15 Mei 2008

Jadikan belia rakan kongsi





BELIA adalah tonggak harapan negara. Mereka berperanan besar dalam menentu dan mencorakkan perkembangan semasa.

Namun, masih ramai di kalangan belia yang tidak menyertai persatuan dan enggan mengikuti program-program yang disediakan khusus untuk mereka.

Bagi menarik dan memastikan golongan belia ‘mesra’ dengan kerajaan, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) mengambil pendekatan menjadikan belia sebagai ‘rakan kongsi’. Sempena sambutan Hari Belia pada hari ini, wartawan MEOR HARMAN MEOR SHAKRI, HAMIMAH HAMID dan jurugambar ASWAD YAHYA menemu bual Menteri Belia dan Sukan, DATUK ISMAIL SABRI

YAAKOB bagi mendapatkan pandangan beliau mengenai permasalahan ini.

Utusan Malaysia: Apa signifikan tema sambutan hari belia tahun ini iaitu ‘Belia Cemerlang, Negara Terbilang’. Sejauh manakah kejayaan belia di Malaysia?

Ismail Sabri: Tema ini dipilih kerana untuk menjadi negara terbilang satu hari nanti, ia bergantung kepada belia pada hari ini. Kalau kita melahirkan belia cemerlang pada hari ini, tentunya negara juga akan menjadi gemilang satu hari nanti.

Belia hari ini mencerminkan kepimpinan masa depan. Untuk menjadikan negara kita berjaya, kita mesti pastikan belia yang cemerlang dilahirkan pada hari ini. Acuan yang dibentuk hari ini akan menggambarkan masa depan. Itu memang tidak dapat lari.

Kalau kita lahirkan belia yang tak bermaya, rosak akhlak, itulah sorak masyarakat akan datang. Itu sebab sangat penting membentuk generasi hari ini. Seperti pepatah Melayu, ‘Hendak melentur bu- luh biar dari rebungnya’. Saya sekarang cuba melentur ‘rebung’, untuk menjadi rebung yang berguna.

Sejauh manakah kualiti pemikiran dan di manakah kedudukan belia kita sekarang?

Pemikiran belia kita memang berubah, Mereka lebih terbuka, kreatif, inovatif dan berani keluar dari kepompong lama. Saya tengok zaman sekarang zaman teknologi. Perkembangan teknologi yang begitu luas menjadi cara kehidupan golongan muda kini.

Cara hidup digital menjadi cara hidup belia. Berbeza dengan belia-belia di kampung yang terikat dan terhad dengan persekitaran mereka sahaja. Sekarang dunia berada di hujung jari belia.

Belia sekarang melihat belia lain sebagai contoh kerana mereka boleh akses kepada maklumat melalui blog-blog dan pemikiran-pemikiran baru yang mungkin tidak ada sebelum ini.

Belia sekarang tidak lagi terikat, bukan lagi ‘katak di bawah tempurung’. Belia sekarang menjadi ‘katak di bawah kristal’.

Belia sekarang lebih berpengetahuan dan terbuka. Senario sekarang sudah banyak berubah. Jadi di pihak kementerian kita melihat apa jua program yang ingin dibuat perlu mengikut kehendak mereka.

Belia dilihat sebagai pelapis kepimpinan. Tetapi sejauh manakah suara belia diterima oleh kepimpinan sekarang ketika masalah globalisasi politik membelenggu pemikiran belia dewasa ini?

Belia memang boleh menjadi pemimpin, tetapi perlu diserapkan dengan semangat idealisme dan patriotisme. Tetapi mereka tidak boleh dilepaskan begitu sahaja kerana pengaruh begitu penting,

Sekarang kita tengok ruang telah diberi.

Contohnya kalau kita tengok pada Pilihan Raya Umum Ke-12 baru-baru ini, ramai golongan muda yang diberi ruang untuk bertanding. Sekarang ini lahir ramai pemimpin-pemimpin muda kerana orang muda memang mampu memimpin.

Apakah pendekatan dan saluran yang diambil untuk mendengar suara belia?

Seperti yang saya katakan tadi, cabaran ‘melentur buluh’. Hidup pada peringkat umur belia memang mencabar. Dalam dunia tanpa sempadan, dunia berada di hujung jari. Jadi pengaruh-pengaruh yang boleh merosakkan memang banyak tanpa had.

Pengaruh budaya jahat sekarang bukan sahaja di luar rumah tetapi di dalam bilik. Dulu kita boleh kawal anak-anak, tetapi kini agak sukar. Bila kita tidak bagi anak-anak keluar rumah tidak bermakna mereka bebas daripada pengaruh.

Pada hari ini, dalam bilik pun masih boleh dipengaruhi kerana dunia berada di dalam bilik tidur masing-masing. Dunia digital kini berada di mana sahaja.

Jadi inilah peranan yang pertamanya patut dimainkan oleh ibu bapa. Keduanya kita mesti memperbanyakkan program-program untuk bawa belia jadi positif. Pada masa yang sama peranan ini patut dimainkan oleh persatuan-persatuan belia.

