Maju Melayu Perkasa!

31 Mei 2008

Terbang Tinggi


Oleh Diyanah Anuar


ANTARA peminat pesawat dan helikopter kawalan jauh yang sering mengisi masa lapang mereka dengan hobi ini.

Permainan pesawat kawalan jauh tarik minat pelbagai kelompok usia

PERSEPSI umum yang sering menganggap hobi bermain pesawat kawalan jauh adalah mahal nampaknya tidak lagi relevan kerana pada realitinya, kos perbelanjaan kegiatan masa lapang ini mampu ditanggung mengikut kesesuaian bajet.

Berbeza ketika ia mula-mula diperkenalkan Malaysia pada era 1970-an, hobi ini dikatakan hanya sesuai dimainkan golongan berada kerana pesawat kawalan jauh ini sukar diperoleh di pasaran, malah sebahagian besar peminat terpaksa mendapatkan pesawat mereka dari luar negara.


Namun, apabila hobi ini berkembang luas baik di peringkat antarabangsa malah tempatan, pengeluaran dan penawaran pesawat kawalan jauh semakin meningkat. Harga produk ini pula tidaklah semahal yang disangka, apatah lagi sejak munculnya produk dari China yang dijual dengan harga berpatutan.

“Keseronokan permainan pesawat kawalan jauh sekarang dapat dinikmati oleh pelbagai lapisan masyarakat,” kata pengurus perniagaan permainan kawalan jauh, NTC Hobbies (M) Sdn Bhd (NTC), Johnny PH Pong yang ditemui i-Kon baru-baru ini.

NTC yang beroperasi di Ara Damansara adalah antara pengedar dan pembekal utama produk pesawat kawalan jauh khususnya buatan Amerika Syarikat (AS) dan Jerman di Kuala Lumpur.

Menyentuh soal kos perbelanjaan untuk hobi ini yang sering dilabel tinggi, Johnny berkata, ia tidaklah semahal yang disangka ramai orang. Perbelanjaan untuk hobi ini masih boleh dikategorikan mampu ditanggung kerana ada pelbagai pilihan produk yang ditawarkan pada harga berbeza.

“Perbelanjaan besar mencecah puluhan ribu ringgit seperti yang didakwa itu mungkin membabitkan peminat yang benar-benar serius dalam hobi ini. Mereka selalunya memiliki banyak koleksi pesawat kawalan jauh serta sering berbelanja untuk mengubahsuai pesawat mereka.

“Bagi peminat biasa, kos perbelanjaannya tidaklah begitu tinggi. Malah, jika bijak memilih produk bersesuaian, kosnya dapat dikurangkan,” kata beliau.

Di NTC, tambah Johnny, peminat permainan ini juga boleh mencipta pesawat mereka sendiri dengan bahan dan peralatan yang dijual di sini. Selain itu, NTC turut membekalkan alat ganti serta menawarkan khidmat membaik pulih pesawat rosak.

Bagi pemain baru, Johnny lazimnya mengesyorkan mereka bermula dengan pesawat jenis sayap rendah seperti model easystar kerana ia lebih mudah dikendalikan dan kipasnya pula terletak di bahagian tengah. Menurut Johnny, ini dapat mengelak risiko kecederaan memandangkan pemain belum begitu cekap mengawal pesawat.

Ceritanya lagi, ada tiga jenis sayap bagi pesawat kawalan jauh iaitu sayap tinggi, sayap tengah dan sayap rendah. Material yang pada badan pesawat easystar kebanyakannya diperbuat dari foam jenis elapor (bahan seperti polisterin) yang kukuh dan meminimumkan risiko kerosakan. Material lain yang turut digunakan adalah kayu balsa, komposit dan gentian fiber.

“Untuk helikopter pula, badannya diperbuat dari gabungan plastik dan besi. Harga sebuah helikopter kawalan jauh yang biasa adalah antara RM600 hingga RM1,000 ke atas manakala jenis pesawat pula harganya sekitar RM1,500 ke atas.

“Jika helikopter menghadapi kemalangan, ia masih boleh boleh diperbaiki tapi bagi sesetengah pesawat yang material buatannya tidak kukuh, ia mungkin tidak dapat digunakan lagi. Namun, kos untuk membaiki helikopter biasanya lebih tinggi daripada pesawat.

“ Kos pesawat atau helikopter ini sebenarnya boleh mencecah hingga RM10,000 bergantung kepada pengubahsuaian dan aksesori yang digunakan,” kata Johnny.

Sebelum melakukan penerbangan sebenar, individu yang baru hendak memulakan hobi ini kata Johnny, akan didedahkan dengan teknik kawalan penerbangan menggunakan simulator.

Katanya, penggunaan alat ini dapat membantu seseorang memahami teknik mengawal pesawat kerana simulator ini boleh dikatakan hampir 90 peratus menyamai pengendalian pesawat kawalan jauh sebenar.

“Sekurang-kurangnya ia mengelak kerosakan yang mungkin dilakukan pemain yang tidak berpengalaman ketika pertama kali mengendalikannya.

“Pesawat yang dikawal menerusi simulator juga boleh jatuh atau ditimpa kemalangan, tapi ia dapat dipulihkan serta-merta,” ujarnya yang turut memiliki lima pesawat kawalan jauh.

Ditanya mengenai peringkat umur pelanggan yang sering berkunjung ke premisnya, Johnny berkata, rata-ratanya berusia antara 25 tahun hinggalah ke lewat 50-an.

“ Ada juga golongan yang lebih muda berminat namun belum cukup berkemampuan dari segi kewangan untuk bergiat serius dalam hobi ini.

“Malah, ada di kalangan pelanggan di NTC yang terdiri daripada pesara mengatakan ketika muda dulu berminat tapi tidak berpeluang merealisasikan minat itu kerana kekangan kewangan pada waktu itu.

“Ramai yang menggemari permainan ini kerana ia mampu mempertingkatkan pelbagai kemahiran, antaranya kawalan, kejuruteraan, elektrikal dan juga struktur.

“Bagi mereka yang benar-benar serius dalam bidang ini, mereka biasanya dapat belajar memahami sistem teknikal yang membuatkan pesawat berfungsi serta aspek rekaan dan binaan pesawat yang mempengaruhi keupayaan terbangnya,” katanya.

Hobi bermain pesawat kawalan jauh perlu sokongan

BIARPUN aktiviti ini semakin popular sebagai hobi masyarakat tempatan, agak mengecewakan kegiatan bermain pesawat atau helikopter kawalan jauh ini seolah-olah tidak mendapat perhatian dan sokongan pihak tertentu.

Berbeza dengan hobi atau sukan lain yang sering menerima tajaan mahupun fasiliti pembangunan, aktiviti permainan pesawat kawalan jauh ini dikatakan tidak menerima kemudahan sepatutnya.

Itu antara kekecewaan yang diluahkan beberapa individu yang aktif dan berpengalaman dalam aktiviti permainan pesawat kawalan jauh ketika ditemui i-Kon baru-baru ini.

Antara yang menyuarakan pandangan ialah seorang pemain ‘senior’, lebih senang dikenali sebagai Zali yang ‘menerbangkan’ pesawatnya sejak lebih 20 tahun lalu.

Kata beliau, selama bergiat dalam bidang ini, belum ada lagi usaha dari pihak bertanggungjawab untuk memajukan lagi aktiviti ini walaupun ia mempunyai pengikut yang ramai.

“Apa yang kami benar-benar harapkan adalah penyediaan lokasi bersesuaian untuk kami melakukan aktiviti ini.

“Permainan seperti ini perlu dilakukan di kawasan yang betul-betul kosong dan lapang serta tidak menjadi tumpuan orang awam atas faktor keselamatan. Tapi kemudahan seperti ini tidak diperoleh jadi kami terpaksa ‘menumpang’ kawasan lapang milik orang lain tapi sampai bila?

“Selain itu, pihak berkenaan juga sepatutnya melihat potensi aktiviti ini untuk dimajukan seperti yang dilakukan negara jiran serta di peringkat antarabangsa,” katanya.

Pendapat yang sama turut dikongsi Mohd Ridzuan Abd Rahim, 33. Beliau berkata, aktiviti ini dapat dipertingkatkan ke satu tahap yang lebih membanggakan jika pihak berkepentingan bertindak membangunkannya.

“Komuniti peminat aktiviti ini di Malaysia sememangnya besar namun kebanyakan perkara terpaksa kami lakukan sendiri.

“Kami merasakan, untuk memajukan aktiviti ini di sini, kerjasama kerajaan adalah diperlukan terutama dari segi penyediaan kemudahan seperti lokasi bermain,” katanya yang memulakan hobi ini sejak tujuh tahun lalu selepas diperkenalkan rakannya.

Hampir setiap hari, Mohd Ridzuan dan peminat aktiviti ini akan berkumpul di ‘kawasan permainan’ mereka dan menerbangkan pesawat masing-masing. Didorong minat yang mendalam, ramai antara mereka yang singgah ke sini sebaik selesai tugas di pejabat.

Di sini jugalah mereka akan mempamerkan kemahiran masing-masing dalam mengemudi pesawat kebanggaan dan pelbagai aksi penerbangan menarik dapat disaksikan di ruang langit yang biru.Waktu ini turut dimanfaatkan mereka untuk berkongsi ilmu kawalan penerbangan serta berbincang mengenai perkara aktiviti yang akan dianjurkan pada masa akan datang.

Isteri kepada Mohd Ridzuan, Fazlin Sabudin, 30, yang begitu faham dengan ‘kegilaan’ suaminya dalam aktiviti ini pula sering menemani beliau bermain di tempat ini.

Pernah juga Fazlin mencuba untuk mengendalikan pesawat kawalan jauh sebelum ini namun minat terhadap aktiviti ini tidak pula timbul.

“Mungkin kerana saya tidak begitu sabar dalam mempelajari kemahiran ini. Aktiviti ini sangat memerlukan kesabaran seseorang kerana untuk menguasai kemahiran mengendalikan dan mengawal pesawat, ia memakan waktu yang agak lama dan latihan yang kerap.

“Jadi, bila ke sini, saya cuma menyaksikan pesawat ‘beraksi’ dengan hebatnya di udara,” kata Fazlin.

Mukhlis Ameir, 24, yang baru beberapa bulan bergiat dalam aktiviti ini pula berkata, kepuasan yang diperoleh bila bermain pesawat kawalan jauh membuatkan beliau berhenti daripada hobi lamanya iaitu permainan kereta kawalan jauh.

“Seni penerbangan yang ada dalam aktiviti ini yang membuatkan saya tertarik. Memang berbaloi memperuntukkan wang dan waktu pada aktiviti yang menajamkan kemahiran dan menyeronokkan ini,” katanya.

Cabar ketahanan fizikal dan mental


Oleh Johari Ibrahim dan Fairuz Zaidan




Sukan lasak medium terbaik uji kemampuan individu hadapi suasana ekstrim, serlah gaya hidup sihat masa kini

DALAM kehidupan harian, manusia yang dianugerahi kekuatan fizikal mungkin hanya menggunakan sebahagian kecil keupayaan itu dalam aktiviti rutin seperti berlari atau menaiki tangga pejabat. Melainkan aktif bersukan atau sering melakukan latihan kardio di gimnasium, kekuatan fizikal yang dimiliki setiap insan jarang sekali dimanfaatkan sepenuhnya.

Bagaimana agaknya jika sesekali kekuatan fizikal ini dicabar? Apa pula berlaku jika ketahanan fizikal diuji pada tahap paling ekstrim? Apakah daya pemikiran dan kekuatan mental sebenarnya menjadi senjata yang membolehkan manusia melakukan perkara yang sebelum ini dirasakan mustahil?


Kehidupan dunia yang kompleks menyebabkan manusia makin terdesak mencari alternatif baru meleraikan kekusutan emosi atau tekanan. Tidak hairanlah aktiviti seperti memandu kereta drift, bermain futsal dan mendaki gunung semakin digemari sebagai medium melepaskan tekanan selain menguji keupayaan diri yang sebenar.

Kegiatan sukan lasak yang makin popular sekarang adalah antara medium atau latihan yang mampu menguji daya ketahanan fizikal, mental dan emosi pelaku.

Ini menarik persoalan bagaimana hendak menguruskan emosi dan mengawal komunikasi dalam keadaan fizikal yang tertekan dan diuji pada tahap maksimum. Lebih penting, bagaimana semua elemen ini hendak digalas jika anda menyertai acara ini bersama rakan atau secara berpasukan?



