Maju Melayu Perkasa!

12 Julai 2009

Asal usul Gemas


Oleh Mohd Azis Ngah dan Nor Shahfizan Hasim


Terowong yang menjadi laluan pelombong emas.

Dipercayai cantuman perkataan Inggeris 'gold' dan omeh (emas) serta loghat Negeri Sembilan 'gomeh' yang bermaksud gua emas

PERTAMA kali menjejakkan kaki ke Gemas, Negeri Sembilan, banyak mengubah persepsi awal mengenai bandar kecil ini, apatah lagi tempat bersejarah itu cukup tenang, aman dan penduduknya ramah serta mudah mesra.

Dari segi sejarah, Gemas menjadi titik pertemuan penting laluan Kereta api Tanah Melayu Berhad (KTMB) menghubungkan pantai timur dan pantai barat Semenanjung. Stesennya dibina sejak 1992 masih beroperasi hingga sekarang dan itu cuma sebahagian daripada seribu kenangan dan sejarah negara.


Kedudukannya bersempadan dengan Johor dan Pahang dianggap strategik, bahkan ada yang menggelarnya Segi Tiga Emas.

Bukan setakat Segi Tiga Emas, bandar kecil ini juga sebenarnya mendapat nama sempena sejenis logam kuning yang mahal harganya iaitu emas.

Ada yang mengatakan nama Gemas bermula apabila orang Inggeris berhujah dengan orang tempatan mengenai nama logam. Orang Inggeris menamakan ‘gold’ tetapi penduduk mengatakan ia ‘omeh’ dan gabungan kedua-duanya menjadi Gomeh sebelum ejaannya dimuktamadkan sebagai Gemas.

Batang besi dipercayai pahat melekat dipermukaan dinding gua.

Penduduk tempatan mengatakan ia sebenarnya dinamakan sempena penemuan tempat lombong emas di sebuah gua yang mereka namakan ‘Gomeh’ (gua emas). Apa pun ia sebenarnya berkaitan dengan penemuan logam emas.

Kedua-duanya saling berkaitan dan mungkin ramai yang tidak menyedari bahawa gua emas itu memang wujud, cuma ia sebenarnya adalah bekas tapak lombong emas yang terletak di sebuah bukit. Teori awal yang mengaitkan perdebatan mengenai emas itu memang logik kerana diakui, pelombong asalnya ialah orang Inggeris yang bekerjasama dengan penduduk tempatan.

Berikutan penemuan lombong emas itu, nama Gemas terus popular dan ditukar menggantikan nama asal iaitu Ayer Terap yang diambil sempena anak sungai berhampiran Rumah Rehat Gemas.

Gua emas itu terletak Bukit Jalor, kira-kira lima kilometer dari Simpang Dua. Kedudukannya di atas bukit dikelilingi kebun getah dan memerlukan pengunjung mendaki bukit kira-kira 500 meter untuk sampai ke lokasi.

Lubang peninggalan pelombong emas yang dipercayai mati tertimbus.

Tempat ini belum diteroka sepenuhnya tetapi kini Pejabat Daerah Gemas dengan kerjasama penduduk setempat menjadikannya sebagai tarikan baru pelancongan yang dimasukkan antara produk pakej homestay atau inap desa.

Wartawan Berita Minggu berpeluang memasuki gua itu bersama penduduk, diiringi pasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat Gemas serta dua penolong pegawai daerah, Mohd Khairul Azmi Khairuddin, 26, dan Mohd Khatib@Fazri Amran, 25.

Terlalu banyak lubang di puncak bukit dipercayai antara lubang angin bersambung dengan lombong. Kedudukannya yang agak tertimbus membahayakan pengunjung dan mereka harus bergerak mengikut arahan dan tanda amaran yang dilekatkan oleh bomba dan penyelamat.

Sebaik mendaki peringkat pertama ke puncak, kami menemui dua lubang utama, lapisan bawahnya berlapis tidak rata dan boleh kelihatan kelawar berterbangan. Kedalaman dianggarkan 50 meter dan kemungkinan ia lubang angin yang bersambung dengan gua.

Pegawai Bomba Kanan II, Gazali Maslan, membawa kami menuruni bukit menuju ke pintu gua. Tiga lagi anggotanya, Bakhtiar Jamaludin, Yahya Shamsudin, Khairulnizam Yusof sudah menunggu di sana kerana mereka melalui laluan bawah ke pintu gua dengan membawa peralatan keselamatan.

Ketua Kampung, Baharin Yusup, 68, membacakan doa selamat sebelum kami memulakan perjalanan dan sebaik menjejakkan kaki ke dalam gua, kami disambut deruan bunyi kelawar berterbangan.

Sepanjang dinding gua itu dipenuhi dengan kesan ketukan dipercayai menggunakan pahat besi untuk melombong tetapi aliran coraknya cukup teratur atau sehala. Dinding itu dipenuhi pepijat gua yang saiz dua kali lebih besar daripada pepijat rumah.

Sepanjang perjalanan dianggarkan sejauh satu kilometer itu, kelihatan beberapa terowong kecil menghala ke atas dan bawah. Laluan ke atas kemungkinan adalah lubang angin dan terowong ke bawah kemungkinan bersambung dengan aliran sungai bawah tanah.

Pada satu lubang kecil menghala ke bawah kelihatan air yang cukup bersih. Satu lagi mempunyai anak tangga tetapi semuanya menjadi syurga kelawar. Ribuan kelawar berterbangan sebaik saja limpahan lampu suluh menghala ke arah haiwan berkenaan.

Beberapa persimpangan ditandakan dengan pelekat keselamatan sebagai amaran supaya pengunjung tidak memasuki laluan berkenaan kerana berbahaya dan jelas ada antaranya kelihatan kesan tanah runtuh.

Mungkin rezeki, ketika tiba di penghujung laluan, kami ternampak satu batang besi dipercayai pahat yang terbenam hampir separuh pada dinding gua. Sebelum ini, pahat itu belum pernah ditemui pengunjung. Penemuan itu menguatkan lagi teori penggunaan pahat untuk melebarkan dinding lombong.

Seorang penduduk yang mengikuti rombongan kami, Abd Halim Dolah, 56, secara berseloroh berkata, jika sesiapa yang berjaya mencabut pahat itu, kemungkinan hajatnya dimakbulkan.

Penemuan itu membuktikan kaedah melombong di situ menggunakan pahat dan kedudukannya berhampiran anak sungai menggambarkan proses membersihkan batu pecah dilakukan di tepi sungai.

40 pelombong dipercayai tertimbus

DI PUNCAK bukit bersebelahan bukit menempatkan gua emas, ada lubang segi empat yang cukup besar. Berdasarkan cerita lisan, di situlah 40 pelombong pelbagai bangsa tertimbus dan sehingga sekarang tiada sesiapa pernah masuk ke lubang berkenaan.

Saiznya selebar enam kaki dengan kedalaman yang boleh dilihat kira-kira 150 kaki, dipercayai laluan utama tempat operasi mengeluarkan emas yang menggunakan sistem seperti mengeluarkan air daripada perigi. Bagaimanapun, usaha mengesan kesan tinggalan termasuk tapak simen atau besi tidak berhasil.

Pegawai Bomba Kanan II, Gazali Maslan, berkata sehingga kini, lubang itu belum pernah diteroka kerana ia cukup berbahaya dan memerlukan peralatan serta kos tinggi untuk masuk ke dalamnya.

“Cukup dalam dan kami percaya ia sudah banyak tertimbus. Mungkin lebih dalam daripada apa yang kita nampak. Berdasarkan cerita lisan, 40 pelombong mati tertimbus di situ. Mungkin jika diteroka, rangka mereka boleh ditemui,” katanya.

