lagi nama negara kepada masyarakat di New Zealand secara lebih meluas.

"Daripada pengamatan saya, setakat ini sekitar lima peratus sahaja daripada rakyat New Zealand yang mengetahui tentang negara kita," katanya pada seminar Kursi Pengajian Melayu di Sudut Wacana, Institut Alam dan Tamadun Melayu (Atma), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi, Selangor, baru-baru ini.

Seminar tersebut dipengerusikan oleh Timbalan Pengarah ATMA, Prof. Datuk Dr. Nik Hassan Shuhaimi.

Biarpun sudah empat orang dilantik menyandang kursi itu tetapi sehingga kini skop pelaksanaan dan fungsinya masih belum dijelaskan sepenuhnya kerana ia mencakupi ruang lingkup yang amat luas untuk dilaksanakan.

Tidak seperti Kursi Pengajian Melayu di universiti lain seperti Universiti Leiden di Belanda yang lebih memfokuskan kepada kursus pengajian kesusasteraan Melayu.

Sedangkan Kursus Pengajian Melayu di Universiti Victoria meliputi pelbagai bidang termasuk kebudayaan dan kesenian yang tentunya sukar untuk dilaksanakan oleh seorang penyandang kursi itu pada satu-satu masa.

"Selain itu, saya dapati Kursi Pengajian Melayu di Universiti Victoria juga tidak mempunyai nama yang khusus. Kalau boleh, saya mahu mencadangkan supaya diadakan sebuah nama yang khusus untuk kursi ini dengan menggunakan nama pemimpin kita yang terkenal.

"Misalnya, kita boleh menggunakan nama mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad untuk nama kursi di pusat pengajian itu," ujarnya yang akan menyandang kursi itu sehingga 31 Disember ini.

Sepanjang menyandang kursi itu sejak hampir dua tahun lalu, Dr. Othman telah diminta mengajar dua subjek iaitu tentang Tamadun Dunia Melayu dan Warisan Budaya dan Pelancongan di Malaysia.

Beliau yang mempunyai kepakaran dalam bidang Warisan Budaya Melayu dan Kesenian Islam telah mencadangkan agar lebih banyak agensi kerajaan seperti Pesuruhjaya Tinggi Malaysia, Kementerian Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, Jabatan Muzium Malaysia serta badan-badan bukan kerajaan (NGO) membantu aktiviti-aktiviti yang akan dijalankan di kursi itu kelak.

Aktiviti yang dijalankan oleh penyandang kursi tersebut ialah membabitkan soal pengajian, penyeliaan pelajar, penyelidikan, penganjuran seminar, lawatan akademik dan mengadakan program-program yang dapat menghubungkan antara masyarakat New Zealand dan Malaysia.

Othman yang sebelum ini merupakan Profesor Kesenian Islam di Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya, Kuala Lumpur turut mencadangkan supaya diwujudkan lebih ramai kakitangan bagi membantu penyandang kursi tersebut di sana.

Apatah lagi, Universiti Victoria merupakan satu-satunya universiti di New Zealand yang mempunyai Kursi Pengajian Melayu.

Justeru, sudah tentulah tugas untuk mengangkat nama negara dalam pelbagai bidang termasuklah ekonomi, politik, sosial, kebudayaan dan pelancongan itu tentunya amat berat untuk dipikul oleh seseorang penyandang kursi tersebut.

MustahilSelain itu, agak mustahil juga bagi seorang penyandang kursi untuk melengkapkan semua aspek dalam bidang pengajian Melayu seorang diri berdasarkan terlalu banyak senarai tugasan yang harus dilaksanakannya pada satu-satu masa.

Perkara itu timbul kerana seseorang penyandang kursi biasanya hanya mempunyai kepakaran khusus dalam satu-satu bidang sahaja.

Sementara itu, mantan penyandang Kursi Pengajian Melayu Universiti Victoria, Prof. Datuk Dr. Hood Mohd. Salleh dari Institut Alam Sekitar dan Pembangunan (Lestari), UKM pula mendedahkan soal kewangan merupakan antara masalah yang dihadapi oleh kursi pengajian tersebut.

"Kursi pengajian itu mahupun penyandangnya memerlukan sumber kewangan yang agak besar kerana kos sara hidup di New Zealand yang tinggi.

"Selain itu, kos yang amat besar juga diperlukan oleh penyandang kursi itu, contohnya untuk menjalankan sesuatu penyelidikan," katanya yang turut serta pada sesi seminar itu.

Malah, beliau turut menyatakan bahawa penyandang kursi tersebut tidak semestinya terdiri daripada kalangan ahli akademik tetapi juga individu-individu lain yang aktif dan mempunyai kepakaran-kepakaran tertentu.

Jika tiada tindakan pro-aktif dilakukan bagi mempertingkatkan fungsi serta aktiviti-aktiviti di Kursi Pengajian Melayu, dibimbangi kursi itu tidak dapat membantu memperkenalkan negara ini ke arah skop yang lebih luas.

Ini kerana, Kerajaan Indonesia baru-baru ini menyatakan hasrat mahu menubuhkan sebuah Kursi Pengajian Indonesia di universiti tersebut di mana fungsinya dilihat hampir sama dengan Kursi Pengajian Melayu.

Kalaulah perkara itu berlaku, tentunya akan melibatkan suatu pertembungan atau persaingan dalam usaha kedua negara untuk mempromosikan negara masing-masing.

Kesimpulannya Kursi Pengajian Melayu di Universiti Victoria masih relevan untuk diteruskan tetapi ia memerlukan sokongan dan aktiviti yang proaktif agar peranannya dapat diperluaskan dengan lebih berkesan.

Imej seni Malaysia di Tokyo


Oleh Azman Ismail


SUZLEE bersama pelukis veteran Jepun, Yasumichi Fukawa di pameran Arts For Earth Aid di Taito Hall, Tokyo, baru-baru ini.

RITUAL keagamaan (Buddhisme dan Shintoisme) merupakan salah satu daripada faktor estetika yang mendorong terjadinya perubahan corak dalam seni lukis tradisional dan sebahagian kontemporari Jepun.Nilai-nilai agama tersebut menjadui acuan untuk mengatur tingkah laku kehidupan sosial, pembentukan nilai serta etika yang seterusnya menjadi elemen utama kerja-kerja seni para pelukisnya.

Oleh itu, karya-karya lukisan tradisional pada asasnya memuatkan ajaran moral, nilai-nilai spiritual, dasar metafizik, ekspresi dan kualiti material yang terdapat di alam ini.

Oleh itu, dalam setiap karya tradisionalnya mempunyai keseimbangan tujuh karateristik iaitu fukinsei (asimetri), kanzo (sederhana), kokou (esensi), Shizen (kewajaran), yuugen (bermakna), datsuzoku (bebas dari ikatan) dan seijaku (keheningan).

Masyarakat Jepun tradisional telah meletakkan seni lukis sebagai medium untuk memenuhi keperluan integriti untuk mengungkapkan rasa keindahan, bersifat universal dan tidak mengenal status, waktu serta tempat.

Nilai-nilai ini menimbulkan kekaguman tersendiri terhadap karya-karya lukisan Jepun yang sarat dengan nilai falsafah dan spritual. Lukisan-lukisan pelukis negara itu pada abad yang ke-19 misalnya pernah menjadi inspirasi kepada ramai pelukis terkenal dunia.

Salah seorang daripadanya inilah pelukis agung Belanda, Vincent van Gogh (1853-1890). Beliau melahirkan beberapa karya yang dipengaruhi oleh karya-karya cetakan kayu dan gaya lukisan Jepun yang mengkagumkan.

Karya-karyanya seperti Potrait of Pere Tanguy (1887) dan Japonaiserie: Oiran (1887) oleh Van Gogh jelas menunjukkan pengaruh gaya seni itu yang menebalkan.

Negara Jepun sememangnya terkenal dengan karya-karya cetakan kayunya, sehingga memberi pengaruh yang besar kepada perkembangan seni lukis dunia pada suatu ketika dahulu.

Karya-karya seni yang dihasilkannya sangat halus dan tinggi mutunya, ini terlihat pada seni visual oleh Utagawa Hiroshige yang bertajuk Great Bridge (1857) ataupun Katsushika Hokusai, The Great Wave (1820an).

Untuk memberi pendedahan kepada pelukis Malaysia, Japan Malaysia World Arts & Culture Exchange telah membawa lapan pelukis terkenal Malaysia dalam satu satu pameran yang berlangsung di Taito Hall, International Trade Centre, Tokyo, Jepun, baru-baru ini.

Pameran Arts For Earth Aid tersebut dirasmikan oleh Duta Malaysia ke Jepun, Datuk Radzi Abdul Rahman. Sebanyak 650 buah karya telah dipamerkan pada pameran selama lima hari tersebut. Ia merupakan kerja oleh 300 pelukis Jepun dan tujuh pelukis Malaysia.

Pelukis-pelukis Malaysia yang mengambil bahagian dalam pameran tersebut ialah Suzlee Ibrahim, Amirudin Ariffin, Aris Aziz, Azmi Aris, Abu Bakar Idris dan Zaim Darulaman dan Jack.

Suzlee, pelukis abstrak negara yang sinonim dengan Movement Series iaitu Suzlee Ibrahim mempamerkan tujuh buah karya yang dihasilkan khas untuk pameran ini iaitu siri Waiting for Sakura yang menggunakan médium akrilik dan cat minyak di atas kanvas.

Sesungguhnya, Waiting for Sakura mempunyai makna yang tersendiri. Ia sebuah simbol dan keterujaan Suzlee sebagai pelukis menyelami keindahan bunga sakura yang belum pernah dilihat secara dekat sebelum ini.

Gejolak rasa dan keterujaan yang memenuhi jiwa itu diluahkan dengan garisan gestural yang spontan dan bersahaja yang menghidupkan watak pada setiap karya.

Kekaguman dan keterujaan terhadap sakura diberi makna yang tersendiri melalui gerakan-gerakan berus yang kasar dan kadang-kadang mencipta ruang melankolik tersendiri pada kanvas.

Wujud kesimbangan yang luar biasa antara romantika dan keghairahan yang luar biasa dalam menanggapi persoalan mengenai keindahan sakura yang digambarkan pada kanvas tersebut.

Keindahan sakura itu juga akan menjadi subjek utama pada pameran solonya yang ke-15 yang akan diadakan di sebuah galeri di Kuala Lumpur, tidak lama lagi.

Abu Bakar Idris pula mempamerkan karya siri terbaru iaitu Cap Sai Cin. Sebanyak 6 buah karya dari siri tersebut yang menggunakan medium akrilik di atas kanvas dipamerkan.

Karya semi abstrak tersebut menggabungkan imej tumbuhan ubat-ubatan tradisional Melayu sebagai motif penting yang mengisi komposisi dalam ruang pada dada kanvas.

Warna malap dan kelam digunakkan bagi menghidupkan suasana mistik dalam karya. Sedikit tekstura dimasukkan pada komposisi tertentu karya agar permukaan kanvas tampak pelbagai dan tidak terikat pada permukaan yang rata sahaja.

Seperti kebiasaannya, Zaim Darulaman pula menggunakan imej perahu atau bot sebagai subjek utama karyanya yang didasarkan pantun bahari Melayu tradisional.

