26 April 2008

Sentuhan kreatif bahan kitar semula


Oleh Junita Mat Rasid




Akhbar, majalah lama boleh dijadikan pelbagai barang hiasan

SIAPA sangka akhbar dan majalah lama yang biasanya dijual mengikut berat kilogram untuk dijadikan bahan kitar semula, sebenarnya boleh juga dijual dengan harga lebih tinggi apabila dijadikan bahan kraftangan.

Sebenarnya hasil sentuhan kreatif, akhbar dan majalah lama itu boleh dijadikan pelbagai barangan hiasan dan pasu bunga yang cantik, malah seolah-olah tidak kelihatan seperti diperbuat daripda akhbar buruk.


Akhbar atau majalah lama yang digulung dan dilipat membentuk pelbagai saiz pasu, bekas telur, beg, kotak dan pemegang kunci yang menarik sehingga mampu dijual dengan harga yang agak lumayan bersesuaian dengan seni krafnya.

Proses belajar membuat gulungan dan anyaman daripada akhbar lama itu hanya mengambil masa kira-kira seminggu bergantung kepada ketekunan dan kreativiti.

Semua hasil kraftangan itu menggunakan kira-kira 90 peratus akhbar atau majalah lama, manakala rangkanya dibuat daripada lidi, dawai dan besi.

SIMAN ADAM mengecat barang kraf tangan iaitu bakul yang siap dianyam mengunakan akhbar lama.

Bahan kraftangan itu mempunyai nilai kreativiti yang tinggi dan mampu menarik pasaran, malah jika mereka yang tak tahu tentu mereka tidak menyangka bahan kraftangan berkenaan adalah dibuat daripada akhbar.

Sebuah pasu sederhana besar yang diperbuat daripada gulungan kertas itu boleh dijual sehingga RM165, manakala saiz besar dijual pada harga RM400.

Kumpulan Jiran Wanita Kawasan Rukun Tetangga (KRT Kraf) Parit Jawa, Muar, mengambil inisiatif menjalankan projek kraftangan daripada bahan kitar semula untuk menambah pendapatan penduduk miskin kawasan itu termasuk ibu tunggal dan golongan kurang upaya.

Hasil usaha KRT Kraf itu, surirumah, ibu tunggal dan golongan belia yang membuat kraftangan berkenaan secara sambilan berjaya menambah pendapatan sehingga lebih RM1000 sebulan, sekali gus membantu meningkatkan taraf ekonomi penduduk di kawasan berkenaan.

Selain membantu menambahkan pendapatan penduduk, melalui projek itu juga secara tidak langsung turut menyumbang kepada penjagaan alam sekitar dengan menggunakan bahan kitar semula.

KRT Kraf itu turut mengikuti pelancongan Johor dengan mengadakan pameran di seluruh negara termasuk hotel yang menjadi tumpuan pelancongan, malah, produk kraftangan itu turut dibawa dalam pameran di Australia dan mendapat sambutan menggalakkan.

Selepas hampir tiga tahun beroperasi, KRT Kraf kini mula mendapat sambutan dan tempahan menggalakkan yang menjadikan bahan itu sebagai cenderamata dan hiasan rumah.

Ketua Projek KRT Kraff, Embun Md Noh, setakat ini pihaknya mempunyai kira-kira 30 penduduk yang mahir membuat pelbagai kraftangan untuk memenuhi tempahan.

Katanya, mereka adalah terdiri daripada surirumah, ibu tunggal dan golongan belia yang mendapat latihan khas untuk membuat kraftangan berkenaan secara sambilan.

"Kami mempunyai bengkel sendiri yang menjadi tempat untuk mengumpul bahan kitar semula dan menyimpan barangan berkenaan. Pekerja juga boleh membuat produk kraftangan itu di rumah masing-masing secara sambilan.

Katanya, projek itu dimulakan pada 22 Mei 2004 lalu dengan kerjasama Kumpulan Mawaddah Kraf Shah Alam Selangor yang bertanggungjawab memberi tunjuk ajar dan latihan serta motivasi kepada kumpulan Jiran Wanita Parit Jawa.

Beliau berkata, pihaknya membuat produk kraftangan itu bergantung kepada tempahan dan permintaan orang ramai, terutamanya menjelang musim cuti sekolah berikutan keperluan pasu dan bekas telur untuk majlis perkahwinan.