Sebelum itu, sepanjang perjalanan keluar dari bukit pertama ke bukit kedua, kami menemui longgokan batu bata bersegi empat di satu kawasan. Ia dipercayai tinggalan aktiviti perlombongan dan turut ditemui satu piring besi bulat berlubang di tengah.

Kira-kira 10 meter dari situ, kami melihat beberapa batang cerucuk besi yang hampir terbenam di dalam tanah. Kedudukannya yang terletak pada satu barisan kelihatan menghala ke arah satu lubang besar yang hampir tertimbus.

Penolong Pegawai Daerah, Mohd Khairul Azmi Khairuddin, 26, menjelaskan sejak menerokai kawasan itu, mereka tidak pernah menemui cerucuk besi berkenaan.

“Kami percaya banyak lagi kesan tinggalan akan ditemui jika meneroka lebih teliti di kawasan sekitar. Kawasan ini akan dikomersial untuk pelancongan tanpa menjejaskan ekologi dan alam semula jadi. Biarkan kawasan ini kelihatan seperti asal, cuma perlu ditambah aspek keselamatan.

“Buat masa ini, mungkin sukar untuk membuat kajian akademik tetapi ia bukan mustahil jika terdapat mana-mana pengkaji tempatan yang berminat. Kami akan mempromosikan tempat ini dengan pemantauan ketat untuk menjaga keasliannya,” katanya.

Penduduk kampung, Baharin Yusup mengakui walaupun gua itu terletak berhampiran tempat tinggal mereka, itu adalah kali kedua beliau menjejakkan kaki ke sana.

“Tidak ramai penduduk yang pernah ke sini, bahkan mungkin ada yang tidak tahu lokasi sebenarnya. Kami yakin, kawasan ini mampu menjadi tarikan pelancongan,” katanya.

INFO:

Lombong Gua Emas

  • Berusia hampir 100 tahun
  • Dibuka pada awal 1920-an dan ditutup pada 1942 ketika Perang Dunia Ketiga.
  • Jaraknya dari Kuala Lumpur dianggarkan 165 kilometer.
  • Saiz terowong lombong (tiga kaki lebar dan 6 kaki tinggi) .


Sejarah ringkas Gemas
  • Penduduk asal berketurunan orang Melayu Asli
  • Ditadbir seorang ketua iaitu Datok Sabun, berasal dari Minangkabau yang berhijrah bersama dengan angkatan ke Seri Menanti.
  • Mula membuka kampung di Kampung Ladang.


Tip memasuki gua emas
  • Memakai kasut getah panjang kerana laluannya air bercampur tahi kelawar.
  • Membawa lampu suluh.
  • Mesti diiringi pasukan keselamatan.
  • Patuhi arahan dan tanda keselamatan di dalam dan sekitar gua.

Penawar sengsara


Oleh Hafizah Iszahanid & Siti Nur Almizan Arippin


Gejala sosial yang perlu ditangani bersama.

Kelas pendidikan rohani untuk pelacur, mak nyah dan penagih dadah kembali ke pangkal jalan

HIDUP melarat dan dibuang keluarga. Dua senario yang bukan saja mematahkan semangat tetapi seakan-akan dirundung malang berpanjangan.

Itulah penghidupan yang perlu dihadapi seorang wanita yang akhirnya menjerumuskannya dalam kemaksiatan. Pada saat-saat akhir hidupnya, dia akur dengan hakikat menghidap HIV dan kemudian terlantar akibat Aids.


Oleh kerana kudrat yang semakin tiada, dia tidak boleh lagi melayan melanggan. Justeru, dia tiada pilihan kecuali menumpang hidup di Rumah Sinar Salam, Chow Kit, Kuala Lumpur untuk menghabiskan sisa-sisa hidupnya.

Rumah Sinar Salam dan sebuah lagi, Rumah PT Foundation juga di Chow Kit, kawasan di tengah ibu kota yang dulunya dilabel sebagai pusat pelacuran, tumpuan mak nyah dan sarang 'mat gian.'

Fungsi kedua-duanya bertumpu kepada dakwah dalam bentuk pendidikan Islam dan bimbingan rohani, namun Sinar Salam ada kala menjadi tempat berteduh golongan tidak berumah, selain transit mereka yang mendapatkan rawatan di Hospital Kuala Lumpur.

Terbiar dan hanyut dalam kehidupan, masih ada harapan untuk mereka kembali ke pangkal jalan.

Di situ, bukan sekadar aspek ibadat yang diajar, malah ada antara pengunjungnya diberi perlindungan lantaran terlantar sakit menunggu mati selepas tidak lagi diterima keluarga atau masyarakat akibat dosa silam.

Hasil peruntukan RM200,000 setahun yang disalurkan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi), Rumah Sinar Salam terus mampu beroperasi, manakala Rumah PT Foundation pula dibantu melalui khidmat guru agama yang dihantar jabatan itu.

Usaha dakwah menjadi lebih mudah apabila turut mendapat kerjasama pihak lain, termasuk Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan pelbagai badan bukan kerajaan (NGO).

Pengarah Jawi, Datuk Che Mat Che Ali, berkata kelas pendidikan Islam untuk 'komuniti disayangi' (pelacur, penagih dadah dan mak nyah) adalah antara usaha JAWI menyebarkan Islam melalui konsep `dakwah 'bil hal' dan 'bil lisan' (dakwah melalui perbuatan dan perkataan).

Nurul Huda (kanan) memberi bimbingan agama kepada peserta yang menghadiri kelas agama di Rumah Sinar Salam.

"Dalam Islam ada menyebut setiap penyakit ada ubatnya kecuali mati. Jadi, kita bantu mereka untuk kembali ke pangkal jalan. Walau apa pun latar belakang mereka, petugas Rumah Sinar Salam tidak pernah memandang hina.

"Siapalah kita untuk menentukan orang ini masuk neraka atau orang itu masuk syurga," katanya.

Katanya, ada juga kumpulan sasar yang langsung tidak berumah atau hidup merempat dan yang wanitanya pula terpaksa menjual diri hanya untuk mengisi perut dan meneruskan hidup.

Sejak dimulakan empat tahun lalu, kelas pendidikan Islam itu mendapat sambutan baik dan menyuntik keinsafan kepada mereka yang bergelumang maksiat untuk keluar daripada belenggu penyakit sosial itu.

Daripada keinsafan mereka pula, wujud landasan yang boleh menimbulkan kesedaran sama kepada rakan lain yang masih dalam dunia maksiat.

"Bagi yang sakit, mereka dijaga dan ditemani hingga dijemput Ilahi. Kita mahu mereka tahu masih ada yang sayangkan mereka dan masih ada esok untuk memulakan hidup baru," katanya.

Pada setiap petang Selasa dan Sabtu, kelas agama berkenaan diisi kira-kira 30 individu pelbagai latar belakang dari Jalan Chow Kit dan sekitarnya - ada mak nyah, penagih dadah, pelacur dan pesakit HIV.

Tidak kurang juga anak-anak pelacur yang turut serta mengisi masa terluang sementara ibu mereka sibuk 'berkhidmat' melayan pelanggan.

Kata Che Mat, kelas agama itu bukan untuk menarik kumpulan sasar keluar daripada dunia maksiat secara drastik, sebaliknya dilakukan secara hikmah atas kesedaran bahawa perubahan seharusnya datang dari dalam hati individu itu sendiri.

"Biarlah mereka berubah kerana rela... tidak boleh dipaksa dan dilakukan secara drastik," katanya sambil menambah ada di antara individu terbabit terjerumus ke lembah maksiat akibat eksploitasi, terjerat atau tertipu.

Justeru, tiada rasa kecewa atau harapan tinggi daripadanya untuk kumpulan sasar itu berubah, hanya sikap positif diiringi doa untuk melihat perubahan mereka satu hari nanti walaupun mungkin tidak sepenuhnya.

"Kuala Lumpur ibu kota, semua orang mahu datang ke sini. Bukan salah mereka apabila ditipu, dipaksa menjual diri atau dieksploitasi. Jadi, janganlah kita memandang mereka dengan penuh jijik.

