Maju Melayu Perkasa!

Program SMS Prepaid Terunggul Dari MYeCASH

26 April 2008

Cari emas kerja sambilan penoreh


Oleh Wan Faizal Ismayatim
bhnews@bharian.com.my


KERJA mendulang dilakuan penuh teliti untuk mendapatkan sebanyak mungkin emas.

Penduduk Kampung Kalai, Jeli meneruskan tradisi mendulang terutama musim hujan

DIKELILINGI hutan hujan tropika dan bukit bukau membentuk muka buminya, Jeli dengan keluasan 1,318 kilometer persegi adalah jajahan ke-10 yang juga paling muda di Kelantan.

Sejak pembukaannya 25 tahun lalu, Jeli bukan saja masyhur dengan kekayaan sumber hutan, malah hutannya dikenali sebagai habitat hidupan liar seperti gajah, harimau dan beruang berikutan banyak kes membabitkan serangan haiwan itu terhadap manusia hingga menyebabkan kematian.


Namun, mungkin ramai tidak sedar, Jeli sebenarnya kaya khazanah bumi, termasuk sumber emas di beberapa kawasan, khususnya di beberapa perkampungan Melayu di hujung Barat Kelantan, bersempadanan Thailand dan Grik, Perak.

Kampung Kalai di Batu Melintang, kira-kira 30 kilometer dari pekan Jeli, mempunyai lebih 1,000 penduduk yang kebanyakannya menoreh getah dan berkebun sebagai sumber rezeki utama.

Selain itu, penduduk Kampung Kalai yang terletak 10 kilometer dari Lebuh Raya Timur-Barat sebenarnya mahir mendulang emas sejak bertahun-tahun lamanya sebagai pendapatan sampingan lantaran wujudnya beberapa batang sungai yang mengandungi sumber itu.

PENDUDUK sedang menjalankan kegiatan mendulang emas di Sungai Pergau.

Sungai Pergau yang mengalir menerusi kampung itu menjadi tumpuan penduduk mencari emas sejak berpuluh tahun lalu sebagai pendapatan sampingan, khususnya musim hujan apabila penduduk tidak dapat menoreh.

Menurut cerita penduduk kampung, kawasan sekitar sungai itu diketahui mempunyai sumber emas sejak kampung ini mula dibuka sekitar 1960-an berkesan kesan lombong tinggal serta penemuan alat mengorek emas.

Penduduk percaya, hasil emas di kampung itu mula dikutip sejak zaman penjajahan British oleh pelombong Cina berikutan penemuan tembikar serta pinggan mangkuk dengan ukiran negara China yang banyak di sekitar kawasan itu.

Malah, tidak jauh dari sungai tempat penduduk mendulang emas, difahamkan wujud sebuah terowong tinggal sepanjang kira-kira 20 meter dipercayai pernah digunakan untuk melombong hasil emas yang kini sudah dipenuhi semak samun, tetapi tiada penduduk berani menghampirinya kerana bimbang ancaman binatang buas.

Perjalanan ke Kampung Kalai dari Kota Bharu mengambil masa hampir tiga jam, selepas pekan kecil kampung itu, penulis terpaksa meredah jalan berbukit di laluan sempit tidak berturap menggunakan kereta sedan dengan gusar, bimbang kereta yang dijaga seperti isteri itu mengalami kerosakan.

Mujur perjalanan merentasi hutan dan pokok getah di kiri kanan laluan itu tidak mendatangkan banyak masalah, namun tidak lama selepas itu, penulis terpaksa meninggalkan kereta di tengah hutan untuk meneruskan perjalanan.

Ini berikutan terdapat sebatang sungai kecil di laluan itu yang hanya boleh dilalui motosikal dan pacuan empat roda. Penulis dan jurugambar kemudian mengambil keputusan berjalan kaki hampir 20 minit meredah hujan lebat menyusuri laluan kecil di kelilingi semak-samun dan ladang getah.

Lantas, perjalanan singkat itu membuatkan penulis terbayang kejadian menimpa warga emas, Mek Jah Ismail, 67, yang parah diserang harimau pada 2006 ketika menoreh getah di Kampung Sungai Long, Jeli - tidak jauh dari Kampung Kalai yang sedang dilalui penulis.

Kegusaran itu akhirnya hilang serta-merta apabila melihat kegigihan beberapa penduduk mengayak pasir sungai menggunakan kuali di sungai berkenaan bagi mencari logam berharga itu.

