05 Mei 2008

Buang benteng psikologi sombong parti politik Melayu

SATU soalan yang amat relevan perlu dijawab demi memastikan parti-parti politik Melayu ingin terus memperjuangkan agenda bangsa Melayu. Persoalannya amat mudah sekali. Namun, jawapannya begitu sukar ditemui oleh kerana kesombongan setiap parti politik Melayu dan orang Melayu sendiri.

Persoalan yang amat menuntut kepada satu jawapan konkrit demi menyelamatkan maruah orang Melayu ialah bersediakah semua parti politik Melayu memusnahkan benteng tebal psikologi atau ideologi perjuangan masing-masing dan bersatu sesama mereka demi kepentingan nasib orang Melayu?

Jika setiap parti politik Melayu masih lagi mempunyai persepsi negatif terhadap parti politik Melayu yang lain, selagi itulah kuatnya kubu penafian dalam diri pemimpin-pemimpin mereka dalam memperjuangkan nasib kaum Melayu.

Selagi setiap pemimpin angkuh dan sombong dengan perjuangan parti politik mereka, selagi itulah kuasa orang Melayu semakin terhakis.

Selagi persepsi yang dibina ditambah dengan ketaksuban yang melingkari diri pengikut setiap parti politik Melayu, amatlah sukar menebusi benteng psikologi setiap parti politik Melayu yang ada.

Apabila Kongres Permuafakatan Melayu, hasil inisiatif Gabungan Penulis- Penulis Nasional (Gapena) dan Barisan Bertindak Perpaduan Melayu (BBPM) yang disertai oleh 180 badan bukan kerajaan (NGO) Melayu bertemu dalam usaha mencetuskan kesedaran kepada orang Melayu mengenai hak-hak mereka dan kedudukan bangsa itu selepas pilihan raya umum lalu, ia bagai satu amaran bahawa orang Melayu tidak boleh lagi bermain-main dengan sentimen 'tidak apa' dengan kuasa Melayu yang semakin terhakis.

Mungkin juga sikap parti-parti politik Melayu kini adalah sebagai memenuhi gambaran penulis-penulis asing di zaman penjajah mengenai orang Melayu yang lebih banyak bersifat negatif. Ciri negatif orang Melayu dikongsi oleh Sir Thomas Stamford Raffles, Tom Pires, Francois Valentyn apabila mereka mengatakan orang Melayu tidak mempunyai tahap perkembangan intelektual yang tinggi.

Perkembangan intelektual yang tinggi boleh membawa pelbagai makna dewasa ini. Mungkin boleh dilihat dari sudut kegagalan setiap parti politik Melayu untuk melihat betapa pentingnya keperluan bersatu untuk memperjuangkan bangsa mereka sendiri.

Keperluan Melayu untuk bangkit dan mempunyai keperibadian sebagai satu bangsa yang unggul dan mempunyai jati diri yang kuat penting demi membuktikan bahawa gambaran negatif yang diberikan kepada orang Melayu hanya satu tanggapan dan prasangka buruk pihak-pihak yang mempunyai agenda tersendiri.

Sebenarnya, orang Melayu jika bersatu boleh menjadi bangsa yang unggul. Walaupun tokoh-tokoh di zaman kolonial banyak memberi gambaran negatif mengenai orang Melayu, terdapat juga gambaran positif mengenai Melayu diberikan oleh mereka.

Meminjam kata-kata positif daripada Swettenham, jika orang Melayu menaruh minat dalam melakukan sesuatu pekerjaan, orang Melayu akan melakukan dengan baik sekali dan akan berjaya.

Orang Melayu akan melakukan tugas tersebut dengan sifat tabah dan berani. Kerja ini akan dilakukan dengan penuh kegembiraan. Orang Melayu akan sanggup menghadapi sebarang kesukaran jika orang Melayu mempunyai kemahuan untuk melakukan sesuatu perkara.

Orang Melayu sudah tiada masa. Malah kita berhutang masa. Bersatulah semua parti politik Melayu demi kelangsungan orang Melayu. Runtuhkan benteng psikologi angkuh dan sombong.

Tidak perlulah membina benteng psikologi yang begitu tebal dalam memperjuangkan ideologi parti masing-masing. Robohkan benteng psikologi itu demi kelangsungan dan martabat orang dan bangsa Melayu.

- DR. SAPORA SIPON

Universiti Sains Islam Malaysia.