Maju Melayu Perkasa!

06 Disember 2009

Jiran gempa


Oleh Mohd Azis Ngah




Kedudukan Malaysia yang hampir dengan laluan taufan, pusat gempa menyebabkan ia merasai tempias bencana

DALAM tempoh beberapa minggu lalu, rantau Asia Pasifik teruk dilanda beberapa bencana alam yang mengorbankan ribuan nyawa. Paling teruk, Taufan Ketsana yang mengorbankan lebih 400 orang di Filipina, Vietnam dan Kemboja.

Bencana itu disusuli pula dengan gempa bumi berukuran 7.6 skala Richter yang melanda Padang, Sumatera, Indonesia mengakibatkan hampir 1,000 nyawa terkorban, belum termasuk kategori orang hilang yang kemungkinan besar akan menyumbang kepada peningkatan statistik korban.

Pada hari sama juga, tsunami membadai Samoa Amerika dan Samoa Barat, mengakibatkan hampir 150 orang maut.


Beberapa hari lalu, Filipina sekali lagi dilanda musibah taufan disifatkan sebagai 'super typhoon' dikenali Taufan Parma, mengakibatkan banjir kilat yang mengorbankan hampir 300 orang di Manila dan sekitarnya.

Taufan itu melanda timur laut pulau Catanduanes di tengah Filipina pada kelajuan 180 kilometer sejam, meniup kencang menghala ke arah barat daya menuju tanah besar Luzon, dengan membawa hujan yang amat lebat.

Keadaan itu membimbangkan kerana Malaysia berada dalam lingkungan tengah antara semua negara terbabit. Semuanya berlaku berhampiran Malaysia iaitu gempa Sumatera (barat Semenanjung) manakala taufan melanda Filipina (Sabah dan Sarawak) serta Kemboja dan Vietnam (timur Semenanjung).



Timbalan Ketua Pengarah (Aplikasi), Jabatan Meteorologi Malaysia, Alui Bahari menjelaskan, secara geografi, rantau Asia Tenggara termasuk Malaysia sebenarnya dihimpit dari semua arah oleh pergerakan plat tektonik iaitu Plat Indian Australia, Plat Pasifik dan Plat Eurasian.

Katanya, pergerakan plat tektonik ini menyebabkan rantau ini mempunyai kawasan aktiviti seismik yang aktif dikenali sebagai 'lingkaran api' yang mengunjur dari Laut Andaman, perairan barat Sumatera, Pulau Jawa, Sulawesi, Irian Jaya, dan Filipina.

Kedudukan Malaysia yang berhampiran pertembungan plat tektonik di sebelah barat kepulauan Sumatera dan di kepulauan Filipina menyebabkan beberapa aktiviti gempa bumi yang terjadi di kawasan berkenaan turut dirasai di Malaysia.

"Jika dilihat kepada statistik, ia agak membimbangkan kerana secara purata, Filipina dilanda bencana taufan 20 kali setahun dan sembilan daripadanya serius dan tepat. Ini berlaku kerana ia berada di kedudukan tempat pertukaran putaran angin tekanan rendah yang akan menarik udara tekanan tinggi.

Kejadian gempa bumi (atas) dan tsunami di Indonesia.

"Namun, biasanya laluan pergerakan angin itu yang menyumbang kepada taufan sebenarnya lebih menghala ke arah China, Jepun, Taiwan dan kadang kala tersasar ke Vietnam dan Kemboja.

"Keadaan itu berlaku pada kawasan yang mempunyai suhu 7 darjah Celsius utara dan selatan dan hakikatnya, Malaysia langsung tidak cenderung ke arah itu kerana mempunyai daya tarikan suhu hampir 0 darjah Celsius.

"Jika ada, ia cuma angin ribut pada suhu permukaan atau ribut tropika mengakibatkan angin kencang dan ribut petir. Cuma Sabah dan Sarawak agak terdedah kepada risiko berkenaan terutama di pantai barat Sabah," katanya.

Hakikat yang harus dibimbangi juga ialah Indonesia kerap dilanda gempa bumi dan tsunami, bahkan kesan gegarannya turut dirasai di negara ini.

Alui berkata, pertembungan plat tektonik di sebelah kepulauan Sumatera berlaku setiap tahun dengan purata pergerakan garis sesar aktif sebanyak 7 sentimeter (sm) setahun manakala di Filipina, ia merekodkan pergerakan 11 sm setahun.

"Ia terlalu kecil dan jarang dirasai gegarannya. Umpama individu yang mengalami tekanan perasaan, lebih baik dilepaskan sedikit demi sedikit daripada dibiarkan dan dipendam. Akibatnya, jika dipendam terlalu lama, ia akan 'meletup' mengakibatkan gempa besar dan boleh terjadi tsunami," katanya.

Seorang lagi pakar meteorologi merangkap Ketua Pemantau Sistem Bumi, Simulasi dan Iklim, Institut Sains Laut dan Bumi, Universiti Malaya (UM), Prof Datuk Dr Azizan Abu Samah, berkata taufan boleh dikesan berdasarkan petanda cuaca buruk dan pergerakan angin, tetapi keadaannya berbeza jika berlaku gempa bumi terutama yang kuat hingga menyebabkan tsunami.

"Pergerakan angin 'tidal search' juga boleh menyebabkan banjir di kawasan pantai dengan ketinggian ombak mencecah 3 hingga 4 meter tetapi tenaganya agak rendah berbanding ombak tsunami kerana tenaganya sangat kuat dan kekal walaupun ketika melanda pantai hingga menghasilkan ombak tinggi.

"Jika wujud rekahan plat sedalam satu kilometer, kelajuan ombak yang terhasil boleh mencecah 360 kilometer sejam. Maknanya, ombak itu boleh sampai dari Kuala Lumpur ke Pulau Pinang dalam tempoh sejam, sama kelajuan kapal terbang," katanya.

Info

  • Definisi gempa bumi: Fenomena gegaran bumi yang berlaku akibat gerakan bumi yang mengalami gelinciran di garis sesaran bumi ataupun disebabkan oleh aktiviti gunung berapi.

  • Tsunami: Satu perkataan Jepun bermaksud 'ombak pelabuhan'. Ia adalah satu fenomena ombak besar yang melanda pantai disebabkan kejadian gempa bumi di dasar laut. Aktiviti di dasar laut seperti tanah runtuh, ledakan gunung berapi, letupan serta hentaman bahan kosmik seperti meteorit juga boleh menghasilkan tsunami.
  • Muzium Lukut


    Oleh Nor Aziah Othman


    Muzium Lukut mempamerkan pelbagai koleksi kemegahan kerajaan Melayu Lama.

    Koleksi bahan tinggalan sejarah berharga Istana Lukut dipamerkan kepada orang ramai

    BANDAR Lukut yang kini dalam kawasan pentadbiran Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD) dulunya sebuah kerajaan Melayu daripada keturunan Raja Selangor.

    Ketua Kurator Muzium Lukut, Rosiswandy Mohd Salleh, berkata orang ramai boleh melihat kemegahan kerajaan Lukut setelah beberapa pengubahan dan penambahan yang dilakukan kepada Muzium Lukut ini siap dan dibuka kepada orang ramai awal tahun ini.