Dalam hal ini, emosi dan kaedah komunikasi positif biasanya mudah terjejas apabila seseorang dalam keadaan letih atau tertekan. Situasi ini menyebabkan mesej yang sampai ke otak tidak lagi bersifat konstruktif, sebaliknya menjadikan individu terbabit cepat marah dan tidak dapat lagi mengikut pertimbangan fikiran.

Sehubungan itu, sukan lasak jika disertai secara berkumpulan, mengajar peserta berhubung kepentingan mengekalkan komunikasi konstruktif sesama rakan sepasukan dalam menghadapi apa juga keadaan dan persekitaran.

Sukan lasak atau lebih kini lebih popular dengan istilah ekstrim sememangnya menuntut daya ketahanan paling maksimum, di mana memerlukan semangat dan jati diri yang tinggi dalam mengharungi cabaran getir. Sukan ekstrim tergolong dalam aktiviti sukan di tahap paling tinggi menguji daya ketahanan minda serta fizikal yang boleh mencecah bahaya.

Aktiviti sukan ekstrim menjurus kepada acara berkait rapat dengan unsur kelajuan, ketinggian, tekanan emosi dan fizikal di mana memerlukan seseorang itu bersedia untuk menghadapi segala kemungkinan dalam rutin acara yang dilakukan. Malah, sesetengah sukan ekstrim itu mendapat sambutan cukup menggalakkan walaupun bentuk permainannya lebih merbahaya dan berisiko tinggi.

Istilah merbahaya seolah-olah diketepikan sama sekali semata-mata ingin menguji kemampuan diri berdepan dengan segala cabaran. Tidak hairanlah sukan ekstrim mendapat sambutan cukup menggalakkan, khususnya di barat kerana sifat ingin tahu dan mencuba sesuatu yang bersifat bukan konvensional menyebabkan ramai beralih kepada aktiviti lebih ekstrim.

Sukar untuk menyatakan kewujudan sebanar sukan ekstrim dalam konteks sukan moden, tetapi ramai yang mempercayai yang sukan berkenaan muncul seawal 1970-an, di mana pada ketika itu sudah ada aktiviti seperti memanjat tembok batu dan larian maraton. Sukan ekstrim ternyata mencetuskan fenomena baru dalam sukan sedia ada seterusnya mencipta populariti di seluruh dunia.

Lewat kurun ke 20, era kebangkitan sukan ekstrim mula dirasai apabila semakin banyak sukan berkonsepkan ekstrim dicipta semata-mata bagi memenuhi permintaan dan sambutan masyarakat moden yang menggilai aktiviti lebih ekstrim dan lasak. Gaya hidup moden secara tidak langsung membuatkan masyarakat sanggup menghadapi risiko untuk melakukan aktiviti di luar daripada kebiasaan demi kepuasan tersendiri.

Antara sukan eksktrim yang menjadi kegemaran hari ini ialah seperti bungee jumping, paragliding, skydiving, luncur salji, selam skuba, jet ski, water rafting, kayak, windsurfing, base jumping, papan luncur, in-line skating dan banyak lagi jenis sukan mengikut kegemaran dan pilihan penggemarnya.

Acara sukan itu tidak terkecuali menjadi perhatian penggemar aktiviti ekstrim di dalam dan luar negara apabila pelbagai acara dilangsungkan, sekali gus mempopularkan aktiviti sukan ekstrim di Malaysia. Acara seperti 'X-Games', Ironman hinggalah kepada pengajuran sukan permotoran F1 Powerboat di negara ini sejak beberapa tahun lalu meletakkan Malaysia sebagai destinasi aktiviti ekstrim terkemuka di rantau ini.

Seperti juga penganjuran Quiksilver Revolution 2.0 di taman tema Sunway Lagoon yang berjaya menarik lebih 15,000 pengunjung menyaksikan aksi luncur bertaraf antarabangsa. Walaupun perairan negara tidak mempunyai ombak kuat seperti di kepulauan Hawaii, ia bukanlah halangan menganjurkan acara sukan papan luncur bertaraf dunia di Sunway Lagoon.

Tidak hairanlah ombak buatan di Surf Beach Sunway Lagoon yang mampu mencecah ketinggian sehingga lapan kaki mendapat pujian dari Pengurus Pemasaran Quiksilver Asia Tenggara, Brad Cunningham yang menyifatkan ia sebagai destinasi luncur terbaik di tengah ibu kota.

Tekanan kehidupan memaksa manusia terus mencipta sesuatu di luar kebiasaan demi memenuhi kepuasan diri, selain menghindari sebarang bentuk tekanan hidup. Mungkin pada pandangan kita kebanyakan sukan ekstrim dilangsungkan dalam keadaan merbahaya dan berisiko tinggi tetapi bagaimana pula halnya dengan acara ekstrim seperti menggosok ekstrim (Extreme Ironing). Pelik bukan?

Sukan ekstrim yang diperkenalkan oleh Phil Shaw pada 1997 itu dicipta semata-mata bagi menghilangkan kebosanan ketika menggosok baju. Jangan tidak tahu aktiviti menggosok baju itu diangkat menjadi satu Kejohanan Dunia Extreme Ironing yang julung kali pada September 2002 di Valley, Jerman dengan penyertaan seramai 80 peserta dari 10 negara termasuk Austria, Australia, Croatia, Chile, Jerman dan United Kingdom.

Lebih melucukan, lima kategori dipertandingkan iaitu mengosok pakaian di kereta, menggosok dalam arus deras, menggosok atas pokok, ketika mendaki tembok batu dan kategori bebas di mana peserta dinilai berdasarkan tahap kesukaran cabaran, teknik dan hasil gosokan - pakaian paling licin dan kemas digosok menerusi lima kategori. Macam-macam...

Menyedari wujudnya pasaran dan permintaan dalam sukan ekstrim, banyak pihak mula menongkah arus merealisasikan pelbagai program semata-mata menghangatkan lagi acara sukan ekstrim sebagaimana yang dianjurkan Wilderness Langkawi Challange 2008 (WLC 2008) di Pulau Tuba, Langkawi, baru-baru ini.

Pelawaan penganjur WLC 2008, Wilderness Center Sdn Bhd yang sudah empat kali menganjurkan pertandingan sama, dianggap peluang terbaik bagi melihat sejauh mana manusia boleh meneroka keupayaan fizikal dan minda dalam persekitaran paling ekstrim.

i-Kon sendiri berpeluang menyaksikan detik mencabar setiap peserta dalam mengharungi detik mencemaskan dalam acara sukan lasak itu, selain melihat mereka bertungkus-lumus mencuba untuk melengkapkan rutin acara ditetapkan.

Dalam cuaca panas terik, 153 pasukan (satu pasukan dua peserta) terpaksa meredah hutan, berkayak, memanjat bukit, berlari, berbasikal dan memanjat tiang kapal layar dengan jarak sesama ahli pasukan boleh melebihi 20 meter antara satu sama lain. Ini memerlukan kerja berpasukan yang mantap dan tidak mementingkan diri sendiri.

Dua kategori dipertandingkan iaitu Fast and Furious (FF) yang membabitkan kegiatan trek hutan sejauh 12 hingga 15 kilometer (km) dengan kemahiran membaca peta; berbasikal (60 km); kayak (20 km), berenang (400 meter), menyusur gua dan menuruni tebing setinggi 70 meter menggunakan tali.

Kategori Slow and Steady (SS) pula membabitkan lima km trek hutan, kayak (enam km) dan terjun dari ketinggian lebih 10 meter ke dalam laut di kapal Reef Explorer.

Sebanyak 35 pasukan menyertai kategori FF dan bakinya mengambil bahagian dalam SS manakala peserta pula membabitkan tempatan dan luar negara seperti Singapura, Filipina, Sepanyol, Maghribi, Korea Selatan, Vietnam dan Hong Kong.


Pengurusan emosi kunci kekuatan

PENGURUSAN emosi amat penting dalam melaksanakan semua disiplin selain ketahanan fizikal - begitulah pandangan peserta Wilderness Langkawi Challenge 2008 ketika ditemui i-Kon selepas beradu kekuatan fizikal dan mental dalam pertandingan itu.

Beberapa peserta yang ditemui mengakui perlunya komunikasi konstruktif dan tidak menunjukkan marah kepada rakan sepasukan diamalkan, selain ketahanan fizikal dan stamina dalam sukan itu.

Peserta, Mariana Mohammad, 30, dari pasukan Powerbar Heroin, yang muncul johan kategori FF wanita, mengakui komunikasi membina penting dalam sukan lasak itu.

"Kegiatan treking hutan dan berkayak paling mencabar dan memerlukan sokongan antara satu sama lain, memang ada rasa hendak marah kerana kepenatan tetapi ia perlu diuruskan dengan baik," katanya yang bergandingan dengan Roslizawati Rasidi, 25. Mereka dari Selangor.

Roslizawati berkata, ketika berkayak dia terasa amat letih dan tidak berdaya tetapi sokongan Mariana membuatkan dia terus juga mendayung hingga selesai semua acara FF dengan kutipan mata 1,020.

"Dia (Roslizawati) mengadu tidak lagi terdaya ketika berkayak tetapi saya minta dia kuatkan semangat dan teruskan juga supaya kami menang," kata Mariana.

Koperal Shamsudin Hassan, 45, dari Komando 69 Ulu Kinta Perak, pula berkata, pengawalan emosi ketika badan terlalu letih penting dalam sukan lasak seperti itu.

"Dalam keadaan kita bersemangat tetapi melihat rakan seolah-olah mahu mengalah pada keadaan, kadang-kadang membuatkan kita rasa hendak marah dan mula mengeluarkan perkataan yang tidak sepatutnya.

"Sukan ini menguji aspek itu dan kita sama-sama berazam untuk menghabiskan semua disiplin dan menang bersama kalau boleh," katanya yang menganggotai pasukan Pegasus bersama rakan setugas, Mohd Shahril Firdaus, 30.

Mereka menduduki tempat kedua dalam kategori itu. WLC 2006 dan 2007, mereka muncul johan.

Shamsudin berkata, selain itu, peserta juga perlu mengambil berat pasukan lain termasuk membantu jika ada kemalangan sedangkan mereka boleh mengambil kesempatan itu untuk meneruskan perlumbaan kerana mahu menang.

Siti Norbaizura Ghazali, 24, yang menyertai kategori SS bersama Izwan Md Sumari, 27, menerusi pasukan Scoreboard All Starz TV3 berkata, memujuk dan memberi semangat kepada rakan sepasukan amat penting untuk menyelesaikan semua disiplin.

"Memang amat meletihkan terutama ketika berkayak sejauh enam kilometer di laut dan ada kala mahu menyerah kalah dan balik ke jeti...tetapi ada rakan yang terus memberi semangat. Jika semangat itu diterapkan dalam bidang lain, ia amat bagus," katanya.

Pasukan itu muncul johan dalam kategori media bagi acara SS dengan catatan masa 2:54:30.

Sementara itu, Pengarah Perlumbaan, Darren Gamble berkata, WLC unik kerana ia memberi peluang kepada pasukan yang baru mahu mencuba sukan lasak menerusi kategori SS tanpa saingan daripada kumpulan profesional yang banyak menyertai kategori FF.

Tahun ini, WLC turut menyaksikan kategori baru iaitu korporat yang menawarkan Trofi Cabaran Korporat bagi memberi peluang kepada pekerja bergaul dengan rakan lain daripada industri berbeza selain membina semangat berpasukan.

Pengerusi Kumpulan Halim Mazmin, Tan Sri Halim Mohammad berkata, pihaknya berhasrat meletakkan WLC pada peta sukan seumpanya di peringkat antarabangsa.

"Kita berharap perlumbaan akan datang akan mendapat penyertaan lebih ramai dalam kategori korporat yang sekaligus akan membantu dalam aspek kebajikan," katanya.

Persalinan Malaysia


Oleh Fairuz Zaidan




MODA sedia platform ketengah bakat, idea pereka muda

HAMPIR dua dekad menjadi tonggak seni reka tanah air, Persatuan Pereka Fesyen Malaysia (MODA) meneruskan kesinambungan entiti itu dengan menganjurkan pertunjukan fesyen besar-besaran bertemakan ‘Fashion Gateway’ di pusat beli belah, 1 Utama, Petaling Jaya, baru-baru ini.

Diwakili nama besar dalam dunia fesyen negara, pertunjukan fesyen itu membuktikan hala tuju fesyen tempatan dalam mengorak langkah ke persada antarabangsa.


Seramai 38 pereka fesyen terkenal tempatan mempamerkan ilham kreatif persalinan kali ini termasuk Bill Keith, Key Ng, Khoon Hooi, Melinda Looi, Michael Ong dan William Liew.