"Kita juga tidak harus berputus asa, sebaliknya wajar memberi mereka harapan... kerana esok masih ada untuk mereka," katanya.

Penghuni dahaga bimbingan agama

"SIAPA sudah solat hari ini?" soal Ustazah Nurul Huda Abdullah @ Abdul Aziz kepada 30 peserta sebuah kelas bimbingan agama anjuran Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) di Rumah Sinar Salam, Lorong Haji Taib 3, petang itu.

Umum mungkin menganggap soalan itu ditujukan kepada kumpulan anak kecil, tetapi kelas dikendalikan ustazah muda berasal dari Kelantan itu diisi khalayak yang majoritinya sudah dewasa.

Ia adalah Kelas Bimbingan Agama Untuk Komuniti Yang Disayangi, khusus untuk kelompok seperti pelacur, mak nyah dan penagih dadah dari sekitar Chow Kit dan kawasan berhampiran.

Hanya tiga peserta pantas mengangkat tangan sebaik soalan itu diajukan, manakala selebihnya hanya saling memandang.

Sambil tersenyum, Nurul Huda meneruskan kelasnya dan mengulangi soalan sama disulam nada lembut memujuk pengunjung dan penghuni Rumah Sinar Salam yang belum bersolat supaya menunaikan kewajipan itu di bilik yang disediakan.

Ia suasana rutin dilalui peserta kelas bimbingan berkenaan yang diadakan dua kali seminggu iaitu setiap Selasa dan Sabtu yang mengajar perkara cukup mudah, berkisar kepada Fardu Ain.

"Daripada keseluruhan peserta kelas ini, 90 peratus tidak pandai membaca Jawi, tetapi jauh di sudut hati mereka, tetap ada keinginan untuk berubah," kata Nurul Huda.

Melihat kesungguhan khalayak di dalam kelas itu, hati tersentuh dan terselit rasa bangga dengan semangat mereka yang mungkin selama ini hidup berpalitkan daki kotor di lorong gelap sekitar Chow Kit.

Latar belakang mereka pelbagai, sebahagian kecil berstatus ibu tunggal dengan kebanyakannya pekerja seks selain penagih dadah serta gadis yang pernah terlanjur.

Selebihnya adalah bekas pekerja seks serta bekas penagih dadah yang hidup terumbang-ambing tanpa bimbingan selepas dibuang keluarga dan disisihkan masyarakat.

Menurut Nurul Huda, kelas bimbingan yang diselang seli sesi motivasi itu mendapat sambutan baik, malah bilangan peserta yang hadir adalah konsisten.

"Saya menggunakan kaedah pembelajaran interaktif diselitkan zikir, doa, panduan dan bacaan dalam solat selain tayangan video mengenai saat nyawa ditarik sakaratul maut atau tayangan azab ke atas pelacur.

"Hati mereka sememangnya sangat lembut dan kerana itu sanggup hadir ke kelas ini. Pendekatan terbaik adalah dengan membiarkan peserta ini berasakan diri mereka mempunyai Tuhan dengan membawa mereka mengenali Allah SWT," katanya.

Menurutnya, ada peserta yang benar-benar berubah walaupun kaedah yang digunakan dalam kelas itu tidak sekali-kali membabitkan paksaan, sebaliknya atas kesedaran sendiri mengenai dosa dan pahala.

Salah seorang peserta yang hanya mahu dikenali sebagai Ahmad, 32, walaupun sudah lama mengetahui wujudnya kelas berkenaan, penyertaannya hanya secara kebetulan selepas sering diajak rakan.

"Saya sudah tahu mengenai kelas ini sejak dua bulan lalu, namun baru terpanggil untuk turut serta," katanya yang mula terjebak dengan kehidupan hitam dunia mak nyah di Chow Kit selepas berhijrah dari kampung pada 1988.

Sambil mengakui saban malam masih berpeleseran di lorong-lorong, beliau berkata, keinginannya untuk berubah memang ada walaupun sedar bukan mudah untuk melakukan perubahan itu.

"Saya sedikit terkilan kerana sejak kecil tidak didedahkan kepada agama sehinggakan nak baca surah al-Fatihah pun tak boleh," katanya sambil tersenyum pahit.

Begitu juga dengan penagih yang hanya dikenali sebagai 'Azi', 38, bekas penagih dan pernah menjadi penghuni penjara yang bersyukur kerana ditakdirkan dapat menyertai kelas berkenaan.

"Kelas ini membantu insan yang sesat kembali ke pangkal jalan. Di sini, saya dapat ramai kawan dan ilmu. Maklum saja apabila tinggal di kota besar dan selepas berbelas tahun menagih, amalan agama yang wajib pun sukar diingati.

"Selepas ini saya mahu ajak isteri untuk turut menyertai kelas bimbingan ini," katanya yang berjinak dengan dadah sejak di bangku sekolah.

Pengurus Rumah Sinar Salam, Afidah Ab Latif, berkata orang ramai tidak memahami liku kehidupan dan kesengsaraan Komuniti Disayangi, malah sering melempar pelbagai tohmahan dan memandang rendah hasrat mereka untuk kembali ke pangkal jalan.

"Saya sendiri terjebak dengan dadah pada usia muda dan hanya benar-benar bersih daripada najis itu selepas menghampiri usia 40 tahun. Namun, saya beruntung kerana datang dari keluarga yang mementingkan agama.

"Ilmu agama disemai sejak kecil itulah sebenarnya yang membawa saya kembali mengingat Allah SWT. Saya masih ingat saat mendapat hidayah, masjid adalah tempat yang sering dituju sehinggakan saya rindu jika tidak ke rumah Allah itu," katanya.

Katanya, inisiatif melalui Rumah Salam dilancarkan selepas dia berasa terpanggil untuk membantu golongan yang pernah senasib dengannya.

"Walaupun mereka tahu kita ada Jabatan Kebajikan Masyarakat, hospital atau Baitulmal, perasaan rendah diri dan takut menyebabkan mereka terus terbiar tanpa pembelaan," katanya.

Satu ketika dulu, Afidah aktif membela nasib wanita yang terjebak dalam aktiviti tidak bermoral di sekitar Chow Kit dengan menumpangkan mereka di rumahnya.

"Selepas pegawai JAWI menyertai kerja 'outreach' atau memberi khidmat nasihat yang saya lakukan sekitar Chow Kit, mereka bersetuju menyalurkan geran bagi membiayai penubuhan Rumah Nur Salam.

"Saya memilih Chow Kit kerana di sini kawasan hitam yang memudahkan kumpulan sasar singgah menyertai aktiviti kami selain mendapatkan bantuan berbentuk barangan keperluan atau khidmat nasihat," katanya.

Bonsai 500 tahun di Jeju


Oleh Muhd Yusuf Abu Bakar


POKOK Juniper yang berusia 500 tahun di Taman Bonsai Bunjae Artpia.

Spesies flora tarikan Taman Bunjae Artpia di Korea Selatan

KEGIGIHAN Bum-young Sung membangunkan tanah terbiar di Pulau Jeju, Korea Selatan pada tahun 1960-an sehingga kini menjadikannya taman terkenal, The Spirited Garden (Bunjae Artpia) yang dikunjungi ramai, cukup mengagumkan.

Pengabdiannya kepada satu keyakinan untuk menghasilkan taman bonsai dan batu yang tercantik di Korea Selatan, membuatkan sesiapa yang berkunjung ke taman ini, akan terpesona dengan seni bonsai dan taman yang dihasilkan selepas berpuluh tahun mengusahakannya. Bunjae Artpia Garden, terletak kira-kira 80 kilometer dari pantai Jeju kini dipenuhi lebih 2,000 pokok bonsai dari lebih 100 spesies yang berusia sehingga 500 tahun, koleksi batu selain reka seni taman menarik.