    Katanya, jika dulu muzium Lukut kurang menonjolkan kemegahan kerajaan Lukut tetapi dengan penambahan dan kerjasama daripada waris raja yang pernah memerintah Lukut, koleksinya semakin bertambah.

    “Kami turut mempamerkan beberapa bekas daripada istana Lukut yang dirobohkan seperti pinggan mangkuk, tapak lapik tiang istana, paku, cap mohor pemerintahan Raja Jumaat serta pakaian, bekas mangkuk mendulang dan bekas makanan yang digunakan pelombong,” katanya.

    Selain itu, orang ramai yang mengunjungi muzium ini boleh melihat beberapa catatan bukti kecekapan dan kebijaksanaan pemerintahan raja Melayu ketika itu iaitu Raja Busu, Raja Jaafar, Raja Jumaat dan Raja Bot yang menjadikan kerajaan Lukut sebuah daerah yang pesat dari segi ekonomi dan disegani. Malah, pencapaian daerah ini turut mendapat pengiktirafan Residen British di Melaka ketika itu, Kapten Macpherson.

    Rosiswandy (kiri) bersama kakitangan muzium melihat kubur pemerintah pertama Lukut, Raja Busu dan ahli keluarga dan pengikutnya yang dibunuh oleh pelombong Cina.

    Katanya, kegemilangannya bermula dengan penerokaan oleh Raja Busu Raja Nala pada 1815 iaitu anak Sultan Salahuddin yang juga Sultan Selangor pertama.

    Beliau yang menyedari bumi Lukut dipenuhi kawasan lombong serta menyimpan hasil bumi yang berharga dikehendaki dunia ketika era kegemilangan industri di Eropah pada kurun ke 18 dengan pelbagai ciptaan dan penggunaannya.

    Dengan permintaan yang tinggi hasil bijih timah, Raja Busu membawa masuk orang Cina dari Melaka untuk bekerja di lombong serta mengenakan beberapa peraturan dan sistem pungutan ke atas hasil timah itu.

    Menurutnya, kegemilangan Kerajaan Lukut bermula dengan kemasukan orang Cina dari Melaka yang senang dan selesa juga peluang perniagaan sekali gus meningkatkan ekonomi mereka berbanding dengan hasil rempah yang semakin berkurangan permintaan di Melaka juga dengan kedatangan British di situ.


    Namun kegemilangan itu berakhir dengan pembunuhannya dan ahli keluarga oleh pelombong Cina kerana tidak berpuas hati dengan kenaikan cukai sebanyak 10 peratus ke atas hasil bijih timah.

    Era kegemilangan Kerajaan Lukut diteruskan dengan persetujuan Sultan Muhamad iaitu Sultan Selangor ketiga dengan melantik Raja Jumaat sebagai wakil baginda pada 1836.

    Selepas kemangkatan Raja Jumaat, ia diteruskan anaknya Raja Bot tetapi pada zaman pemerintahannya pelbagai masalah dan kekacauan berlaku antara pelombong dengan Sultan Sulaiman yang memerintah Sungai Raya di Pasir Panjang serta tuntutan kerajaan Sungai Ujong yang mahu Lukut diserahkan kepada mereka.

    Rosiswandy berkata, mereka yang berminat melihat kesan peninggalan lombong bijih timah di Kampung Sri Parit, di kawasan Bagan Pinang, Bukit Permata dan beberapa kawasan berdekatan lebuh raya Port Dickson Seremban juga boleh mengunjungi Lukut.

    “Jangan terkejut jika tiada sebarang kapal korek yang ditinggalkan pada bekas lombong ini kerana ketika itu pelombong hanya menggunakan pancutan air yang kuat kepada tembok bukit yang menyimpan timbunan bijih timah berbanding perlombongan yang digunakan di Sungai Lembing di Pahang iaitu mengorek bahagian dalam muka buminya.

    “Walaupun kini bekas lombong ini tidak mempunyai hasil, namun ia masih digunakan untuk penternakan ikan, tanaman bunga teratai dan tanaman sayuran yang diusahakan penduduk tempatan sekali gus berupaya beroperasi dan meningkatkan ekonomi mereka di situ.

    “Selain itu, ada lima deretan kedai peninggalan pemerintahan Raja Jumaat yang masih teguh dan masih menjalankan perniagaan barangan runcit di sini,” katanya.

    Sejarah haji di Malaysia


    Oleh Rohaniza Idris




    Catatan awal menyatakan Sultan Mansur Shah berhasrat ke Tanah Suci tetapi mangkat sebelum dapat menunaikannya

    IBADAT haji di negara ini dipercayai bermula sejak kedatangan Islam ke gugusan Kepulauan Melayu pada abad ke 13. Namun, catatan sejarah yang jelas mengenai perkembangan haji di negara ini sukar diperoleh secara terperinci kerana tidak banyak maklumat mengenainya.

    Dipercayai orang Melayu yang berkemampuan dan terbabit dalam aktiviti pelayaran ialah kelompok terawal menunaikan haji, namun tiada catatan atau apa-apa penunjuk aras mengenainya ditemui.


    Pengamal perubatan Portugis, Tom Pires mencatatkan dua pemerintah Melaka ada menyatakan hasrat ke Makkah iaitu Sultan Mansur Shah yang memerintah dari 1456-1477 Masihi atau 860-881 Hijrah dan Sultan Alauddin Riayat Shah (1477-1488 Masihi/881-893 Hijrah). Namun, kedua-duanya tidak dapat meneruskan niat mereka kerana mangkat.

    Dalam catatan itu, Tom Pires menjelaskan kedua-dua pemerintah sudah membuat persediaan, termasuk menyediakan emas yang berganda jumlahnya dan mempersiapkan kapal untuk pelayaran menunaikan haji.

    Catatan Tom Pires bagaimanapun, tidak boleh dianggap sebagai rekod terawal berkaitan pelayaran masyarakat Melayu menunaikan haji ke Makkah kerana ibadah haji itu sendiri adalah satu kewajipan yang dilaksanakan umat Islam.



    Catatan yang tidak kurang penting mengenai jemaah haji dari Kepulauan Melayu ialah perjalanan ilmuwan Muhammad Yusuf Ahmad atau lebih dikenali sebagai Tok Kenali pada 19 Masihi (13 Hijrah).

    Tok Kenali berasal dari Kelantan melanjutkan pengajian agama beliau di Makkah ketika berusia 18 tahun. Dicatatkan beliau mengambil masa enam bulan untuk sampai ke Makkah. Tok Kenali kemudian mengambil keputusan menetap di Makkah bagi menuntut ilmu, di samping menunaikan umrah dan haji.

    Beliau kemudian kembali ke Kelantan pada usia 40 tahun dan mengasaskan pusat pengajian Islam. Selain beliau, beberapa ilmuwan Islam di Kepulauan Melayu yang terkenal ialah Hamzah Fansuri yang belayar ke Makkah pada akhir abad ke 16 Masihi (10 Hijrah) dan Abdul Rauf Singkel menunaikan haji pada 1643 Masihi (1052 Hijrah).

    Apabila tiba abad ke 19 dan 20 Masihi, muncul bukti yang lebih banyak berkaitan aktiviti mengerjakan haji masyarakat Melayu di Malaysia. Banyak artifak, manuskrip, bahan bercetak dan gambar direkodkan orang Melayu yang pergi ke Makkah menunaikan haji.

