Maju Melayu Perkasa!

Program SMS Prepaid Terunggul Dari MYeCASH

11 Februari 2009

Simpan 500,000 naskhah


Di Junk Book Store, jika anda menemui buku-buku lama yang dicari sejak sekian lama, ia merupakan satu pengalaman yang sukar digambarkan dengan kata-kata.


JUNK BOOK STORE cukup popular di kalangan mereka yang ingin mencari buku-buku baru dan lama.


DI DALAM kedai yang terletak di hujung Jalan Tun H.S Lee, Kuala Lumpur, bau buku lama yang 'harum' menusuk ke hidung. Mungkin ada segelintir yang berasa 'lemas', tetapi ramai juga yang hanyut dengan ilmu yang disimpan di helaian naskhah-naskhah di kedai tersebut.

Gabungan buku baru dan lama yang disusun rapi boleh dilihat hampir di setiap inci premis sederhana besar itu. Beroperasi sejak tahun 1990 di sebuah kedai kecil di Jalan Ampang, Junk Book Store kemudiannya berpindah ke lokasi sekarang sejak tahun 1996, kerana buku yang diterima semakin banyak.

"Bagi seseorang individu, buku mungkin hanya sebuah buku yang berharga RM1 atau sampah yang perlu dibuang. Namun, bagi sesetengah orang ia tidak ternilai harganya.

"Bergantung bagaimana anda menilai sebuah buku dan sejauh mana ia memberi makna kepada anda," jelas pemilik Junk Book Store, Adelyn Koh.

Memegang rekod kedai buku terpakai terbesar di Malaysia seperti yang disahkan oleh pihak Malaysia Book of Records, Junk Book Store menyimpan lebih 500,000 naskhah buku dan majalah.

"Yalah, buku dan majalah bukannya tebal sangat. Jika disusun sebegini dan dikira, jumlahnya memang boleh mencecah beribu-ribu naskhah," kata Adelyn sambil menyentuh susunan buku berhampirannya.

Benar, tidak ramai yang mengumpul buku. Biasanya, buku lama akan dibuang atau dibiarkan hilang begitu sahaja.

Cuma mungkin apabila umur mencecah 40-an atau 50-an, kita mula teringat dan menyedari buku dahulu sangat berbeza dengan buku yang ada sekarang. Terutamanya dari aspek grafik dan reka letak muka suratnya.

Justeru, kita akan fikir bahawa alangkah gembiranya jika boleh membaca semula buku-buku lama.

"Itulah antara sebab kenapa pelanggan datang ke sini. Malah, apabila berjaya menjumpai buku yang dicari sejak sekian lama, kegembiraan yang terpancar di wajah mereka sukar untuk digambarkan.

"Saya boleh lihat keterujaan itu dan berkongsi rasa gembira kerana boleh membawa kembali memori kepada setiap pelanggan Junk Book Store. Jadi, ia bukan sekadar satu perniagaan yang mementingkan kepada keuntungan semata-mata, tetapi turut memberikan kebahagiaan kepada orang lain," ujarnya.


ADELYN (kanan) cukup mahir untuk mencari buku yang diingini oleh pelanggannya.


Lazimnya, pelanggan akan memberikan senarai buku yang dicari. Jika berjaya mendapatkan tujuh daripada 10 buah buku yang diminta, Adelyn sudah cukup gembira.

Bagaimana dia mencari buku yang diminta pelanggan? Pemilik Junk Book Store, Adelyn hanya tersenyum.

Dia memberitahu, apabila seseorang seperti dia yang sudah lama berada dalam 'kerja' ini mendapatkan buku yang dimahukan, itu bukanlah masalah besar.

Tidak terhad kepada buku bahasa Melayu dan Inggeris, kedai itu turut menjual buku berbahasa Belanda, Jerman dan Perancis. Maka tidak hairanlah jika ramai pelancong asing datang ke kedainya untuk mendapatkan buku kegemaran masing-masing.

Di tingkat atas bangunan lama itu pula, tersimpan buku-buku, majalah dan komik yang disifatkan oleh Adelyn sebagai eksklusif.

Benar, anda boleh mendapatkan buku pelbagai genre termasuklah biografi, sains fiksyen, sejarah, keagamaan dan politik yang diterbitkan seawal tahun 1800-an.

Junk Book Store mendapatkan buku-buku klasik ini daripada pelbagai sumber. Sebelum ini, Adelyn pernah mendapatkan bekalan buku dari Australia.

Namun, lama kelamaan kebanyakan buku-buku dibeli daripada orang tempatan yang sering keluar negara dan membawa pulang banyak buku dari negara yang dilawati.

"Mereka berpindah rumah atau berhijrah ke luar negara selalunya mahu menjual buku lama yang ada. Adakalanya, orang ramai yang mahu menjual buku-buku lama itu akan menghubungi Junk Book Store atau mengiklankannya di dalam akhbar atau majalah.

"Jadi, saya akan menghubungi mereka dan melihat sama ada buku yang hendak dijual itu sesuai atau sebaliknya," tambahnya.




Harganya? Harga buku yang baru tidak jauh bezanya dengan di kedai-kedai buku lain. Harga buku-buku yang eksklusif pula bermula daripada RM50 dan boleh mencecah ribuan ringgit senaskhah.

"Ada buku yang berharga lebih RM20,000 sebuah. Saya pernah menjual sebuah buku berkaitan sejarah Malaya dan zaman kolonial British pada harga RM8,000.

"Untuk menetapkan harga sesebuah buku, saya perlu tahu sejauh mana sukarnya buku itu boleh didapati semula. Misalnya, mungkin buku itu tidak lagi diterbitkan," cerita Adelyn.

Mungkin ramai yang masih belum tahu tentang kewujudan Junk Book Store. Sesiapa yang ingin mencari buku lama, anda mungkin perlu datang ke sini. Lebih menarik lagi, kebarangkalian untuk menemuinya adalah tinggi. - AHMAD SYUKRAN ZAINUDDIN