Maju Melayu Perkasa!

Program SMS Prepaid Terunggul Dari MYeCASH

26 April 2008

Dari M ke M terobos masalah manusia kecewa


Oleh Shaidah Shafie

KEKUSUTAN hidup akibat kemiskinan dan kekecewaan dalam percintaan mendorong manusia berlagak seperti orang lain ditonjolkan lewat Dari M ke M yang akan dipentaskan di Stor Teater, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Kuala Lumpur, pada 28 hingga 30 Mac ini.

Teater skrip dan arahan Marlenny Deenerwan cuba mengetengahkan persoalan manusia yang hilang tumpuan dalam hidup sehingga sanggup melakukan sesuatu di luar kebiasaan demi melepaskan diri daripada belenggu masalah.

Dua peneraju utama, Donna dan Tukang Sapu mewakili manusia hilang pegangan dengan memilih kepura-puraan seperti tidak pernah dilanda masalah walaupun hakikatnya mereka tidak tahu cara terbaik menyelesaikan permasalahan masing-masing.


Perjalanan awal Dari M ke M sedikit membosankan kerana khalayak mungkin tidak memahami apakah sebenarnya persoalan yang bersarang di minda Donna dan Tukang Sapu ekoran masing-masing hanya berbalas dialog yang meninggalkan tanda tanya.

Donna mewakili wanita yang berani menongkah arus, tetapi meletakkan diri dalam keadaan bahaya apabila sanggup menyerahkan cinta kepada M tanpa sangsi meskipun hanya memadu kasih melalui surat dan teringin untuk bertemu..

Bagaimanapun, keresahan Donna perlahan-lahan mengheret khalayak ke dalam kemelut wanita yang ingin bebas daripada belenggu kemiskinan sehingga sanggup memburu cinta M di Terminal Pekan batu 13, walaupun tidak yakin adakah M akan benar-benar muncul seperti dijanjikan.

Di Terminal M, Donna berbual panjang dengan Tukang Sapu, penunggu setia lokasi itu sehingga khalayak menyelami sama usaha dua insan yang cuba kembali ke akar umbi kehidupan dan mencari penyudah nasib manusia tanpa bahagia dalam hidup.

Melalui dialog Donna, khalayak didedahkan dengan rentetan hidup wanita yang mengimbau nostalgia bersama-sama Cikgu Arbaiah, pengalaman menjadi juruwang di Midvalley serta premis Factory Outlet Service, tanpa sekelumit bahagia.

Jaa Rased lewat watak Tukang Sapu, seolah-olah ingin memancing khalayak menyelami situasi tertekan Donna apabila beliau sengaja mengumpan gadis itu agar menceritakan kisah lalu walaupun resah menunggu M yang tidak kunjung tiba.

Dari M ke M yang mengambil latar

Terminal kereta api yang menjadi latar kisah dihiasi dengan timbunan kotak tidak tersusun sekali gus menggambarkan fikiran Donna yang sarat dengan masalah manakala Tukang Sapu tidak sebenarnya adalah M, lelaki pendendam wanita akibat pengalaman silam.

Teater yang dipentaskan Produksi Mekar Budaya ini mengenakan tiket berharga RM10 dan RM5 (untuk pelajar berserta kad matrik) dan boleh dibeli di pintu masuk Stor Teater DBP manakala maklumat lanjut hubungi talian 019-3455928 atau 016-9078614.

INFO: Dari M ke M
Arahan: Marlenny Deenerwan
Lokasi: Stor Teater Dewan Bahasa dan Pustaka, Jalan Dewan Bahasa, Kuala Lumpur.
Tarikh: 28 hingga 30 Mac, 8.30 malam
Pelakon: Ismaliza Ishak dan Jaa Rased
Telefon: 019-3455928 atau 016-9078614.
Tiket: RM10 dan RM5