    Cendekiawan Malaya Harun Aminurashid bergambar di atas kapal ketika menunaikan haji pada 1960.

    Antara catatan yang menarik dihasilkan Munsyi Abdullah seorang terpelajar berasal dari negara ini yang menceritakan dengan teliti pelayarannya ke Tanah Suci pada 1854 Masihi (1270 Hijrah) melalui Hikayat Pelayaran Abdullah.

    Selepas itu ramai cendikiawan Melayu dan golongan terpelajar yang pernah ke Makkah menunaikan haji dan umrah mengabdikan pengalaman mereka dalam bentuk tulisan bagi berkongsi ilmu dengan orang lain.

    Beberapa manuskrip bertulisan jawi ditemui di Kepulauan Melayu menyentuh pelbagai aspek berkaitan haji, termasuk catatan peribadi dan maklumat mengenai haji bersifat keagamaan.

    Cendikiawan Melayu Harun Aminurashid menulis pengembaraannya ke Makkah dengan kapal laut pada 1960 Masihi (1379 Hijrah) dalam bukunya bertajuk Chatetan ka-Tanah Suchi.

    Harun menceritakan perit getirnya sepanjang perjalanan dengan kapal diberi nama Anshun. Antara petikan berkenaan ialah: “susah menjadi penumpang di dalam bahagian tengah kapal...orang yang ingin menunaikan haji mestilah sabar... di sini tiada keseronokan atau kebebasan seperti kebiasaannya ketika di darat...kamu terpaksa menanggung kesusahan ini di sepanjang pelayaran pergi dan balik daripada menunaikan haji, sabar ialah satu-satunya jalan penyelesaian terbaik.”

    Selain Harun, ada beberapa tulisan lain yang menceritakan keterujaan mereka menunaikan haji serta gambaran perjalanan ke Tanah Suci seperti Jaafar Jusoh Al Haj (Perihal Pemergian ke Mekah dan Madinah yang diterbitkan pada 1937 Masihi (1355 Hijrah) dan Haji Ismail Haji Ishak dalam bukunya bertajuk, Ke Mekah Mengikut Jalan Darat (1975 Masihi/ 1394 Hijrah) .

    Selain catatan perjalanan, ada juga ditemui penulisan jemaah haji berkisar mengenai perasaan, pandangan dan pemikiran mereka terhadap apa yang berlaku sepanjang perjalanan yang dipersembahkan dengan gaya tersendiri, termasuk karya seni seperti puisi, lukisan dan poster.

    Dicatatkan seorang jemaah haji yang tidak diketahui identitinya mengubah nazam menceritakan perjalanannya dari Kedah ke Makkah.

    Dalam nazam tulisan jawi itu, penulis menyatakan tiga bulan dari Kedahlah dan kurang, Pelayaran kapal tatkala menyeberang, Jikalau angin dari belakang sampai ke Jeddah (laut) yang tenang...Dua malam tuan sudah di Jeddah hendak berjalan pula ke Makkah disewalah unta mana yang mudah kecil sedikit daripada gajah...”

    Di akhir nazam dinyatakan 120 rahmat ke atas Kaabah iaitu 60 bagi mereka yang mengerjakan tawaf, 40 bagi mereka yang bersembahyang dan 20 bagi yang melihatnya.

    Sejak 1900 hingga 1969, jemaah haji negara ini hanya menggunakan kapal laut untuk ke Makkah. Mulai 1970 hingga 1976, sebilangan kecil daripada mereka menaiki kapal terbang tetapi kapal laut masih terus digunakan.

    Sejak 1977 kapal laut tidak lagi digunakan, sebaliknya semua jemaah haji Malaysia menaiki kapal terbang untuk ke Makkah. Pada zaman kapal laut, pelayaran dari negara ini ke Makkah mengambil masa di antara dua dan tiga bulan, selain dilihat berisiko lebih tinggi.

    Kebanyakan jemaah yang menaiki kapal laut pernah mengalami pelbagai pengalaman pahit, termasuk dilanda ribut taufan. Malah, ada kapal laut yang terbakar ketika dalam pelayaran di tengah samudera. Namun, semua itu dianggap sebagai dugaan dan ujian Allah.

    Dalam perjalanan selama berbulan-bulan ke Makkah, ada jemaah yang uzur atau meninggal dunia di atas kapal. Bagaimanapun, rekod sebenar mengenai kematian itu sukar diperoleh.

    INFO: Kapal haji

  • Mendam Berahi (abad ke-15)
  • Subulus Salam (1854),
  • Antirorchus (1936), Bellophon (1936), Cyclops (1936) dan Potesilaus (1936)
  • Agamemnon, Adratus, Atreus, Ajax, Eurubates, Glaucus, Idomeneus (1940-an)
  • Prometheus (1950-an),
  • Malaysia Kita, Malaysia Raya dan Kuala Lumpur (1970-an).

    Peristiwa 1947

  • 670 jemaah haji Malaya berangkat ke Makkah melalui Singapura dan 1,326 melalui Pulau Pinang. Daripada jumlah itu, 1,729 pulang ke Malaya, manakala 200 lagi terus tinggal di Makkah; 67 meninggal dunia iaitu 31 ketika dalam pelayaran, manakala 36 di Makkah.

  • Sebelum Perang Dunia Kedua hingga negara mencapai kemerdekaan, Singapura dan Pulau Pinang menjadi dua pelabuhan penting bagi jemaah haji Malaya.

  • Kebanyakan jemaah sebelum merdeka dibawa ke pelabuhan dengan lori dan cara itu sering dikritik orang ramai menerusi akhbar. Satu peristiwa pernah menimpa jemaah di Pelabuhan Klang pada 8 Julai 1962 iaitu tragedi tangga patah menyebabkan 20 cedera ketika menyambut ketibaan jemaah haji di atas kapal `Kuala Lumpur'.

  • Menjelang awal 60-an, kesulitan itu semakin reda apabila pakar ekonomi negara, Prof Diraja Ungku Aziz mengesyorkan supaya Tabung Haji diwujudkan. Dalam memorandumnya berjudul `Pilgrims Economy Improvement Plan' kepada kerajaan, Ungku Aziz mengesyorkan penubuhan sebuah perbadanan untuk mengurus dan mengendalikan urusan umat Islam negara ini yang hendak menunaikan haji dan umrah.

  • Tabung Haji ditubuhkan pada 1969 dan menguruskan pergi balik jemaah haji ke Makkah dengan licin dan teratur. Tradisi dan amalan menjual harta benda untuk ke Makkah hingga menyebabkan `kepapaan' selepas jemaah haji kembali ke tanah air, juga semakin pupus.

  • Meriam raksasa


    Oleh Mohd Azis Ngah


    The Great Bombard yang dipamerkan di Royal Armouries, Fort Nelson, England.

    Ditakuti panglima, tentera Salib kerana mampu hancurkan kapal perang musuh

    SEJAK beribu tahun dulu, manusia sering dikaitkan dengan perang, cuma ia berubah mengikut zaman, khususnya dari segi taktikal, persenjataan, jumlah korban dan puncanya. Apapun, setiap kali berlaku perang tanpa mengira sebabnya, ia sentiasa membabitkan penciptaan senjata baru.

    Menyingkap sejarah perang Islam, sememangnya diakui tentera Muslimin adalah antara pasukan paling disegani sepanjang sejarah peperangan dunia. Usah dibangkitkan keberaniannya yang tiada tandingan kerana ganjaran mati syahid di medan perang sememang dinantikan tentera Islam.