Karya beliau mempunyai warna yang menarik dengan kepelbagaian warna. Penggunaan warna terang seperti merah dan hijau menjadikan setiap karyanya sebagai titik tumpuan untuk berkomunikasi dengan khalayak.

Sementara itu, Arts For Earth Aid merupakan lanjutan kepada pameran Japan-Malaysia World Arts & Culture Exhibition for Friendship in 2007 yang telah diadakan di Balai Seni Lukis Negara pada 28 Julai 2007.

Ia antara lain merupakan kerjasama antara World Arts & Culture Exchange Malaysia-Japan Malaysia Association, Tourism Malaysia, Persatuan Seni Lukis Kotemporari Malaysia (MCAA), Persatuan Homestay Malaysia, Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia dan Balai Seni Lukis Negara.

1000 dijangka sertai Kongres Permuafakatan Melayu

Oleh HANIZA HASSAN

JOHOR BAHRU 28 April - Kira-kira 1,000 wakil daripada lebih 300 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Melayu akan mengambil bahagian dalam Kongres Permuafakatan Melayu yang diadakan di sini pada 2 dan 3 Mei ini.

Tunku Mahkota Johor, Tunku Ibrahim Ismail Sultan Iskandar dijadual merasmikan kongres berkenaan yang akan diadakan di Pusat Konvensyen Persada.

Ketua 1 Persatuan Penulis Johor, Amiruddin Md. Ali Hanafiah berkata, antara NGO yang menghantar wakil ialah Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Persatuan Penterjemah Malaysia, Persatuan Anak Melayu Johor dan Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS).

Menurutnya, lebih 15 kertas kerja mengenai kedaulatan dan politik Melayu akan dibentangkan pada persidangan dua hari itu.

"Tajuk-tajuk pembentangan itu nanti akan berteraskan kepada empat permasalahan iaitu kedaulatan politik Melayu, kedaulatan perlembagaan Malaysia, kedaulatan Ekonomi Melayu serta kedaulatan agama, budaya dan pendidikan Melayu," katanya.

Beliau yang juga Ahli Jawatankuasa Gabungan Penulis Nasional (Gapena) berkata demikian ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Kongres anjuran Majlis Muafakat Melayu yang diterajui Gapena dan 300 NGO Melayu itu merupakan reaksi terhadap perkembangan politik pasca Pilihan Raya Umum Ke-12 pada 8 Mac lalu.

Perhimpunan tersebut diadakan berikutan keputusan pilihan raya umum menunjukkan masyarakat Melayu kini berpecah belah dan sedang berhadapan dengan kaum lain yang lebih dominan daripada segi ekonomi dan politik.

Antara mereka yang akan hadir dalam kongres tersebut ialah Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Johor, Tan Sri Muhammad Ali Hashim; tokoh budaya, Prof Datuk Dr. Zainal Kling dan bekas Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Datuk Hassan Ahmad.

Utusan Malaysia merupakan akhbar rasmi kongres berkenaan.

Amiruddin berkata, kongres yang bertemakan Kedaulatan Melayu Sebagai Paksi Kewujudan Bangsa itu juga akan membuka peluang kepada wakil-wakil NGO untuk memberikan pendapat secara terbuka pada persidangan meja bulat pada hari kedua kongres.

"Persidangan tersebut akan dipengerusikan oleh Setiausaha Dua Gapena, Profesor Madya Datuk Zainal Abidin Borhan dan budayawan, Profesor Datuk Dr. Zainal Kling," katanya.

Amiruddin berharap dengan berlangsungnya kongres itu nanti, bangsa Melayu akan lebih bersatu tanpa mengira fahaman politik demi menegakkan hak yang sepatutnya dijaga.

"Jangan sampai kita diperlekeh dan dipermainkan hanya kerana kita tidak tahu hak sebenar orang Melayu," jelasnya.

Barisan orang Melayu


Oleh malim ghozali pk

KENYATAAN Ketua Satu Gapena (Gabungan Penulis Nasional), Profesor Emeritus Tan Sri Ismail Hussein di pertemuan Permuafakatan Melayu di Rumah Gapena pada 14 April lalu yang memutuskan untuk tidak melibatkan ahli-ahli politik di Kongres Permuafakatan Melayu pada 2 - 4 Mei depan di Johor Bahru, mengundang lebih banyak pertanyaan daripada jawapan terhadap kemelut yang sedang dihadapi oleh orang Melayu pasca Pilihan Raya Umum Ke-12. Lebih-lebih lagi pendirian yang diputuskan di mesyuarat tersebut tidak mampu menjawab tiga persoalan berikut:

a) Dapatkah seseorang Melayu itu memisahkan diri daripada fahaman politiknya dan hadir di kongres tersebut hanya sebagai 'orang Melayu?' (tidak ubah macam kuda lumba yang dipasangkan tuntun mata).

b) Benarkah 100 buah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Melayu yang bakal hadir tidak mempunyai sebarang kecenderungan politik?

c) Mampukah ahli-ahli persatuan-persatuan penulis Melayu, termasuk Gapena, membebaskan diri mereka 100 peratus daripada mempunyai pengetahuan, kepekaan, minat atau sokongan terhadap mana-mana parti politik tanah air?

"Kita fikir ini masalah rakyat bukan masalah ahli politik. Saya rasa ahli politik dapat menyelesaikan masalah mereka dengan cara tersendiri," begitulah prognosis yang dicapai oleh mesyuarat pada hari itu.

Menurut Ketua Satu Gapena, ini adalah cara terbaik untuk mengetengahkan suara rakyat, kerana selama ini suara tersebut dibayangi oleh ahli politik.

Rakyat, politik dan ahli politik adalah saling berinteraksi dan saling memerlukan. Kelicinan hubungan di antara elemen-elemen tersebut menjamin kesihatan demokrasi di mana-mana negara yang mengamalkannya.

Yang memimpin dan yang dipimpin harus berada di pentas yang sama. Rasionalnya apabila bercakap mengenai perubahan, di mana-mana negara yang mengamalkan sistem demokrasi, ia haruslah melalui ranah politik.

Jangan khuatir, orang Melayu tidak pernah sunyi daripada amalan dan suasana politik sejak dulu lagi. Jangan pinggirkan ahli-ahli politik Melayu, oleh sebab mereka sudah berpengalaman serta mahir dalam permainan ini.

Ahli-ahli politik boleh datang di Kongres itu, yang membawa tema 'Kedaulatan Melayu Sebagai Paksi Kewujudan Bangsa' tetapi jangan mewakili mana-mana parti politik secara rasmi, bercakap dengan nuansa politik, atau berhujah sehingga boleh menandai fahaman mana-mana parti politik.

BerbincangMereka harus menanggalkan baju politik buat seketika, dan melihat Melayu dalam konteks yang lebih luas dan terbuka. Mereka perlu datang untuk berbincang mengenai bangsa Melayu.

Sehingga kini belum lagi muncul NGO Melayu yang berani bangun mempertahankan kedaulatan bangsanya, melainkan hampir kesemuanya tunduk patuh dan menjadi pak turut kepada parti tertentu, walhal komponen terbesar kepimpinan negara adalah terdiri dari parti orang Melayu.

Tiada siapa dapat menafikan bahawa politik Malaysia adalah politik perkauman. UMNO menjaga kepentingan bangsa Melayu, MCA dengan kepentingan orang Cina dan MIC dengan kaum India.

Kita tidak harus berganjak daripada paksi ini. Kejayaan memartabatkan kedaulatan bangsa Melayu bergantung kepada sejauh mana kita mempertahankan paksi serta landas perjuangan ini.

Usah gentar, sejarah telah membuktikan orang Melayu telah menentang musuh-musuh yang terlebih awal menyerang mereka. Feringgi, Belanda dan Inggeris telah lama mengenali, mengagumi keberanian dan kehebatan orang Melayu.

Untuk menjelmakan sebarang makna dalam Kongres itu nanti, isu-isu di atas kena dijawab secara jitu. Jangan tepis-tepis dan usah elak-elak. Kalau tembak biar kena 'titik sasaran' kerana orang Melayu sudah bosan dengan permainan acah-acah dan sipi-sipi.

Hakikatnya NGO Melayu harus faham dan bersedia mengalir bersama arus politik, yang pada analisis terakhir akan melakar sejarah sesebuah bangsa itu.

Mengalir bersama tidak bererti mengampu, untuk tujuan mendapatkan tapak bangunan ataupun bantuan kewangan tahunan. Mind set inilah yang harus diperbetulkan di Kongres itu kelak.

Jika tidak NGO-NGO dan persatuan-persatuan penulis tetap kekal menjadi kaldai-kaldai tunggangan dan balaci kepada agenda politik yang tepian, remeh dan tanpa wawasan atau pelan jangka panjang untuk menyelamatkan bangsa Melayu.

Kita jangan lupa kepada pepatah Melayu lama yang banyak berjasa dan melahirkan pemimpin-pemimpin yang hebat dan ternama - Berani kerana benar, takut kerana salah!

Kongres Permuafakatan Melayu sangat memerlukan Barisan Orang Melayu (BOM) yang mampu bertindak berani dengan fakta-fakta yang ada di depan mata, dan tidak malu-malu untuk tampil dengan garang dan meneriakkan:

a) Kenapa orang Melayu mesti berpuas hati dengan 30 peratus kekayaan negara, sedangkan 60 peratus penduduk negara ini adalah terdiri daripada orang Melayu? Jadi, kenapa tidak 60 peratus?

b) Daulatkan semula martabat Bahasa Melayu, sekarang. Sebarang keputusan yang boleh memudaratkan Bahasa Melayu tidak boleh disokong.

c) Cadangan agar seseorang yang memeluk Islam perlu mengisytiharkannya kepada keluarganya secara terbuka perlu dikaji kesannya secara mendalam.

d) Sebarang agenda untuk 'mengsonglap' Tanah Rizab Melayu dalam apa cara sekalipun, sehingga rizab ini terlepas kepada kaum lain, hendaklah ditentang.

Penulis yakin di Kongres Permuafakatan Melayu nanti, Barisan Orang Melayu pasti sedar ancaman, bahaya serta penyakit yang mereka akan hadapi dengan kenyataan penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Tentu mereka akan menolaknya dengan lantang.

Bangsa Melayu telah mengalami enam kali kehilangan:

1. Hilang Barakah: Kejatuhan Melaka ke tangan Feringgi (1511).

2. Hilang Tanah : Penubuhan Malaysia (1963)

3. Hilang Maruah : Kuasa Sultan dan Raja-raja dilucutkan.

4. Hilang Bahasa: Apabila nomenclature Bahasa Melayu ditukarkan kepada Bahasa Malaysia (2007).

5. Hilang Arah : Ketidakserasian UMNO/Pas/PKR.

6. Hilang Bangsa : Terma 'Melayu' digugurkan dalam RMK-9.

Di Johor Bahru, kita harus membincangkan apa saja yang menyangkut bangsa Melayu. Jangan nanti orang Melayu sampai hilang pertimbangan. Lagipun kehilangan bagi kali ketujuh, kita mungkin boleh jadi papa-kedana.

Orang Melayu tidak harus berjuang secara terpisah-pisah dan berpecah-pecah, tetapi sebaliknya harus berada dalam satu barisan.

PNB bukti kecemerlangan bumiputera

Oleh md. shukri shuib

pernyataan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang menyifatkan pencapaian Permodalan Nasional Berhad (PNB) sejak 1981 hingga kini adalah satu 'badan permodalan' yang menjadi pengumpul wang rakyat paling berjaya dan antara yang terbaik di dunia sememangnya mempunyai asas yang benar.

