26 April 2008

Misteri suami sehari

Oleh Nazmi Yaakub


Gagal muncul pada majlis kenduri pengantin perempuan hingga timbul curiga

PEREMPUAN Ini Lelaki Itu karya Jenna Jehan mengetengahkan usaha Samina, gadis pemalu lagi pendiam, mencari suaminya, Haidar, yang hilang selepas sehari berkahwin tanpa menyedari dia terperangkap dalam jaring komplot jenayah terancang.

Rentak novel genre misteri ini bermula apabila Haidar dan rombongan pengantin lelaki gagal muncul pada majlis kenduri perkahwinan di rumah pengantin perempuan yang diadakan pada hari kedua, meskipun mereka sudah pun melangsungkannya pada hari sebelumnya.

Bermula dengan kes orang hilang yang awalnya seolah-olah dipandang ringan termasuk oleh pihak berkuasa, misteri kehilangan Haidar mula menimbulkan tanda tanya apabila latar belakang, sejarah hidup dan banglo miliknya di Petaling Jaya disiasat polis.

Samina dengan bantuan Asisten Superintendan (ASP) Adam atau lebih dikenali sebagai Jimmy, buntu apabila Haidar sudah pun kematian ibu bapa dan tidak mempunyai saudara-mara kecuali seorang adik perempuan, sedangkan dia disertai rombongan pengantin yang ramai pada hari perkahwinan.

Daripada wanita naif dan lurus, Samina mengubah sikapnya untuk tidak berterusan menjadi mangsa kepada permainan perasaannya apabila dia terkial-kial membebaskan cengkaman simpati dan sangka baik terhadap Haidar yang mula diragui niatnya dalam melangsungkan perkahwinan mereka.

Apatah lagi, Samina terpaksa berhadapan dengan sikap dingin dan sinis keluarga, terutama ibu dan kakak sulungnya, Sofia yang sememangnya iri hati dengan perkahwinan adiknya yang bertindak melangkah bendul, selain menyimpan marah terhadap wasiat arwah datuknya yang menyerahkan pusaka kepada Samina.

Misteri kehilangan Haidar turut menimbulkan persoalan apabila kes yang hampir sama berlaku di Alor Setar dan Melaka, sekali gus mengubah persepsi bahawa seolah-olah ada komplot terancang, membabitkan penipuan untuk mendapatkan harta.

Pada masa sama, hubungan Samina dan Jimmy menjadi lebih kompleks apabila pencarian itu menyebabkan dua watak terbabit semakin rapat apabila pegawai polis berkenaan mula menyimpan perasaan terhadap wanita itu sedangkan beliau sudah bersuami.

Rentak misteri semakin rancak apabila Samina terpaksa menyembunyikan diri ke Pahang dan Terengganu apabila diekori lelaki tidak dikenali, selain kes kehilangan itu mula memakan korban apabila dua mayat ditemui, mempunyai kaitan dengan kes berkenaan.

Plot Perempuan Ini Lelaki Itu secara keseluruhannya agak longgar kerana penyelongkaran emosi watak tidak terjalin kemas dengan plot utama iaitu pencarian Samina untuk merungkai misteri kehilangan Haidar.

Sebagai novel genre misteri dan penyiasatan, pengarang tidak boleh keterlaluan mengheret pembaca untuk menyelami permainan serta kemelut perasaan watak sehingga menyebabkan adegan aksi terabai untuk dimanupulasi dengan sebaik-baiknya.

Misteri kehilangan Haidar sewajarnya direbut sebaik mungkin bagi memancing rasa ingin tahu pembaca dan pemilihan Samina sebagai watak utama sepatutnya dimanfaatkan dengan menampilkannya sebagai kunci penyelesaian misteri meskipun realitinya realitinya usaha itu ditangani pihak polis.

Novel pertama pengarang ini dalam siri misteri boleh dibeli di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur yang sedang berlangsung, ada sedikit persamaan dengan kes gerakan bertopengkan agama yang diharamkan di Malaysia, tetapi hanya terserlah pada bahagian terakhir, berkemungkinan untuk mengelakkan pembaca daripada membuat tebakan awal.

INFO: Perempuan Ini Lelaki Itu
Pengarang: Jenna Jehan (Aina Emir)
Tebal: 373 halaman
Penerbit: KarnaDya Solutions Sdn Bhd
Harga: RM17
Bintang: 3 bintang
Dunia kreatif bawa tuah kepada Aina Emir

AINA Emir, nama pena bagi Latifah Emir Ahmad, bekas Pegawai Latihan (Bahagian Sumber Manusia), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang dilahirkan di Kuala Kangsar, Perak, pada 1957 dan bersara pilihan bagi menyertai dunia perniagaan.

Beliau menggunakan nama pena Jenna Jehan untuk novel dalam siri misteri yang diterbitkan syarikat miliknya, KaryaDya Solutions Sdn Bhd dan genre terbabit dipelopori bagi menambah kepelbagaian bahan bacaan untuk pembaca karya dalam bahasa Melayu.

Novel pertamanya, Sesuci Cinta diterbitkan pada 2003 mencatat jualan melebihi 50,000 naskhah dalam tempoh tidak sampai setahun dan disusuli dengan Seharum Kasih, Setulus Janji, Aura Cinta, Semalam Kubermimpi, Kau Laksana Bulan, Bunga-Bunga Kemboja dan Rahsia Bukit Residen (buku bacaan awal remaja dengan nama samaran Lea Mansur).

Aina beralih ke dunia penulisan kreatif yang pernah diuliti sebelum ini selepas tidak menikmati kepuasan dalam bidang perniagaan dan tidak menyangka langkah itu membawa tuah berterusan kepadanya dengan mengecapi kejayaan demi kejayaan lewat novel garapannya.

Bidang penulisan akhirnya mengembalikannya semula ke dunia perniagaan apabila beliau akhirnya menubuhkan KaryaDya Solutions Sdn Bhd bagi menerbitkan karya garapannya dan turut dibuka kepada penulis baru mahupun sudah bernama.

Daripada sebuah syarikat penerbitan karya kreatif, syarikat pimpinannya itu akhirnya mengembangkan sayapnya kepada bahan bacaan awal remaja dan kanak-kanak remaja di samping menerbitkan filem dokumentari serta akhirnya berkembang kepada bidang pengedaran dalam memastikan syarikatnya terus bertapak kukuh dalam industri penerbitan negara.