Minggu fesyen itu juga menyaksikan pengiktirafan MODA dalam mencari pelapis pereka fesyen serta model angkatan baru melalui Pertandingan Pereka Fesyen Muda Malaysia (MYDC) dan Pertandingan Model Baru Malaysia (MYMC), yang nyata menghangatkan lagi pentas fesyen tanah air.

Pada masa yang sama, MODA menyediakan platform untuk bakat baru dalam bidang solekan menerusi Pertandingan Kecantikan Shu Uemura 2007 yang menyaksikan persaingan seramai 12 peserta merebut kejuaraan. Miko Hair Studios and Academy turut menganjurkan pertandingan untuk mencari pereka rambut terbaik masa kini.

Presiden MODA, Gillian Hung, berkata Fashion Gateway kali ini mewakili individu pereka Malaysia yang berbakat besar serta bersungguh dalam mengetengahkan hasil rekaan terkini.

“Saya yakin, MODA adalah pentas terbaik untuk mengetengahkan bakat dan kredibiliti pereka Malaysia di pentas antarabangsa. Malah, diharapkan MODA dapat bekerjasama dengan Matrade untuk membawa 10 pereka fesyen terbaik Malaysia ke Paris, September ini,” katanya.

Lensa i-Kon berkesempatan mempamerkan rekaan terkini busana lelaki hasil rekaan pereka Malaysia yang menyaksikan percaturan potongan gaya moden, kontemporari dan universal menjadi identiti sepanjang tahun. Key Ng meneruskan kecemerlangan rekaan yang mencerminkan ekspresi gaya lelaki moden.

Daniel Cho turut menyerlah dalam menterjemahkan rekaan fesyen dengan mainan warna untuk gaya lelaki maskulin, sementara Nazleen Noor tidak kurang aura dalam menterjemah gaya lelaki dalam persalinan tradisi Malaysia. Motif alam menjadi tema Nazleen Noor bagi membangkitkan keseimbangan gaya moden dan kontemporari.

Keseluruhan gaya yang diterjemahkan pereka fesyen menampakkan pengaruh moden berkisarkan elemen kontemporari untuk disesuaikan dalam pelbagai majlis dan tema. Rekaan tidak saja tertumpu untuk disesuaikan pada waktu santai, sebaliknya menarik untuk dikenakan di pejabat.

Tidak kurang juga, sesetengah rekaan menjurus kepada acara rasmi dan juga waktu berlibur bersama teman-teman. Percubaan berani pereka kontemporari dalam mengetengahkan batik juga menampakkan kelainan ketara khususnya dari segi motif dan potongan longgar.

Inilah wajah fesyen Malaysia sebenar!

Penting jaga kebersihan diri




RANGKAIAN produk Lifebuoy yang dipercayai di seluruh dunia.

Sabun antibakteria Lifebuoy beri perlindungan total untuk seisi keluarga

MENJAUHI kekotoran serta lokasi yang tidak bersih belum tentu menjamin seseorang itu bebas daripada jangkitan kuman. Bagi mereka yang beranggapan menjauhi tempat atau benda kotor sememangnya silap kerana kuman yang berada di sekeliling mudah merebak seperti bakteria dan virus.

Mengikut pandangan orang ramai, cara terbaik untuk mengekalkan kebersihan serta mendapat perlindungan daripada kuman dan virus ialah dengan mengekalkan kebersihan diri. Ini bermakna anda perlu kerap mandi, memakai pakaian bersih dan membasuh tangan.


Menggunakan sabun antibakteria yang baik juga dapat memberikan tubuh badan kita satu lapisan perlindungan tambahan yang boleh menghalang mikroorganisma merbahaya.

Tahap kebersihan diri yang rendah bukan saja menjejaskan kesihatan kita. Ia pernah dikatakan sebagai penyebab epidemik kesihatan yang besar sebelum ini, khususnya di kawasan-kawasan beriklim panas dan sederhana.

Malaysia dalam tahun kebelakangan ini menyaksikan beberapa insiden penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) pada skala epidemik dengan insiden terbaru berlaku pada 2006. Baru-baru ini, HFMD juga direkodkan di Singapura dan China di mana negara terbabit juga berjaya mengawal situasi itu.

Kebarangkalian untuk orang dewasa dijangkiti penyakit HFMD adalah sedikit sekiranya mereka terdedah dengan virus itu, tetapi kanak-kanak adalah golongan yang paling senang dijangkiti oleh penyakit ini.

Virus HFMD berjangkit melalui sentuhan dan akan mudah merebak di kalangan kanak-kanak kerana mereka kurang peka serta suka bergaul dengan bebas. Seorang kanak-kanak yang dijangkiti akan mempamerkan simptom seperti demam, sakit kerongkong dan melepuh di tapak tangan dan tapak kaki.

Biarpun mengikut kelazimannya penyakit HFMD ia tidak mengancam nyawa, ia secara tidak langsung boleh mengakibatkan ketidakselesaan kepada penghidapnya.

Kaedah paling efektif untuk mengurangkan risiko dijangkiti virus ialah dengan mengekalkan tahap kebersihan diri yang tinggi. Bersihkan kediaman dan semua permukaan tempat kerja anda selalu bagi memastikan ia bebas daripada kuman, gunakan tisu bersih atau sapu tangan, dan mengelak daripada menyentuh orang yang dijangkiti adalah antara kaedah-kaedah untuk mengurangkan risiko dijangkiti penyakit itu.

Satu lagi kaedah pencegahan yang mudah dan efektif ialah selalu membasuh tangan menggunakan sabun antibakteria. Mengamalkan tahap kebersihan diri yang tinggi adalah amat penting untuk mengekalkan kualiti hidup yang baik.

Lifebuoy menjamin perlindungan antibakteria

LIFEBUOY adalah sabun perlindungan kuman nombor satu di dunia yang mula diperkenalkan pada 1894 bagi membantu orang ramai meningkatkan tahap kebersihan diri mereka. Selama lebih satu abad Lifebuoy sentiasa berevolusi bagi menepati keperluan pengguna yang sering berubah.

Sabun mandian Lifebuoy menekankan pendekatan kesihatan melalui kebersihan diri secara konsisten selama 110 tahun. Kempen yang dijalankan sekitar tahun 1930-an di Amerika Syarikat (AS) berjudul, ‘clean hands help guard health’ menggalakkan penggunaan sabun Lifebuoy untuk membunuh kuman di tangan yang boleh mengakibatkan masalah kesihatan.

Kempen yang hampir sama masih diteruskan sehingga kini. Ia berbentuk program pendidikan kebersihan diri Lifebuoy dan kini hangat dilaksanakan di negara seperti India, Bangladesh, Pakistan, Sri Lanka, Indonesia dan Vietnam.

Sabun antibakteria tulen Lifebuoy berupaya membersih kulit dengan baik serta amat sesuai dan disyorkan untuk melindungi seluruh keluarga. Dengan menggunakan sabun antibakteria Lifebuoy, keluarga anda akan mendapat perlindungan tambahan, menikmati sekuriti serta berupaya menangani cabaran harian tanpa keraguan.

Hari ini, seramai lebih 1.6 bilion orang di seluruh dunia yakin Lifebuoy mampu memberi perlindungan tambahan dan kebersihan maksimum untuk seisi keluarga, sekali gus menghindar mereka daripada kuman dan kotoran degil. Yakinlah dengan Lifebuoy hari ini - lindungi keluarga anda daripada kuman.

Lifebuoy, jaminan perlindungan di saat-saat anda memerlukannya!

Syurga Belum


Oleh Mohd Feroz Abu Bakar


PULAU Banding Rainforest Research Centre boleh dikunjungi pelawat.

Pesona Belum Rainforest Resort pukau pelancong

JIKA anda mengimpikan percutian indah ditemani alam semulajadi, Belum Rainforest Resort di Pulau Banding, kira-kira 170 kilometer dari Ipoh, Perak mampu mencapai hasrat itu.

Bayangkan bangun dari tidur disambut kedamaian hutan menghijau sambil kicauan burung melekakan minda. Ini mungkin percutian yang dinanti-nantikan selama ini selepas saban hari letih meredah hutan batu.


Tarikan baru produk pelancongan Perak, Belum Rainforest Resort ini ialah sebuah kemudahan penginapan yang memberi peluang kepada tetamu mendekati alam semula jadi. Resort itu terletak di lokasi strategik iaitu antara Gerik, Perak dan Jeli, Kelantan iaitu di tengah-tengah laluan Lebuh Raya Timur-Barat dalam kawasan Taman Negeri Royal Belum.

Di Belum Rainforest Resort, pengunjung boleh melakukan pelbagai aktiviti membabitkan alam semula jadi di sekitar resort 70 bilik itu, sama ada pengunjung menginap semalaman atau untuk tempoh panjang.

Lokasi pusat percutian itu amat sesuai untuk keluarga, kanak-kanak malah program 'kembali ke alam semula jadi' boleh dikendalikan sektor korporat bagi membina semangat dan setiakawan pekerja. Aktiviti seumpama itu boleh dilakukan di sekitar resort atau menaiki bot ke beberapa lokasi di tengah-tengah hutan berusia 130 juta tahun itu.

PANORAMA Tasik Banding dilihat dari Belum Rainforest Resort.

Sebagai pilihan, jika pengunjung menetap sehari saja dan tidak mahu mengeluarkan belanja tambahan, mereka boleh menjejaki alam semulajadi di sekitar resort dengan percuma terutama mengenali pelbagai jenis herba dan kegunaannya.

Jejak atau trekking itu disediakan Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (Frim) bagi memberi maklumat asas kepada orang ramai mengenai proses peralihan pokok secara semula jadi di hutan.

Tetamu resort juga dibekalkan dengan risalah berhubung jenis dan fungsi pokok bermula daripada herba hingga kepada pokok yang sudah matang dan dominan di hutan.

Kebanyakan tumbuh-tumbuhan herba yang ditanam di sekitar resort itu sedang dikaji saintis dalam dan luar negara mengenai unsur perubatan daun, buah, batang atau akar pokok.

Antaranya pengunjung boleh mengenali daun Mambu yang digunakan untuk mengubat malaria manakala minyak daripada bijinya berfungsi seperti antiseptik bagi luka atau kegatalan pada kulit. Tidak ketinggalan, pokok Tongkat Ali yang sarat kelebihannya, malah daunnya mengikut kepercayaan Orang Asli jika dimakan boleh menghalang gigitan nyamuk kerana ia dikatakan menjadikan darah pahit.

Buah dari pohon Tembaga Suasa pula boleh digunakan untuk mengeluarkan racun dalam perut.

Pengarah, Program Ekopelancongan dan Perhutanan Bandar Frim, Dr Noor Azlin Yahya, berkata sebagai permulaan, tetamu boleh melawat kawasan di tepi resort yang ditanam dengan pelbagai jenis pokok herba.

"Bagi pengunjung yang ingin mengikuti jejak pokok hutan yang sudah ditandakan ini, mereka hanya memerlukan masa kira-kira sejam dengan berjalan kaki dari stesen petrol berhampiran resort atau menaiki bot di jeti resort.

"Pengunjung boleh melihat pokok kecil seperti Mahang Gajah, Balik Angin, Cenderai, buluh dan Resam yang banyak tumbuh di sekitar resort.

"Jika mereka terus mengikut jejak ini, pengunjung akan melihat pokok Pulai, Merbau, Sepetir, Keledang, Mempening, Meranti Tembaga, Nyatoh, Keruing dan Simpoh Gajah," katanya.

Untuk tetamu resort yang suka aktiviti lebih lasak, mereka boleh menempah pakej menaiki rakit, meneropong burung, memancing, mengunjungi penempatan Orang Asli atau mandi di air terjun dan jeram.

Tetamu resort juga boleh melawat rumah contoh Orang Asli yang dibina khas, iaitu kira-kira lima minit berjalan kaki dari resort.

Di sini, mereka boleh merasai sendiri betapa nyaman berada dalam rumah Orang Asli, duduk di bawah teduhan pokok atau menyaksikan tarian Sewang di dewan terbuka.

Tempahan di Belum Rainforest Resort boleh dibuat dengan menghubungi 05-7916800 atau faksimili 05-7917600 atau menerusi laman web www.belumforest.com.

FAKTA:

  • Terletak di Banjaran Titiwangsa, Hulu Perak.
  • Seluas 117,000 hektar - menyimpan hutan hutan tropika berusia 130 juta tahun.
  • Kedudukan pada jarak 250 meter (m) hingga 2,000 m dari aras laut.
  • Tasik Banding seluas 152 kilometer persegi hasil pembinaan Empangan Temenggor pada 1974.
  • Tempat huni 10,000 suku Jahai dan Temiar.
  • Menempatkan hampir 300 ekor daripada 400 gajah di Semenanjung Malaysia.
  • Habitat 100 mamalia dan lebih 270 spesies burung.
  • Perjalanan berkereta lima jam dari Kuala Lumpur, dua jam (Kota Bharu, Kelantan) dan sejam setengah (Pulau Pinang).
  • Belum Rainforest Resort menawarkan 70 bilik istimewa.

