03 Mei 2008

Gapena syor wujud badan khas

GABUNGAN Penulis Nasional (Gapena) berpendapat sudah sampai masanya satu majlis atau badan khas yang bertindak sebagai kumpulan pembela masyarakat Melayu ditubuhkan bagi memperjuangkan aspirasi dan hak kaum Melayu.

Ketua I Gapena, Tan Sri Prof Emiritus Ismail Hussein, berkata pada masa ini, sering kali jika ada satu kumpulan atau badan yang memperjuangkan hak serta masalah orang Melayu, ia akan disalahertikan sebagai perkauman.

Sambil menyifatkan andaian pihak terbabit sebagai silap dan sempit, beliau berkata, sejak kemerdekaan negara 50 tahun lalu, orang Melayu bergantung kepada satu parti yang dilihat sebagai memperjuangkan nasib orang Melayu di negara ini.

“Tetapi kini, ia semakin jelas bahawa parti berkenaan juga terpaksa menjaga kepentingan nasional, termasuk kaum lain.

“Ini menyebabkan hak serta aspirasi orang Melayu tidak dapat diperjuangkan sepenuhnya kerana terikat dengan pelbagai perkara yang sering disalahertikan sebagai satu bentuk perkauman,” katanya dalam ucapan perasmian Kongres Permuafakatan Melayu di Pusat Konvensyen Antarabangsa (Persada) Johor.

Kongres menghimpunkan lebih 1,000 peserta daripada 200 Badan-Badan Kerajaan (BBK) Melayu seluruh negara.

Sementara itu, Prof Ismail berkata, gagasan untuk mengadakan kongres itu bermula akhir Mac lalu, di rumah Gapena di Kuala Lumpur, selepas melihat secara langsung kesan keputusan Pilihan Raya Umum Ke-12 yang mencetuskan banyak dilema di kalangan orang Melayu.

“Selepas pilihan raya umum, ia memberi kesempatan untuk orang Melayu berkumpul bagi melihat diri mereka sendiri dan memperbaiki apa yang kurang.

“Kongres ini diadakan untuk menyatukan bangsa Melayu tanpa mengira fahaman politik dan atas sebab itu, ia tidak membabitkan ahli politik,” katanya.