Maju Melayu Perkasa!

Program SMS Prepaid Terunggul Dari MYeCASH

02 April 2008

Saya sedia didakwa – Dr. Mahathir


PULAU PINANG 30 Mac – Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, beliau sedia didakwa di mahkamah sekiranya pemecatan bekas Ketua Hakim Negara, Tun Salleh Abas melanggar Perlembagaan negara.

Beliau bagaimanapun menegaskan, mereka yang mendesaknya supaya meminta maaf kepada bekas Ketua Hakim Negara itu perlu menunjukkan bukti bahawa pemecatan itu adalah salah.

‘‘Soal minta maaf tidak timbul kerana segalanya mengikut Perlembagaan negara malah tidak munasabah untuk saya meminta maaf kalau segalanya dilakukan mengikut Perlembagaan,” katanya ketika merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Ketujuh Persatuan Melayu Tanjong (Permata) di sini hari ini.

Baru-baru ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim berkata, kerajaan Barisan Nasional (BN) harus memohon maaf atas kesilapan memecat bekas Ketua Hakim Negara, Tun Salleh Abas dan mencampuri urusan badan kehakiman, 20 tahun lalu.

Zaid berkata, tindakan tersebut juga memalukan negara apabila dunia memandang serong terhadap sistem keadilan Malaysia.

Menurut Dr. Mahathir, pihak berkenaan memberikan contoh bagaimana kerajaan Australia dan Afrika Selatan meminta maaf kepada kaum tertentu di negara mereka akibat penindasan yang dilakukan selama ini.

Namun, katanya, kerajaan Australia meminta maaf kerana sebelum ini mereka membunuh penduduk asli di sana sementara Afrika Selatan pula memohon maaf kerana kerajaan negara itu telah menghina dan mendera orang kulit hitam.

‘‘Kerajaan negara terbabit meminta maaf kerana orang yang melakukan perkara itu telah meninggal dunia tetapi di sini orang itu masih hidup iaitu saya dan jika saya buat salah, tunjukkan di mana kesalahan yang saya lakukan,” katanya.

Dalam ucapannya itu juga, Dr. Mahathir memberitahu usaha Barisan Nasional (BN) untuk mendapatkan kembali lima negeri yang kini berada di bawah pembangkang sebagai usaha yang agak sukar.

Kata beliau, ini kerana sekiranya pihak pembangkang mentadbir negeri-negeri berkenaan dengan baik dan memerintah dengan bijak maka orang Melayu akan tertawan dengan tindakan tersebut.

Ketika ini pembangkang menguasai Pulau Pinang, Kelantan, Kedah, Perak dan Selangor.

Ditanya mengenai laporan media asing bahawa Anwar bakal menjadi Perdana Menteri, Dr. Mahathir berkata, Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu merupakan seseorang yang pandai bercakap.

Beliau berkata, negara Barat suka sekiranya Anwar menjadi Perdana Menteri kerana beliau akan mendengar cakap pihak berkenaan.

‘‘Dia (Anwar) buat nama saya cukup teruk kononnya saya menyebabkan dia dibuang di dalam jel, itu adalah propaganda dia,’’ katanya.