Teman tidur


Teks Diyanah Anuar




volusi bantal perluas fungsi pengalas kepala ketika lena

BANTAL. Menyebut, mendengar atau membaca perkataan enam abjad ini saja mampu mengundang pelbagai reaksi. Bantal yang mengikut takrifan umum peralatan pengalas kepala ketika tidur, cukup sinonim dengan kehidupan seharian manusia. Tidak hairanlah lahir ungkapan seperti ‘bagai orang mengantuk disorongkan bantal’, ‘bantal busuk’, ‘bantal peluk’ dan ‘jangan pijak bantal’ yang mungkin sudah dipelajari kita seawal pandai berkata-kata.

Apabila mendengar istilah bantal, mungkin ada ada mata terus layu tidak kurang juga mengidam tidur lena dibuai mimpi indah. Bagi penghidap migrane kronik, isu tinggi rendah, lembut atau keras bantal boleh menjadi perkara amat penting yang perlu diselesaikan sebelum tidur. Mengapa tidak, bantal yang kurang sesuai boleh menganggu tidur dan jika ini berlaku, sudah tentu migrane datang menyerang.


Dalam situasi lain, ada pula yang suka bergaduh menggunakan bantal, Bantal dibaling ke arah lawan, dipukul sehingga koyak lalu berterbanganlah kekabu atau kapas di udara. Bantal akrab hubungannya dengan manusia, kadang-kala bantal menjadi teman pelepas sendu, menangis dan berhiba sambil memeluk bantal kesayangan. Tidak hairan, ada yang masih lagi menyimpan ‘bantal busuk’ zaman kanak-kanak kerana sudah dianggap sebahagian daripada diri.

i-Kon mengajak pembaca melihat semula bagaimana bantal berevolusi. Dulu apa saja boleh dijadikan bantal atau mengikut pendapat ramai, alah sekadar teman tidur, alaslah apa saja di kepala. Namun kini, bantal direka khusus mengikut perubahan teknologi. Tidak hairanlah ada bantal dijual sehingga RM250 sebiji khusus untuk pembeli yang amat mementingkan aspek kesihatan, kontur dan keupayaan bantal melengkapkan tidur malam atau siang.

Menyoroti sejarah, jika bantal masih dianggap barang mewah seperti statusnya pada zaman dulu, besar kemungkinan ramai di antara kita tidak berpeluang tidur nyenyak beralaskan bantal empuk.

Dulu bantal kononnya hanya digunakan golongan berada dan buktinya ditemui dalam makam purba Mesir. Teknik penghasilannya yang agak rumit, membabitkan kerja mencelup warna dan menjahit corak membuatkan ia dianggap barangan yang memiliki nilai seni. Ini menyebabkan bantal berhias dulu pernah menjadi barang komoditi di China dan Eropah pada Zaman Pertengahan. Zaman Revolusi Perindustrian pula menyaksikan pengeluaran bantal tekstil berhias secara besar-besaran.

Berbanding bantal tradisional yang kebanyakannya diperbuat daripada bahan lembut, bantal tradisional dari China berbentuk kotak yang diperbuat kayu, batu, besi dan juga porselin. Bantal yang berupa kotak kayu biasanya turut dijadikan bekas menyimpan barang berharga di mana ia dapat dijaga ketika pemiliknya tidur.

Walaupun mungkin ada yang masih menyimpan barangan berharga di dalam bantal pada hari ini, kegunaan bantal pastinya sudah banyak berubah daripada fungsi asalnya suatu masa dulu. Bantal secara amnya dilihat sebagai kelengkapan tidur yang penting. Rata-rata orang yang biasa menggunakan bantal untuk tidur akan menghadapi kesukaran untuk tidur lena tanpa menggunakan bantal.

Bukan setakat kelengkapan tidur saja, bagi sesetengah orang, bantal memberi pengaruh yang tidak kurang pentingnya dalam kehidupan mereka. Dalam memilih bantal yang ingin digunakan untuk tidur, golongan ini selalunya mementingkan bentuk, rekaan dan kualiti sesebuah bantal. Kebanyakan mereka juga tidak kisah untuk berbelanja lebih bagi mendapatkan bantal bermutu yang menjanjikan tidur berkualiti.

Sebagai kelengkapan yang dapat memberikan tidur yang bermutu, inovasi dan teknologi baru dalam penghasilan bantal juga sering diperkenalkan. Jepun yang terkenal dengan kepantasan teknologi dan penciptaannya adalah antara peneraju dalam rekaan bantal yang berteknologi dan kebanyakannya boleh disifatkan sebagai unik.

Beberapa tahun lalu misalnya, Jepun memperkenalkan ‘teman’ tidur buat golongan wanita bujang - dengan jaminan ia tidak akan berdengkur! Ciptaan bantal menyerupai lengan lelaki yang dipanggil The Boyfriend's Arm Pillow ini laris dijual ketika ia mula dilancarkan di pasaran.

Buat golongan lelaki bujang pula, diciptakan bantal istimewa untuk mereka iaitu bantal berbentuk paha wanita. Produk ini juga dilaporkan laris di pasaran.

Oleh kerana sebahagian besar daripada hayat manusia dihabiskan dengan aktiviti tidur, tidak salah rasanya jika seseorang individu agak cerewet dalam memilih bantal yang bersesuaian untuk digunakan ketika tidur kerana ia sama pentingnya dengan pemilihan katil. Bantal yang tidak bersesuaian boleh mengakibatkan kesakitan pada bahagian belakang badan, insomnia, sakit tengkuk dan juga kepala.

Secara umumnya, seseorang itu harus menggunakan bantal yang dapat menyokong bahagian antara kepala dan juga bahu, tidak kira sama ada mereka tidur secara baring atau mengiring. Dengan pelbagai pilihan yang ada di pasaran, anda mungkin menghadapi masalah untuk memilih jenis bantal yang terbaik. Tepuk dada tanyalah selera!.

Saudagar bantal

WALAUPUN bantal rekaan canggih dan berteknologi semakin menjadi pilihan pengguna yang mementingkan kualiti tidur serta kesihatan badan, bantal tradisional diperbuat daripada kekabu juga masih dicari.

Mungkin kerana bantal kekabu ini sinonim dengan gaya hidup masyarakat tempatan khususnya orang Melayu dan ciri keselesaan yang diperoleh daripada penggunaannya membuatkan ia masih mendapat tempat di hati masyarakat.

Dalam kehidupan moden, penggunaan bantal tidur tradisional ini berkurangan dan kebanyakan pengguna lebih memilih bantal yang berisi kapas atau span.

Namun ia tidak menghalang seorang usahawan tempatan mengusahakan perniagaan bantal kekabu bagi memenuhi permintaan di bandar. Nayda Trading, boleh dikatakan sebagai perniagaan tunggal yang menawarkan produk bantal kekabu di Kuala Lumpur pada skala besar.

Nayda Trading menjadi pengedar bantal kekabu untuk pasaran sekitar Kuala Lumpur melalui perniagaan Pusat Bantal di Sunway Batu Caves, sejak tahun lalu. Pengurus perniagaan ini, Nawal Shuhaida Mohd Pauzi berminat untuk menjalankan perniagaan ini selepas menghadiri seminar keusahawanan beberapa tahun lalu. Pada seminar itu, beliau tertarik dengan pengalaman perniagaan yang dikongsi usahawan tempatan yang berjaya dalam perniagaan bantal kekabu.

“Selepas mendengar cerita dari usahawan berkenaan, saya terus tertarik untuk cuba menceburi perniagaan ini lebih-lebih lagi bila melihatkan kurangnya persaingan dalam pasaran.

“Permintaan untuk bantal kekabu juga sentiasa ada. Selepas mempertimbangkan pelbagai perkara serta membuat kajian mengenai perniagaan ini, saya teruskan niat untuk menjalankan perniagaan ini,” katanya sambil menambah, kebanyakan produk yang dijual di Pusat Bantal Kekabu ini diambil dari beberapa pembekal dari serata negeri di Semenanjung.

Sejak menjalankan perniagaan, sambutan yang diterima setakat ini adalah baik. Ramai pelanggan yang mengunjungi premisnya memberitahu Nawal Shuhaida yang sebelum ini sukar untuk mereka mencari kedai yang menjual pelbagai jenis bantal kekabu.

“Produk bantal yang dijual di pasar raya selalunya diperbuat daripada kapas dan juga span. Memang ramai yang menggunakan bantal yang diperbuat daripada dua material ini, namun ramai juga yang lebih suka kepada bantal kekabu. Jadi, mereka gembira bila adanya kedai khusus yang menjual bantal kekabu seperti ini,” ujarnya.

Kata Nawal, bantal yang diperbuat daripada kekabu biasanya digemari kerana ia dikatakan lebih sejuk dan juga memberi rasa nyaman ketika tidur. Selain itu, segelintir yang memilih bantal ini biasanya sudah biasa menggunakan bantal jenis ini sejak kecil, jadi mereka lebih senang tidur menggunakan bantal jenis ini.

Kekabu yang digunakan untuk mengisi bantal pula terbahagi kepada dua jenis iaitu kekabu asli dan kekabu proses. Tekstur kekabu proses adalah lebih halus berbanding kekabu asli tetapi kekabu asli dikatakan lebih tahan lama daripada kekabu proses.

“Selain murah, istimewanya bantal jenis kekabu ini ialah jika bentuknya leper selepas kerap diguna, ia cuma perlu dijemur di bawah cahaya matahari supaya kekabu di dalamnya mengembang dan bentuk bantal akan kembali seperti biasa.

“Dari segi keselesaan pula, segelintir orang memilih bantal kekabu kerana ia dikatakan lebih ‘penuh’ atau tepu. Jadi ia sedap dipeluk dan boleh menyokong kepala serta tengkuk dengan baik,” katanya.

Seperti ‘bantal moden’ juga, sesebuah bantal kekabu boleh digunakan untuk tempoh yang lama jika dijaga dengan baik. Cara penjagaannya mudah. Ia perlu sentiasa ditukarkan sarungnya dan sekali-sekala dijemur di bawah sinaran matahari. Ia tidak perlu dibasuh, cukup hanya dengan menyemburkan penyembur fabrik bila perlu.

Menyentuh mengenai industri penghasilan kekabu di negara ini, Nawal berkata, perusahaan tanaman kekabu di peringkat tempatan boleh dikatakan tidak begitu besar jika dibandingkan dengan negara jiran seperti Filipina dan Thailand.

“Negara terbabit mempunyai ladang tanaman pokok kekabu yang besar malah mereka juga adalah pembekal utama di rantau ini,” kata beliau lagi.

Di Pusat Bantal, pelbagai pilihan bantal kekabu dari segi saiz, kegunaan ataupun materia menanti pelanggan.

Antara jenis bantal yang dijual di sini adalah bantal tidur, bantal peluk, bantal lepak, batal kusyen, bantal pengantin serta pelbagai saiz dan jenis tilam yang turut berasaskan kekabu. Harga setiap produk juga berpatutan iaitu di antara RM7.50 hingga ke RM80.

Bagi yang berminat untuk mendapatkan produk bantal kekabu dari Nayda Trading ini, anda boleh menghubungi Nawal Shuhaida di talian 012-3307471.

INFO: Berikut ada beberapa tips yang boleh dijadikan panduan untuk membeli bantal

  • 1) Tentukan saiz sesuai. - Saiz bantal mestilah bergantung kepada saiz katil. Bagi katil kembar (twin), anda mungkin akan memilih bantal standard. Bagi katil jenis queen, anda menggunakan dua bantal queen dan katil jenis king, anda akan menggunakan dua bantal king.

  • 2) Cara tidur - Adakah anda tidur terlentang, mengiring, atau meniarap? Jika anda tidur meniarap, anda mungkin memerlukan bantal yang leper dan jika anda tidur secara mengiring atau meniarap, anda mungkin mahukan bantal yang mampu menyokong leher. Kebanyakan jenama bantal berkualiti akan memberi anda maklumat mengenai pilihan bantal yang menepati keperluan anda. Cuba beberapa bantal yang berlainan sehingga anda menemui bantal yang paling memberi keselesaan.