Ini kerana, sejak ditubuhkan, PNB telah menunjukkan kecemerlangan hinggakan dalam masa 27 tahun penubuhannya hingga kini, jumlah dana unit amanah yang dikumpul oleh PNB sahaja telah mencecah 76.7 bilion unit jika dibandingkan dengan bilangan 540 juta unit pada tahun 1981 menerusi Amanah Saham Nasional (ASN).

Kini Malaysia dan juga masyarakat Melayu dan bumiputera seharusnya berbangga, kerana menerusi pemikiran serta pengurusan dan kecekapan umat Islam yang menerajui badan tersebut, maka PNB menerusi kebolehannya telah berjaya menggunakan sejumlah modal dari perolehan 540 juta unit saham itu hingga berkembang menjadi saiz dana yang diuruskan oleh PNB sekarang sejumlah RM120 bilion. Ini membuktikan bahawa Dasar Ekonomi Baru (DEB) sebenarnya berjaya memperkembangkan potensi umat Islam dan bumiputera negara ini ke arah modal insan kelas pertama.

Kejayaan PNB adalah disebabkan oleh ketekunan serta pengurusan bertaraf dunia. PNB yang menjadi payung kepada ekonomi negara harus diingati rakyat Malaysia. Menerusi penawaran ASN pada 1981 dengan modal pembukaan sebanyak RM10 bagi satu buku pelaburan, kini membolehkan PNB berkembang menjadi konglomerat kerajaan yang terbesar di negara ini. PNB adalah payung kepada rantaian ekonomi nasional.

Kini dengan 8.9 juta pemegang akaun PNB dalam unit-unit amanah yang diuruskan, ia adalah hampir 10 kali ganda peningkatan daripada hanya 840,000 pemegang akaun yang dicatatkan pada tahun 1981. Menerusi kepimpinan Pengerusi PNB, Tan Sri Ahmad Sarji Abdul Hamid serta Presiden dan Ketua Eksekutifnya, Tan Sri Hamad Kama Piah Che Othman, maka PNB kini adalah pengumpul dana terbesar di negara ini.

PNB juga adalah organisasi 'pengumpul dana Islam' terbaik dan terbesar dunia dari segi pemegang akuan serta keupayaan pengurusan dana yang dimilikinya.

Kejayaan PNB mengagihkan dividen dan bonus sejak 1981 menggambarkan kejayaan pengurusan PNB. Ini kerana pengagihan pendapatan sejak ditubuhkan hingga kini adalah sebanyak RM60 bilion.

Selain itu, dengan wang pelaburan permulaan berjumlah RM10, kini PNB berjaya memiliki kepentingan di dalam syarikat besar negara yang kini merentasi ekonomi antarabangsa seperti Maybank, Sime Darby, Malaysian Industrial Development Finance, Island and Peninsular dan UMW Holdings. Malahan PNB juga berjaya memperkembangkan pelaburannya di dalam kepentingan logistik seperti pelaburan, perbankan serta juga pelancongan.

Untuk itulah maka Perdana Menteri menyatakan bahawa 'dengan pelaburan minimum sepuluh ringgit, masyarakat bumiputera telah berpeluang untuk menikmati kebebasan merancang kewangan yang hanya dapat diimpikan sebelum ini.' Inilah rangsangan nikmat menerusi DEB serta keyakinan kerajaan terhadap pembangunan bumiputera yang sewajarnya diperluaskan ke segenap bidang sama ada pengurusan, perniagaan, ekonomi serta teknologi dan kepelbagaian bidang-bidang strategik lainnya.

RangsanganKejayaan PNB memberikan rangsangan semangat bahawa masyarakat Islam dan bumiputera di negara ini mampu 'berdiri sama tinggi, duduk sama rendah' dengan masyarakat pelbagai kaum di negara ini.

Dengan perkembangan saiz dana yang bakal diuruskan oleh PNB yang dijangka akan mencecah sehingga 100 bilion unit dalam tempoh tiga tahun lagi berbanding hampir 80 bilion unit sekarang juga menunjukkan bahawa inisiatif pelaburan dalam pengurusan PNB adalah paling berjaya dan menguntungkan.

Jika tidak, masakan pengurusan 'organisasi bumiputera' ini mampu menggemblengkan pengumpulan dana yang begitu besar dalam jangka masa pertambahan tiga tahun sebanyak 20 bilion unit. Ini menunjukkan keyakinan serta kecekapan pengurusan PNB itu sendiri yang optimis terhadap masa depan organisasi dan tenaga kerja yang menjadi modal dan teras pengupayaan PNB itu sendiri.

Hasrat bagi mengekalkan pertumbuhan 10 peratus setahun atau lapan bilion unit setahun dalam jangka masa tiga tahun ini menggambarkan nilai pengurusan strategik yang dipegang oleh para pengurusan PNB adalah bersifat futuristik dan jangkaan perkembangan pasaran yang dilihat positif.

Teguhnya PNB bererti teguhnya pengupayaan dana bumiputera dan juga menggambarkan bahawa dalam apa sahaja senario pasaran antarabangsa, Malaysia tetap teguh dengan adanya PNB yang menjadi tulang belakang kepada pasaran kepentingan modal negara.

Dengan keupayaan saiz dana yang diurus oleh PNB sekarang berjumlah RM120 bilion, maka perancangan PNB untuk melancarkan unit amanah hartanah (REITs) menggambarkan perkembangan organisasi 'modal RM10' itu kini semakin meluas dan bernilai strategik tinggi.

Untuk itu, PNB tidak seharusnya diabaikan oleh kerajaan, dan sokongan rakyat terhadapnya juga menggambarkan 'patriotisme' kepada menjamin keutuhan ekonomi nasional tetap berada di landasan yang betul.

Kecekapan pengurusannya juga wajar diiktiraf rakyat di negara ini dengan terus melakukan pelaburan demi pelaburan yang pada masa yang sama juga memberikan nilai tambah kepada organisasi tersebut ke arah perkembangan yang lebih memberansangkan.

Kejayaan PNB akan memantapkan terus keyakinan bahawa masyarakat pengurusan bumiputera adalah bertaraf antarabangsa pencapaiannya. Inilah kebanggaan Malaysia yang juga lahir menerusi agenda DEB yang positif penghasilannya.

Dokumentasikan sejarah peradaban sepanjang Sungai Pahang



ORANG ramai menyaksikan peserta berakit memulakan Ekspedisi Berakit Antarabangsa Sungai Pahang 2008 di Kuala Lipis, kelmarin.

KUALA LIPIS 28 April - Semua pihak yang terlibat dalam Ekspedisi Berakit Antarabangsa Sungai Pahang 2008 disaran membuat kajian mengenai aspek kebersihan dan sejarah peradaban Melayu di sepanjang sungai itu.

Ahli Parlimen Lipis, Datuk Dr. Mohamed Shahrum Osman berkata, hasil kajian itu amat penting bagi tujuan pemuliharaan dan mengawal kebersihan alam sekitar di sepanjang Sungai Jelai dan Sungai Pahang.

Menurut beliau, kajian mengenai khazanah sungai, artifak sejarah, geologi dan ekosistem perlu didokumentasikan dalam bentuk buku bagi tatapan generasi akan datang untuk dimanfaatkan bagi tujuan ilmiah.

''Berakit bukan sahaja untuk beriadah tetapi yang lebih penting ialah pengisiannya daripada aspek kajian mengenai sungai dan kebersihan yang boleh dimanfaatkan untuk kepentingan kerajaan dan penduduk pada masa akan datang sekali gus mendidik kita mencintai sungai," katanya.

Beliau berkata demikian ketika melancarkan Ekspedisi Berakit Antarabangsa Sungai Pahang 2008 Kesembilan di jeti Sungai Jelai di sini semalam.

Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar dan Hal Ehwal Orang Asli negeri, Datuk Wan Rosdy Wan Ismail; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Tengku, Abdul Rahman Mohamed dan ADUN Cheka, Foong Kong Fuee.

Pada majlis itu, Mohamed Shahrum menaiki rakit khas mengiringi 80 rakit yang dinaiki seramai 750 peserta ke perhentian rehat pertama di Kampung Kuala Lanar, kira-kira lapan kilometer dari bandar Kuala Lipis.

Katanya, hasil kajian mengenai kebersihan amat penting kerana Sungai Jelai dan Sungai Pahang merupakan sumber bekalan air negeri ini terutama bagi daerah berdekatan sungai tersebut.

''Selain itu, peserta dapat membuat kajian mengenai sejarah etnik Melayu di pesisiran Sungai Jelai dan Sungai Pahang kerana masih banyak khazanah yang belum diteroka untuk didedahkan kepada pengetahuan umum," katanya.

Beliau juga meminta peserta yang mengikuti ekspedisi selama lapan hari itu memanfaatkan program tersebut dengan menghayati keindahan alam sekitar di samping menyedarkan semua pihak mengenai kebersihan sungai.

Ekspedisi berakit, menurutnya, antara lain memberi peluang kepada pelancong asing dan domestik melihat cara hidup masyarakat Melayu di pesisiran sungai di setiap kampung yang menjadi perhentian peserta sebelum berakhir di Pekan.

''Peserta yang mewakili agensi kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dapat bertukar pendapat mengenai sejarah tempatan di samping membuktikan kemahiran mengawal rakit di sepanjang laluan Sungai Pahang," katanya.

Sementara itu, beliau turut mengumumkan cadangan kerajaan untuk membina sebuah jambatan gantung menyeberangi Sungai Jelai di sini, untuk memudahkan orang ramai melihat keindahan alam sekitar dan bandar bersejarah Kuala Lipis.

Katanya, projek itu juga mampu menarik lebih ramai pelancong melihat bangunan-bangunan lama tinggalan penjajah British pada abad ke-19 di bandar ini.

Ekspedisi berakit pacu sektor pelancongan Pahang

HAMZAH HAMID

KUALA LIPIS 28 April - Penduduk Kuala Lipis dan Jerantut menyambut baik usaha kerajaan negeri menganjurkan Ekspedisi Berakit Antarabangsa Sungai Pahang 2008 kerana ia mampu memacu sektor pelancongan di daerah itu.

Ekspedisi selama lapan hari bermula di Sungai Jelai di sini, mampu menarik pelancong asing ke daerah berkenaan kerana selama ini pelawat banyak tertumpu ke kawasan pusat peranginan tanah tinggi dan pulau seperti Cameron Highlands, Genting Highlands, Bukit Fraser dan Pulau Tioman.

Langkah itu juga, menurut mereka, dapat memberi peluang kepada pihak yang terlibat dalam ekspedisi tersebut menambah pengetahuan menerusi siri penjelajahan Sungai Jelai dan Sungai Pahang yang mempunyai banyak keunikan.

Pengerusi Persatuan Pemandu Pelancong Kuala Tahan, Hamzah Hamid berkata, program itu menggalakkan pembabitan ramai belia dan golongan muda mencintai alam sekitar terutama sungai di negeri ini.

''Program ini dapat menguatkan stamina, disiplin dan kemahiran peserta mengawal rakit semasa menyusuri Sungai Jelai dan Sungai Pahang sejauh 360 kilometer," katanya ketika ditemui di sini semalam.

