Oleh Fadzlena Jafar
Assalamualaikum
SEPANJANG Mei ini ada pelbagai hari istimewa yang diraikan. Antaranya, Hari Pekerja, Hari Belia, Hari Ibu, Hari Jururawat dan tentunya, Hari Guru yang bakal disambut 16 Mei ini. Walaupun sudah memperkatakan mengenai Hari Ibu dalam ruangan ini, Isnin lalu, saya tertarik untuk menyentuh mengenai hari istimewa itu sekali lagi selepas menerima kiriman e-mel daripada Zila yang bertanya perlukah wanita hari ini menjadi superwoman untuk berjaya sebagai ibu dan juga dalam kerjaya.
Saya sendiri pernah memikirkan persoalan ini beberapa kali terutama apabila ada harinya, anak tidak sihat, tetapi kerja di pejabat pula begitu banyak. Pernah beberapa kali saya menimbangkan secara serius untuk berhenti kerja bagi menjaga anak sepenuh masa apabila berlaku keadaan seperti itu.
Beberapa tahun -lalu, anak kedua saya diserang sakit yang membuatkan hati tidak tenteram untuk bekerja. Pada mulanya saya jangkakan si kecil hanya demam biasa walaupun dia muntah keluar daripada hidung dan mulut. Sepanjang pagi itu, hati tidak begitu tenang memikirkan keadaannya kerana ketika itu dia masih kecil, baru berusia 11 bulan.
Mungkin naluri seorang ibu, jangkaan saya benar sekali apabila pada waktu tengah hari saya menerima panggilan daripada pembantu rumah yang bimbang akan keadaannya yang sudah muntah beberapa kali sepanjang tiga jam itu. Saya bernasib baik kerana ketika itu, bos saya (Puan Rashidah yang akan saya kenang sampai bila-bila) amat memahami dan membenarkan saya balik separuh hari.
Walaupun keadaan anak saya sudah agak lembik ketika itu, hospital yang kami kunjungi hanya memberikan si kecil ubat biasa. Namun, keadaan anak saya semakin teruk, dan sepanjang dua hari berikutnya saya pergi ke pejabat dalam keadaan tidak keruan. Mungkin memahami keadaan saya, bos memberikan saya cuti bagi membolehkan saya menjaga anak.
Benar, ada pembantu rumah yang menjaganya, tetapi dalam keadaan itu saya berpendapat kehadiran saya sebagai ibu lebih bermakna bagi si kecil yang sedang sakit. Pada hari ketiga, anak saya terpaksa dimasukkan ke hospital kerana sakitnya semakin serius. Dua hari kemudian anak sulung pula jatuh sakit dan saya terpaksa memanjangkan cuti.
Bukan niat saya untuk becerita panjang mengenai peristiwa itu, tetapi saya yakin apa yang saya alami pernah berlaku kepada ibu lain. Saya bernasib baik kerana mendapat bos yang amat memahami, tetapi bagaimana jika bos berkenaan hanya menganggap kita pekerja bermasalah kerana mengambil cuti apabila anak sakit. Bagi saya, tidak guna kita dianggap pekerja cemerlang, lebih-lebih lagi jika berlaku sesuatu yang tidak diingini kepada anak hanya kerana sikap kita yang lebih mengutamakan kerja.
Kebanyakan wanita khususnya yang sudah menjadi ibu, terus bekerja mencari rezeki kerana ingin membesarkan anak supaya dapat menikmati kehidupan lebih selesa.
Dalam hubungan ini, saya teringat akan kata-kata Andrea Jung, Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Avon Products Global dan disenaraikan antara 50 wanita berkuasa di dunia mengenai keadaan itu ketika beliau ditemubual rakan saya, Nor Affizar Ibrahim, baru-baru ini (artikelnya disiarkan dua minggu lalu).
Andrea ada mengatakan, walaupun beliau mempunyai tanggungjawab yang besar sebagai seorang yang mengetuai sebuah syarikat bertaraf antarabangsa, jika anaknya sakit, beliau tetap mengutamakan si kecil dan sanggup mengambil cuti. Malah, beliau akui tidak guna menjadi seorang pekerja yang hebat, tetapi tidak pada mata anaknya.
Katanya, setinggi mana jawatan seseorang itu, apabila membabitkan anak, tiada kompromi. Saya juga bersetuju dengan Andrea. Biarlah dimarahi majikan, tetapi saya tidak mahu menyesal pada kemudian hari.
Hakikatnya, inilah antara dilema atau cabaran besar bagi wanita hari ini. Kita terperangkap antara kasih sayang kepada anak dan keperluan untuk mencari rezeki bagi membantu menambah pendapatan keluarga. Mungkin ada yang mengatakan, berhenti saja kerja dan duduk di rumah, tetapi keadaan hari ini tidak sama seperti dulu.
Ramai wanita yang bekerja bukan saja untuk menambah pendapatan keluarga, tetapi juga untuk membantu ibu bapa yang membesarkan kita. Walaupun ada adik beradik lain, tidak mungkin kita hanya mengharapkan mereka untuk menghulurkan duit kepada ibu bapa yang membesarkan kita.
Bagi yang berkemampuan, mereka mengambil keputusan untuk berhenti kerja kerana tidak mampu menghadapi pelbagai cabaran sebagai pekerja terutama memikirkan tempoh yang panjang di pejabat sehingga ada kalanya terlalu sedikit masa diluangkan bersama anak, sekali gus menimbulkan rasa bersalah kepada si kecil.
Tetapi, apa yang boleh kita lakukan? Ada wanita yang mengambil keputusan untuk bekerja dari rumah, tetapi ada juga masalahnya kerana hanya beberapa bidang saja yang membolehkan kita melakukan konsep berkenaan. Mungkin persoalan ini tidak akan terjawab sampai bila-bila.
Apapun, selamat Hari Ibu. Tidak lupa selamat Hari Guru kepada semua yang menyahut cabaran untuk mendidik generasi hari ini kerana tanpa anda siapalah kami.