  • 3) Kandungan bantal - Selain saiz, perkara penting yang harus ditentukan adalah jenis kandungan bantal yang dimahukan. Lebih tinggi kualiti isi kandungan bantal, lebih tinggi kualiti bantal berkenaan. Bantal jenis ‘foam’ dapat memberi sokongan yang teguh kerana bentuknya tidak mudah berubah walaupun kedudukan tidur anda berubah-ubah. Bantal yang berisi bulu burung (feather) pula lebih lembut yang mana anda boleh memeluknya dengan mudah. Tentukan, sama ada anda perlukan bantal yang isinya padat ataupun jenis yang lembut.

28 Mei 2008

146 ditahan di luar negara kerana dadah



KUALA LUMPUR: Seramai 146 rakyat Malaysia, 61 daripadanya wanita kebanyakannya Melayu, ditahan di luar negara sejak 2006 kerana kesalahan berkaitan dadah, Dewan Negara diberitahu hari ini.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Chor Chee Heung, berkata bahawa daripada bilangan itu, 39 diberkas pada 2006, dua daripadanya wanita berbangsa Melayu, 78 diberkas tahun lalu, termasuk 22 wanita Melayu, 10 wanita India dan enam wanita Cina.

Manakala angka bagi tahun ini sehingga Mac ialah 14 wanita Melayu, tiga India dan seorang berbangsa Cina.


Ketika menjawab soalan Senator Siw Chun Eam yang mahukan statistik kaum bagi penahanan itu, Chor berkata, dari segi umur pula, wanita Malaysia paling muda yang ditahan di luar negara kerana kesalahan berkaitan dadah adalah 20 tahun manakala paling tua berusia 53 tahun.

Katanya wanita Malaysia biasanya tertarik dengan tawaran gaji lumayan yang dibuat oleh ejen yang lazimnya berbangsa asing.

“Biasanya ejen ini masuk ke Malaysia secara sah, sama ada sebagai pelajar atau pelancong dan memulakan aktiviti secara aktif bila kenal wanita tempatan dan guna taktik gaji lumayan untuk tarik minat mereka,” katanya.

Chor berkata ada juga ejen menggunakan taktik berkawan atau jatuh cinta dengan wanita tempatan untuk membawa mereka ke luar negara.

Menjawab soalan Datuk Wira Syed Ali Syed Abbas Alhabshee, beliau berkata, kerjasama sentiasa dijalankan dengan Interpol dan penguat kuasa asing untuk mendapatkan lebih banyak maklumat dalam usaha membanteras kegiatan itu.

Mengenai nasib rakyat Malaysia selepas ditahan, Chor berkata, kerajaan melalui pejabat kedutaan di luar negara sentiasa memberi bantuan konsular kepada mereka.

Garis panduan jamin perpaduan terus kukuh

KUALA LUMPUR: Malaysia masih liberal dalam memberi kebebasan kepada media, tetapi ia tidak harus disalahgunakan atau diambil kesempatan oleh mana-mana pihak, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Beliau berkata, pengamal media perlu memahami ada had yang wujud dalam kebebasan itu melalui undang-undang yang bertujuan menjamin perpaduan antara rakyat pelbagai bangsa dan agama terus kukuh.

"Kita membenarkan kritikan (terhadap kerajaan) di Malaysia... kritikan itu sebenarnya lebih daripada diberikan di kebanyakan negara lain, tetapi ia mesti mengikuti garis dibenarkan," katanya ketika sesi soal jawab selepas mewakili Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi merasmikan Sidang Kemuncak Media Asia, di sini, semalam.


Bagaimanapun katanya, ada media, terutama media baru melalui internet yang cuba mengeksploitasi dan memperbesar-besarkan sesuatu perkara bagi menarik perhatian pembaca.

Kepada soalan mengapa Raja Petra Raja Kamaruddin, didakwa 7 Mei lalu jika Malaysia mengamalkan kebebasan media, Najib berkata, ia dibuat selepas penulis blog itu didapati melanggar undang-undang.

Katanya, kebebasan media mempunyai had tersendiri, malah di negara maju seperti Amerika Syarikat pun, wartawan tidak diberikan kebebasan untuk melaporkan apa yang berlaku terhadap tahanan di penjara Guantanamo Bay contohnya.

Beliau berkata, Raja Petra didakwa atas kesalahan melanggar undang-undang berikutan dakwaan dan kenyataannya yang tidak berasas.

Katanya, penulis blog itu tidak dipenjarakan, tetapi memilih untuk tidak membayar wang jaminan yang ditetapkan mahkamah menyebabkan dia terpaksa dibawa ke penjara sehingga membayar wang jaminan itu dua hari kemudian.

"Kita membenarkan kritikan terhadap kerajaan, kita tidak mengambil tindakan sehingga beberapa perkara dinyatakannya kita sifatkan sebagai serius... Peguam Negara memutuskan sama ada membuat pendakwaan atau tidak," katanya.

Beliau berkata, kegagalan kerajaan menangani isu yang dibangkitkan dalam media internet dan kegagalan menggunakan sepenuhnya teknologi berkenaan menjejaskan prestasi sehingga keputusan luar dugaan pada pilihan raya umum lalu.

Katanya, kerajaan mengambil iktibar daripada perkara itu dengan berusaha meningkatkan penggunaan internet dan tidak mengkritik pengendali blog atau media internet, tetapi akan membabitkan mereka memberi pemahaman keadaan semasa.

"Kita sudah putuskan, berdiam diri bukan opsyen. Kita perlu tangani isu dibangkitkan media baru dengan pantas," katanya.

Beliau berkata, media berperanan memberi penjelasan kepada rakyat mengenai isu kompleks seperti pemberian subsidi dan kenaikan harga barang kerana penyelesaian isu seumpama itu tidak mudah serta sukar memuaskan hati semua pihak.

"Media boleh membantu memberi pemahaman kepada rakyat... biar rakyat faham situasi yang dihadapi kerajaan. Kerajaan mahu mencari keseimbangan kuasa pasaran dengan keperluan membantu rakyat, terutama golongan berpendapatan rendah," katanya.

Kebebasan bersuara tak bererti boleh menghasut


Oleh Azman Zakaria


TINGKATKAN PEMAHAMAN: Najib ketika berucap merasmikan Sidang Kemuncak Media Asia, di Kuala Lumpur, semalam.

Ketepatan fakta, keadilan dalam laporan wajar jadi pegangan: PM

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, hak kebebasan bersuara dan menyampaikan pandangan tidak boleh digunakan sebagai alasan untuk menjatuhkan maruah seseorang, menabur fitnah atau mencemar simbol keagamaan.

Perdana Menteri berkata, jika kebebasan tanpa sekatan wujud, bermakna tiada tindakan undang-undang fitnah boleh diambil terhadap mereka yang cuba menghasut dan menimbulkan keganasan etnik.


"Malah, orang yang paling mencintai kebebasan di dunia ini pun tahu bahawa sebenarnya tiada kebebasan tanpa had. Kebebasan bersuara adalah hak asas, tetapi ia bukan mutlak," katanya dalam ucapan merasmikan Sidang Kemuncak Media Asia, di sini, semalam.

Teks ucapannya dibacakan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak. Lebih 500 peserta dari 65 negara menyertai sidang kemuncak dua hari itu yang berakhir hari ini, termasuk pengamal media, wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan tokoh akademik.

Turut hadir pada seminar anjuran Institut Pembangunan Penyiaran Asia Pasifik (AIBD) itu ialah Pengerusi dan Ketua Ketua Pegawai Eksekutif Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa (Isis) Malaysia, Datuk Seri Mohamed Jawhar Hassan.

Perdana Menteri berkata, dalam menentukan had kebebasan bersuara dan memberi pendapat, media tradisional dan media baru perlu memiliki pengetahuan serta kemahiran membezakan antara fakta atau dakwaan tidak berasas.

Beliau berkata, kerajaan sentiasa memberikan sokongan kepada amalan kewartawanan beretika kerana mengakui hakikat bahawa tanggungjawab media adalah penting dalam membantu pembangunan serta kestabilan sesebuah negara.

"Pertimbangan asas tentunya bahawa kita mempunyai media yang bukan saja bebas, tetapi juga bertanggungjawab. Kita mahu media tidak memandang ringan keharmonian rakyat berbilang kaum dan agama sehingga boleh mengancam ketenteraman awam atau keselamatan negara," katanya.

Bagaimanapun, Abdullah berkata, perkara itu bukan mudah kerana Malaysia mempunyai media yang mempunyai sasaran pembaca masing-masing yang berlainan etnik dan mempunyai sensitiviti agama yang berbeza.

"Negara memerlukan undang-undang untuk melindungi rakyat daripada fitnah jenayah. Ia juga memerlukan undang-undang bagi melindungi institusi teras daripada hasutan.

"Bagi saya, undang-undang ini bukan menyekat kebebasan tetapi ia penting supaya masyarakat hidup makmur meskipun ia mungkin bermakna mendatangkan sedikit kesan bagi Malaysia terhadap Indeks Kebebasan Akhbar Dunia yang berasaskan andaian tertentu," katanya.

Beliau berkata, walaupun kini wujud media baru khususnya melalui internet, namun media tradisional boleh kekal sebagai peneraju dalam kandungannya sekali pun mereka mungkin kehilangan monopoli daripada segi tumpuan rakyat.

Katanya, kewartawanan berkualiti masih lagi dikuasai media tradisional dan ia mesti terus berpegang kepada ketepatan fakta, kebijaksanaan dan keadilan dalam laporan.

27 Mei 2008

Aset 8 Melayu terkaya RM11.86b


Oleh Ahmad Fiesal Othman

NILAI aset digabungkan lapan individu Melayu dalam senarai ‘40 Paling Kaya di Malaysia’ tahun ini berjumlah AS$3.65 bilion (RM11.86 bilion), mewakili hanya kira-kira lapan peratus daripada jumlah kekayaan digabungkan semua yang berada dalam senarai itu yang berjumlah AS$46 bilion (kira-kira RM150 bilion).

Usahawan terkemuka, Tan Sri Syed Mokhtar AlBukhary dan Pengerusi Kumpulan AmBank, Tan Sri Azman Hashim terus mengekalkan kedudukan sebagai individu Melayu paling kaya dan kedua paling kaya tahun ini, sementara Pengerusi Eksekutif Kencana Petroleum Bhd, Datuk Mokhzani Mahathir melonjak ke tempat ke-3 daripada ke-5 tahun lalu.

Syed Mokhtar mempunyai nilai kekayaan AS$1.8 bilion, manakala Azman AS$700 juta.


Nilai kekayaan Syed Mokhtar itu susut berbanding AS$2 bilion tahun lalu, sekali gus menyaksikan kedudukannya jatuh satu anak tangga ke tempat ke-8 dalam senarai ‘40 Paling Kaya di Malaysia’ tahun ini, manakala manakala Azman yang menokok kekayaan sebanyak AS$100 juta kekal di tangga ke-11.

Mokhzani yang kini berada di tempat ke-20 senarai keseluruhan tahun ini daripada ke-28 tahun lalu, mempunyai kekayaan AS$285 juta, meningkat AS$65 juta daripada AS$220 juta tahun lalu.

Forbes Asia dalam kenyataannya kelmarin berkata, pengiraan nilai kekayaan individu itu dalam senarai itu dibuat berdasarkan harga saham syarikat yang dikuasai dan kadar pertukaran mata wang daripada 9 Mei lalu.

Bagi pemilikan aset yang tidak disenaraikan pula, ia menggunakan maklumat daripada firma biro kredit BRIS Information Services Sdn Bhd (BRIS) dan sumber lain untuk membuat anggaran nilainya jika aset itu disenaraikan di Bursa Malaysia.

Sementara itu, Ketua Eksekutif CIMB Group, Datuk Nazir Razak menjadi individu Melayu baru yang berada dalam senarai ‘40 Paling Kaya di Malaysia’ majalah Forbes itu dengan nilai kekayaan AS$100 juta.

Bagaimanapun dua individu Melayu, iaitu Pengerusi Kumpulan Emkay, Tan Sri Mustapha Kamal Abu Bakar dan Presiden dan Ketua Eksekutif Ranhill Bhd, Tan Sri Hamdan Mohamad yang berada dalam senarai tahun lalu tidak disenaraikan tahun ini.

Empat individu Melayu lain yang berada dalam senarai itu ialah Timbalan Ketua Eksekutif AirAsia Bhd, Datuk Kamarudin Meranun; Pengerusi Naim Cendera Holdings Bhd, Datuk Abdul Hamed Sepawi; Pengarah Eksekutif Westports, Ahmayuddin Ahmad dan Raja Datuk Seri Eleena Raja Azlan Shah.