    Ditambah pula dengan ketaatan menunaikan solat ketika perang, itu sudah cukup membuatkan musuh sering terpukau dan timbul rasa gerun.

    Itulah senjata utama umat Islam ketika menegakkan agama Allah tetapi mereka juga terkenal dengan taktik dan strategi perang serta inovasi persenjataan yang dianggap canggih pada zamannya.

    Satu daripada penemuan menakjubkan yang membuktikan fakta itu ialah meriam raksasa dari zaman Turki Uthmaniah lebih dikenali dengan nama ‘The Great Bombard’ yang menggunakan ubat bedil seberat 1,600 kilogram sebagai pelurunya.

    Peluru The Great Bombard seberat 300 hingga 1,600 kilogram.

    Ilmuwan Islam menemuinya pada abad ke-12 bersama penemuan lain membuktikan perkembangan teknologi ketenteraan Islam pada zaman itu. ‘The Great Bombard’ ialah teknologi paling tersohor, hinggakan mendengar namanya saja membuatkan musuh ketakutan.

    The Great Bombard diakui teknologi artileri paling maju dan paling kuat ketika itu yang digunakan oleh Kerajaan Turki Uthmaniah untuk merampas semula Kota Constantinople pada 1453 daripada tangan tentera Salib.

    Artileri legenda yang sangat berat itu yang juga terkenal dengan nama “The Great Turkish Bombard” dan ketika perang melawan kerajaan Britain pada 1807, ia terkenal dengan nama “Dardanella Gun” kerana perang berlaku di Selat Dardanella.

    Bangsa Eropah menggelarnya dengan nama “Muhammad Gun” kerana ia membuatkan jeneral perang dan tenteranya sudah boleh membayangkan bagaimana kapal perang dan kubu pertahanan mereka akan hancur berkecai jika terkena tembakan meriam raksasa itu.

    Meriam The Great Turkish Bombard digunakan dalam perang oleh kerajaan Turki Uthmaniah.

    Senjata raksasa itu bukan setakat gah dari segi saiznya, tetapi nama besar yang dilabel memang setaraf dengan kemampuannya, sekali gus membuktikan perancangan membinanya yang dirancang oleh jurutera, Munir Ali pada 1450 memang berhasil.

    Mempunyai saiz panjang 518 sentimeter (sm) (kaliber 8,2) dan berat 18,6 tan, senjata itu mempunyai dua bahagian iaitu laras dan selongsong di belakangnya.

    Bahagian laras digunakan untuk menembak peluru yang dibuat daripada bola granit raksasa dengan berat dianggarkan antara 300 hingga 1,600 kilo, manakala bahagian selongsong pula mampu menampung tujuh bola granit raksasa (ubat bedil) atau 15 bola granit ukuran kecil pada satu-satu masa.

    Disebabkan saiznya yang terlalu besar, meriam itu hanya boleh melepaskan tembakan maksimum 15 kali sehari saja, namun kemampuan jarak tembakannya sangat luar biasa pada ketika itu dengan mencapai jarak 1,760 ela (satu batu atau 1.61 kilometer).

    Difahamkan, setiap kali tembakan dilepaskan, ia memerlukan serbuk belerang yang cukup banyak bertujuan memberikan tenaga maksimum untuk meletup dan melepaskan tembakan.

    The Great Bombard dibuat daripada bahan logam terbaik iaitu campuran tembaga dengan timah putih dan gangsa. Tukang besi yang membina dan menempanya juga dipilih di kalangan yang terbaik pernah hidup pada zaman itu.

    Apa yang membuatkan meriam itu berbeza daripada meriam lain ialah ukiran seni yang mengandungi unsur kebudayaan Islam pada zaman itu.

    Kekuatan dan kemampuan membolehkan ia cukup sesuai untuk diletakkan di mana-mana saja ruang pertahanan, di darat, di pantai atau di atas kapal perang ketika digunakan untuk menyerang kubu musuh atau pertempuran di laut.

    Kapal perang Turki yang membawa meriam itu cuma terdiri daripada kapal jenis galleon dan monitor, setaraf dengan keupayaannya membawa meriam besar dengan tentera yang ramai.

    Ketika ‘Pertempuran Dardanella’, meriam itu menenggelamkan enam kapal Sir John Ducksworth kerana keupayaan melepaskan tembakan melepasi selat kecil melalui strategi menyerang jarak jauh.

    Pada 1866, Sultan Abdul Aziz memberikan satu daripada ‘The Great Bombard’ yang digunakan dalam Perang Dardanella kepada Ratu Victoria ketika kunjungan hormatnya ke Britain.

    Kini, The Great Bombard atau Dardanella Gun itu boleh dilihat di Fort Nelson, Portsmouth, England dan menjadi sebahagian daripada koleksi paling berharga Angkatan Tentera Diraja Britain.

    Bahkan, pada zaman moden ini, namanya tetap dikenang dan cukup popular di kalangan penggemar permainan video RTS (Real Time Strategy) seperti Age of Empire dan Rise of the Nations.

    Ini kerana hanya pemain yang berkemampuan tinggi boleh mencapai tahap mampu memiliki senjata artileri paling ampuh pada abad ke 15 hingga 18 itu dan dianggap kejayaan terbesar jika memilikinya, setaraf dengan sejarah agungnya yang sentiasa digeruni lawan.

    Misteri terowong masa


    Oleh Hazirah Che Sab




    Sejam masa diambil dari dapur ke bilik tidur

    BIARPUN sudah lebih dua dekad berlalu, peristiwa membingungkan masih menghantui Robert Asher dan masih mencari jawapan kepada misteri itu pada usianya ketika ini 62 tahun.

    Asher memandu dari New York City ke Syracuse di New York, untuk mencari rumah pada 1984. Seorang ejen hartanah menghubungi Asher kerana sudah menemui sebuah rumah dan meminta mereka sekeluarga datang meninjau kediaman itu.


    Ketika itu musim luruh. Asher balik daripada bekerja pada jam 6 petang dan terus pulang ke rumah mengambil dua anak perempuannya yang masih kecil ketika itu. Mereka meninggalkan rumah setengah jam kemudian dan tiba di kawasan rehat New Jersey kira-kira jam 7 malam. Mereka berhenti untuk berehat dan membeli kopi serta snek.

    Ia bukan perjalanan pertama mereka ke New York dan mereka tahu ke mana hendak dituju dan ia mengambil masa kira-kira lima jam.

    Apabila Asher kembali ke keretanya dengan snek yang dibeli, hujan mula lebat sehingga pandangan di depan amat kabur. Pemandangan sepanjang lebuh raya kelihatan sayup mata memandang dan isterinya tiba-tiba berkata: “Nampaknya kita memandu ke penghujung dunia.”

    Asher berpaling ke arahnya dan apabila berpaling semula ke arah jalan raya, hari terang benderang dengan matahari bersinar terik dan mereka sudah pun berada di pinggir bandar Syracuse. Jarak keseluruhan kira-kira 482 kilometer.

    Asher berpaling semula ke arah isterinya dan mengejutkan wanita itu. Anak-anak mereka masih tidur di belakang. Dia memberitahu isterinya kedudukan mereka dan ternyata isterinya tidak percaya kerana dia baru tertidur beberapa minit sebelum itu.