Bertemu dengan Sung, 69, yang cukup mesra melayan kerenah pengunjung yang bertanya pelbagai soalan mengenai tamannya, memperlihatkan petani gigih ini cukup berpuas hati dengan usaha yang sebelum ini dianggap `gila’ oleh penduduk tempatan. Apa tidaknya beliau hanya menggunakan kudrat empat kerat dalam keadaan serba kekurangan untuk membina taman tercantik itu.

Dengan berpakaian petani dan bertopi, Sung sentiasa tersenyum dan menyapa sesiapa saja yang berkunjung ke tamannya yang tersusun rapi, daripada reka letak pokok, batu malah pagar batu yang dibangunkan sendiri dengan mengutip batu gunung berapi bagi menghalang angin kuat pada musim sejuk.

Pokok quince (Cydonia), Christmas berry (Heteromelee arbutifolia) berusia 120 tahun, pokok elm berusia 150 tahun, Lonicera japonica (250 tahun) dan Juniper yang berusia 500 tahun yang dibonzaikan, antara tumbuhan bonsai yang menjadi daya tarikan pengunjung ke taman ini.

IKAN emas dan koi di Taman Bonsai Bunjae Artpia di Jeju, Korea Selatan.

Sebelum Bunjae Artpia menempah nama, dunia bonsai dikuasai Jepun walaupun ia sebenarnya berasal dari China. Kira-kira 1,300 tahun lalu, seni bonsai bermula di China dan sampai ke Korea ketika pemerintahan Dinasti Koryo sebelum berkembang di Jepun yang kemudiannya menjadikannya budaya dan industri yang terkenal di seluruh dunia. Dengan kewujudan Bunjae Artpia, Sung berjaya memberi nafas baru kepada industri bonsai di Korea Selatan, malah menjadikannya tumpuan pelancong di seluruh dunia.

Penulis yang berkunjung ke taman itu, atas tajaan kerajaan Korea Selatan sempena Perayaan Ke-20 dan Persidangan Asean-Korea Selatan di Jeju, baru-baru ini, cukup terpesona dengan etika kerja Sung yang begitu tekun dan sabar sehingga mampu menghasilkan taman yang kini menerima lebih kira-kira 300,000 pengunjung setahun.

Reka taman yang cantik dengan dipenuhi pokok bonsai, air terjun buatan dan kolam ikan koi dan ikan emas berwarna warni, akan memakukan mata pengunjung terutama pada musim bunga dan panas. Cuaca dingin pada musim bunga membolehkan pelawat berjalan sambil menghayati keindahan pokok yang dibentuk mengikut kehendak dan cita rasa manusia dan kecantikan seni taman di kawasan seluas 24 hektar itu.

Malah hasil kerja Sung itu, turut dihargai pemimpin dunia mengambil kesempatan berkunjung ke Bunjae Artpia termasuk bekas Presiden China, Jiang Zemin; Presiden China, Hu Jintao; bekas Perdana Menteri Jepun, Yasuhiro Nakasone dan pengunjung kehormat lain dari seluruh dunia.

AIR terjun buatan di Taman Bonsai Bunjae Artpia di Pulau Jeju, Korea Selatan.

Tidak hairanlah ramai yang menganggap taman bonsai milik Sung, adalah taman tercantik di dunia. Malah pandangan Sung diterima pakai oleh kerajaan China bagi pembaharuan ekonomi dan kebudayaan dan dijemput memberi syarahan di negara jiran itu mengenai kaedah taman bonsai dan seni taman.

Sung turut memberi falsafah baru mengenai bonzai yang selama ini dianggap sesetengah pihak sebagai menyeksa atau mendera pokok bagi menghasilkan keindahan . Kalau sebelum ini, Bagi Sung, seni bonsai sama seperti perjalanan kehidupan, yang terpaksa melalui cabaran dan penderitaan bagi menghasilkan keindahan atau kekayaan.

“Menanam pokok bonzai, perlu mengambil kira keadaan fizikal dan semula jadi pokok, umpama memberi karektor kepada manusia. Sama seperti mendidik dan membesarkan anak-anak, yang memerlukan kesabaran dan disiplin bagi menjadikan mereka orang berguna,” katanya.

Bagi Sung, untuk mencapai kejayaan, ia bukan sesuatu yang mudah, ia perlu usaha gigih. Keyakinan dan matlamat, bagi mencapai cita-citanya, ia terpaksa meninggalkan kedai jahit miliknya yang berkembang pesat dan keluarga di Seoul semata-mata untuk ke Pulau Jeju di Semenanjung Korea.

Dengan membeli tanah terbiar yang tidak subur dan tidak mempunyai kemudahan asas elektrik dan bekalan air pada 1968, Sung mengusahakan ternakan babi dan lembu sebelum beralih kepada seni taman bonsai .

Selepas 24 tahun gigih berusaha, pada tahun 1992, Bunjae Artpia dibuka kepada umum, namun krisis ekonomi yang melanda Asia pada 1997 hampir melenyapkan impian Sung untuk menjadikan tamannya kebanggaan Jeju. Tamannya dilelong pada 1998, Sung yang cukup sedih dengan nasib yang menimpa bagaimanapun dengan bantuan dan sokongan peminatnya, dana dihulurkan untuk membolehkan Sung terus menguruskan tamannya.

Bagi penulis, semangat dan cita-cita yang membara di dalam jiwa Sung , seorang petani kerdil adalah satu seni yang akhirnya boleh mengubah kawasan terbiar di kawasan gunung berapi melalui proses jatuh bangun kehidupan kepada satu taman yang indah, harmoni dan membuatkan semua yang berkunjung mengagumi kekuatan jiwa, petani bernama Bum-young Sung.


Kaya tapi sengsara




Michael Jackson

Nasib Michael Jackson menyamai deretan kerabat diraja, hartawan popular yang mati secara tragik

KEMATIAN mengejut Raja Pop Michael Jackson, minggu lalu, tidak hanya masih menjadi bualan ramai sehingga ke hari ini, tetapi pada masa turut mendedahkan hakikat mereka sebagai kelompok insan yang memiliki segala-galanya - nama, populariti, kaya tetapi ternyata tidak bahagia.

Ya, penyanyi berusia 50 tahun itu sememangnya popular, mempunyai jutaan peminat di serata dunia tetapi di saat-saat akhir kematian, Jackson lebih dikenali sebagai insan sengsara yang bergelut dengan masalah hutang dan kesihatan. Selepas kematiannya, nilai hartanya yang tersenarai dalam wasiat mencecah lebih RM$500 juta (RM1.7 bilion) dan diletakkan di bawah Amanah Keluarga Michael Jackson untuk tiga anak, ibu dan badan kebajikan yang dirahsiakan.


Siapa sangka, di sebalik kehebatan aksinya di pentas, Jackson adalah insan yang kesunyian. Hati dan jiwanya lara dengan lebih banyak kisah kontroversi dirinya mengakhiri detik-detik terakhirnya. Hakikatnya, bukan dirinya saja, malah kematiannya secara tragik itu hanya mengulangi kematian sama beberapa individu popular seperti kerabat diraja, hartawan dan pewaris harta yang diuliti kekayaan, tetapi sengsara.

Contoh terdekat sudah semestinya kerabat diraja kesayangan ramai, mendiang Puteri Diana yang kematiannya bakal genap 12 tahun, akhir bulan depan. Tarikhnya 31 Ogos, 1997 dan Diana yang ketika itu berusia 36 tahun bersama kekasihnya, Dodi al-Fayed, 42, meninggal dunia apabila kereta yang mereka naiki terbabit dalam nahas di terowong Pont de L'Alma, Paris.

