JOHOR BAHRU 6 Mei - Sebanyak 21 butir bom lama yang dipercayai peninggalan Perang Dunia Kedua ditemui pihak Polis Marin Wilayah Selatan di pesisiran pantai Tanjung Setajam, Sungai Melayu, Gelang Patah di sini Jumaat lalu.
Komander Polis Marin, Senior Asisten Komisioner II Isa Munir berkata, penemuan bom tersebut kira-kira pukul 8 pagi itu hasil maklumat nelayan Orang Asli di kawasan berkenaan.
"Hasil pemeriksaan dan penggeledahan rapi di kawasan itu selama dua hari, Unit Selam Marin menemui 21 bom lama dipercayai tinggalan Perang Dunia Kedua.
"Bom terbabit terdiri daripada pelbagai kaliber termasuk 155 milimeter serta 21 milimeter dan ia disahkan masih aktif," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Majlis Serah Tugas Ketua Polis Marin Wilayah Selatan di Ibu Pejabat Pasukan Polis Marin di Tampoi di sini semalam.
Pada majlis berkenaan, Supritendan Paul Kiew Khoon Chiang memangku jawatan Ketua Polis Marin Wilayah Selatan berikutan Asisten Komisioner Kamal Bakri Medan yang bersara wajib mulai hari ini.
Menurut Isa, bom yang dikenal pasti daripada jenis Shell itu disimpan sementara di Stor Persenjataan Pangkalan Polis Marin Tampoi.
"Kesemua bom ini seterusnya akan diserahkan kepada Unit Pemusnah Bom di Segamat untuk dimusnahkan esok," katanya.
Beliau berkata, penemuan bom lama di kawasan berkenaan merupakan kejadian kedua setelah pihaknya menjumpai 121 butir bom di kawasan yang sama pada Februari lalu.
"Saya menasihatkan orang ramai yang menemui bom lama agar segera menghubungi polis dan tidak mengambil tindakan sendiri kerana ia berisiko untuk meletup," katanya.