    Asher cuma ingat memasuki kereta di perhentian di New Jersey dan tiba-tiba saja berada di Syracuse. Dia sendiri tidak ingat memandu sehingga ke Syracuse. Asher sedar dia tidak tertidur ketika memandu. Dia juga yakin tidak memandu dalam keadaan separuh sedar kerana terpaksa melintasi laluan berbahaya di Pergunungan Shawungunk.

    Asher juga masih ingat dia tidak berhenti di tepi jalan raya kerana anak-anaknya berada dalam kereta dan misteri bagaimana mereka boleh sampai di Syracuse begitu cepat masih belum ada jawapan sehingga hari ini.

    Keadaan sama pernah dialami Luci Stravato yang sehingga kini membingungkan dia dan suaminya, Dave.

    Dave mengaktifkan penggera pada jam 7 pagi seperti biasa sebelum mereka masuk tidur. Pada awal paginya, pasangan itu dikejutkan dengan salakan anjing peliharaan mereka, Bear. Haiwan itu cuma menyalak jika ada seseorang atau binatang seperti kucing jiran merayau di sekeliling rumah.

    Luci dan Dave bangun menyiasat dan Luci sempat melihat jam pada waktu itu jelas menunjukkan jam 5.30 pagi.

    Mereka berjalan ke arah tingkap dapur yang menjadi fokus perhatian Bear, melihat keluar dan mengesahkan tiada siapa di luar. Mungkin cuma kucing liar. Kedua-dua mengambil minuman sejuk dan kembali ke bilik tidur.

    Luci baru hendak menarik selimut untuk tidur selama sejam setengah lagi apabila ternampak jam menunjukkan 6.30 pagi. Luci terkejut tetapi berasa matanya mungkin kabur walaupun yakin dengan apa yang dilihatnya ketika meninggalkan bilik tidur. Dia segera memanggil suaminya dan Dave berkata mereka bangun ketika jam menunjukkan 5.30 pagi.

    Mendengar penjelasan Dave, Luci mula takut dan kebingungan memikirkan mereka mengambil masa sejam untuk ke dapur dan kembali ke bilik tidur.

    Dia tidak dapat menjelaskan apa sebenarnya berlaku tetapi menegaskan jam menunjukkan jam 5.30 pagi ketika mereka bangun dan jam 6.30 sekembali mereka dari dapur.

    Ketagih duit lama


    Oleh Hafizah Iszahanid




    Tawaran RM1.2 juta untuk sekeping wang keluaran 1911 yang memiliki nombor siri A000001 sangat berbaloi

    BERAPAKAH jumlah yang anda sanggup bayar untuk memiliki sekeping wang tinggalan zaman pentadbiran Negeri-Negeri Selat? RM10 atau RM100? Bagaimana kalau harganya mencecah RM1.2 juta?

    Bagi kebanyakan kita, nilai sebegitu tinggi tidak munasabah. Bagaimanapun, bagi pengumpul wang lama, kepuasan melengkapkan koleksi lebih diutamakan. Justeru, RM1.2 juta untuk sekeping wang keluaran 1911 yang memiliki nombor siri A000001 sangat berbaloi.


    Minat mengumpul wang kertas dan duit syiling lama semakin subur di Malaysia berbanding sekitar 1990an atau 1980an. Disebabkan sudah ramai pengumpul, mendapatkan koleksi wang juga semakin sukar. Harganya juga meningkat setanding nilai mata wang semasa.

    Bagi pengumpul di Malaysia melengkapkan koleksi wang tempatan, termasuk Brunei dan Borneo ketika zaman penjajahan Inggeris hingga kini adalah satu kemestian. Dari situ, mereka akan melebarkan koleksi kepada wang negara lain, misalnya mata wang Eropah zaman sebelum pengenalan Euro. Tidak kurang juga yang mengumpul wang negara bermasalah seperti Afghanistan dan Iraq selain negara miskin seperti Uganda atau Brazil kerana kos untuk memilikinya sangat murah.

    Pengumpul mata wang, Lawrence de Souza, berkata sebelum merdeka, Malaysia atau Tanah Melayu menggunakan mata wang Dolar dan ia turut digunakan di British Borneo merangkumi Sabah, Brunei dan Sarawak.



    Justeru, kata de Souza, melengkapkan koleksi mata wang dolar bermula 1901 hingga 1967 adalah antara impian besar pengumpul mata wang.

    Pada 1901 hingga 1910, Tanah Melayu menggunakan mata wang dengan imej Raja Edward Ketujuh. Ia kemudian bertukar kepada dolar dengan gambar George V (1910-1936), George VI (1936-1952) dan Ratu Elizabeth (1952-1967).

    “Pada 1967 Malaysia memperkenalkan mata wang dikenali sebagai Siri Parlimen dan ia kekal hingga 1988. Ketika itu, Malaysia memiliki wang kertas bernilai RM1,000 yang ditulis sebagai “saribu”,” katanya.

    Kata de Souza, nilai sekeping wang saribu yang berkeadaan baik dan nombor siri menarik boleh mencecah hingga RM50,000. Bagaimanapun, dalam koleksi wang kertas lama Malaysia, wang dengan nilai saribu itu paling susah ditemui. Jika adapun, pemiliknya tidak akan menjualkannya kerana nilai sentimental yang ada pada wang itu.

    Duit syiling dua setengah sen mencecah harga hingga ribuan ringgit.

    Sebenarnya, dalam menilai kegilaan mengumpul wang lama, nilai muka tidak penting. Harga ditawar berdasarkan keadaan atau kualiti duit, tahun dikeluarkan dan nombor siri duit berkenaan.

    Wang kertas RM2 yang berkeadaan baik, misalnya boleh mencecah hingga ratusan ringgit. Apatah lagi jika ia edisi khas, misalnya 10 keping RM2 yang tidak dipotong.

    Selain wang era Siri Parlimen, wang zaman Negeri-Negeri Selat, Negeri-Negeri Bersekutu dan Negeri-Negeri Tidak Bersekutu juga adalah antara yang popular.

    Duit syiling dan syiling peringatan juga mendapat permintaan tinggi. Duit syiling suku sen yang digunakan di Negeri-Negeri Selat, misalnya boleh mencecah hingga RM150,000. Selain keunikannya, syiling ini bersepuh emas.

    Duit syiling setengah sen dan satu sen keluaran 1891 juga boleh mencecah nilai sama.

    “Ada banyak sebab orang mengumpul wang lama. Mungkin keasyikan melengkapkan koleksi atau mungkin bermula dengan suka-suka tetapi akhirnya ketagih,” katanya.

    Bagi de Souza, dia mula mengumpul wang lama sejak remaja tetapi minatnya semakin bertambah apabila bertugas di bank komersial. Hari ini sebagai pesara bank, dia memiliki banyak koleksi wang lama terutama pada era pemerintahan Inggeris.

    “Mengumpulkan wang lama pada hari ini tidak lagi seperti dulu kerana dulu jumlah pengumpul sedikit, manakala wang lama yang ada di pasaran banyak. Hari ini sebaliknya,” katanya.