Pelbagai teori dikaitkan dengan kematiannya, termasuk kemungkinan ia hasil campur tangan kerabat diraja Britain yang malu dengan percintaan Diana dengan Dodi, anak hartawan Arab, Mohammed Al-Fayed. Ada juga laporan menyatakan, kematian ibu beranak dua itu berlaku ketika beliau di ambang perkahwinan dengan Dodi.

BEKAS Putera Mahkota Nepal dan kekasihnya, Devyani yang menjadi punca kematian tragik kerabat diraja Nepal.

Diana dikhabarkan sedang asyik mengulit rasa kasih dan bahagia dilamun cinta selepas perkahwinannya dengan Putera Charles bernoktah dengan perceraian. Diana yang dianggap sebagai puteri rakyat di pelusuk dunia yang dikenali kerana sifat lembut, kelembutannya, gaya rambut dan pakaiannya yang menjadi ikutan serta kontroversi percintaannya, terbukti berdepan kemelut kerana bercinta dengan Dodi yang diketahui berlatar belakang keluarga sebagai Muslim.

Dek kerana statusnya itu juga, kehidupannya menjadi perhatian semua menerusi lensa paparazi atau jurugambar bebas yang mahu merakamkan setiap detik dan gerak gerinya, sehinggalah ke saat-saat akhir kematiannya secara tragik.

Jika Diana dikenali di seluruh dunia, ada satu lagi keluarga ternama - Kennedy, yang disifatkan 'keluarga monarki' di Amerika Syarikat yang sebegitu popular dengan beberapa ahli keluarga itu turut mati secara tragik.

John Kennedy Jr (JFK Jr), anak lelaki bekas Presiden John Kennedy, maut dalam nahas udara bersama isterinya, Carolyn Bessette, pada 16 Julai, 1999. JFK Jr atau nama jolokannya John John yang pernah diberi gelaran lelaki paling seksi di dunia, sememangnya popular sehinggakan dikaitkan dengan ramai wanita, termasuk Puteri Diana. Wajah tampannya itu terbukti tidak lama ditatapi apabila maut pada usia 39 tahun.

KEMATIAN Puteri Diana terus diratapi peminat.

Kematiannya hanya mengulangi kisah tragik bapanya yang juga presiden ke-35 yang mati ditembak pada 1963; bapa saudaranya Robert, ditembak mati pada 1968.

Satu lagi kisah kematian golongan bangsawan ini berlaku pada 2005 apabila gadis cantik Korea Selatan bernama Lee Yoon-hyung yang juga antara dua pewaris harta syarikat konglomerat Samsung, ditemui mati bunuh diri biarpun pada awalnya didakwa beliau mati dilanggar kereta.

Mayat pelajar Pengurusan Hasil Seni di salah satu institusi New York, ditemui tergantung pada wayar elektrik oleh teman lelakinya dan seorang rakan di pangsapuri mewah Lee di bandar raya Amerika Syarikat itu.

Lee juga dianggap contoh gadis yang memiliki segala-galanya - kecantikan, cerdik, muda dan amat kaya selain nama besar keluarga yang dibawanya.

Di sebalik minatnya yang sukakan kereta lumba dan hasil seni,hatinya tidak tenang dan didakwa memilih jalan menamatkan hayat dirinya selepas pilihan hatinya ditentang orang tua. Ada laporan lain mendakwa dirinya

berdepan masalah kemurungan yang serius sejak beberapa bulan. Sewaktu kematiannya, Lee membawa bersama identitinya sebagai pewaris dan pemegang saham syarikat bernilai 179 bilion won (RM653.22 juta), ketika itu.

Kematian tragik ini turut menimpa keluarga diraja Nepal pada 2001 apabila Putera Mahkota, Dipendra bertindak membunuh ayah dan ibunya - raja dan permaisuri Nepal serta enam kerabat diraja lain, termasuk adik-adiknya

dengan dua senjata raifal sebelum menembak dirinya sendiri. Ia dikaitkan dengan halangan cinta apabila hasratnya mengahwini gadis biasa Devyani Rana, dibantah keluarga.

Mereka yang maut adalah Raja Birendra, Permaisuri Aishwarya dan adik lelaki Dipendra, Putera Nirajan, adik perempuannya, Puteri Shruti, 24; adik perempuan Birendra, Puteri Sharada Shah dan Puteri Shanti Singh; suami Sharada, Kumar Khadga Bikram Shah, dan sepupu Birendra, Puteri Jayanti Shah. Darah dan kaitan India dalam diri Rana yang disifatkan sebagai musuh Nepal, menjadikannya calon tidak layak bergelar Puteri Mahkota.

Nepal tidak hanya kehilangan Putera Mahkota tetapi pewaris takhta menerusi kejadian yang menyentuh hati ramai, sehingga ke hari ini. Siapa sangka, biarpun mempunyai kuasa, nama dan kekayaan, Dipendra tidak bahagia dengan bertindak membunuh anggota keluarganya sendiri.

Apa yang pasti, kematian Jackson, Diana, keluarga Kennedy, Lee dan kerabat diraja Nepal membuktikan nama besar, populariti dan wang yang ada bukanlah jaminan bahagia atau boleh mengelak maut. Cuma, selain catatan hebat pencapaian dan nama yang dibawa, mereka juga tercatat sebagai insan yang mati secara tragik dengan kejutannya terus dirasai.

FAKTA

Antara kematian tragik hartawan


  • Dodi al-Fayed, pewaris hartawan Mesir Mohammed al-Fayed maut dalam nahas bersama kekasihnya, Puteri Diana pada 1997.

  • Christine Onassis, anak perempuan dan pewaris tunggal hartawan perkapalan Greek Aristotle Onassis cuba bunuh diri dua kali tetapi mati pada usia 37 tahun kerana serangan jantung selepas pembedahan buang lemak.

  • Edoardo Agnelli, anak lelaki tunggal Gianni Agnelli dan pewaris empayar perniagaan Fiat, bunuh diri dengan terjun dari jambatan di Turin.

  • Putera Mahkota Nepal, Dipendra membunuh ibu bapanya, Raja Birendra dan Permaisuri Aishwarya serta tujuh kerabat diraja lain, termasuk adik-adiknya pada 1 Jun, 2001 kerana cintanya terhalang.
  • Gigi pasang siap


    Oleh Hafizah Iszahanid




    Implan gigi rekaan anak tempatan lebih mesra pengguna kerana prosedur ringkas dan tanpa pembedahan

    SEKALI pandang, ia tidak ubah seperti skru biasa yang mungkin dianggap ramai sebagai tiada keistimewaannya. Namun inilah 'penyelamat' kepada pelbagai masalah yang dialami ramai - gigi rosak sehingga terpaksa dicabut, sukar mengunyah makanan dan paling penting, boleh menjejaskan ketrampilan seseorang gara-gara kehilangan gigi.

    Inilah keunikan gigi tiruan atau implan gigi Novella Ultima yang direka sekumpulan penyelidik diketuai Presiden Persatuan Pergigian Implan Malaysia, Dr Firdaus Hanapiah.


    Lebih membanggakan, implan gigi menerusi penyelidikan selama setahun itu adalah hasil titik peluh anak tempatan yang sekali gus menjadikannya implan gigi pertama Malaysia yang dikomersialkan. Walaupun belum dilancarkan sepenuhnya dan hanya akan berada di pasaran dalam tempoh dua bulan dari sekarang, implan gigi itu sememangnya mencuri tumpuan ketika pembentangan kertas kerja mengenainya dibuat pada Seminar Persatuan Implan Pergigian Malaysia (MOIA) di Pulau Pinang, baru-baru ini.

    Hakikatnya, tiada pengganti gigi yang terbaik apabila ia patah atau perlu dicabut tetapi alternatif terbaik yang ada adalah menerusi kaedah menanam implan gigi.

    Di seluruh dunia misalnya, ada 250 pengeluar implan dengan setiap satunya mendakwa mereka adalah yang terbaik. Namun, pengiktirafan terbaik itu sebenarnya datang dalam bentuk pakej, reka bentuk implan yang mesra pengguna, kejayaan klinikal dan kejayaan pasaran.