Masa mengembalikan citra Melayu sebenar


Oleh Dr Sharifudin Lubis

ULASAN bekas Timbalan Perdana Menteri, Tun Musa Hitam, mengenai pengunduran bersyarat Tun Dr Mahathir Mohamed daripada Umno amat menarik untuk dianalisis. Musa dipetik sebagai berkata, bahawa konsep ‘Mahathirisme’ sudah berlalu.

Dari sudut ilmu bahasa, ‘isme’ ialah kata akhiran asing yang dipinjam dan disesuaikan sebagai kata akhiran bahasa Melayu. Kata ini membawa pengertian ‘kepercayaan, gerakan politik atau keagamaan dan juga sikap serta perlakuan’ seseorang atau sesebuah kelompok manusia.

Dalam konteks ini Mahathirisme membawa gambaran kewujudan suatu era yang memperlihatkan orang Melayu memang atau terpaksa percaya dengan cara, pemikiran, tindakan, diplomasi dan corak pemerintahan Dr Mahathir selama lebih dua dekad lalu.


Sepanjang tempoh itu, pelbagai kejayaan dicapai negara khususnya dalam bidang ekonomi dan hubungan antarabangsa. Sesiapapun tidak boleh menafikan bahawa selama 22 tahun memerintah, Dr Mahathir berjaya membangunkan Malaysia dalam pelbagai sektor. Malaysia mampu duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan negara besar dan maju.

Suara Malaysia kedengaran di mana-mana - dari Jepun hingga ke Amerika, malah di kalangan negara Islam, Malaysia adalah juara. Dalam tempoh akhir pemerintahannya, suara Malaysia juga turut didengari hingga ke Everest, benua Artik dan Antartika.

Begitulah hebat Dr Mahathir. Kami rakyat Malaysia berasa amat berbangga kerana mendapat seorang negarawan ulung seperti Dr Mahathir.

Walau apapun kehebatan Dr Mahathir menerusi pelbagai pencapaian itu tidak sejajar dengan kebijaksanaan Dr Mahathir berpolitik cara Melayu. Dr Mahathir yang terbabit dengan Umno sejak awal penubuhannya, gagal menyelami jiwa Melayu sedalam-dalamnya. Dr Mahathir seolah-olah tidak mampu menghayati hati budi Melayu serta gagal berfikir seperti orang Melayu tulen. Dr Mahathir diberi kuasa seluas-luasnya dan tidak akan ada Perdana Menteri selepas beliau akan berkuasa begitu lama sepertinya.

Dr Mahathir tidak sedar bahawa orang Melayu secara tradisinya sudah memisahkan kuasa politik dengan kuasa daulat. Bagi orang Melayu, sejak pertelingkahan Demang Lebar Daun dengan Sang Sapurba di Bukit Siguntang, rakyat jelata boleh berpolitik, tetapi Raja-Raja Melayu tetap ditaati atas kuasa daulatnya.

Jangan sekali-kali mencampuradukkan kedua-dua dimensi kuasa itu kerana jika itu dilakukan, bencana akan menimpa orang Melayu. Inilah yang sudah Dr Mahathir lakukan berkali-kali ketika berkuasa dulu. Pada awal lagi, Dr Mahathir dilihat sebagai ultra Melayu yang kelihatan seperti mahu mencabar ciri keramat Melayu sebagai manusia yang sederhana, taat dan patuh kepada Raja.

Kemudian Dr Mahathir mulai membentuk rejim sendiri yang diperkukuhkan melalui pelbagai tindakan, termasuk berkonfrontasi dengan Tunku Abdul Rahman, Tun Hussein Onn, Tengku Razaleigh Hamzah, Tun Musa, Tun Ghafar Baba, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan kini dengan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi pula. Malah, Dr Mahathir tergamak mencabar kuasa daulat Raja-Raja Melayu sehinggakan orang bukan Melayu pun sudah terikut-ikut berani mencabar Raja-Raja Melayu.

Selama 22 tahun rejim Mahathirisme berkuasa mutlak, sehingga Raja-Raja Melayu pun tidak senang duduk, tetapi tidak mampu bersuara. Selepas lama memendam rasa, Allah menetapkan sudah tiba masanya segala kesilapan Dr Mahathir diperbetulkan.

Pak Lah ditakdirkan menggantikan Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri. Zaman kekerasan berlalu dan kini tiba pula zaman kelembutan, tenang dan berhikmah. Segala kemarahan yang disimpan selama 22 tahun, kelihatan reda dengan pertukaran rejim pada Pilihan Raya Umum 2004.

Rakyat amat mengharapkan agar kelembutan Pak Lah akan memadamkan api dendam yang membara selama ini. Tetapi Dr Mahathir tidak menyenangi gaya Pak Lah, lalu bangkit mengkritik. Dr Mahathir tidak pun memberi peluang dan ruang yang selesa kepada Pak Lah untuk memerintah mengikut caranya. Beliau tuduh Pak Lah mengamalkan kronisme dan nepotisme tanpa sedar bahawa istilah itu muncul sejak zaman beliau memerintah lagi.

Kritikan demi kritikan Dr Mahathir lemparkan tidak ubah seperti membuka pekung di dada atau menepuk air di dulang terpercik ke muka sendiri! Seperti kata beberapa pihak, Dr Mahathir berada dalam ‘state of insecurity’ apabila satu demi satu dasar baru diperkenalkan Pak Lah menggantikan dasar keras Tun selama ini.

Mahathirisme sepatutnya sudah berakhir, tetapi Tun menyemarakkan semula rasa kebencian rakyat yang sudah reda selama empat tahun selepas 2004. Orang Melayu bangun memprotes, tetapi bukan niat ditujukan kepada Pak Lah, akibatnya, pilihan raya umum lalu menyaksikan orang Melayu hampir kehilangan kuasa politik mereka.

Kuasa ekonomi memang sudah lama terlepas daripada tangan orang Melayu khususnya akibat penjajahan demi penjajahan. Kini, kuasa politik yang dahulunya menjadi pengimbang kepada kuasa ekonomi, hampir terlepas daripada genggaman orang Melayu; sedikit demi sedikit.

Memanglah Umno kelihatan lemah sekarang, tapi apakah faedahnya jika kita terus menimbulkan masalah demi masalah. Mujurlah Pak Lah yang jadi Presiden, jika orang lain, saya tidak boleh bayangkan berantakan yang lebih dahsyat lagi. Rakyat amat percaya, jika ‘gajah sama gajah berjuang’, yang mati di tengah-tengah ialah pelanduk. Jadi, pemimpin Melayu tidak harus menimbulkan kegusaran di hati rakyat.

Sebelum rakyat bangkit marah, lebih baik kita duduk bermusyawarah dan selesaikan kekusutan dengan cara baik. Amukan kecil sudah dimanifestasikan melalui pilihan raya lalu dan kita sedar dengan amukan sedemikian pun orang Melayu sudah kehilangan maruah dan ketuanannya.

Dr Mahathir hendaklah sedar bahawa era Mahathirisme sudah berlalu. Segala yang berlaku sekarang harus dijadikan iktibar kepada seluruh umat Melayu. Jangan menuding jari ke sana dan ke mari menyalahkan orang lain kerana setiap kali satu jari telunjuk kita menunjuk orang lain sebagai bersalah, ada tiga jari yang lain menunjuk ke arah diri kita sendiri.

Pak Lah teruskanlah agenda membangun semula hati budi orang Melayu yang telah lama terkeliru. Belum terlambat untuk melakukan sesuatu dan keluarnya Tun Mahathir dari Umno harus dilihat sebagai titik mula mengembalikan citra Melayu sebenar.



Penulis ialah pensyarah Fakulti

Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia (UPM)

Syor laksana etika penulis laman blog



SAYA sungguh kecewa apabila membaca sesetengah laman blog yang menyentuh isu raja Melayu, agama Islam dan ketuanan Melayu, lebih-lebih lagi membabitkan kata-kata kesat apabila sesuatu isu dibuka pengendali blog.

Kadang-kadang kita hampir tidak sanggup membacanya dengan pelbagai sumpah seranah terhadap orang Melayu dan Islam. Apakah rasa hormat menghormati, muhibah dan sifat tolak ansur sudah hilang di kalangan rakyat negara ini?

Apakah dengan kemenangan besar parti pembangkang dan hilangnya majoriti dua pertiga Barisan Nasional (BN), maka kita sudah bebas dan boleh memaki hamun sesuka hati?


Di manakah pula tanggungjawab pengendali blog atau blogger ini? Kenapa pendapat dan kecaman seperti ini dibiarkan terlepas atau sengaja melepaskan kononnya untuk kebebasan bersuara dan sebagai suatu alternatif kepada akhbar arus perdana?

Saya berasa amat kecewa kerana pengendali blog ini kebanyakannya adalah orang Melayu sendiri. Apakah kerana memprotes kerajaan yang ada dan mahu mendabik dada bahawa blog mereka bebas dan dikunjungi ribuan pengunjung setiap hari, maka segala maki hamun ini dihalalkan saja?

Kita sudah mendapat jawapannya mengenai siapa sebenarnya pengendali blog ini apabila RTM1 mengadakan program Blog. Kita ingin mengucapkan syabas kepada RTM. Di sini kita dapat melihat betapa 'blogger' ini berasakan mereka bebas dan megah menyatakan apa yang difikirkan dan apa yang pengunjungnya mahu sampaikan asalkan laman blog mereka terus dikunjungi.

Di manakah etika kewartawanan sekiranya keseluruhan laman blog dipenuhi dengan maki hamun dan cacian tanpa batasannya. Sanggupkah mereka sebagai orang Melayu melihat dan menerima kutukan sedemikian rupa? Bertambah malang lagi kutukan yang dibuat adalah oleh suatu pihak saja tanpa jawapan!

Kita rasa sudah sampai masanya bagi kerajaan menangani laman blog ini yang sudah berbaur perkauman. Kerajaan perlu adakan suatu etika dalam penulisan blog dan pengunjungnya bagi menyekat unsur hasutan, fitnah dan perkauman. Kita bukan mahu kebebasan bersuara dilenyapkan, tetapi kebebasan bersuara yang sewajarnya, manakala penulisnya pula berwibawa dan bertanggungjawab.

MOHD SHARIAL OMAR MUNSYI,
Rawang, Selangor.

26 Mei 2008

'Bangkitlah Melayuku daripada mimpi indah'



TULISAN penulis berhubung Melayu-Islam Malaysia dalam beberapa siri mendapat perhatian sejumlah pembaca ruang pojok ini dan ternyata mereka juga bimbang dengan situasi bangsa itu, tetapi penilaian masing-masing juga berbeza kerana perbezaan pandangan jagat.

Tersentuh hati penulis apabila tulisan Melayu bangsaku, mengapa jadi begini? bertarikh 1 Mei 2008 mendapat perhatian daripada seorang wanita sehingga terdorong menulis reaksinya dalam bentuk berlagu yang dilagukan kepada penulis ketika memberi pandangannya.

Akilah Jaaran sempat mengarang Tanggungjawab Ibu Bapa dalam mengutarakan pandangan khususnya apabila melihat semakin ramai ibu bapa dan anak dewasa ini suka menuding jari pada orang lain apabila ada kesilapan berlaku.


Tanggungjawab Ibu Bapa mengajak pembaca untuk menilai kedudukan sebagai ketua keluarga, “Wahai insan mulia/ bergelar ibu bapa/ jangan kau lupa/ tanggungjawab anda mendirikan rumah tangga/ membina sebuah keluarga/ penuh kasih mesra/ rumah itu syurga/ jangan jadikan neraka/ sudah berumah tangga/ Allah amat murka/ terimalah padahnya/ didiklah anak-anak/ seluruh tenaga dan jiwa/ berlandaskan agama, adat dan budaya/ bimbinglah mereka menjadi insan mulia/ berjaya di dunia dan di akhirat bahagia/ jikalau mereka gagal dan derita/ jangan menuding jari kepada sesiapa/ itu kesalahan ibu dan bapa/ tanggunglah azab Allah/ tempatnya di neraka/ wahai insan mulia/ bergelar ibu bapa/ jangan lalai dan lupa tanggungjawab anda/.

Tidak ketinggalan, tulisan terdahulu, Mimpi ngeri Melayu Malaysia bertarikh 24/4/08 mendapat perhatian daripada pembaca, Fadli Kamal Jamali yang berpuas hati dengan segala macam usaha badan sukarela dan kerajaan dalam membendung gejala daripada menjadi lebih parah.

“Bagaimanapun, institusi keluarga dan situasi kekeluargaan Melayu Malaysia kini kian menghakis dan tidak mampu membimbing anak-anak menjadi remaja matang. Sebahagian besar ibu bapa Melayu tidak langsung boleh ditegur atau dibantu dalam menangani masalah anak remaja mereka,” tegasnya.