    Selain membeli di kedai menjual mata wang lama, de Souza melengkapkan koleksinya dengan menghadiri lelong wang lama yang dianjurkan Persatuan Numismatik Malaysia. Ada kala, jika acara lelongan itu tidak menemukannya dengan mata wang yang dicari, de Souza seperti pengumpul wang lama akan mencarinya pada acara lelongan mata wang lama di luar negara seperti di Hong Kong.

    Pengumpul mata wang dengan modal besar pula boleh mendapatkan mata wang yang dikehendaki dengan membelinya melalui ejen mata wang yang berkhidmat secara bebas. Mereka biasanya warga asing yang mahir dalam selok belok urusan mata wang.

    Walaupun dianggap sebagai hobi yang mahal bagi sesetengah orang, hobi mengumpul mata wang lama sebenarnya banyak bergantung kepada keadaan kewangan individu. Ini kerana walaupun ada wang lama yang boleh mencecah nilai hingga ratusan dan jutaan ringgit, ada juga wang yang boleh dibeli pada harga RM3 saja.

    Lebih istimewa, seni pembuatan wang itu sendiri berbeza walaupun datang dari negara sama selaras dengan perkembangan budaya dan kemajuan negara berkenaan. Sesebuah negara, misalnya menukar mata wang yang digunakan lebih daripada sekali dalam masa 10 tahun. Semua ini dilakukan bagi memantapkan lagi mekanisme keselamatannya, selain perkembangan semasa yang menuntutnya berbuat demikian.

    Banjir naikkan nilai syiling 10 sen

    APA yang membuatkan sekeping wang lama boleh mencecah hingga ratusan ringgit? Pengumpul dan pekerja kedai menjual mata wang lama, Tan Meng Fong, berkata antara faktor yang membuatkan wang lama bernilai tinggi ialah keadaannya yang masih baik, tidak berlipat, jauh sekali terkoyak.

    “Ada juga wang lama sedikit terjejas, misalnya berlipat tetapi hanya satu lipatan. Dengan satu lipatan pun, ia berupaya menurunkan nilainya,” katanya.

    Kata Tan, satu lipatan pada wang boleh menjejaskan sehingga 50 peratus nilainya. Justeru, harganya akan terus menurun jika wang itu memiliki dua atau tiga lipatan.

    “Pengumpul jarang memilih wang yang dilipat lebih dari sekali melainkan ia benar-benar sukar diperoleh. Namun, harganya tidak semahal harga wang sama tetapi masih elok,” katanya.

    Selain kualiti, wang yang dihasilkan dalam jumlah yang terhad juga melonjakkan harga. Misalnya, duit syiling keluaran 1971 memiliki nilai tinggi di kalangan pengumpul kerana ditempa di Jerman Barat. Duit syiling itu adalah duit syiling Malaysia yang terakhir ditempa di luar negara.

    Pada tahun sama, sebahagian duit syiling ditempa di kilang wang Bank Negara Malaysia di Shah Alam.

    Bagaimanapun, penempaannya terhad kepada syiling 10 sen saja. Banjir besar yang melanda Selangor dan Kuala Lumpur menjejaskan operasi penempaan apabila limpahan banjir masuk ke dalam mesin pencetak.

    Kejadian itu menyebabkan hanya 32,000 keping sempat ditempa. Jumlah yang sedikit melonjakkan permintaannya.

    Kata Tan, sekeping duit syiling 10 sen yang dikeluarkan pada 1971 boleh mencecah harga RM2,500.

    “Syiling peringatan juga memiliki peminat tersendiri. Lebih ramai peminat, lebih tinggi nilainya. Wang syiling peringatan RM5 boleh bernilai RM1,800,” katanya.

    Faktor sukar diperoleh juga meningkatkan nilai wang berkenaan. Bagi wang kertas Malaysia atau Tanah Melayu dan Negeri-Negeri Selat, keluaran terhad menyumbang kepada nilainya.

    Adakala edisi wang terhad disebabkan perkhidmatan Gabenor Bank Negara yang singkat melonjakkan harga wang lama. Misalnya, untuk 1981 hingga 1984, Bank Negara Malaysia diterajui Tan Sri Aziz Taha.

    Dalam tempoh tiga tahun menjadi Gabenor Bank Negara, Aziz menandatangani dua siri wang kertas Malaysia (siri 4 dan siri 5). Faktor ini menjadikan nilai wang kertas pada era Aziz sangat mahal.

    Apatah lagi jika wang itu memiliki nombor siri berturutan atau berlaku kesilapan pencetakan pada permukaannya.

    Wang dengan nombor siri yang tersusun cantik juga sangat mahal. Untuk sekeping wang kertas RM50 era Gabenor Bank Negara, Tan Sri Ahmad Don misalnya, ia boleh mencecah hingga RM1,000.

    Wang dengan nombor siri bersusun, tiga, lapan dan sembilan mencecah RM1,000 sekeping, manakala wang dengan nombor siri BB888888 boleh mencecah 10,000. Namun, urutan siri nombor empat tidak popular di kalangan pengumpul bangsa Cina. Ia hanya dibeli pengumpul Melayu atau India. Nilainya pula berlegar sekitar RM400 saja.

    Nilai wang lama juga dipengaruhi oleh nilai mata wang semasa negara berkenaan. Sebagai contoh, wang kertas lama negara seperti Britain dan New Zealand serta wang negara Eropah sangat tinggi nilainya berbanding wang kertas dari Iraq atau Afghanistan.

    Satu set wang Jerman sebelum pengenalan Euro boleh mencecah hingga RM12,000, manakala wang kertas era Saddam Hussein atau wang kertas era Taliban boleh dibeli pada harga RM3 saja.

    Termasuk dalam kategori wang murah ini ialah wang kertas Kemboja keluaran 1972, wang Brazil keluaran 1980 dan mata wang Guyana dari 1966-1992.

    Penunggu Bukit Gapis


    Oleh Azhar Abu Samah

    Ramai pemandu diusik ketika melalui puncak bukit ketika senja

    KEJADIAN ini berlaku ketika Ramli masih bersekolah lagi tetapi setiap kali melalui jalan itu, walaupun ketika ini usianya sudah menjangkau 50 tahun, hatinya tetap berdebar-debar dan memecut laju jika memandu berseorangan di jalan menghala ke Kampung Nyalas, Melaka ketika menuruni atau mendaki Bukit Gapis.

    Laluan itu yang keadaannya hampir sama sejak 50 tahun lalu dengan semak samun di kiri kanan jalan dan tiada rumah orang menjadikannya sunyi sepi, apatah lagi jika melaluinya ketika senja sudah pasti menaikkan bulu roma.


    Sudah banyak cerita seram didengar Ramli mengenai laluan betul-betul di puncak Bukit Gapis, termasuk ada perempuan tua menunggu di tepi jalan, ada lembaga mengikuti kereta atau motosikal, malah ada cerita pontianak menumpang kereta atau bas yang kosong.

    Malah, heboh cerita mengenai pemandu bas, Pak Ngah Din (kini Allahyarham) dan Bok Ngam, kedua-duanya pemandu bas Chin Chook diusik lembaga perempuan ketika pulang dari Nyalas menuju ke Bukit Senggeh atau Selandar ketika bas kosong yang dipandu mereka terhenyut-henyut mendaki Bukit Gapis.

    Heboh satu Jasin mengenai cerita itu, dan ceritanya menjadi semakin menyeramkan apabila ditokok tambah penceritanya. Yang peliknya, ia tidak pernah diceritakan sendiri Pak Ngah Din atau Book Ngam kepada sesiapa, tetapi penemuan hantu itu sudah tersebar luas.