Ekspedisi yang dianjurkan oleh kerajaan negeri dengan kerjasama Perbadanan Kemajuan Bukit Fraser (PKBF) itu merupakan kegiatan rekreasi berasaskan sungai bagi menarik lebih ramai pelawat ke Pahang tahun ini.

Seramai 750 peserta menaiki 80 rakit bersama 300 anggota keselamatan terlibat dalam ekspedisi yang akan berakhir di Pekan, 8 Mei ini.

Hamzah yang juga peserta ekspedisi itu berkata, acara tersebut memberi pengalaman baru kepada peserta dan penaja untuk membantu kerajaan negeri menghidupkan warisan sejarah bagi menarik ramai pelancong sempena Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2008.

Seorang petugas di sebuah resort di Kuala Tahan, Mohd. Azam Mohd. Yassin, 42, berkata, ekspedisi berakit dari Kuala Lipis ke Pekan itu dapat menguji peserta dalam membina semangat kerjasama dan disiplin diri semasa menyusuri Sungai Pahang.

''Program ini memberi peluang peserta menikmati keindahan alam sekitar di sepanjang Sungai Pahang dan meneroka khazanah kebudayaan dan kesenian Melayu Pahang," katanya.

Justeru, jelasnya, kegiatan itu juga dapat memberi pengetahuan kepada peserta mengenai aspek penjagaan alam sekitar dan kepentingan memulihara akuakultur di Sungai Jelai dan Sungai Pahang.

Seorang penduduk Kampung Mela, Norbazilah Ilias, 24, berkata, program itu menarik ramai pelawat untuk melihat dengan lebih dekat kehidupan masyarakat pesisiran Sungai Pahang.

''Kegiatan berakit boleh menghidupkan kembali tradisi silam orang Melayu untuk tatapan generasi hari ini dan memahami erti kepayahan penduduk yang tinggal di sini sebelum merdeka," katanya.

Sehubungan itu, Norbazilah meminta pihak penganjur perlu mengadakan lebih banyak aktiviti seumpama itu kerana ia memberi daya tarikan tersendiri kepada pelawat.

Seorang lagi penduduk, Zamri Ismail, 36, berkata, acara itu boleh menarik pengunjung tempatan di luar Pahang melihat kegiatan berakit dan kehidupan di pesisiran sungai.

''Ia merupakan satu usaha yang baik daripada kerajaan negeri tetapi saya berharap perlu lebih ramai pembabitan pelancong asing kerana program ini didominasi peserta tempatan," katanya.

Kegiatan berakit, menurut Zamri, antara sukan air yang menarik boleh dikembangkan ke peringkat antarabangsa di samping menonjol imej tradisional penduduk tempatan bagi menarik perhatian pelawat luar.

Seorang pelancong Britain, Carrie Vaughn, 35, berkata, kegiatan berakit mampu menarik pelawat luar ke Pahang untuk menikmati keindahan sungai dan memupuk kesedaran menjaga alam sekitar.

''Lawatan singkat ini menarik minat saya untuk turut menyertai ekspedisi berakit pada tahun akan datang untuk mengkaji persekitaran sungai dan budaya penduduk tempatan," katanya.

Dia yang tiba dari Kuala Lumpur menerusi sebuah agensi pelancongan berkata, kegiatan berkenaan boleh mendidik orang ramai mencintai sungai dan hidupan air.

Rakannya, Rick Walsh, 38, pula berkata, dia kagum dengan rakit buluh yang dibina dengan semangat kerjasama dan mempunyai nilai kreativiti dari segi bentuk dan hiasan.

Tambahnya, kegiatan berakit amat jarang ditemui di Britain dan kunjungan itu memberi pengalaman yang cukup berharga serta berazam untuk kembali ke negara ini bagi menyertai acara itu tahun depan.

27 April 2008

Ilmuwan sehebat Al-Khawarizmi



Peserta dari UIAM menjuarai pertandingan Al-Khawarizmi, sekali gus melayakkan mereka menyertai pertandingan di peringkat Asia.


SEBUT sahaja nama Al- Khawarizmi, seluruh dunia mengenali dan mengiktirafnya - seorang ahli matematik teragung. Beliau adalah pengasas kepada beberapa cabang dan konsep asas matematik. Hasil kerjanya dalam algebra begitu cemerlang dan beliau tidak hanya mempunyai inisiatif terhadap subjek dalam pembentukan sistematik tetapi juga bertanggungjawab membangunkan penyelesaian analitikal dalam pengembangan garis lurus serta persamaan kuadratik.

Jasa beliau yang lain ialah membangunkan secara terperinci bidang trigonometri iaitu ilmu matematik mengenai sudut dan sempadan segitiga yang mengandungi fungsi sine.

Kejayaan itu akhirnya menjadikannya pengasas Algebra sehingga digelar ‘Bapa Algebra’. Nama Algebra diperoleh daripada bukunya yang terkenal iaitu Al-Jabrwa-al-Muqabilah.

Sumbangan Khawarizmi dalam ilmu geografi turut cemerlang. Beliau tidak hanya menyemak pandangan Patolemy mengenai geografi tetapi juga membetulkannya termasuk dalam melakar peta dunia. Al-Khawarizmi merupakan saintis pertama yang melakar peta dunia pada tahun 830 Masihi iaitu 10 tahun sebelum beliau meninggal dunia.

Nama sebenar beliau ialah Abu Abdullah Mohammad Ibn Musa al-Khawarizmi. Tarikh lahir dan kematiannya yang tepat tidak diketahui tetapi beliau dikatakan hidup di antara tahun 790 sehingga 840 Masihi. Ada juga yang menyatakan beliau lahir pada tahun 780 Masihi dan meninggal dunia pada tahun 850 Masihi.

Gelaran Al-Khawarizmi diberi kepada beliau sempena tempat kelahirannya di Khawarizm yang terletak di selatan Laut Arab. Beliau lahir di sebuah tempat bernama Kath iaitu sebahagian daripada daerah Khawarizm.

Bagi memperingati kejayaan dan sumbangan yang begitu besar oleh ilmuwan Islam itu, satu Pertandingan Pengaturcaraan komputer Al-Khawarizmi diadakan di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), baru-baru ini.

Program bertaraf antarabangsa ini mendapat pengiktirafan Association of Computing Machinery - International Collegiate Programming Contest (ACM-ICPC) di mana empat profesor dari pertubuhan tersebut mengadakan lawatan dan perjumpaan bagi meluluskan penganjuran pertandingan tersebut di peringkat kebangsaan seterusnya melayakkan ke peringkat dunia pada tahun 2008 dan 2011.

ACM adalah pertubuhan pakar dalam kemahiran IT dalam mencipta perisian-perisian baru komputer bagi membolehkan pelajar menguji keupayaan untuk bekerja di bawah pengaruh tekanan.

Bagi melahirkan universiti di Malaysia untuk bergiat aktif dan berdaya saing khususnya dalam teknologi komputer, sememangnya pertandingan sebegini sangat bertepatan sebagai platform untuk mencapai taraf dunia berikutan laporan kajian yang dijalankan oleh Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) yang menunjukkan bahawa tidak ada universiti dalam negara yang mencapai tahap terbilang iaitu bertaraf dunia.

Selain dapat mengenalpasti dan mengiktiraf bakat peserta dari Malaysia, pertandingan ini juga dapat melatih dari segi penganjuran dan penyertaan secara profesional dan bersifat antarabangsa.

Oleh kerana tahun ini merupakan penganjuran pertama, pertandingan adalah bersifat tempatan.

Bagaimanapun konsep pertandingan dan pengadilan sepenuhnya bersifat antarabangsa yang mana menyaksikan bekas Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Mustapa Mohamed menjadi penaung pertama sambil memperkenalkan trofi al-Khawarizmi Championship.

Sebanyak 13 kumpulan daripada beberapa universiti di Malaysia menyertai pertandingan yang julung kali dianjurkan ini. Juara akan mewakili Malaysia ke pertandingan peringkat Asia.

Antara universiti-universiti yang mengambil bahagian adalah UIAM yang menghantar lima kumpulan, Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTEM), Universiti Tenaga Nasional (UNITEN), Universiti Teknologi Mara (UiTM), Universiti Multimedia (MMU) - dua kumpulan, Universiti Darul Iman (UDM) juga dua kumpulan dan Universiti Teknologi Petronas (UTP).

UIAM menjuarai pertandingan tersebut dan MMU sebagai tempat kedua dan ketiga. Juara membawa pulang wang RM3,000, RM2,000 tempat kedua dan RM1,000 tempat ketiga bersama piala kejohanan Al-Khawarizmi serta sijil penyertaan.

Menurut Dekan Fakulti Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT), Prof. Madya Dr. Basri Hassan, penganjuran ini juga bertujuan mencapai misi dan visi UIA iaitu ke arah pengislaman, integrasi, antarabangsa dan kecemerlangan di samping menerapkan nilai-nilai Islam dalam pengetahuan ICT dan mengintegrasikan antara Islam dan ICT.

“Program ini merupakan keperluan untuk mempromosikan agenda antarabangsa supaya pelajar di Malaysia dapat diberi pendedahan sebagaimana telah pun dipraktikkan oleh pelajar negara ini sebelum ini,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap pada majlis perasmian Pertandingan Pengaturcaraan Komputer ACM-ICPC Malaysia Al-Khawarimi yang berlangsung di UIAM, baru-baru ini.

Menurut Basri, format pertandingan adalah berkonsepkan penyelesaian masalah di mana peserta perlu menyelesaikan beberapa masalah pengaturcaraan komputer dan menggunakan kemahiran tersebut ketika berdepan dengan situasi sebenar.

“Penyelesaian masalah di dalam pengaturcaraan komputer adalah kemahiran penting yang perlu ada dan diketahui oleh mereka yang terlibat dalam industri ini,” jelasnya.

Selain mengharapkan penyertaan yang lebih ramai daripada pelajar universiti negara ini untuk program masa hadapan, Basri berkata, ia juga bertujuan sebagai penanda aras untuk menguji kemahiran pelajar di peringkat antarabangsa.

“Kita merancang menganjurkan program ini tahun hadapan bagi kali kedua seterusnya bagi peringkat Asia di Malaysia buat pertama kali di mana dapat memberi platform kepada pelajar dalam membiasakan diri dengan pertandingan bertaraf antarabangsa,” ujarnya.

Sesungguhnya mencari ilmu itu penting tidak kira apa bentuk ilmu yang dicari asalkan ia bermanfaat. Ini bertepatan dengan sabda Rasulullah SAW, Menuntut ilmu itu adalah wajib kepada orang Islam, lelaki dan perempuan. (riwayat Muslim)

Allah juga berfirman dalam al-Quran yang bermaksud, Allah akan mengangkat orang beriman di antaramu dan orang berilmu beberapa darjat. (al-Mujadalah:11).

Bahasa Melayu bahasa rakyat Malaysia

DI Amerika Syarikat kaum imigran berlumba-lumba belajar bahasa Inggeris untuk berkomunikasi atau mencari pekerjaan. Yang dimaksudkan dengan bahasa Inggeris ialah bahasa Inggeris Amerika.

Bukan bahasa Inggeris England. Para pelajar baik muda atau tua termasuk kanak-kanak meskipun yang sememangnya boleh berbahasa Inggeris (England) diadun dan dilentur supaya bertutur dan menulis dalam loghat bahasa Inggeris Amerika.

