APA dah jadi? Satu persatu isu berkaitan orang Melayu dibangkitkan. Tak sudah-sudah. Macam lagu S.M Salim...'Apa Dah Jadi' yang akhirnya berkesudahan melepaslah lagi! Kenapa isu-isu sensitif ini tidak pernah selesai? Ada saja pendekatan yang digunakan untuk 'mengganggu' ketenangan orang lain. Macam mahu memusnahkan sarang tebuan. Kalau tidak guna lastik, mereka jolok dengan buluh atau terus guna api untuk memusnahkan tebuan. Tetapi silap-silap haribulan, tebuan mengamuk.
Justeru hentikanlah sebarang usaha ke arah menyakitkan hati orang lain. Seperti kata Perdana Menteri, Abdullah Ahmad Badawi baru-baru ini, bercakap mengenai isu sensitif perlu lebih berhati-hati kerana banyak orang yang akan terasa. Isu-isu agama, bangsa, budaya dan bahasa boleh menimbulkan reaksi yang kurang menyenangkan. Orang yang terasa kadangkala tidak menunjukkan kemarahan, macam api dalam sekam. Tetapi lama kelamaan, akan terbakar juga. Bila dah terbakar, siapa untung, siapa rugi?
Maka bagi mereka terutama yang bertaraf pemimpin parti politik janganlah terlalu ghairah bercakap mengenai isu-isu yang boleh menjerumuskan kepada keadaan yang menimbulkan rasa kurang senang orang lain. Latihlah diri untuk mengawal kata-kata. Pegang kata-kata cubit paha kanan, paha kiri terasa sakit. Kadang kala seseorang pemimpin itu bercakap seolah-olah mereka mempunyai imuniti untuk bercakap apa sahaja tanpa mengira hati dan perasaan orang lain. Rakyat kebanyakan yang sebelum ini tidak pernah terusik atau diusik dengan kata-kata sedemikian tiba-tiba dihidangkan dengan isu-isu sebegini yang boleh menimbulkan keresahan. Mereka atau rakyat kebanyakan ini yang tidak menyebelahi mana-mana pihak kemudiannya terfikir kata-kata ini dan bermulalah episod tidak puas hati di sana sini. Ada juga yang sengaja membuat pelbagai tafsiran atau persepsi terhadap sesuatu isu. Yang dianggap biasa didakwa rasis, sehingga menakutkan dan mencemaskan orang lain, menjatuhkan maruah orang dan sebagainya.
Dulu keris yang kini menjadi hiasan muzium, dinding rumah atau terselit di pinggang pengantin lelaki disalah tafsir.
Keuntungan
Semuanya ini tidak mungkin tidak berkesudahan sampai pilihan raya umum akan datang kerana isu-isu begini boleh memberi keuntungan kepada pihak-pihak tertentu. Mereka ini akan terus mengambil pendekatan 'menjolok sarang tebuan'. Dalam hal ini, isu ketuanan Melayu contohnya tidak perlu dibangkitkan sehingga ke tahap dilabelkan siapa tuan dan siapa hamba.
Bercakap soal hamba dan tuan ini, penulis teringat buku Jiwa Hamba tulisan Azizi Hj. Abdullah terbitan Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP). Memang menarik. Buku ini bukan menceritakan soal siapa tuan dan siapa hamba tetapi lebih kepada Melayu yang berjiwa hamba.
Salah satu bab menyebut masih banyak orang yang berjiwa hamba tidak memiliki fikiran kritis. Mereka ialah; Orang yang mengharap dan bergantung kepada orang lain. Memohon atas sebab belas kasihan. Tidak berusaha menggunakan kekuatan sendiri sebelum meminta tolong; Memuji dan memuja seseorang itu untuk mendapat habuan. Mengalah dengan alasan sama-sama percaya apabila diminta membuat perjanjian; Apabila berjanji, mungkir sewenang-wenang dan direndahkan jiwa hambanya memohon maaf; Mudah percaya dengan kata-kata manis. Tidak pernah menyelidik terhadap sesuatu perkara; Jika menyertai sesuau persatuan, pakatan ia hanya menjadi kuda tunggangan. Kerja kuat tetapi orang lain yang mendapat nama. Tidak sedar menjadi kambing hitam dan; Tidak sedar diri apabila dipuji dan disanjung.
Bagaimanapun ada yang menyanggah perkara di atas. Kata mereka, untuk menjadi seseorang itu maju dan berjaya, kita tidak boleh terlalu jujur dan berlembut. Mereka berhujah dengan peribahasa: Jangan sampai kura-kura pun boleh memanjat pokok yang tumbang. Betulkan begitu? Fikirlah.
Dan menarik perhatian penulis antara lain ialah kenyataan bahawa kita bangsa Malaysia khususnya Melayu masih bersahibulhikayat , berakian dan sebermula. Menarik perhatian juga mengenai Melayu Pulau Pinang yang menurut kandungan buku itu masih berjiwa hamba.
Bertitik tolak daripada situlah terciptanya pantun : Pulau Pinang bandar baru, Kapten Light jadi raja. Kalau dikenang masa lalu, jatuh berlinang si air mata; Zaman dahulu bertikar pucuk, zaman ini bertikar mengkuang; Zaman dahulu kita dipujuk, zaman ini kita dibuang.
Orang mengail berumpan lokan, sampan dikayuh terlalu laju; Orang mengail dapat ikan. Saya mengail dapat baju.
Nak tahu apa lagi yang ditulis, bacalah buku ini. Bukan mahu promosi tetapi ada rakan berkata, kalau diikutkan hatinya, haramkan buku itu. Sebabnya dia tidak setuju jiwa hamba orang Melayu terhadap pemimpin terutama raja-raja dipertikaikan. Dan dia juga tidak setuju kerana orang Melayu dikatakan berjiwa hamba sedangkan yang sedang diperdebatkan adalah sebaliknya.