    Ramli ketika kejadian sudah menetap di sebuah Felda di Pahang bersama keluarganya tetapi mengetahui cerita mengenai ‘kerasnya’ laluan di Bukit Gapis. Setiap dua bulan sekali dia akan balik ke kampungnya di Jalan Lama untuk meninjau ibu bapanya yang sudah tua, selain mengunjungi bapa mentuanya di Air Barok yang selalu sakit.

    Ramli ketika di kampung tidak seaktif di Felda. Dengan sedikit pengetahuan agama, ditambah dengan kenakalannya ketika muda suka mencari ilmu pendinding daripada gangguan makhluk halus, dia disegani di Felda kerana memiliki kebolehan berubat, sekali gus dilantik menjadi imam di kariahnya.

    Banyak kes gangguan makhluk halus berjaya ditanganinya, apatah lagi kawasan penempatannya di Felda baru saja dibuka yang satu ketika dulu kawasan yang diduduki mereka hutan tebal yang pastinya menjadi kediaman pelbagai makhluk halus, termasuk hantu, pontianak, polong.

    Entah apa yang difikirkan Ramli pada hari itu, tiba-tiba saja dia teringatkan kampung di Jalan Lama dan hatinya melonjak-lonjak mahu balik, padahal ketika itu jam sudah menunjukkan 12 tengah hari.

    “Yusop, ikut aku balik kampung,” desak Ramli ketika sedang minum bersama Yusof, rakan sebloknya di kedai kopi Maah. Yusof bukan sekadar jiran sebelah rumah, malah dia juga berasal dari Melaka, menyebabkan kedua-duanya agak rapat.

    “Hari dah tengah hari ini, perjalanan kita ambil masa enam jam... bukan dekat dari Jengka nak ke Melaka,” kata Yusof seolah-olah membantah hasrat kawan baiknya itu.

    Tanpa sebarang jawapan, Ramli bingkas bangun dan menghidupkan enjin motosikalnya sambil berkata: “Aku tunggu kau jam 2 petang, bersiap ajelah.”

    Mereka bertolak menaiki kereta Ramli selepas solat Zuhur dan berhenti beberapa kali untuk merehatkan otot sambil minum kopi, kononnya supaya mata tidak mengantuk.

    Perjalanan dari Temerloh merentasi Kemayan, Serting, Bahau sehingga ke Air Kuning benar-benar memenatkan. Sebaik memasuki Nyalas, muka Ramli kelihatan ceria tetapi

    sentiasa melihat jam tangannya.

    “Kenapa dengan kau ni, dari tadi aku tengok asyik tengok jam. Ada sesiapa tunggu kau ke di kampung. Setengah jam lagi kita sampailah,” kata Yusof. Ketika itu jam sudah menunjukkan 7.30 petang.

    Sebaik kereta mereka menghampiri Bukit Gapis dan terhenyut-henjut mendakinya, Ramli sudah merasai sesuatu dan bulu romanya tegak berdiri tetapi dia hanya mendiamkan diri.

    Sebaik sampai di puncak bukit, enjinnya mati tanpa sebab. Yusof yang mungkin tidak tahu di situlah Bukit Gapis tiba-tiba merungut.

    “Dah nak sampai mulalah nak buat hal,” katanya yang meminta Ramli menolak kereta itu sambil dia memulas stereng.

    “Beratnya kereta ni... kau tolak ke tidak,” kata Yusof dengan nada merungut.

    Ketika menolak kereta itu ke tepi, Ramli sudah nampak kelibat wanita berambut panjang di tempat duduk belakang keretanya, sedangkan mereka berdua saja ketika itu.

    “Yusof...kita hisap rokok dulu, tunggu enjin sejuk, lepas tu oklah kereta ni,” kata Ramli yang mahu menyembunyikan perkara itu daripada rakannya bagi mengelakkannya takut. Hampir 10 minit mereka berhenti, namun tiada satu pun kenderaan melalui kawasan itu.

    Ramli mati akal bagaimana mahu mengatasinya. Jika sebelum ini dia hanya mendengar cerita, kini dia mengalami sendiri.

    Puas dia membaca pelbagai ayat al-Quran yang diketahuinya, namun penumpang tidak diundang itu tetap enggan pergi. Akhirnya dia membuka pintu kiri penumpang belakang kereta dan berbisik perlahan-lahan yang bunyinya seperti memujuk seseorang.

    Dari jauh, Yusof memerhatikan kelakuan Ramli yang dilihatnya agak aneh tetapi tidak mengganggunya. Kali ini dia melihat Ramli membuka pintu sebelah kanan pula seolah-olah mengajak seseorang turun dari kereta itu.

    Tiba-tiba Ramli dengan suara tinggi meminta Yusof menghidupkan kereta.

    “Enjin dah sejuk tu, bolehlah kita jalan,” katanya yang kelihatan seolah-olah mahu Yusof segera pergi dari situ.

    “Apahal dengan kau ni,” bentaknya sambil segera menghidupkan enjin dan pergi dari situ.

    “Kalau aku cerita sekarang, gerenti kau tak boleh bawa kereta. Nanti sampai di kampung, aku beritahu,” kata Ramli yang sekejap-sekejap menoleh ke belakang dan mengintai melalui cermin.

    Malam itu, Yusof tahu cerita sebenar dan menyumpah Ramli kerana tidak memberitahunya di situlah Bukit Gapis. Itulah kali pertama dan terakhir Ramli melihat lembaga di situ kerana sejak itu dia akan memastikan hanya melalui jalan itu sebelum senja dan selepas Maghrib.

    3 kota Pakistan penuh tarikan


    Oleh Azman Abdul Hamid


    Meninjau sambil membeli jaket kulit, kain dan kopiah di Bazar Zainab, Karachi.

    Bisikan pelawat pada sudut dinding Masjid Badshahi boleh didengari di sudut dinding lain

    KARACHI, Lahore dan Islamabad adalah tiga kota Pakistan yang menawarkan tempat menarik dan sejarah tersendiri.

    Karachi ialah sebuah bandar pelabuhan yang juga ibu kota pertama Pakistan mulai 1947 hingga 1958. Mereka yang menggunakan jalan udara akan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Jinnah, Karachi.


    Karachi menjadi ibu kota Pakistan apabila negara baru itu dibentuk dan menerima banyak imigran dan pelarian dari India. Pada 1958, ibu kota Pakistan ditukar dari Karachi ke Rawalpindi.

    Karachi menjadi ibu kota Sindh, menyebabkan tarikan kota ini berkurangan kerana ramainya pelarian dari India. Pada 1980-an dan 90-an, ramai pelarian Afghanistan memasuki Karachi hingga menyebabkannya digelar 'kota pendatang tanpa izin.'

    Bagaimanapun, Karachi tetap membangun dari semasa ke semasa dan kini pusat kewangan dan industri Sindh kerana menjadi tempat urus niaga antarabangsa.



    Penduduk Karachi juga meningkat dan dianggarkan 10 juta orang mendiaminya pada masa ini. Antara perkara pertama yang dimaklumkan kepada pelawat mengenai Karachi ialah kunjungan seseorang itu tidak akan lengkap jika tidak menjenguk bazar Zainab atau 'Zainab Market.'