Berbagai kemudahan disediakan kerajaan dan pihak berkuasa tempatan. Termasuk institusi-institusi pelajaran untuk orang dewasa.

Namun tidak ada kaum imigran yang protes. Tidak ada yang mendesak supaya bahasa etnik mereka diterima sebagai bahasa rasmi meskipun di California bahasa Spanish dianggap sebagai bahasa kedua.

Sebaliknya rakyat Amerika amat bangga dengan bahasa Inggeris Amerika. Malahan kebelakangan ini ramai orang asing tertiru-tiru bahasa Inggeris Amerika termasuk rakyat Malaysia yang tinggal di Malaysia.

Sebagaimana bahasa Inggeris di Amerika, bahasa Melayu adalah bahasa rasmi di Malaysia. Perbezaannya di Malaysia semakin ramai rakyat yang tidak senang dengan bahasa Melayu. Malahan ada yang terang-terang mahu Malaysia mengamalkan dasar berbilang bahasa.

Penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar di sekolah-sekolah tidak menjadi masalah besar hampirhampir tiga puluh tahun. Namun tekanan dan desakan berkesudahan dengan penggunaan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar untuk matapelajaranmatapelajaran matematik dan sains.

Kononnya perubahan ini perlu kerana bahasa Inggeris merupakan bahasa perdagangan dan komunikasi dunia. Pelajar-pelajar Malaysia mesti mengikuti matapelajaran ini dalam bahasa Inggeris bagi membolehkan mereka bersaing.

Sepatutnya bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar bagi setiap matapelajaran tidak diganggu gugat. Apa yang perlu ialah penumpuan yang lebih serius kepada pengajaran bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua.

Untuk bersaing di peringkat dunia, negara memerlukan guru-guru bahasa Inggeris yang berkualiti. Kalau perlu guru-guru ini diimport dari luar negara seperti mana yang pernah dilakukan oleh China, Thailand dan sebagainya.

Dasar flip flop ini menyebabkan ada yang menuntut supaya sekolah berbahasa pengantar Inggeris ditubuhkan.

Penulis terbaca berita mengenai pemasangan beberapa nama jalan dalam berbagai bahasa di Kuala Lumpur oleh DAP ketika negara rancak dengan kempen pilihan raya ke-12 lalu. Mungkin juga perkara yang sama dilaksanakan di Ipoh tidak lama lagi.

Apakah tindakan DAP ini boleh dipersoalkan sedangkan beberapa nama jalan di Kuala Lumpur ditulis di dalam bahasa Arab. Untuk menarik pelancong? Bagaimana pula dengan pelancong dari negara-negara lain? Jepun, China, Peranchis atau Jerman.

Selain daripada itu pihak berkuasa mesti mengawasi perlaksanaan bahasa Melayu supaya ia tidak diperlekehkan. Diperhatikan berbagai pihak termasuk pengeluar filem dan drama tidak menggunakan bahasa Melayu dengan betul.

Paling menonjol ialah terjemahan "sub title" drama-drama dan filem-filem asing yang disiar di televisyen. Nampaknya industri terjemahan ini telah menjadi satu industri yang lumayan. Tetapi kualiti terjemahan adalah amat buruk.

Diharap seminar perpaduan Melayu yang bakal diadakan tidak lama lagi akan juga membincangkan nasib bahasa Melayu.

Pada tahun 1977 Universiti Malaya memperkenalkan satu pengajian yang dikenali sebagai Rancangan Penulisan Kreatif dan Deskriptif (kini dikenali sebagai Jabatan Penulisan dan Multimedia). Program inisiatif Prof. Diraja Ungku Aziz adalah bertujuan mempertingkatkan kualiti Bahasa Melayu.

Kini, selepas 30 tahun penulis percaya program tersebut telah menghasilkan tidak kurang 500 orang siswazah.

Sayang sekali bahasa Melayu ketika ini dikira berkecamuk. Seolah-olah tidak mempunyai keperibadian sendiri sama seperti budaya kita. Rakyat Malaysia khususnya Melayu marah setiap kali dituduh menciplak hak orang lain.

Tetapi cuba-cubalah amati bahasa Melayu yang digunakan di dalam filem-filem Melayu, drama-drama, ruangan sukan atau forum-forum di televisyen.

Penulis rasa geli geleman apabila terdengar lagu Burung Kakak Tua dimainkan sebagai lagu latar belakang kontinjen Malaysia di majlis penutup Sukan Sea di Korat, Thailand. Sedangkan generasi tua tahu bahawa lagu tersebut ialah lagu Indonesia dipopularkan oleh Titiek Puspa hampir-hampir 50 tahun lalu.

Malahan anggota-anggota kontinjen Malaysia begitu senang bercakap bahasa Inggeris ketika ditemu bual (di majlis penutup) sedangkan kontinjen dari negara lain bercakap dalam bahasa kebangsaan negara masing-masing. Agak menarik apabila seorang ahli kontinjen Singapura bercakap dalam bahasa Inggeris dan Mandarin.

DPMPP mahu jadikan pasar malam produk pelancongan


Oleh NURUL HUDA HASSAN

PULAU PINANG 22 April - Dewan Perniagaan Melayu Pulau Pinang (DPMPP) berhasrat menjadikan pasar malam di negeri ini sebagai produk pelancongan yang mampu membawa pulangan lumayan kepada peniaga kecil.

Yang Dipertuanya, Rizal Faris Mohideen Abdul Kader berkata, satu mekanisme baru perlu diperkenalkan bagi menaikkan imej dan pendapatan penjaja serta peniaga kecil termasuk di pasar malam negeri ini.

Menurutnya, pelan tindakan yang sistematik telah dirancang dan perkara tersebut juga sudah dikemukakan kepada kerajaan negeri untuk langkah yang seterusnya.

"Pulau Pinang terkenal dengan jolokan syurga penjaja tetapi tidak banyak yang dilakukan untuk membantu mereka menjadi satu simbol tarikan ke negeri ini.

"Oleh itu, kita telah mengadakan pertemuan dengan kerajaan negeri bagi membincangkan perkara berkaitan dengan komuniti tersebut," katanya pada sidang akhbar di pejabat DPMPP di sini semalam.

Tambahnya, pada masa sama, DPMPP juga akan mendapatkan maklum balas dan pandangan daripada peniaga dalam usaha meningkatkan kemudahan infrastruktur dan pendapatan mereka.

Katanya, berdasarkan kaji selidik yang dilakukan pihaknya, satu lokasi pasar malam Melayu di Pulau Pinang berupaya mencatatkan jualan sebanyak RM100,000 dengan purata jualan keseluruhan boleh mencecah RM100 juta setahun.

"Kita mahu pasar malam di negeri ini menjadi tumpuan pelancong baik tempatan mahu pun luar negara seperti Pasar Notting Hill di London dan Souk di Dubai yang mampu membawa pulangan lumayan kepada peniaga dan negara," ujarnya.

Beliau yang baru dilantik Ahli Majlis, Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) bagi tempoh April hingga Disember ini juga berjanji untuk menunaikan tanggungjawab dengan sebaiknya dan akan berusaha mencari peluang yang mampu memberi keuntungan kepada negeri ini.

Jelasnya, peluang yang telah diberikan itu tidak akan disia-siakan dan beliau akan memberikan kerjasama kepada kerajaan negeri dalam usaha menjadikan Pulau Pinang ke arah sebuah bandar yang maju, moden, seimbang, selamat dan berdaya saing.

Melatih bakal pakar bioteknologi


BILA ditanya mengenai kerjaya, sudah tentu ibu bapa banyak mempengaruhi fikiran anak-anak mereka.

Paling banyak jawapan yang diterima mungkin doktor, jurutera, peguam, guru atau jururawat dan jarang yang mahu menjadi saintis.

Itu mungkin dulu, tapi sekarang tidak lagi. Ini kerana saintis terutama bioteknologi menjadi bidang kerja pilihan di masa hadapan.

Ketua Pegawai Eksekutif Malaysian Biotechnology Corporation Sdn. Bhd. (BiotechCorp), Datuk Iskandar Mizal Mahmood berkata, modal insan dalam bidang bioteknologi amat diperlukan memandangkan industri berkenaan semakin berkembang maju.

“Kami di BiotechCorp menjalankan pelbagai aktiviti bagi menarik minat masyarakat dalam membangunkan bidang bioteknologi,” katanya semasa ditemui di pejabatnya di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Beliau menambah ini bersesuaian dengan Dasar Bioteknologi Kebangsaan yang dilancarkan pada 2005.

Dalam masa yang singkat iaitu tidak sampai tiga tahun, industri bioteknologi membangun dengan amat pesat dengan terdapat 51 syarikat bertaraf Bionexus.

Syarikat bertaraf Bionexus adalah syarikat yang berdaya maju dari segi pelaburan yang diluluskan mencecah RM1 bilion.

Daripada 51 buah syarikat berkenaan, ia berjaya menjana lebih 1,000 peluang pekerjaan kepada graduan yang melebihi jangkaan awal.

Iskandar menambah tahun ini dijangka syarikat bertaraf Bionexus akan bertambah sehingga 70 buah dan secara tidak langsung memerlukan lebih banyak modal insan.

“Persoalannya bagaimana untuk menampung keperluan syarikat Bionexus yang semakin berkembang ini?” soal beliau.

Iskandar berkata, graduan lepasan institut pengajian tinggi (IPT) awam atau swasta kadang-kala tidak selaras dengan kehendak industri.

Justeru pihaknya mengambil langkah melaksanakan Biotechnology Entrepreneurship Special Training (BeST) bagi melatih graduan agar sesuai dengan keperluan industri.

Bagi suku ke tiga 2007, BeST telah melatih tiga kumpulan dengan jumlah 250 orang menerusi latihan dalam kelas, makmal dan industri.

“Latihan yang berjalan selama tiga bulan akan memberikan keyakinan bukan saja kepada graduan tetapi juga pihak industri mendapatkan pekerja yang cemerlang.

“Biasanya graduan-graduan ini akan terus diambil bekerja oleh industri di mana mereka menjalankan latihan sebelum menamatkan kursus,” katanya.

Program BeST

Iskandar menambah, pengambilan pelatih program BeST disiarkan di akhbar-akhbar arus perdana dan laman web BiotechCorp.

Pembinaan modal insan yang lebih terlatih pula mula dilaksanakan tahun lalu menerusi kerjasama dengan gabungan tiga buah universiti di California, Amerika Syarikat (AS) iaitu QB3.

“Dalam program berkenaan, BiotechCorp menghantar 20 peserta menghadiri kursus insentif selama satu minggu di sana,” katanya.

Program berkenaan disasarkan kepada modal insan profesional di dalam sesebuah syarikat Bionexus seperti ketua pegawai eksekutif dan pegawai eksekutif.

Program berkenaan mendapatkan sambutan yang menggalakkan dan menarik minat industri bioteknologi bagi mendapatkan kepakaran, keusahawanan, kewangan dan pembiayaan.

Bagi syarikat Bionexus yang tidak berpeluang mengikuti program QB3, Biotechcorp menjemput pakar-pakar bioteknologi dari luar negara bagi memberikan kursus insentif bagi menjayakan industri bioteknologi negara.

“Program Eminense Speaker ini telah dijalankan bukan saja memberikan kursus tetapi menarik minat pelajar dalam bidang bioteknologi,” katanya lagi.