    Dr Firdaus menunjukkan implan Novella Ultima direka dengan keutamaan menjana integrasi gusi dan tulang.

    Malah sehingga kini, kebanyakan implan yang ada di pasaran tempatan, adalah buatan luar negara.

    Jika diamati, implan gigi juga bukanlah baru dalam perubatan pergigian, sebaliknya ia sudah diperkenalkan sejak 1960-an. Lalu apakah istimewanya implan gigi buatan Malaysia ini berbanding produk implan gigi yang lain?

    Dr Firdaus berkata, Novella Ultima berharga lebih murah berbanding implan konvensional, ia juga lebih ‘mesra pengguna’ selain prosedur pemasangannya yang ringkas. Berbanding produk sedia ada yang membabitkan pemasangan implan gigi dua keping, Novella Ultima sebaliknya cuma satu keping.

    “Novella Ultima ini dihasilkan dengan keutamaan menjana integrasi gusi dan tulang, sekali gus menguatkan kawasan gusi yang dipasang dengan implan,” katanya.

    “Kebanyakan mereka yang memasang implan, memilih implan pasang segera kerana ia mudah dan pemasangan gigi kekal juga dapat dibuat lebih cepat berbanding prosedur lain,” katanya.

    Dr Firdaus berkata, implan pasang segera menjadi pilihan 70 peratus pengguna. Namun, mereka yang mengalami masalah gusi (seperti gusi berdarah) atau tulang rapuh tidak boleh menggunakan prosedur ini. Ini kerana tulang gusi mungkin tidak cukup kuat atau nipis untuk menampung implan dan gigi kekal yang dibuat daripada porselin.

    Jelasnya, ada perbezaan antara implan Novella Ultima dengan implan konvensional. Pertamanya, implan gigi yang ada sekarang kebanyakannya adalah implan dua keping (two piece implant). Justeru, apabila implan ditanam pada tulang gusi, pengguna akan memakai gigi palsu untuk tidak mencatatkan penampilan dan menutup implan yang ditanam.

    Bagaimanapun, dari segi fungsinya, gigi palsu tidak praktikal. Ia mengehadkan keupayaan pengguna untuk mengunyah, menyiat dan menggigit makanan.

    Namun, menerusi implan satu keping (one piece implant) Novella Ultima, sebaik implan ditanam, gigi sementara yang dibuat khas mengikut acuan gusi pengguna dan boleh berfungsi sebaik selesai prosedur. Pengguna boleh menikmati makanan sejuk atau panas tanpa risau akan menjejaskan gigi sementara.

    “Implan konvensional juga menggunakan skru. Tugasnya pemasangannya agak rumit. Skru digunakan bagi menguatkan tulang gusi kerana implan dikhuatiri bergoyang dan tidak cukup kuat menampung implan dan gigi kekal,” kata Dr Firdaus.

    Namun, berdasarkan penyelidikan yang dibuat sendiri oleh Dr Firdaus mendapati, jika tulang gusi kuat dan implan titanium dikasarkan buatannya, ia boleh menekan kawasan gusi terbabit dan mejadikannya terlekat kuat pada gusi.

    Dari segi rekaan pula, jika dulu di tepi leher implan konvensional ada lebihan yang diruncingkan bagi menyangkut implan pada gusi, tetapi pada implan baru ini lebihan itu dibuat berbentuk empat segi bagi menguatkan lagi tautannya pada gusi.

    Disebabkan implan berfungsi sebagai alternatif gigi asal yang rosak, panjang implan adalah berdasarkan panjang akar gigi yang akan diganti. Umumnya akar gigi orang dewasa adalah antara lapan hingga 15 milimeter dengan lebar antara 3.3 mm hingga 6 mm.



    'Fungsi kuat menyamai gigi kekal'

    DIREKA berdasarkan konsep implan pasang segera (immediate loading procedure), memungkinkan pembedahan gusi tidak diperlukan. Prosedur begini memudahkan pesakit dan menjadi antara pilihan utama pengamal perubatan pergigian.

    Implan pasang segera bermaksud implan yang ditanam sejurus selepas gigi yang perlu diganti itu, dibuang. Manakala prosedur implan tertunda dan prosedur implan lewat pula mengambil masa sekitar tiga minggu selepas gigi dicabut sebelum pemasangan implan berkenaan.

    Menerusi prosedur pasang segera, gusi yang ditanam implan kemudiannya diacu dengan acuan gigi bagi mendapat bentuk dan ukuran gigi yang tepat. Proses ini bagi membolehkan gigi sementara dihasilkan dan dipasang di atas implan. Selepas prosedur itu, pesakit sudah boleh meneruskan aktiviti harian termasuk menikmati pelbagai hidangan makanan.

    Apa yang istimewa, gigi sementara yang dipasang di atas implan Novella Ultima ini boleh berfungsi seperti biasa. Pengguna boleh mengunyah dan menggigit makanan tanpa perlu risau.

    Dalam tempoh sembilan minggu, gigi sementara itu dikeluarkan dan sekali lagi acuan pada gusi dibuat dan kali ini untuk mendapatkan ukuran dan bentuk gigi kekal. Dalam masa lima lima ke tujuh hari kemudian, gigi kekal dipasang dengan disimen pada implan.

    Pemasangan implan gigi

    Langkah pertama:
    Meletakkan implan. Sebaik gigi yang perlu diganti itu dibuang, pesakit dibius. Doktor akan menanam implan terus ke tulang rahang. Tiada pembedahan gusi diperlukan.

    Langkah kedua: Penggunaan gigi sementara. Selepas implan dipasang, doktor gigi akan mengacu rahang bagi menghasilkan gigi ganti kekal (permanent crowning). Doktor gigi akan membentuk gigi sementara (bagi menutup implan) yang membantu penampilan anda sementara gigi kekal dipasang.

    Langkah ketiga: Meletak gigi ganti kekal. Selepas sembilan minggu, tulang gusi semakin kuat berintergrasi dengan implan. Gigi sementara diganti dan gigi kekal diletakkan. Kekuatan dan fungsinya hampir sama dengan gigi kekal.



    Info
    Implan gigi


  • Gigi alternatif seperti implan sudah dimulakan sejak ribuan tahun lalu. Peradaban pra-kolumbia Maya sudah memulakannya sebelum Per-Ingvar Brånemark (bapa pergigian moden dunia) memulakan penyelidikan tentang implan titanium 1,350 tahun selepas itu.

  • Uniknya, Brånemark bukan pun doktor gigi. Sebaliknya, pakar bedah ortopedik dari Sweden yang mendapati titanium dan tisu hidup boleh berinteraksi dengan baik. Penemuan itu sebenarnya dibuat secara tidak sengaja!

  • Implan gigi tidak sama dengan gigi palsu. Implan bertindak sebagai akar kepada gigi yang hilang. Ia akan ditanam dalam gusi sebelum gigi yang diperbuat daripada porselin dilekatkan di atasnya. Implan boleh digunakan sama ada untuk tulang gusi atas atau bawah. Implan boleh bertindak menganti sebatang gigi atau sebarisan gigi dalam masa yang sama. Namun, pemasangan implan tidak boleh melebihi 11 batang.

  • Ada beberapa jenis implan dan antara yang popular ialah implan menyerupai akar (root shape implant) dan implan satu keping (one piece implant).
  • Bahasa Malaysia modal kepandaian bersaing


    Baha Zain Menulis

    KEPUTUSAN Kabinet menamatkan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI), walaupun terlambat, adalah tindakan waras yang boleh ditafsirkan dengan banyak pengertian.

    Tahniah kepada Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin kerana meredakan penentangan terhadap kerajaan dan membersihkan Kementerian Pelajaran daripada dituduh menjadi tempat menjerut leher kemajuan bahasa Malaysia (BM).