Organisasi kepimpinan Melayu dilihat gagal berfungsi dengan baik dalam menjalankan program yang boleh membantu melahirkan remaja matang dan kerana itu, media diminta meneruskan usaha membantu membina jati diri jitu di kalangan kelompok terbabit.

Ruang pojok Naqdu bertarikh 1/5/08 turut menerima reaksi daripada pembaca negeri beradat, Zainuddin Sulan yang melihat bangsa Melayu Malaysia sudah hilang hak di negara negara sendiri dan di luar sedar ‘dijajah’ kembali.

“Kita khayal dalam lautan hiburan dan tsunami keseronokan yang tidak mengenal waktu dan batas. Bangsa Melayu sudah dijajah kembali secara halus, tetapi bukan dengan senjata, sebaliknya dengan akal dan fikiran serta perasaan.

“Perkataan yang lebih tepat untuk ‘dijajah’ dalam konteks semasa ialah ditundukkan ‘kemajuan dan pembangunan’. Perkataan inilah yang digunakan sebagai senjata dalam kempen pilihan raya untuk menagih kepercayaan rakyat untuk memangkah parti mereka.

“Orang Melayu apabila mendengar kemajuan dan pembangunan dibuai keseronokan akan datang ke tempat mereka, tidak memikirkan kesan keburukan yang akan menyusul. Sepatutnya pihak berwajib memikirkan lebih awal ‘pelan darurat’ bagi meningkat daya fikir dan perasaan bangsa Melayu,” hujahnya.

Pengirim e-mel ini turut berhujah bahawa bangsa Melayu terpaksa berkongsi Tanah Melayu dengan bangsa asing, tidak seperti di Indonesia, Singapura, Thailand, Filipina dan India, tanpa niat membangkitkan rasa perkauman, wajar direnung.

Penulis berterima kasih dengan segala reaksi yang diberikan kerana ini menunjukkan masih ramai Melayu yang sayangkan bangsanya dan tidak ingin melihat bangsanya tersungkur dalam mengejar syurga kemajuan mahupun pembangunan.

Bagaimanapun pandangannya agar Melayu ditukar kepada Melaju agar tidak ‘me-layu’ dan tanpa perlu rasa bersalah kerana bangsa lain seperti Kemboja - Kampuchea, Ceylon - Sri Lanka, Pakistan Timur - Bangladesh, perlu dibedah daripada pelbagai sudut.

Jika Pengasas Bank Grameen, Prof Dr Muhammad Yunus yang juga penerima Hadiah Nobel 2006, mampu membantu wanita miskin Bangladesh melepaskan diri daripada lingkaran kemiskinan tanpa mengorbankan jati diri bangsanya, mengapa kita yang ada kata-kata keramat ‘Tak akan Melayu hilang di dunia’, mengorak langkah selepas tersandung di tengah jalan..

Pendekatan jihad perkasa modal insan Melayu


Bersama Prof Dr Sidek Baba

KESAN peristiwa 13 Mei antara lain membangkitkan orang Melayu daripada alpa dan lalai terhadap pentingnya ikut serta dalam pembangunan negara secara aktif dan terancang. Kesan daripada pilihan raya umum ke-12, menyedarkan mereka mengenai pentingnya faktor bersatu dalam politik.

Natijahnya, mengajak orang Melayu sentiasa berwaspada mengenai pentingnya kualiti kepemimpinan dengan memperkasakan ilmu dan ketrampilan. Perubahan boleh berlaku dalam diri orang Melayu sendiri dan ia boleh berlaku hasil pengaruh luar sehingga memberi kesan kepada ketahanan dalam jangka panjang.

Pola diterima sekian lama dalam kepemimpinan orang Melayu ialah sebagai teras dan memberikan perlindungan terhadap orang bukan Melayu dan menyebabkan mereka berasa selesa dengan kepemimpinan yang adil dan amanah.


Maksud adil dan amanah harus dilihat dalam konteksnya. Di Malaysia, orang Melayu masih ramai dibelenggu faktor kemiskinan dan ketinggalan dalam perniagaan. Orang Melayu sebahagiannya belum mengalami proses perubahan mental dan fizikal yang mantap.

Hasilnya kesediaan untuk bersaing dan berlumba serta menghadapi cabaran baru agak terkebelakang. Oleh itu, harus ada perancangan strategik yang bijaksana supaya generasi muda dapat dibangunkan secara agresif dengan keupayaan memperkasa jiwa dan memiliki tekad serta azam untuk turut sama dalam arus perubahan adalah cemerlang.

Pembangunan modal insan adalah jawapan terbaik bagaimana mobiliti ilmu dan pendidikan dalam pelbagai jurusan diutuhkan supaya generasi muda dapat dibekalkan dengan pendedahan yang wajar serta memberikan lonjakan serta berdaya saing.

Di kalangan generasi muda ramai yang pintar dan cerdik. Selalunya anak ini mempunyai peluang terbuka untuk melanjutkan pengajian dalam pelbagai kepakaran. Anak daripada kelompok ini harus dijadikan fokus supaya bakat dan kecerdikannya disuburkan dan dapat menyumbang untuk kemajuan negara.

Melayu masih lemah dalam bidang perniagaan. Pendekatan jihad dalam bidang itu harus ditanam sejak awal supaya penyertaan keusahawanan dapat diseimbangkan. Kalau sekadar mempelajari teori dan mendapat ijazah dalam bidang berkaitan, belum memadai.

Keupayaan menjadikan asas ilmu dan kemahiran sebagai modal, ia harus berkembang dan bertekad untuk maju sehingga pada peringkat global.

Keupayaan yang terancang dan bijaksana, bakal memberi kesan terhadap perubahan ekuiti atau pegangan orang Melayu dalam ekonomi negara. Satu aspek negatif bagaimana sebahagian generasi muda memberikan tumpuan ialah budaya dari Barat.

Kesannya generasi muda semakin hilang daripada arus perdana untuk memperkasa diri. Yang pastinya keruntuhan cara berfikir dan kerosakan peribadi boleh memberikan kesan terhadap corak kepemimpinan pada masa depan.

Amat penting modal insan di kalangan generasi muda dijaga dengan baik dan disuburkan dengan pembinaan watak yang seimbang. Mereka adalah generasi penerus yang bakal mewarisi kepemimpinan bakal mencerminkan kesinambungan baik dan saling mengukuh sifatnya.

23 Mei 2008

P Ramlee bagaikan 'hidup semula'


Oleh Zainuri Misfar


BAHAGIA: Babak Ramlee dalam kegembiraan selepas berkahwin dengan Norizan.

Kehadiran Musly dalam muzikal terbitan Enfiniti Productions tidak sia-sia.

P RAMLEE - pelakon, penyanyi, penggubah, pemuzik, penulis, pengarah dan juga ikon filem serba boleh - terkenal dan dikagumi di Malaysia dan Singapura dengan penghasilan lagu dan filem pada tahun 1950-an dan 1960-an yang dekat dengan hati masyarakat.

Kelemahan dan keganjilan perwatakannya di layar perak - seorang yang tertindas, mudah terhibur dek irama, persahabatan, percintaan dan lagu - berjaya menambat hati penonton dari pelbagai lapisan generasi dan masyarakat.


Lagunya mencerminkan warisan perfilemannya sepanjang lebih 25 tahun, kini mengingatkan kita kembali kepada suatu zaman di mana kedua-dua negara mengamalkan kehidupan yang amat ringkas dan bergotong royong dan keperibadian yang halus.

Itu semua dipaparkan menerusi persembahan pentas P Ramlee...The Musical untuk kali kedua. Berbeza dengan pementasan pertama, produsernya, Datin Seri Tiara Jacquelina memilih Musly Ramlee untuk membawa watak Ramlee menggantikan Sean Ghazi.

Ia keputusan yang tidak sia-sia. Dalam pementasan awalnya di Esplanade Theatre, Singapura, Ahad lalu, Musly tidak mensia-siakan harapan itu. Bukanlah hendak menidakkan lakonan Sean Ghazi yang memikul watak P Ramlee dalam muzikal terdahulu, tetapi sememangnya penampilan Musly kali ini meninggalkan kesan tersendiri, bermula daripada nyanyian, tutur kata dan lakonannya. Lagipun, wajah sebenar P Ramlee sudah diketahui umum dan sudah tentu penampilan Sean tidak tepat dengan apa yang dibayangkan oleh kita semua. .

Oleh itu, kemunculan Musly bukan sekadar mengimbau nostalgia lagu P Ramlee, tetapi juga membayangkan mengenai kehidupannya. P Ramlee dengan wajah gembira, sedih, serius atau terpinga-pinga. Segala-galanya dihayati dan dibawakan dengan baik oleh Musly sehingga penampilannya di pentas seolah-olah seperti P Ramlee sebenar.

Itulah P Ramlee sebenarnya. Tidak keterlaluan untuk menyatakan Seniman Agung, Tan Sri P Ramlee seolah-olah ‘dihidupkan semula’ apabila melihat Musly menyanyi, menari dan melakonkan tingkah lakunya dalam teater muzikal ini. Suaranya yang garau ketika menyanyi, pertuturannya dengan berbau loghat Pulau Pinang membuatkan kita terasa mengenali P Ramlee lebih dekat walaupun seniman ini sudah meninggal dunia 30 tahun lalu.

Apatah lagi 14 lagu asal P Ramlee dinyanyikan semula oleh Musly membuatkan muzikal ini bagaikan membawa penonton dalam era kegemilangan dan kejatuhan seniman itu. Kekuatan teater ini memang hasil kerja secara berpasukan tetapi tidak dinafikan kemunculan Musly yang memegang watak P Ramlee diibaratkan tepat pada acuannya.

Cuma kekurangan Musly ialah tubuhnya yang rendah dan agak kurus. P Ramlee yang dapat dilihat menerusi filem lakonannya pada peringkat awal kurus dan tinggi, manakala pada penghujung kerjayanya bertubuh gempal. Begitupun, ia tidaklah dianggap sebagai satu ‘gangguan’ besar kepada penonton teater muzikal ini.

Sesiapa pun yang menyaksikan lakonan Musly dapat membayangkan mungkin begitulah kehidupan P Ramlee di luar atau dalam filem. Bukan saja Musly, penampilan Liza Hanim sebagai Saloma ternyata cukup menyerlah. Pengalamannya dalam muzikal yang lalu memberi kelebihan kepada Liza untuk memastikan watak Saloma benar-benar hidup.

Lakonan Melissa Saila sebagai Norizan memang sudah dapat dijangka. Begitu juga dengan Atilia yang mendukung peranan sebagai Junaidah, manakala penampilan Emelda Rosmila yang memegang watak Azizah tidaklah meninggalkan kesan besar. Dalam pementasan sebelum ini, watak Azizah mendapat tumpuan kerana ia disandang oleh Datuk Siti Nurhaliza.

Memperkuatkan lagi teater ini adalah rekaan dan pergerakan set yang kemas dan mengagumkan hasil ilham Raja Maliq, selain gerak tari daripada koreografer daripada Pat Ibrahim. Biarpun hampir tiga jam ia dipentaskan, persembahan P Ramlee...The Musical kali ini menepatinya tagline atau apa yang hendak diketengahkan iaitu Kehidupan, Percintaan dan Inspirasi.

INFO:

  • Daripada lagu cinta dan gembira seperti Selamat Berjumpa Semula, Gelora hinggalah kepada lagu meruntun jiwa Hujan Di Tengah Hari, Getaran Jiwa dan Di Manakah Ku Cari Ganti, benar-benar membuatkan penonton terpaku dengan persembahan teater ini.

  • Babak P Ramlee menyanyikan lagu Getaran Jiwa dengan iringan piano petikan Sudarmaji (dilakonkan oleh Mohd Fauzuly Hamdan Tahir) dilihat amat klasik. Babak ini kemudian dilanjutkan dengan pertemuan Ramlee dan Saloma apabila kedua-duanya kemudian menyanyikan lagu Senandung Kasih dan Gelora. Saat bahagia P Ramlee berada di alam percintaan dengan Saloma digambarkan menerusi lagu Saat Yang Bahagia dan Hancur Badan Kandung Tanah.

  • Dengan berlatarkan muzik Azizah dan Engkau Laksana Bulan, teater muzikal ini memang meninggalkan kesan kepada penontonnya, terutama kepada peminat atau mereka yang mengikuti perjalanan hidup serta sejarah pencapaian kerjaya seni Seniman Agung negara.

  • Melainkan watak Ramlee yang diberikan kepada Musly, Adlin Aman Ramly tidak banyak mengubah jalan cerita P Ramlee...The Musical bagi kali kedua ini. Ceritanya bermula dengan latar di Pulau Pinang pada tahun 1948, seperti Malam Pesta Bukit Mertajam, Taman Bunga dan Stesen Keretapi Tanah Melayu di Butterworth.