Selain itu terdapat juga program Executive in Residence dimana pakar bioteknologi terkemuka dunia dibawa ke mari sebagai mentor kepada syarikat Bionexus terpilih negara ini.

“Individu berkenaan akan meneliti pelan perniagaan, beri nasihat, pandangan serta membuka peluang bagi pasaran yang lebih luas ke peringkat global,” katanya.

Iskandar berkata, BiotechCorp menyasarkan modal insan berpengetahuan daripada 40,000 kepada 80,000 menjelang 2011 menerusi pelbagai program yang diadakan.

Teknik hasilkan benih tilapia



Penternakan ikan tilapia menggunakan teknik inkubator.


Penghasilan benih tilapia berbeza dengan benih keli kerana sifatnya yang mengeram telur di dalam mulut sehingga menetas.

Bagi menghasilkan anak benih tilapia yang berkualiti, Perintis Agrotech Centre akan menganjurkan kursus menghasilkan benih ikan tilapia menggunakan teknik inkubator.

Kursus yang akan diadakan pada 17 dan 18 Mei ini bertujuan melahirkan lebih ramai pengusaha benih ikan tilapia berkualiti tinggi (benih monoseks).

Kursus diadakan kali kedua atas permintaan orang ramai yang ingin menceburi dan mempelajari kaedah pembenihan dan pembiakan ikan tilapia menggunakan teknik inkubator untuk skala sederhana dan komersial.

Begitu juga dengan permintaan ikan tilapia mentah dan segar yang kian meningkat berikutan penghasilan banyak produk-produk hiliran berasaskan isi ikan tilapia.

Ini secara tidak langsung memerlukan pengeluaran benih ikan tilapia yang banyak dan konsisten bagi memastikan bekalan ikan mentah dapat memenuhi kehendak pasaran.

Jika dahulu bekalan benih ikan tilapia hanya bergantung kepada kaedah pembiakan secara semula jadi, namun melalui penemuan kaedah inkubator dan bioteknologi terkini, penghasilan benih ikan tilapia yang bermutu tinggi dapat dihasilkan.

Masalah yang sering dihadapi seperti pembiakan induk betina yang terhad, bekalan tidak konsisten, penghasilan anak benih yang sedikit dan benih lambat membesar bukan lagi satu masalah besar.

Ini kerana penggabungan kaedah inkubator dan penggunaan cecair bioteknologi terbukti memberikan hasil lebih banyak, mempunyai kadar hidup tinggi, kebolehan menggunakan induk betina lebih kerap, mendapat benih berkualiti dan mempunyai daya ketahanan tinggi.

Inkubator merupakan teknologi pengklonan habitat asal ikan tilapia di mana reka bentuk yang dicipta dan pergerakan air yang diprogramkan di dalam inkubator tersebut dapat menggantikan mulut induk betina yang mengeram telur-telur di dalam mulutnya.

Pergerakan air berpusing setinggi satu hingga dua sentimeter (sm) dapat mempercepatkan telur menetas dan meningkatkan kadar hidup sehingga 90 peratus.

Cecair bioteknologi pula bertujuan menghasilkan anak-anak ikan yang tahan penyakit, bermutu tinggi dan cepat membesar.

Melalui kursus ini juga peserta berpeluang mempelajari teknik menghasilkan benih monoseks iaitu benih jantan sahaja yang secara biologinya lebih cepat membesar, tahan penyakit, aktif dan tahan lasak.

Penghasilan benih monoseks dapat memberikan pulangan yang maksimum kerana harga benih ikan tilapia ini mencecah 25 hingga 30 sen seekor.

Menurut kajian, benih ikan tilapia monoseks masih tidak mencukupi di dalam pasaran dan memerlukan sumber bekalan yang banyak.

Kursus terbuka kepada semua dan untuk pendaftaran sila berhubung dengan urus setia di talian 019-6634527.

Era baru penyelidikan angkasa tempatan



Penyelidikan angkasa yang dijalankan oleh Dr Sheikh Muszaphar (kiri) diharap dapat memberi harapan baru untuk bidang penyelidikan tempatan.


Program Angkasawan Negara yang berjaya menghantar angkasawan pertama, Dr Sheikh Muszaphar Shukor pada Oktober tahun lepas mencatatkan sejarah tetapi bukan bermakna ia menemui titik noktah.Kita tidak mungkin akan melupainya bahawa selain kejayaan yang dicatatkan oleh Sheikh Muszaphar itu, ia juga disusuli dengan kejayaan membawa penyelidikan tempatan ke Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS).

Program tersebut diharapkan dapat memberi impak besar dalam bidang sains dan penyelidikan tempatan, khususnya bagi tiga jenis penyelidikan yang dibawa itu.

Menurut Penyelaras Sains Hayat program tersebut , Prof Dr. A. Rahman A. Jamal, rancangan mengenai projek penyelidikan tersebut penting dan sekiranya kerajaan memutuskan secara hitam putih untuk meneruskan program tersebut seperti yang ditawarkan oleh pihak Rusia.

"Beban saya kurang selepas angkasawan negara mendarat," katanya dalam satu pertemuan di pejabatnya di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM), baru-baru ini.

Namun, beliau yang juga Pengarah Institut Perubatan Molekul Biologi (UMBI) Universiti Kebangsaan Malaysia berkata, tugasannya belum selesai memandangkan keputusan penyelidikan tersebut belum dapat diketahui.

Saintis dan penyelidik tempatan yang terlibat Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Malaya (UM), Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Universiti Teknologi Mara.

Penyelidikan tersebut melibatkan sel kanser yang dijalankan oleh beliau sendiri, bakteria Prof. Dr. Ramelah Mohamed dan penghabluran protein oleh Prof. Dr. Raja Noor Zaliha Raja Abd. Rahman dari Universiti Putra Malaysia (UPM).

Beliau memberi contoh, penyelidikan mengenai sel kanser penting, bagi mencari penemuan baru yang memungkinkan rawatan baru dapat ditemui memandangkan penyakit tersebut menjadi ancaman pembunuh keempat atau 40,000 kes setahun.

Beliau berkata, penyelidikan membabitkan kanser hepar (hati) penting dan kajian bidang tersebut perlu diperkukuhkan.

Kata beliau, ketiga-tiga penyelidikan tersebut sedang dalam proses analisis termasuk di Jepun.

Beliau menjangkakan laporan awal atau 'keputusan interim' dapat dikeluarkan untuk dikemukakan kepada Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI).

"Keseluruhan analisis dan keputusan dijangka dapat diketahui seawal-awal nya pada hujung tahun ini," katanya sambil menambah bahawa penyelidikan yang dibawa ke ISS itu tidak mengalami sebarang masalah atau gangguan semasa pendaratan Soyuz.

Beliau berharap sebarang keputusan yang diperoleh kelak dapat mendorong kerajaan meneruskan penyelidikan di ISS memandangkan kejayaan Malaysia itu mendapat perhatian khususnya beberapa agensi angkasa dunia. Agensi Angkasa Jepun (JAXA) misalnya telah mengadakan pertemuan dengan pihaknya pada November lepas untuk menjalin bekerjasama pada masa akan datang dalam bidang penyelidikan angkasa lepas.

Justeru, beliau berharap hasrat menjalankan penyelidikan seumpama itu pada misi 2011 yang ditawarkan oleh Rusia dapat dilaksanakan.

Ini katanya, bagi membolehkan tawaran dibuka kepada saintis untuk membentangkan penyelidikan mereka yang sesuai di bawa angkasa lepas.

Malaysia mendapat tawaran daripada Agensi Angkasa Persekutuan Rusia (Roskosmos) untuk menghantar angkasawan kedua negara ke angkasa lepas pada penghujung tahun 2010 atau awal 2011.

Sekiranya dipersetujui, ia akan melibatkan banyak bidang antaranya teknologi satelit, remote sensing, navigasi, telekomunikasi dan kajian-kajian saintifik yang boleh dilaksanakan pada misi akan datang.

Bagiamanapun, Menteri Sains Teknolgi dan Inovasi, Datuk Dr. Maximus Ongkili baru-baru ini menjelaskan, keputusan muktamad berhubung tawaran Agensi Angkasa Persekutuan Rusia (Roskosmos) untuk menghantar angkasawan kedua negara ke angkasa lepas hanya akan diketahui dalam tempoh dua bulan lagi.

Ongkili berkata, sebarang keputusan sama ada menerima atau sebaliknya tawaran tersebut akan hanya diketahui selepas satu kajian penilaian dilakukan terhadap Program Angkasawan Negara yang dilaksanakan tahun lepas.

"Perlu dibuat kajian terlebih dahulu mengenai Program Angkasawan Negara sebelum ini kerana ia berkaitan kos yang mana 70 peratus membabitkan perjanjian timbal balik pembelian pesawat Sukhoi dengan Rusia," katanya.

Apa pun keputusan kerajaan mengenai Program Angkasawan seterusnya selepas ini merupakan perkara kedua tetapi penyelidikan yang sedia ada dan sedang dianalisis itu diharapkan dapat memberi lembaran baru kepada bidang R&D di negara ini.

Menurut Dr. A Rahman, saintis memerlukan masa sekurang-kurangnya tiga tahun bagi membuat persiapan menjalankan penyelidikan di ISS bagi mereka bentuk model dan mengenal pasti kesesuaiannya.

Pada misi pertama , kira-kira 50 penyelidikan diterima daripada saintis tempatan tetapi selepas menjalani proses.

Penyelidikan tersebut perlu ada kesesuaian dijalankan di ISS seperti adanya peralatan dan habitat yang sesuai. Beliau memberi contoh, terdapat penyelidikan sebelum ini terpaksa ditolak.

Satu lagi cabaran penyelidik tempatan ialah menyediakan perkakasan atau hardware yang sesuai untuk penyelidikan tersebut dan ia akan membuka sejarah baru dalam bidang sains di negara ini sekiranya mereka membuktikan kemampuan menghasilkan peralatan sendiri.

Pada masa sama, JAXA telah membuat tawaran menarik untuk membawa penyelidikan Malaysia ke makmalnya iaitu KIBO di ISS, satu fasa baru dalam bidang penyelidikan angkasa tempatan.

KIBO merupakan makmal angkasa terbesar di ISS dan terdapat dua lagi yang telah dipasang di situ termasuk Destiny milik Amerika Syarikat (AS) dan terbaru Columbus milik Agensi Angkasa Eropah (ESA)

Justeru katanya, penglibatan saintis tempatan bukan sahaja memasuki era baru tetapi juga menarik perhatian dunia yang ingin mengetahui perkembangan bidang sains angkasa negara.

Dengan minat yang ditunjukkan oleh agensi angkasa luar seperti JAXA, ESA, Agensi Angkasa Rusia (Roskosmos) dan Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA), AS, Dr. A Rahman menegaskan, ia satu bukti usaha saintifik rakyat tempatan diiktiraf.

Oleh itu katanya, sebarang usaha dan tanggapan yang memperkecilkan Program Angkasawan Negara dan penyelidikan tersebut kerana dikatakan sepatutnya tidak timbul.

"Angkasawan yang mengaktifkan penyelidikan dan menjalankan eksperimen ini juga mestilah memahami aspek saintifik, apatah lagi persekitaran mikro graviti di ISS bukan suatu yang mudah untuk mengendalikan sebarang ujian," katanya.

Biak baka kambing kaedah bioteknologi



NAEC berfungsi membangunkan baka-baka haiwan ternakan terutamanya kambing Boer dan lembu Brakmas bagi tujuan eksport - Gambar hiasan.