    Muhyiddin sudah membuktikan keberanian dan integriti sebagai pemimpin untuk membuat keputusan.


    Sekarang marilah kita bersama-sama mencari kejelasan fikiran untuk memetakan masa depan bangsa dan bahasanya.

    Pertama, perlu difahami bahawa penentangan PPSMI bukan penentangan terhadap bahasa Inggeris dan bukan kerana sebab utama PPSMI menyusahkan murid-murid walaupun itu faktor yang penting.

    Premis utama penentangan terhadap PPSMI ialah kerana ia akan membantut perkembangan bahasa kebangsaan negara sebagai bahasa ilmu.

    Inilah sebab penting dan utama, dan jangan dikelirukan dengan sebab lain yang mengikutinya.

    Perjuangan terpenting kebahasaan ialah untuk menjadikan bahasa Malaysia sebagai bahasa ilmu supaya ia menjadi wahana dan wadah tamadun yang besar.

    Justeru, sebarang tindakan untuk mengurangi kedudukan serta fungsinya adalah suatu pengkhianatan terhadap bangsa Melayu dan cita-cita kebangsaan.

    Pemersatuan masyarakat Malaysia daripada pelbagai kaum dan pembangunan tamadun moden Malaysia, harus berasaskan tradisi tempatan, dan perkara yang pokok dalam Perlembagaan Persekutuan. BM menjadi saluran menyemaikan jati diri serta nilai tradisi dan moden yang relevan.

    Bahasa Malaysia harus berfungsi sebagai pengantar ilmu, dan sekali gus membina watak dan etos bangsa Malaysia yang saling bekerjasama dan patriotik.

    Pemimpin kita harus berterus terang dalam hal ini, dan jangan dibayangi oleh tuntutan yang taksub terhadap bahasa Inggeris.

    Faktor bahasa dalam hal pembinaan negara bangsa bukan faktor kecil, dan bukan boleh saja diambil alih oleh bahasa asing (Inggeris) yang dianggap akan mengatasi segala masalah ilmu dan ketamadunan seperti lampu ajaib Aladin.

    Pemimpin atau sesiapa saja yang berfikir begitu tidak bertanggungjawab terhadap tradisi dan kebudayaan bangsanya.

    Dia adalah orang yang kehilangan akar budaya kerana fikirannya terbelenggu dan terpukau dengan kemajuan teknologi serta kebendaan Barat.

    Dalam kepercayaannya untuk menyaingi atau menyamai Barat, kita diajak untuk mengajuk dan meniru Barat.

    Oleh sebab jiwa kita sudah dijajah oleh Inggeris, dan elit bangsa kita dididik dalam bahasa Inggeris, baik di negara ini atau di United Kingdom, Amerika dan Australia, maka kita tak nampak bahasa lain dan cara lain lagi.

    Sepatutnya apabila sudah terdidik seseorang itu menjadi lebih inovatif berfikir dan bebas daripada terperangkap dalam segala ‘keinggerisannya.’

    Apa yang patut difikirkan secara mendalam dan teliti ialah bagaimana memelihara BM supaya jangan dimundurkan lagi, dan jangan memundurkan masyarakat.

    Strategi apa yang patut dirangka untuk memajukannya sebagai bahasa ilmu pengetahuan yang canggih kerana dengan demikian orang tidak berprasangka terus bahawa BM sebagai bahasa kelas kedua sehingga menganggap bahawa bahasa Inggeris itu adalah lampu ajaib yang berdaya menyelesaikan hidup matinya, di dunia dan di akhirat. Kekeliruan inilah yang patut diperbetulkan dalam fikiran pemimpin politik, ekonomi, pendidikan dan sosial pada hari ini.

    Keyakinan ibu bapa terhadap bahasa kebangsaan harus dipulihkan setelah sejak 2002, bertubi-tubi pemimpin mendiayah pentingnya mendahulukan bahasa Inggeris dalam pelajaran anak.

    Tidaklah bijak melawan diayah itu dengan diayah balas mempromosi BM dengan impian yang kosong lagi palsu.

    Keyakinan terhadap BM bergantung sejauh mana ia boleh menambah ilmu pengetahuan, menjadi modal kepandaian untuk bersaing dan alat komunikasi pada lapisan sosial atasan atau elit.

    Justeru, pengukuhan BM sebagai bahasa pengantar dalam sistem pendidikan harus dikaitkan dengan konteks di sekitarnya; dalam sektor swasta dan kerajaan.

    Tokoh politik, pegawai perkhidmatan awam, elit perniagaan dan pemimpin kemasyarakatan pula mesti menunjukkan contoh bahawa mereka fasih dan lancar berucap dalam bahasa kebangsaan.

    Kalau tidak BM itu menjadi sebuah pulau terasing yang dipentingkan di bilik darjah saja, tetapi tidak dipentingkan dalam kehidupan praktikal setiap hari di luar pagar sekolah.

    Sehubungan ini, inginlah disyorkan kepada Timbalan Perdana Menteri meninjau bagaimana BM boleh diperkasa supaya betul-betul maju di tengah-tengah masyarakat yang luas sederap dengan usaha pemartabatannya di sekolah.



    Peranan Dewan Bahasa

    dan Pustaka

    Di bawah bidang kekuasaan Menteri Pelajaran ada dua institusi penting kebahasaan yang patut dimanfaatkan bagi membina kemajuan bahasa, dan memperkukuh statusnya dalam masyarakat.

    Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) adalah satu-satunya institusi yang cukup unik di dunia: bertugas merancang dan membina bahasa kebangsaan, sastera kebangsaan, dan penerbitan.

    Tidak ada institusi pengembangan bahasa lain di dunia yang begitu khusus serta penting tugasnya seperti DBP.

    Ia perlu melangkah ke satu tahap baharu perancangan kebahasaan dan penerbitannya dengan menyusun strategi khas ke arah membina BM sebagai bahasa ilmu pengetahuan moden.

    Penggubalan istilah teknikal ribuan disiplin ilmu hendaklah dipergiatkan bagi menambah ratusan ribu istilah yang sudah berjaya disediakan DBP. Penyebarannya kepada pengguna pada zaman ini jauh lebih mudah melalui teknologi maklumat dan komunikasi.

    Judul baru ensiklopedia, kamus, glosari, atlas dan sebagainya dirancang penyusunannya.

    Penerbitan karya ilmiah dan ilmiah popular harus diperbanyakkan, dan karya lama yang penting dicetak ulang supaya bahan-bahan perpustakaan bermutu dalam bahasa kebangsaan sampai ke pasaran.

    Kecanggihan teknologi maklumat bukan saja telah mempercepat penulisan, penyuntingan dan pengeluaran buku secara konvensional, malahan mempermudah pencapaiannya secara elektronik. Semuanya ini namun bergantung pada kecekapan pengurusan dan sistem penyampaiannya.



    Budaya Terjemahan

    dan ITNM

    Institut Terjemahan Negara Malaysia di bawah kepemimpinan pengarah urusannya hari ini memperlihatkan ketangkasan luar biasa menterjemah dan melonjakkan imej karya sasterawan tempatan bukan saja di dalam, tetapi juga di luar negara.

    Sebagai syarikat berhad ia harus beroperasi berdasarkan keuntungan. Penerbitan buku terjemahan ilmu pengetahuan dalam bahasa kebangsaan adalah sukar.

    Demikian juga untuk menterjemahkan karya tempatan ke bahasa-bahasa antarabangsa, lagi lebih sukar dan tinggi kosnya.

    Oleh itu adalah penting Kementerian Pelajaran dan Kementerian Kewangan mempunyai satu sikap baru yang lebih dinamik dan keazaman politik bagi menjadikan budaya terjemahan sebagai pintu masuk aneka ilmu daripada pelbagai bahasa dunia (Jepun, Cina, Korea, Jerman, Sepanyol, dan Perancis) secara langsung.