    Paling kerap diperkatakan orang yang pernah datang ke sini ialah harga pakaian kulit berpatutan, selain segala jenis kain boleh didapati di situ.

    "Anda dari Malaysia? Datang ke kedai saya. Kamu saudara kami. Saya akan beri diskaun besar. Pilih apa yang kamu mahu, beritahu harga kamu," kata seorang pekedai di bazar itu kepada saya dan rakan-rakan media dari Malaysia.

    Memang benar. Pekedai itu menawarkan harga yang agak rendah jika dibandingkan produk yang sama di Kuala Lumpur. Tetapi, rahsianya ialah membeli banyak atau beramai-ramai, senang sedikit untuk tawar menawar bagi mendapatkan harga yang kita mahu.

    Dalam soal makan minum, tiada masalah. Seseorang boleh melawat restoran tepi laut seperti 'Salt N Peppa'. Sambil makan dan menghirup udara segar dan pemandangan tepi pantai.

    Karachi juga menempatkan makam serba putih pemimpin Pakistan pertama, Muhammad Ali Jinnah yang disebut 'Mazar-e-Quaid'. Makam itu mula dibina pada 1948 dan siap pada 1960-an, dikawal sepanjang tahun secara bergilir-gilir oleh pasukan tentera darat, laut, udara dan polis negara itu.

    Dari Karachi, penerbangan ke Lahore mengambil masa kira-kira dua jam dan seseorang akan mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Allama Iqbal, mengambil nama sempena sasterawan agung Pakistan.

    Lahore ialah kota budaya dan nadi negara itu, selain pernah digelar 'Paris of the East.' Lahore menempatkan Masjid Badshahi, masjid kedua terbesar di Pakistan dan Asia Selatan serta kelima terbesar di dunia.

    Masjid itu yang dibina ketika era pemerintahan Maharaja Mughal, Aurangzeb, mampu menempatkan lebih 100,000 jemaah dan adalah yang terbesar di dunia dari 1673 hingga 1986 apabila Masjid Faisal terbina di Islamabad.

    Bagi yang berminat untuk mengetahui dengan lebih dekat, model Masjid Badshahi adalah antara tarikan di Muzium Seni Islam di Kuala Lumpur.

    Menariknya, seseorang boleh berbisik pada sudut dinding masjid itu dan pada sudut yang lain, bisikan itu boleh didengar.

    Bersebelahan masjid itu pula terletak makam Sasterawan Agung Pakistan, Allama Muhammad Iqbal yang dianggap antara tokoh yang memberi inspirasi kepada pergerakan negara Pakistan.

    Beliau digelar sebagai Muffakir-e-Pakistan (Pemikir Pakistan) atau Shair-e-Mashriq (Penyair Timur). Iqbal meninggal dunia pada 21 April, 1938 di Lahore pada usia 60 tahun.

    Ketika mengunjungi makamnya, saya dan rakan-rakan bertemu beberapa pelawat keturunan Sikh yang kebetulan menziarahi.

    Ditanya dari mana, kami diberitahu mereka datang dari Srinagar, Kashmir, dan menyuarakan rasa hormat dan kagum kepada sasterawan agung Pakistan itu.

    Kawasan sempadan Wahga juga wajar dikunjungi pemikir sejarah kerana di sinilah satu-satunya jalan darat yang menghubungkan Pakistan dengan India ditandakan dengan dua pintu yang akan dibuka dan kemudian ditutup pada akhir majlis menurunkan bendera.

    Majlis membabitkan anggota keselamatan Pakistan dan India yang bingit dengan jeritan 'Pakistan Zindabad' (Panjang Umur Pakistan) dan 'Jai Hind' (Panjang Umur India) selain alunan ayat suci al-Quran di sebelah sempadan Pakistan.

    Dari Lahore ke Islamabad menggunakan jalan udara, pelawat akan mendarat di Lapangan Terbang Benazir Bhutto iaitu sempena Perdana Menteri wanita pertama Pakistan yang dibunuh pada 27 Disember 2007.

    Islamabad yang juga ibu negara Pakistan ialah bandar paling bersih dan mempunyai penduduk hampir 700,000. Ia menempatkan bangunan kerajaan dan diplomatik termasuk kedutaan Malaysia.

    Antara tarikan Islamabad ialah Taman Negara Margalla yang mula dibuka kepada umum pada 1980 dan terletak dekat Tasik Rawal serta mempunyai keluasan lebih 17,000 hektar. Selain haiwan hutan termasuk harimau bintang, monyet, babi hutan dan landak, ia juga sering dikunjungi peminat burung sepanjang tahun.

    Paling menarik ialah taman ini berdepan dengan pemandangan kota Islamabad. Seseorang boleh melihat saujana mata memandang keadaan jalan raya, taman termasuk masjid terbesar Pakistan iaitu Masjid Faisal dari sini.

    Pakistan memang ada banyak tempat menarik dan sejarah tersendiri, sesuai untuk pelancong berehat dan bersiar-siar.

    Riwayat hidup Raja Bersiong




    Nama sekolah yang berkaitan dengan siong.

    TABIAT buruk dan kekejaman Raja Bersiong bermula selepas memakan sayur bayam bercampur darah manusia, milik tukang masak istana yang tidak sengaja terhiris jarinya ketika sedang memasak. Apabila makanan itu dihidangkan dan disantap Raja Bersiong, berasa kelainan ketara.

    Hal ini diajukan kepada tukang masak dengan bertanya resipi yang digunakan dan terpaksa tukang masak itu menceritakan hal sebenar yang berlaku. Sejak itulah baginda mengarahkan masakannya dicampur dengan darah manusia.

    Pengawal istana diarah membunuh musuh baginda dipenjara dan dipancung untuk diambil darahnya. Apabila semua tawanan sudah habis, kanak-kanak pula menjadi mangsa. Rakyat ketakutan dan selepas sekian lama, mula timbul api pemberontakan menentang kezaliman raja.


    Raja Bersiong yang semakin ghairah dengan darah mengalami masalah sakit gigi yang disebabkan siung mula timbul di mulutnya. Ketika ini pula gerakan memberontak bermula dan menyerang istana menyebabkan raja melarikan diri.

    Ada yang mengatakan pemberontakan itu diketuai seorang menteri dan ada pula mendakwa ia dipimpin raja negeri Kampar yang berjiran dengannya.

    Ketika dalam perjalanan di hutan, giginya semakin sakit dan selepas berhempas pulas mencabut siung, akhir berjaya dan mencampakkan taringnya jauh ke hutan sebagai tanda marah, lalu dinamakan Baling. Ada yang mengatakan baginda melarikan diri bersama sekumpulan pengikut dan berkubu di Kota Air, Gubir.

    Replika sepasang siung di pintu masuk ke Kampng Lalang, Mukim Siong, Baling.

    Daripada peristiwa Raja Bersiong itu, timbullah nama tempat seperti Merbau Pulas, Kuala Pegang dan Kuala Ketil dan Kota Aur.

    INFO: Nama Baling

  • Mengikut bahasa Siam, ia bermaksud kampung kera.

  • Ban bermaksud kampung dan Lin bermaksud kera.
  • Orang Siam dan Burma yang datang ke sini 200 tahun dulu tidak pernah melihat kera yang begitu banyak yang datang dari hutan Gunung Baling.
  •