Bermula dengan lawatan bekas Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, ketika itu Tan Sri Muhyiddin Yassin, tercetuslah idea untuk membina Pusat Embrio Haiwan Nasional (NAEC) pada awal tahun ini.

Pusat berkenaan bertanggungjawab mengumpul segala embrio, telur atau sperma semua jenis haiwan sama ada ruminan atau unggas bagi tujuan pembiakan in-vivo atau in-vitro.

Tujuan NAEC adalah untuk membangunkan baka-baka haiwan ternakan terutamanya kambing Boer dan lembu Brakmas bagi tujuan eksport.

Di sini, baka-baka bermutu akan dikumpulkan seperti ladang baka atau stud Boer di Afrika Selatan dan Brakmas dari Australia bagi dibiakkan di negara ini.

Pusat yang dikendalikan oleh Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) pada peringkat permulaan hanya mengimport embrio dari luar negara seperti Afrika Selatan.

Pegawai Penyelidik Prinsipal, Pusat Promosi dan Pembangunan Teknologi, Ibu Pejabat MARDI, Dr. Mohmad Mustafa berkata, pihaknya telah membawa lebih kurang 600 embrio beberapa spesies kambing seperti Boer, Kalahari Red (merah) dan Savana (putih) dari Afrika Selatan.

“Boer merupakan baka kambing ternakan terbaik dunia manakala Kalahari Red dan Savana merupakan cabang baka berkenaan,” katanya semasa ditemui di pejabatnya di Serdang, Selangor baru-baru ini.

Dr. Mohmad berkata, NAEC ditubuhkan bagi meningkatkan kualiti baka memandangkan harga seekor kambing Boer terbaik boleh melangkau lebih RM100,000.

Justeru, harga yang mahal menyebabkan kebanyakan penternak dan negara hanya membeli embrio dan semen untuk di simpan di dalam bank gen serta menggunakan ibu tumpang bagi tujuan pembiakan.

NAEC juga memberikan perkhidmatan bioteknologi pembiakbakaan lanjutan seperti permanian beradas dan pemindahan embrio bagi sektor kerajaan dan swasta.

Pusat berkenaan amat mementingkan kualiti mendapat pengiktirafan ISO1800.

NAEC bukan saja menyimpan embrio haiwan ruminan tetapi juga haiwan bukan ruminan termasuk unggas yang pertama didirikan di negara ini.

Tugas MARDI yang lebih menjurus kepada haiwan ternakan terutama Boer.

Dr. Mohmad berkata, Boer yang berasal dari Afrika Selatan telah dimula dikaji sejak lebih 100 tahun lalu tanpa kacukan dengan spesies lain.

Pembangunan dan pemilihan baka yang dijalankan mendapatkan baka terbaik yang lebih ekonomik sehingga berat badan boleh bertambah 300 gram sehari.

Persatuan Penternak Boer Afrika Selatan telah dijemput untuk melakukan akreditasi di ladang MARDI bagi baka Boer.

Ini memandangkan kambing mempunyai sifat semula jadi gemar memakan daun pokok berbanding biri-biri yang meragut rumput.

“Kambing Boer perlu dilepaskan di padang ragut setiap hari kerana di habitat asalnya haiwan ini dibiarkan lepas bebas,” katanya.

Dr. Mohmad berkata, tujuan NAEC dengan Advanced Reproductive Biotechnology (ARB) bagi menghasilkan baka berkualiti.

Pihak MARDI mempunyai 100 ekar kawasan ladang ragut dengan enam ladang besar bersama-sama 700 ekor kambing baka tulen (stud) Afrika Selatan dan 60 ekor jantan.

Baka tulen Boer Afrika Selatan telah dibangunkan sejak 15 hingga 20 tahun lalu di Australia dengan kambing gunung Ferrall dan Cashmere.

Kini NAEC dan ARB akan membantu ladang-ladang satelit seperti Sayfull dan Boden bagi menghasilkan baka yang terbaik.

Malaysia boleh menjadi hub bagi haiwan ternakan bukan saja haiwan ruminan seperti lembu dan kambing tetapi juga unggas.

Dr. Mohmad berkata, Boer dipilih kerana mempunyai karkas sehingga 55 peratus.

MARDI yang membeli embrio dan baka dari Afrika Selatan akan memberikan lebih banyak pendidikan kepada petani.

“Biasanya kambing Boer yang dipelihara secara intensif akan dikurung di dalam kandang menyebabkan pelbagai masalah kesihatan seperti tidak sihat dan tidak cukup makan.

“Sebaiknya kambing dilepaskan di padang ragut yang mempunyai pokok-pokok renek dan kekacang bagi membekalkan protein,” kata Dr. Mohamad.

Beliau menambah, kambing Boer juga lebih suka menghabiskan masa dengan makan di tengah malam dan ini dapat meningkatkan berat badan.

Justeru ini boleh menjadikannya lebih hampir kepada habitat asal dan ini dapat mengurangkan pemberian makanan tambahan seperti palet.

Biasanya kambing Boer menghasilkan dua ekor anak setiap kali bunting dan biasanya 20 ekor ibu akan mempunyai 30 ekor anak.

Selepas enam minggu beranak, ibu tadi sudah boleh mengawan dan bunting selama lima bulan.

Kambing Boer yang boleh membiak tiga kali setahun jika dipelihara dengan baik boleh menghasilkan banyak kambing.

Malaysia sepatutnya mempunyai Persatuan Kambing Boer bagi memenuhi kehendak dan keperluan semasa.

Manakala ladang satelit merupakan penghubung antara NAEC dengan penternak kecil-kecilan memandangkan mereka mempunyai makmal kecil bagi menjalankan aktiviti bioteknologi.

Peluru kenal mangsa



1- JET pejuang F-16 melepaskan peluru berpandu dengan LJDAM dalam satu ujian penerbangan di Pangkalan Tentera Udara Elgan di Florida. 2- GAMBAR lakaran pelukis ini menunjukkan peluru berpandu yang dilengkapi dengan alat LJDAM. – Reuters


Teknologi yang canggih kini membolehkan peluru berpandu mengejar sasaran yang bergerak dan bukan hanya mengenai sasaran statik.

Dengan menggunakan alat yang dipanggil Laser Joint Direct Attack Munition (LJDAM), peluru berpandu berkeupayaan bergerak mengikut sasarannya.

Pihak tentera Amerika Syarikat (AS) sudahpun menandatangani kontrak bernilai AS$28 juta (RM88.43 juta) untuk mendapatkan alat yang menggunakan teknologi pengesan laser yang mampu mengesan cahaya laser yang dipantulkan dari sasaran sebagai panduan untuk mengejarnya.

Pelihara institusi raja


Oleh NORAINI ABD. RAZAK


Tuanku Syed Sirajuddin Syed Putra Jamalullail hadir semasa mempengerusikan mesyuarat Majlis Raja-Raja Ke-213 sambil diiringi Sultan Kedah, Sultan Abdul Halim Muadzam Shah dan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Ja'afar Tuanku Abdul Rahman di Istana Negara semalam.
- Bernama


TANGGAL 13 Julai depan genap 111 tahun selepas Majlis Raja-Raja mengadakan mesyuarat pertamanya di Istana Negara, Bukit Chandan, Kuala Kangsar, Perak.

Pertemuan ulung itu dinamakan Mesyuarat majlis Raja-Raja Bersekutu atau lebih dikenali sebagai Mesyuarat Durbar.

Segala-galanya bermula dengan penubuhan majlis tersebut pada 1 Julai 1896 selepas Negeri-Negeri Melayu Bersekutu terdiri dari Perak, Selangor, Negeri Sembilan dan Pahang ditubuhkan.

Rentetan daripada itu, sebuah majlis yang dianggotai oleh Raja-Raja Melayu Negeri Bersekutu turut diwujudkan bagi membincangkan halehwal dan kepentingan bersama dengan pemerintah Inggeris.

Keanggotaannya kemudian bertambah apabila Persekutuan Tanah Melayu ditubuhkan pada tahun 1948, dengan kemasukan Negeri-Negeri Melayu Tidak Bersekutu iaitu Johor, Kedah, Perlis, Ke- lantan dan Terengganu. Namanya juga telah dipendekkan menjadi Majlis Raja- Raja.

Selepas Persekutuan Tanah Melayu mencapai kemerdekaannya, Melaka dan Pulau Pinang turut menjadi ahli dan ini diikuti pula oleh Sabah dan Sarawak apabila Malaysia ditubuhkan pada tahun 1963.

Mesyuarat Majlis Raja-Raja yang pertama selepas merdeka ialah pada 30 dan 31 Oktober 1957 dan dipengerusikan oleh Raja Perlis, Sultan Syed Putra Syed Hassan Jamalullail.

Itu sebahagian kecil sejarah awal Majlis Raja-Raja yang semalam bermesyuarat buat kali ke-213 di Istana Negara bagi melangsungkan fungsinya yang dipersetujui di bawah Perkara 38 Perlembagaan. Uniknya mesyuarat pertama untuk tahun ke-111 ini juga dipengerusikan oleh Sultan Perlis, Sultan Syed Sirajuddin Syed Putra Jamalullail.

Terdiri daripada sembilan raja dan empat Yang Dipertua Negeri, Majlis Raja-Raja adalah lambang hubungan erat antara Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri di peringkat kepimpinan yang paling atas.

Mesyuarat kali ini sememangnya menarik dari segi warna-warninya. Empat raja atau wakilnya serta seorang Yang Dipertua Negeri diiringi oleh pemimpin negeri (Menteri Besar/Ketua Menteri) yang mewakili parti pembangkang.

Sememangnya peranan raja-raja yang tersembunyi di sebalik Perlembagaan Persekutuan dan Perlembagaan negeri sukar dimengertikan oleh rakyat.

Maka jadilah raja-raja institusi yang tersendiri sehingga setiap fungsi serta kuasa yang padanya dipandang sepi oleh rakyat, malah kadang-kadang diperlekehkan.

Namun kemelut pelantikan Menteri Besar di Perak, Perlis dan Terengganu selepas pilihan raya baru-baru ini ternyata mengembalikan ingatan rakyat terhadap fungsi sultan atau raja di negeri-negeri.

Betapa satu-satunya institusi yang tinggal untuk mempertahankan kedaulatan bangsa serta ketinggian agama Is- lam itu sering disalahertikan sebagai tidak mempunyai sebarang kelebihan.

Pensyarah Undang-Undang Perlembagaan Universiti Islam Antarabangsa, Dr. Shamrahayu Abd. Aziz menarik perhatian mengenai institusi raja-raja yang semakin dilupakan sehinggalah berlakunya gelombang di ketiga-tiga negeri itu.

Katanya, ia sekali gus mengubah pemikiran rakyat bahawa Raja-Raja Melayu atau Majlis Raja-Raja mempunyai fungsi yang terlalu hambar, penuh dengan batasan serta tidak perlu dirujuk (berbincang) setiap kali ada keputusan yang memerlukan peranan mereka.

Contoh paling mudah ialah kelantangan kerajaan Pulau Pinang ingin menghapuskan Dasar Ekonomi Baru (DEB) sedangkan ia melibatkan peranan Majlis Raja-Raja dan tidak boleh dilontarkan sewenang-wenangnya tanpa merujuk kepada majlis tersebut.