Sambil dipenuhi lumpur dengan menggunakan penyodok, penduduk terbabit langsung tidak menghiraukan hujan lebat semata-mata mencari serbuk bercahaya yang dipercayai tersembunyi di sebalik pasir sungai itu demi mencari pendapatan sampingan yang dianggarkan sekitar RM20 hingga RM30 sehari, yang turut bergantung kepada faktor nasib.

Dalam temu bual yang dilakukan ketika hujan lebat itu, seorang penduduk, Mazlan Mohd Nawi, 45, berkata walaupun perlombongan emas di beberapa kawasan sepanjang Sungai Pergau sudah dilakukan secara komersial oleh syarikat swasta sejak lebih 10 tahun lalu, penduduk masih menggunakan kaedah tradisional.

Kebanyakan penduduk menjalankan usaha mencari emas selepas selesai menoreh getah, kira-kira jam 11 pagi. Jumlah yang mengayak emas lebih ramai pada musim tengkujuh kerana tidak dapat menoreh.

"Dalam sehari, tidak banyak hasil yang dapat diperoleh dan bergantung kepada nasib. Biasanya emas yang diperoleh sekitar 1 hingga 2 gram, bolehlah dapat RM20 hingga RM30, kalau nasib tak baik, langsung tak ada," katanya.

Mazlan mula mengayak emas sejak dari zaman kanak-kanak sesekali tersenyum apabila diajukan pertanyaan sama ada penduduk Kampung Kalai mampu hidup mewah menerusi kegiatan mendulang emas yang dimulakan sejak sekian lama.

"Tak adalah... kerja mencari emas ini bergantung kepada nasib. Kebanyakan penduduk hanya menjalankan kerja ini sebagai kegiatan sampingan untuk menambah pendapatan keluarga.

"Masa zaman kanak-kanak dulu pun, saya mendulang emas bersama kawan-kawan di kawasan ini setiap hari sebagai mengisi masa lapang. Saja seronok-seronok, hasil emas yang dijual pula digunakan untuk belanja sekolah," katanya.

Menurut penduduk kampung, sumber emas yang kaya di kampung berkenaan serta beberapa kampung lain di sepanjang Sungai Pergau menyebabkan kawasan itu menjadi tumpuan orang ramai termasuk dari luar untuk mencuba mendulang emas.

Selain Mazlan, penulis turut kagum tatkala melihat kegigihan seorang ibu, Siti Hawa Awang, 48, yang sanggup basah kuyup serta tidak kisah dipalit lumpur pada tubuhnya untuk mencari pendapatan sampingan bagi membantu keluarga.

Tanpa menghiraukan hujan lebat, Siti Hawa tekun mengayak pasir di dalam dulang kayu dengan seribu harapan agar ada kilauan berwarna emas melekat pada dulangnya untuk dibawa pulang.

Katanya, beliau bersama beberapa penduduk biasanya pergi ke sungai itu mencari emas kira-kira jam 11 pagi iaitu selepas selesai mengutip hasil getah di kebun berhampiran dan hanya akan pulang sekitar jam 3 petang.

Terdetik juga rasa kagum di hati penulis melihat kegigihan wanita separuh abad itu yang masih mempunyai kudrat mencari emas tanpa menghiraukan hujan atau panas demi membela nasib keluarga.

"Saya tak ada apa-apa petua bagaimana hendak mendapatkan emas yang banyak. Semuanya bergantung pada nasib, apa yang penting jangan berputus asa," katanya sambil kedua-dua tangannya terus mengayak dulang tanpa henti.

"Ketika mengayak pasir, kita perlu menggunakan dulang yang diperbuat daripada kayu merbau kerana ia lebih kesat membolehkan serbuk emas yang tersangkut pada dulang, tidak terbuang begitu saja.

"Dulang yang digunakan mesti berwarna hitam kerana memudahkan kita melihat serpihan emas yang bercampur dengan pasir sungai," katanya.

Usaha mencari emas turut diwarisi anak lelakinya, Zawawi Md Noor, 18, yang turut membantu ibunya menoreh getah dan mendulang emas sementara menunggu keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

"Saya sudah biasa mendulang emas di sini, dulu pun saya selalu ke sini mendulang emas bersama ibu dan rakan ketika cuti sekolah," katanya.

INFO

  • Emas dikesan sejak 1960an

  • Kampung Kalai - 30 kilometer dari pekan Jeli

  • 1,000 penduduk Kampung Kalai

  • Purata RM20-RM30 sehari hasil jualan emas.
  •