    Karya klasik tempatan dan Malaysiana pula diterjemah dan diedarkan ke dunia luar untuk memperkenalkan imej negara dan kesedaran asing terhadap khazanah Malaysia.

    Melalui ITNM yang ahli dalam pelbagai aspek pengurusan dan pemasaran hasil penterjemahan, DBP dapat pula menyalurkan ratusan judulnya kepada ITNM bagi memperluas pengedarannya dan pendapatan pengarang.

    Dengan demikian DBP boleh menumpukan perkhidmatannya menghasilkan kerja yang lebih besar seperti penyusunan kamus, ensiklopedia, glosari, dan penyelidikan bahasa sastera sastera, tanpa bertindan tindih kerja dengan ITNM.


    Natrah ‘hidup’ dalam sejarah Melayu


    Oleh Hazirah Che Sab

    NAMA Natrah kedengaran kembali selepas tidak disebut langsung sejak kali terakhir kedatangannya ke Malaysia, 10 tahun lalu. Namun kali ini beritanya diiringi khabar yang menyentuh hati sesiapa saja yang pernah menelusuri kisah suka duka wanita Belanda ini menerusi penulisan Datin Fatini Yaacob, bekas wartawan Dewan Masyarakat pada lewat 1980-an - Natrah sudah meninggal dunia.

    Generasi hari ini mungkin tertanya-tanya siapa Natrah? Apa istimewanya wanita ini sehingga berita kematiannya mendapat liputan meluas media tempatan, kelmarin.

    “Beliau sememangnya istimewa kerana Natrah akan terus hidup dalam sejarah Melayu dan Islam. Isunya sentiasa relevan dan menjadi penanda aras kepada undang-undang Islam,” kata Fatini ketika ditemui di kediamannya di Shah Alam, baru-baru ini.


    Natrah Maarof atau nama asalnya Maria Bertha Hertogh mati akibat leukemia di rumahnya di Huijberhen, selatan Belanda pada usia 72 tahun.

    ‘Hebatnya’ Natrah kerana kesan kehadirannya yang menjadi pertikaian antara bapanya yang berbangsa Belanda dengan ibu angkatnya dari Malaysia, sehingga mencetuskan rusuhan pada 1950 di Singapura yang menyebabkan 18 maut dan beratus-ratus lagi cedera selepas mahkamah memerintahkan beliau dikembalikan kepada ibu bapa kandungnya.

    Kematiannya membangkitkan kepentingan memperbetulkan laporan mengenai Natrah oleh media Barat yang memutar belitkan fakta.

    “Perspektif yang salah mengenai Natrah dan ceritanya perlu diperbetulkan. Laporan media Barat menggambarkan seolah-olah orang Islam begitu agresif dan tidak menghormati keputusan mahkamah mengembalikan Natrah yang beragama Islam ke pangkuan ibu bapanya yang menganut Kristian sehingga tercetusnya rusuhan yang menyebabkan kematian.

    “Namun cerita sebenar di sebalik rusuhan itu tidak pernah dilaporkan. Tiada satu laporan menyatakan rusuhan pada 1950 itu akibat kemarahan orang Melayu kerana akhbar Straits Times ketika itu berulang kali menyiarkan gambar Natrah melutut di depan patung Virgin Mary.

    “Orang Melayu ketika itu menghormati keputusan mahkamah dan menerima hakikat kehilangan Natrah tetapi kemarahan mereka memuncak dengan penyiaran gambar itu. Ada pihak sengaja berbuat demikian dan media Barat mengambil kesempatan menjadikan laporan rusuhan itu untuk menunjukkan keburukan orang Timur.

    “Bagaimana pula penerimaan penganut Kristian jika seorang kanak-kanak Kristian dipakaikan telekung dan dipaksa bersolat? Itulah yang dirasakan umat Islam yang melihat gambar itu,” katanya.

    Natrah anak Adeline Hunter dan Adrianus Petrus Hertogh, yang ditawan tentera Jepun pada 1942 di Indonesia.

    Oleh kerana semangat anti-Barat begitu kuat di Indonesia, Natrah diserahkan ibunya kepada Che Aminah Mohamad dari Terengganu yang ketika itu berada di Indonesia tanpa pengetahuan bapanya. Che Aminah menukar nama Bertha kepada Natrah dan memeliharanya seperti anak sendiri serta diberi didikan Islam.

    Selepas perang 1945, Hertogh dibebaskan dan berusaha mencari Natrah. Selepas ditemui, Che Aminah diperdaya membawa Natrah ke Singapura untuk bertemu bapanya, tanpa menyedari muslihat Hertogh untuk mengambil kembali anaknya itu.

    Tindakan Hertogh mendorong Che Aminah memfailkan rayuan di mahkamah dan berjaya mendapat Natrah semula. Beliau kemudian dikahwinkan dengan Mansor Adabi pada usia 13 tahun.

    Bagaimanapun, pada 12 Disember 1950, mahkamah mengarahkan supaya Natrah diserahkan kepada bapanya dan pulang ke Belanda. Keputusan itulah yang menjadi titik tolak kepada penderitaan dan kesengsaraan ditanggung Natrah sehingga mati.

    “Natrah menderita kerana beliau tidak belajar memaafkan masa lalu. Terus terang, rasanya saya lebih mengenali Natrah daripada beliau mengenali diri sendiri. Jika boleh, saya ingin membawa Natrah ke dunia lain, keluar daripada ketakutannya dan beri pemahaman kepadanya mengenai takdir.

    “Beliau tidak tahu menguruskan penderitaannya. Pegawai British yang bertugas di pusat kebajikan sosial ketika Natrah diletakkan di situ sementara menunggu keputusan mahkamah, pernah menulis dalam bukunya pada 1977 bahawa Natrah akan menderita sepanjang hidup kerana paksaan yang dikenakan ke atasnya.

    “Ramalan itu menjadi kenyataan 20 tahun kemudian. Penderitaan dan ketakutan yang selama ini menyelubungi hidupnya dibawa sehingga mati,” kata Fatini.

    Sepanjang empat bulan menyelidik kisah berdarah itu, Fatini berkata, antara episod paling menyentuh hatinya ialah kesucian cinta antara Natrah dan suami yang tidak pernah berkesempatan menyentuhnya, Mansur Adabi, biarpun Natrah isterinya yang sah.

    “Cinta mereka sejati. Cinta pertama yang dibawa mati. Bayangkan mereka cuma bernikah gantung dan belum lagi melakukan hubungan suami isteri. Biarpun dipisahkan tetapi cinta mereka tidak pernah mati.

    “Air mata Natrah bergenang apabila saya menyebut mengenai Mansor ketika pertemuan kami. Cuma cinta mereka mustahil dijelmakan dalam bentuk untuk dapat bersatu semula sebagai suami isteri.

    “Apabila televisyen Belanda menyiarkan dokumentari mengenai Mansor yang hidup senang dan bahagia dengan isteri baru, Natrah mengamuk. Beliau begitu tertekan sehingga ke tahap cuba membunuh suaminya,” katanya.

    Dihimpit kesengsaraan dipisahkan daripada ibu angkat dan suami dikasihi, Natrah mencari kebahagiaan dengan mengumpul wang. Namun itu juga tidak membahagiakannya.

    “Saya berharap generasi muda mengambil iktibar daripada peristiwa itu. Kita perlu faham undang-undang sivil dan syariah dalam hak kekeluargaan kerana ketidakfahaman undang-undang menyebabkan Natrah terlepas daripada tangan orang Islam.

    “Golongan muda juga perlu tahu isu itu meletakkan Malaya ketika itu dalam peta dunia, tarikh itu dimuatkan dalam muka depan akhbar seluruh dunia kerana ada pertembungan agama, budaya dan ia diperbesar-besarkan,” katanya.