Pulau Batu Puteh sah milik Singapura



KUALA LUMPUR: Pulau Batu Puteh yang menjadi pertikaian antara Malaysia dan Singapura selama 28 tahun hari ini kini disahkan milik Singapura selepas ia diputuskan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) di The Hague, Belanda.

Keputusan ICJ itu akan disampaikan oleh Naib Presiden Mahkamah itu, Hakim Awn Shawkat Al Khasawneh yang juga Pemangku Presiden, tepat jam 5.50 petang.

Keputusan itu disiarkan secara langsung oleh RTM1, mulai kira jam 4 petang ini.


Pulau Batu Puteh atau Pedra Branca (bahasa Portugal untuk "Batu Putih") adalah sebuah pulau tunggul sebesar dua padang bola sepak, yang terletak di luar pantai tenggara Pengerang, Johor, Malaysia.

Luasnya 0.2 hektar, berbatu-batu dan kira-kira 12.8 km dari Pengerang dan 64 km ke timur Singapura dan hanya 20 minit dengan bot laju dari Teluk Ramunia, Pengerang, Johor.

Pertikaian kedaulatan pulau itu antara isu kedua-dua negara yang berlarutan hampir 28 tahun.

Singapura mendakwa Pulau Batu Puteh miliknya selepas pemetaan wilayah dibuat Malaysia pada 1979.

Pada 24 Julai 2003, Malaysia dan Singapura secara bersama memulakan proses perundangan bagi menyelesaikan tuntutan Singapura melalui penyampaian secara rasmi kepada ICJ.

Rezeki daripada madu lebah


PERCAYA dengan falsafah, sesuatu perniagaan yang berjaya selalunya bermula daripada skala kecil menyebabkan Zulkurnain Yunus, 43, tidak pernah menyesal dan malu bermula dari bawah dan menumpukan pada pasaran tempatan sebaik mengambil keputusan muktamad bergelar usahawan.

Bagi Pengarah Urusan syarikat pengeluar produk berasaskan madu lebah yang didaftarkan dengan nama TLH Product Industries ini, apa yang penting ialah menimba seberapa banyak pengalaman, membina jaringan perniagaan serta mengukuhkan imej syarikat dan memperoleh kepercayaan pelanggan, sebelum melangkah lebih jauh dalam dunia perniagaan.

Wartawan ZUARIDA MOHYIN bersama jurufoto HALIM KHALID menemuramah Zulkurnain tentang produk terkini syarikat beliau semasa berlangsungnya Pameran Perdagangan Halal Antarabangsa Malaysia ke-5 (MIHAS 2008) di Pusat Konvensyen dan Pameran Matrade, Jalan Duta, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

MEGA: Bagaimana saudara mula berkecimpung dalam dunia perniagaan dan terangkan serba ringkas tentang produk-produk dari syarikat saudara?

ZULKURNAIN: Ketika bekerja sebagai Eksekutif Pembelian di PSC-Naval Dockyard Sdn. Bhd. di Kuala Lumpur, apabila ada masa terluang, saya selalu berjalan-jalan di sekitar Jalan Masjid India dan mengikuti perkembangan peniaga herba di situ dan yang paling menarik ialah peniaga madu lebah.

Bertitik-tolak daripada minat saya berkaitan produk berasaskan madu, saya mula membuat kajian mendalam bersama pegawai-pegawai dari Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi), Universiti Malaya dan Universiti Kebangsaan Malaysia.

Berdasarkan pengamatan daripada peniaga-peniaga itu, didapati cara pembungkusan madu juga masih di tahap lama atau tradisional. Lalu timbul satu idea, bagaimana sekiranya ia dibungkus secara lebih komersial. Dari situlah bermulanya produk keluaran pertama kami.

Disebabkan masih bekerja ketika itu, maka pembungkusan produk hanya dilakukan di rumah sahaja dan dibantu oleh isteri, Wan Azila W. Ismail.

Antara produk kami ialah madu yang diimport dari Iran, Taiwan di samping madu tempatan (Madu Tualang), Madu Apple Cider, Honey Sticks dan terkini diberi nama Green Propolis.

Nampaknya saudara telah banyak melabur untuk memasarkan produk paling baru syarikat iaitu TLH Green Propolis. Mengapa?

ZULKURNAIN: Setelah lapan tahun berkecimpung dalam bidang pengeluaran produk berasaskan lebah dan menerusi pelbagai kajian, saya dapati ada satu produk yang amat berkesan bagi tujuan rawatan penyakit dan sebagai satu makanan tambahan bagi mereka yang mengutamakan kesihatan iaitu Green Propolis.

Ia amat popular di Jepun, dan negara itu adalah pengimport paling besar di dunia.

Disebabkan itulah saya memberanikan diri memperuntukan RM200,000 untuk kajian dan penyelidikan, pembangunan produk serta program pemasaran terancang. Kajian dan penyelidikan dijalankan sejak beberapa tahun lalu. Ini termasuklah aspek keselamatan penggunaan produk tanpa kesan sampingan.

Selain itu, Green Propolis masih kurang dikenali masyarakat Melayu akan khasiat-khasiatnya dibandingkan dengan bangsa-bangsa lain di Malaysia terutama bangsa Cina. Oleh itu, sebagai usahawan bumiputera, saya ingin mengetengahkannya demi kesihatan bersama.

Apakah yang menjadikan produk TLH Green Propolis begitu popular dan apakah kelebihannya?

ZULKURNAIN: Sejak dipasarkan, produk ini sebenarnya menjadi penantian mereka yang menginginkan satu produk semula jadi daripada lebah.

Produk ini dijangka mencipta kejutan baru disebabkan oleh keberkesanan khasiat yang amat bermanfaat untuk kesihatan manusia.

Di sini terdapat beberapa fakta daripada mereka yang telah membuat kajian terperinci mengenainya.

Pertama: “Kandungan flavonoids di dalam propolis amat berkesan untuk mencegah pembiakan sel kanser”. (Laporan perubatan yang mengejutkan dunia perubatan, Persatuan Berita Ekonomi, Jepun tahun 1991).

Kedua: “Tiada bakteria, fungus dan virus dapat hidup di dalam sarang lebah sekalipun diletakkan bangkai atau mayat reput”. (Kajian Profesor Dr. Remy Chauvin, Perancis tahun 1968).

Ketiga: “Propolis mengandungi 149 komponen bioaktif , puluhan jenis flavonoids, vitamin A,B,F,C,E,H,P dan 10 jenis mineral, asid amino dan asid lemak”. (Kajian Universiti Oxford British tahun 1987).

Propolis kebanyakannya dihasilkan oleh spesies Lebah Afrika, kerana spesies ini alah kepada jangkitan dan serangan berbanding dengan lebah jenis lain. Oleh itu, spesies lebah ini memerlukan propolis sebagai satu pertahanan untuk diri sendiri, koloni dan sarang mereka daripada sebarang bentuk jangkitan seperti bakteria, virus, kulat (fungus) dan sebagainya.

Boleh dikatakan terdapat pelbagai jenis propolis di pasaran, namun Green Propolis adalah yang terbaik. Ia mengandungi 34 jenis flavonoids yang kaya dan unik berasal dari Minas Gerais, Brazil (kawasan bebas pencemaran Hutan Amazon).

Disebabkan tingginya khasiat Green Propolis, syarikat mengorak langkah untuk mengetengahkan produk ini di pasaran Malaysia, di samping dapat memberi manfaat kesihatan kepada pengguna.

TLH Green Propolis diekstrak dengan teknologi terkini dan terbaik tanpa menggunakan alkohol melalui proses penggunaan mesin yang canggih, Super-Fluid Critical Extraction iaitu kaedah yang menggunakan angin bagi menukar propolis mentah kepada cecair.

Produk ini berdaftar dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (MAL No: 04112727T), disahkan halal serta dihasilkan dari kilang yang bertaraf (Good Manufacturing Practice Product) GMP.

Apakah strategi pemasaran dan bagaimana ia dilaksanakan?

ZULKURNAIN: Sebagai permulaan syarikat akan memasarkan jualan sebanyak 5,000 botol dan melantik stokis dan pengedar di seluruh negara. Kempen mendapatkan stokis dan pengedar sedang rancak dijalankan. Buat masa ini sesetengah tempat dan negeri sudahpun mempunyai stokis ataupun pengedar terutamanya di Lembah Kelang.

Untuk layak menjadi pengedar, mereka yang berminat hanya perlu menyediakan RM500 bagi mendapatkan sedozen pek TLH Green Propolis bersama risalah. Bagi stokis, stok pembukaan adalah 150 botol, disertakan pula risalah, poster dan bunting bagi tujuan promosi.

Syarikat berharap, melalui kaedah ini dapat membantu usahawan sama ada sambilan atau tetap bagi meningkatkan pendapatan mereka.

Mereka yang berminat boleh menghubungi talian 03-5191 1516 atau e-mel: zulhoney@tm.net.my.

Apakah cabaran yang dihadapi sepanjang mengendalikan perniagaan berasaskan madu lebah ini?

ZULKURNAIN: Pelbagai halangan dan cabaran yang timbul ketika mula-mula menjalankan perniagaan. Antaranya, lokasi pembungkusan yang terhad, masa yang singkat kerana pembungkusan dijalankan selepas waktu kerja.

Dari segi pemasaran pula tidak semua pelanggan dapat menerima dengan mudah produk-produk keluaran syarikat pada peringkat awalnya.

Apatah lagi, apabila tidak mampu menggaji pekerja, maka saya sendiri terpaksa memasarkan produk tersebut ke farmasi individu dan kedai-kedai ubat tradisional selepas waktu kerja dan pada cuti hujung minggu.

Alhamdulillah, kini produk-produk kami semakin mendapat tempat di hati para pelanggan, di samping mempunyai pelanggan tetap.

Loceng kapal perang dikembalikan


PELABUHAN KLANG 22 Mei - Loceng kapal perang HMS Prince of Wales yang berada di sini sejak Oktober 2007 sebagai bahan utama pameran Projek Perhubungan Malaysia-Britain, hari ini diserahkan semula kepada Britain.

Penyerahan loceng itu disempurnakan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak kepada Pegawai Pemerintah HMS Edinburgh, Komander Gavin Young, kapal pemusnah milik Britain yang berlabuh di sini mulai semalam hingga Isnin ini, untuk dibawa pulang ke United Kingdom.

Majlis penyerahan itu disaksikan Pesuruhjaya Tinggi British ke Malaysia, Boyd Mc Cleary; Panglima Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Laksamana Datuk Abdul Aziz Jaafar dan Pengerusi Projek Perhubungan Malaysia-United Kingdom, Laksamana (B) Tan Sri Mohd. Anwar Mohd. Nor.

Berucap pada majlis itu, Najib mencadangkan Kementerian Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan mengambil inisiatif untuk menjadikan lokasi kedua-dua kapal itu tenggelam, sebagai kawasan warisan yang dilindungi Kerajaan Malaysia.

"Saya difahamkan bahawa kerajaan Britain telah mendaftarkan kapal yang tenggelam itu sebagai tinggalan perang yang dilindungi daripada sebarang pencerobohan haram," katanya.

Loceng itu dipamerkan pada Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi (LIMA) tahun lalu sebelum dibawa ke Kuantan untuk satu majlis penuh bermakna, dengan meletakkan satu plak khas berhampiran tempat tenggelamnya kedua-dua kapal perang itu.

"Saya begitu kagum ketika melawat pameran Projek Perhubungan Malaysia-Britain semasa Pameran Maritim sempena LIMA 2007, dan usaha-usaha yang dilakukan itu patut diberi pujian,'' kata Najib.

Beliau juga berbangga atas penghargaan yang diterima daripada Putera Charles atas usaha Malaysia menghargai Tentera Diraja British.

Pameran Projek Perhubungan Malaysia-Britain, adalah satu inisiatif Malaysia bagi menghormati mereka yang terkorban selepas kapal perang HMS Prince of Wales dan HMS Repulse tenggelam di Laut China Selatan pada 10 Disember 1941 ketika Perang Dunia Kedua.

Kapal yang dihantar Kerajaan Britain untuk mempertahankan Tanah Melayu itu, tenggelam di luar perairan Kuantan selepas dibom pesawat Tentera Udara Jepun.

Loceng HMS Prince of Wales itu yang ditemui pada bangkai kapal tersebut pada 2002 akan dibawa pulang oleh kapal HMS Edinburgh ke Britain untuk dikembalikan ke tempat asalnya di Muzium Maritim Merseyside, Liverpool.