Shamrahayu berkata, keadaan itu jelas menunjukkan betapa rakyat termasuk di peringkat pemimpin masih ada yang tidak faham tentang peranan Majlis Raja-Raja.

"Sebab itu perkara-perkara seperti ini boleh dilontarkan sewenang-wenang tan- pa mengambil kira apakah kedudukan sebenarnya,'' katanya.

Beliau berkata, perkembangan terbaru itu juga menunjukkan bahawa sumbangan serta peranan raja-raja bukan hanya ditonjolkan ketika mereka bersidang.

"Sebaliknya ketika tidak bersidang pun pandangan raja-raja mesti dirujuk dalam hal-hal yang berkaitan dengan fungsi mereka seperti yang ditetapkan dalam Perlembagaan,'' katanya.

Paling dikesalkan apabila masyarakat dibelenggu oleh persepsi bahawa Majlis Raja-Raja mempunyai peranan yang amat minimum.

"Peranan Majlis Raja-Raja menjadi minimum kerana ia tidak dirujuk jauh sekali diajak berbincang sedangkan fungsi majlis amat besar,'' katanya kepada Utusan Malaysia.

Selain itu, jelas beliau, masyarakat ju- ga sering mempunyai tanggapan yang tidak tepat terhadap keupayaan raja- raja sedangkan latar belakang pendidikan mereka tidak boleh diperkecilkan begitu sahaja.

Contohnya, terkandung di dalam Perlembagaan bahawa sebarang pelantikan yang dibuat oleh raja-raja hendaklah nasihat Perdana Menteri.

Biarpun peruntukan tersebut menjelaskan sebaliknya, namun ada kalangan masyarakat berpendapat raja-raja menjadi 'yes man' iaitu bersetuju atas apa sahaja yang dikemukakan kepada mereka.

Sedangkan, hakikatnya, raja-raja mempunyai kuasa untuk menerima atau menolak nama-nama yang dicadangkan untuk apa juga pelantikan yang memerlukan restu mereka.

Oleh kerana terlalu dibelenggu oleh persepsi kurang elok tentang raja-raja maka banyak pihak yang tidak dapat menerima apa yang berlaku di Perak, Perlis dan Terengganu.

"Semestinya raja-raja yang berkenaan tahu serta pandai menilai keutamaan negeri-negeri yang baginda menjadi penaungnya. Sudah tentu juga raja-raja akan memilih orang yang layak dan di- terima oleh rakyat,'' katanya.

Raja-raja juga menggunakan pendekatan yang terbaik untuk memastikan pemimpin yang menjadi pilihan mampu meredakan ketegangan seperti yang diputuskan di Perak.

Hakikatnya Mesyuarat Majlis Raja- Raja kali ke-213 biarpun tidak akan mengetengahkan kepada umum inti perbincangannya, namun kepentingannya mesti diakui oleh semua pihak.

Ia bukan pertemuan biasa jauh sekali sekadar memenuhi kalendar tahunan sebaliknya mesyuarat tersebut adalah platform serta peluang untuk raja-raja membincangkan perkara-perkara berkepentingan bersama.

Dengan kehadiran Yang di-Pertuan Agong dan Perdana Menteri, mesyuarat tertutup itu tidak terkecuali membincangkan pelbagai agenda termasuk dasar-dasar negara.

Perlu diketengahkan bahawa institusi raja-raja bukan sedikit peranannya malah suara mereka kini semakin diterima dan dihormati oleh rakyat.

Misalnya, buah fikiran Raja Muda Perak, Raja Dr. Nazrin Shah amat disanjung baik dari sudut perundangan, politik mahupun mengangkat negara bangsa.

Begitu juga dengan kepimpinan Sul- tan Perak, Sultan Azlan Shah serta keakraban Tengku Mahkota Johor yang sentiasa berusaha mendekatkan diri dengan rakyat.

Mereka adalah waris yang bakal menduduki takhta apabila tiba masanya kelak dan semestinya menyerlahkan peranan raja-raja serta majlis yang diwujudkan khas untuk memulihara kedudukan raja-raja di negara ini.

Jika dirujuk fungsi Majlis Raja-Raja amat besar sejajar dengan kedudukan mereka sebagai ketua agama di setiap negeri. Majlis juga mempunyai tanggungjawab istimewa iaitu untuk melindungi hak-hak istimewa bumiputera.

Persetujuan majlis juga penting untuk sebarang pindaan melibatkan Artikel 10 Perlembagaan (berkaitan isu sensitif). Secara amnya, majlis boleh membincangkan sebarang isu berkaitan dengan keselamatan dan kepentingan negara bangsa.

Peranan raja-raja mesti dihormati dan difahami supaya pentadbiran negara dapat berjalan lancar serta kedudukan negara bangsa terpelihara.

Rustam: Lontaran kemanusiaan menerusi puisi


Oleh ROOSFA HASHIM

RUSTAM A. SANI, seorang kolumnis dan bekas pemimpin kanan Parti Rakyat Malaysia meninggal dunia semalam. Allahyarham Rustam adalah putera kepada pengasas parti itu dan bekas ahli Parlimen Ahmad Boestaman. Rustam menghadap Ilahi di rumahnya di Bukit Lela, Gombak akibat serangan jantung. Beliau meninggalkan isteri Rohani Zainal Abidin dan dua orang anak, Azrani dan Ariani. Rustam berusia 64 tahun.

Rustam akan dikenang kerana sumbangannya dalam kesusasteraan Melayu khususnya dalam bidang terjemahan kerana banyak menterjemah karya kreatif asing ke dalam bahasa Melayu.

Antara karya terjemahannya yang kuat ialah Sastera Baru Indonesia oleh A. Teeuw dan karya lain seperti Gasper Ruiz dan Istana Impian serta beberapa cerpen dalam antologi Shoji.

Beliau dikatakan telah mendekatkan pembaca kepada karya-karya terpilih luar negara melalui usaha penterjemahan karya sastera secara lebih profesional dan bertanggungjawab.

Rustam lahir di Ipoh pada 11 Ogos 1944 dan menerima pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Behrang Ulu, Tanjung Malim (1951-55) dan menengah Inggeris di Methodist English School, Tanjung Malim (1956- 63), dan kemudian di Victoria Institution, Kuala Lumpur (1963-64). Beliau kemudian memperoleh ijazah sarjana muda sastera dari Universiti Malaya (1970) dan melanjutkan pengajian di Universiti Reading (1973) dan Universiti Kent (1975) sebelum meneruskan pengajian kedoktoran di Universiti Yale.

Kerjaya awal Rustam bermula di Oxford University Press, Kuala Lumpur sebagai Penolong Editor (1965-67) dan menjadi Editor (1970-71).

Allahyarham kemudian menjadi Penolong Pendaftar (akademik dan rekod) di Universiti Malaya. Beliau pernah menjadi pensyarah bidang penterjemahan di Pusat Bahasa, Universiti Malaya sebelum menyertai Universiti Kebangsaan Malaysia.

Beliau menjadi Ketua, Jabatan Antropologi dan Sosiologi mulai 1984.

Cerpen Rustam pernah memenangi sayembara anjuran Berita Harian tetapi beliau lebih kuat dalam genre puisi. Antologinya berjudul Riak-Riak Kecil terbit di Dewan Bahasa dan Pustaka (1977) menghimpunkan 39 sajak berupa tanggapan, kesan dan pengalaman beliau terhadap manusia dan kemanusiaan.

Sungguhpun puisi-puisinya bernada protes dan tajam tetapi tidak pula melukakan. Rustam pernah memenangi Hadiah Sastera Malaysia (Bahagian Esei dan Kritik), 1988-99.

Sebagai sarjana sains sosial, pandangannya banyak dilontarkan dalam pelbagai seminar dan forum khususnya tentang masalah pendidikan. Salah satu yang memperlihatkan kebimbangan Rustam ialah kertas kerjanya dalam Seminar Pendidikan Umum Kurikulum Baru Sekolah Menengah pada 1985 yang berjudul Literasi Sains Sosial dalam Kurikulum Baru Sekolah Menengah: Satu Pandangan Umum.

Rustam juga agak kritikal dengan perkembangan di Dewan Bahasa dan Pustaka dengan membentangkan pandangannya dalam Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu Ke-IV melalui kertas kerjanya yang berjudul Dewan Bahasa dan Pustaka: Matlamat Asalnya dan Perkembangan Masa Kini.

Rustam menerima beberapa anugerah biasiswa. Pada 1966 beliau menerima Oxford University Press Meritorious Service Award dan selepas itu OUP menawarkan biasiswa untuk beliau melanjutkan pengajian di Universiti Malaya (1967- 1970).

Beliau kemudian terpilih menerima zamalah Fulbright Hays untuk pengajian siswazahnya di Universiti Yale, Amerika Syarikat.

Sungguhpun telah lama meninggalkan UKM di Bangi, Rustam tetap dikenali sebagai seorang sarjana dan ahli akademik. Ini kerana sebelum meninggalkan kampus, Rustam banyak terlibat dalam kegiatan kesarjanaan, kesusasteraan dan penerbitan. Beliau menduduki kerusi senat universiti, Jawatankuasa Persidangan UKM (1985-86), Panel Hakim Anugerah Buku Majlis Buku Kebangsaan Malaysia (1982 dan 19-84), panel hakim Hadiah Sastera Malaysia 1983/84, Ketua Editor jurnal Akademika (1976-78), Editor Jurnal Antropologi dan Sosiologi (1982-85), dan Editor jurnal Ilmu Masyarakat terbitan Persatuan Sains Sosial Malaysia.

Sebelum meninggalkan UKM, Rustam adalah pensyarah di Jabatan Sains Politik UKM.

Selepas meninggalkan UKM Rustam menjadi Felo Kanan dan Ketua Editor merangkap Pengarah Eksekutif (Penerbitan) di Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa (ISIS) antara 1990-95.

Kemudian Rustam menjadi Pengerusi Eksekutif Pascabaru (1995-97) dan Felo Kanan di Pusat Dialog Peradaban, Universiti Malaya (1997- 99)

Rustam pernah menjadi kolumnis Dewan Masyarakat, Utusan Malaysia, New Straits Times, The Edge, Detik, Harakah, Suara PRM, Siasah, Suara Keadilan, dan Nanyang Siang Pau (Cina).

Antara buku beliau yang telah terbit ialah Melayu Baru: Beberapa Persoalan Sosio- Budaya (1992); Politik dan Polemik Bahasa Melayu (1993); Melayu Baru dan Bangsa Malaysia: Tradisi Cendekia dan Krisis Budaya (1993); Menjelang Reformasi (2004); Ke Mana Nasionalisme Melayu? (2004) dan Bercanda dengan Mahathir (2006).

Sebagai editor dan pengarang, Rustam memang tidak pernah berhenti menulis. Dirinya membuat-buak, bak sumur di ladang, yang tak pernah kering.

Kebelakangan ini peminatnya mengikuti buah fikiran Rustam dalam blog Suara Rakyat dan Karya Semasa.

Allahyarham hanya menunggu tiga hari lagi untuk majlis pelancaran dua buku terbarunya Failed Nation? Concerns of Malaysian Nationalist dan Social Roots of The Malay Left di Perpustakaan Negeri Selangor di Shah Alam pada pukul 3 petang Sabtu ini. Negara kehilangan seorang puteranya yang pintar dan tajam fikirannya.

Al-Fatihah.