"Biasanya setiap musim cuti sekolah akhir tahun, kami menerima tempahan kira-kira 5,000 bakul telur yang diperbuat daripada kertas kitar semula yang dijalin dengan cantik sehingga orang tidak menyangka ia dibuat daripada kertas," katanya.

Katanya, setiap bakul telur itu dijual dengan harga antara 50 sen hingga RM1.50 dan pasarannya berdasarkan kepada tempahan yang biasanya diterima secara berterusan mengikut majlis perkahwinan.

Beliau berkata, KRT Kraf pernah mencatatkan sejarah apabila berjaya membina pasu gergasi setinggi 3.9 meter yang diperbuat daripada kira-kira 160 kilogram akhbar lama yang dijadikan kepada lebih 16,000 gulungan kecil kertas dan dicatatkan dalam Malaysia Book of Records sebagai pasu terbesar dibuat daripada akhbar lama.

Katanya, selain mengadakan pameran dengan pelancongan Johor, pihaknya juga mengadakan pameran melalui program kitar semula yang membabitkan Syarikat Southern Waste Management (SWM) untuk memberi kesedaran kepada orang ramai mengenai pelbagai kegunaan daripada bahan kitar semula.

"Biasanya dalam setiap pameran, orang ramai akan terkejut melihat hasil daripada kertas boleh dijadikan pasu dan bahan kraftangan bernilai tinggi sehingga beratus-ratus ringgit," katanya.

Katanya, pihaknya akan meneruskan program itu dengan melatih lebih ramai tenaga mahir bagi memberi peluang kepada kaum wanita menambah pendapatan mereka.

Selain itu katanya, pihaknya juga merancang untuk memasarkan produk kraftangan daripada kertas itu ke luar negara dan yakin mampu menembusi pasaran antarabangsa berdasarkan kualiti barangan berkenaan.

Sementara itu seorang surirumah, Zaleha Hashim, 46, berkata beliau memperolehi pendapatan lebih RM1,000 sebulan hasil membuat gulungan dan pelbagai kraftangan daripada akhbar lama.

Katanya, kerja membuat kraftangan itu biasanya dibuat secara sambilan selepas beliau menyiapkan kerja rumah termasuk memasak.

"Biasanya selepas menyiapkan kerja rumah dan sambil menonton televisyen saya akan mula menganyam pelbagai kraftangan.

"Kerja membuat kraftangan ini sebagai sambilan sahaja iaitu waktu tengahari dan malam kerana saya juga menjual kuih dan pisang goreng pada waktu petang," katanya yang mempunyai lima anak yang masih bersekolah.

Katanya, suaminya Siman Adam, 51, tukang rumah, tidak boleh membuat kerja rumah selepas mengalami kemalangan, menyebabkannya membantu mencari pendapatan sambilan keluarga.

Beliau berkata, suaminya juga akan membantu menyiapkan kraftangan itu pada waktu malam terutama jika beliau menerima banyak tempahan.

"Allhamdulliah melalui kraftangan itu,saya dapat membantu menambah pendapatan dan saya memastikan kehidupan lebih sempurna untuk kami sekeluarga," katanya.

FAKTA

  • Antara 80 gulungan kertas sehingga lebih 1,000 gulungan kertas disiapkan untuk membuat pasu dan pelbagai lagi kraftangan.

  • Setiap 1,000 gulungan besar kertas dibayar RM10, manakala 1,000 gulungan kecil kertas dibayar RM8. Setiap gulungan hanya mengambil masa beberapa minit untuk disiapkan.

  • Seorang surirumah yang membuat gulungan secara sambilan di rumah, biasanya boleh menyiapkan sehingga 2,500 gulungan seminggu.

    Proses Membuat kraftangan daripada kertas:

  • Pekerja akan mengulung akhbar dan majalah dengan lidi bergantung kepada saiz (jika perlu kertas itu akan digulung dengan dawai atau besi).

  • Gulungan kertas itu kemudian dianyam seperti menganyam rotan mengikut bentuk kraftangan.

  • Selepas siap bahan kraftangan atau pasu itu akan dicat dan disapu minyak serta pengilat sebelum dihias mengikut kesesuaian dan permintaan pelanggan.

  • Bahan itu kemudian dijemur selama beberapa hari bagi memastikan ketahanannya sebelum dijual kepada pelanggan.