09 November 2008

Seadpri UKM isi kelompangan kajian bencana Asia Tenggara



WALAUPUN Asia Tenggara adalah antara kawasan bencana alam besar dunia, rantau ini tidak mempunyai kepemimpinan dalam penyelidikan bencana alam.

Bagi mengisi lompang ini, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menubuhkan Institut Penyelidikan Pencegahan Bencana Asia Tenggara (Seadpri) yang unik kerana sejak awal, perspektif penyelidikan adalah untuk menyelesaikan masalah di peringkat Asia Tenggara.

Pengasas - Pengarah pertama Seadpri, Prof Datuk Dr Ibrahim Komoo, berkata hampir semua kawasan bencana alam besar mempunyai kepemimpinan penyelidikan seperti Jepun/China mempunyai Institut Penyelidikan Pencegahan Bencana Alam (DPRI) Universiti Kyoto dan Amerika Syarikat dengan USGS (United States Geological Survey).


Katanya, tiada institusi begitu, malah ada institusi lain di Jepun yang melihat masalah di Asia Tenggara menyebabkan Seadpri mahu lompang yang wujud dalam kepemimpinan penyelidikan bencana alam di Asia Tenggara.

Berbeza dengan kebanyakan institusi penyelidikan tempatan sebelum ini yang memfokuskan kepada isu, persoalan dan keperluan negara dan kemudian berkembang ke isu serantau dan antarabangsa, katanya Seadpri mengambil pendekatan sebaliknya.

Katanya, Seadpri memulakan dengan bencana di Asia Tenggara dan melihat hubung kait dengan bencana dalam negara.

“Apa yang berlaku di luar akan menyebabkan apa yang berlaku di negara ini. Ia memanfaatkan jika melihat isu secara global dan membawa kepada negara kita.

“Kalau kita hanya melihat masalah kita dan selagi sesuatu itu bukan masalah kita, kita tidak akan belajar apa-apa,” katanya.

Dari segi operasi, katanya Seadpri mempunyai penyelidik teras antara lima hingga 10 orang, felo penyelidik bersekutu dari dalam negara (universiti lain dan agensi kerajaan) serta felo penyelidik antarabangsa yang kita sudah kenal pasti dari Jepun, Indonesia, Filipina dan Thailand.

Selain itu, katanya Seadpri membuat dua bentuk jaringan. Pertama dengan agensi kerajaan berkepentingan seperti Jabatan Meteorologi, Jabatan Mineral dan Geosains, Bahagian Keselamatan Negara dan Jabatan Alam Sekitar (JAS).

Kedua, katanya perbincangan dengan rakan kongsi luar negara seperti Lippi (Lembaga Ilmu Pengetahuan Indonesia), sebuah institut penyelidikan dan dasar yang melihat bencana di Indonesia dan DPRI, sebuah institut kajian bencana alam pertama di dunia yang ditubuhkan pada awal 1950-an.