Saya sudah maklumkan kepada persatuan belia, setiap program kalau hiburan sekalipun mesti diselitkan dengan perkara-perkara yang memberi faedah seperti sahsiah diri, nasionalisme dan cintakan negara. Kita perlu sekat pengaruh dari luar melalui penganjuran program- program kesedaran.

Terdapat 11 juta belia di negara ini, namun hanya dua juta sahaja yang menyertai persatuan. Apakah puncanya dan bagaimana untuk menarik golongan belia menyertai persatuan?

Apa yang saya nampak daripada masalah ini ialah kerana kita tidak mendekati belia.

Kita kurang memahami kehendak mereka. Saya lihat banyak program yang diatur untuk golongan belia, tetapi penganjuran lebih mengikut selera dan pandangan sendiri dan bukan ikut minat belia.Saya sudah mengarahkan kementerian saya supaya tidak lagi menjadi penganjur program sebaliknya memberi peluang kepada belia menjalankan program mereka.

Program yang mereka rancang dan buat mengikut selera dan kehendak sendiri. Dari segi penganjur aktiviti bukan lagi dari pejabat belia tetapi belia sendiri.

Dulu apabila kita buat program, mereka tidak ada selera dan tidak datang kepada kita. Jadi bagaimana kerajaan hendak sampaikan mesej itu kalau kita tidak boleh dekati belia kerana mereka lari da- ripada kita. Kita tahu dunia belia adalah dunia teknologi komunikasi maklumat (ICT) dan mereka banyak dipengaruhi oleh blog.

Jadi sekarang kita akan jadikan blog sebagai perantara antara pihak kementerian dengan belia. Kita mesti hidup di kalangan mereka. Kementerian belia mesti bersama belia. Belia tidak boleh menjadi pelanggan kita. Belia bagi saya adalah rakan kongsi.

Dunia sekarang adalah dunia digital, jadi kita akan wujudkan blog sendiri. Kita akan lancarkan program Rakan Muda Siber supaya dapat berinteraksi dengan belia melalui Internet.

Di setiap daerah kita akan wujudkan pusat sehenti dan pusat Internet.

Untuk mendekati belia, kita perlu bersama mereka. Selama ini kita tidak mampu dekati mereka, jadi komunikasi antara kerajaan dan belia terputus. Ini yang sebabkan mereka dipengaruhi oleh orang lain. Jadi sekarang kita nak kembalikan belia bersama kita.

Kewujudan laman-laman blog banyak mempengaruhi cara pemikiran belia. Ada blog yang merosakkan. Bagaimanakah kerajaan melihat cabaran ini dan usaha menanganinya?

Memang banyak blog yang negatif sebab kita tidak ada blog yang positif. Sekarang ini ada satu blog sahaja iaitu blog yang negatif.

Sebab itu kita hendak wujudkan blog untuk memberikan gambaran yang sebenar kepada belia. Pada hari ini mungkin gambaran yang mereka dapat adalah gambaran hang salah.

Jadi sekarang ini kita wujudkan satu ruang untuk membawa balik belia dengan memberikan input-input yang positif.

Blog ini terbuka dan sesuai dengan belia kerana ia lebih santai. Sesiapa sahaja boleh melayarinya. Kita akan sediakan medium ke arah yang positif melalui laman forum yang lebih membina.

Tidak dinafikan banyak program yang disediakan untuk belia, tetapi masih banyak persatuan belia yang tidak turun padang, mengapa perkara ini berlaku?

Memang banyak persatuan belia yang tidak turun padang. Seperti yang saya katakan, ada yang aktif dan ada yang tidak, mungkin kerana kerenah birokrasi. Tetapi ada juga yang tidak turun padang kerana tidak ada duit.

Memang niat mereka masuk persatuan belia hendak jalankan aktiviti tetapi tidak ada duit dan sukar dapat kelulusan permohonan peruntukan. Ada persatuan belia yang tidak aktif kerana masalah kewangan dan proses untuk mendapatkan kewangan yang sukar dan memakan masa.

Pejabat belia daerah tidak boleh hendak luluskan kerana mereka tidak ada kuasa meluluskan permohonan. Mereka kena hantar ke peringkat negeri (untuk program RM10,000 ke bawah), manakala program melibatkan peruntukan lebih RM10,000 perlu dihantar ke ibu pejabat. Proses dia kadang-kadang mengambil masa dua hingga tiga bulan dan ini menyebabkan persatuan belia bosan dan semangat mereka luntur.

Kita cuba ubah pendekatan ini dengan memberi duit secara terus kepada persatuan untuk menjalankan program. Mereka tidak perlu lagi membuat permohonan tetapi terus sahaja jalankan program. Jabatan Belia dan Sukan (JBS) cuma memantau dari segi perjalanan program kerana kita tidak mahu ada penyalahgunaan dan pada masa yang sama dapat melahirkan persatuan belia yang lebih profesional.

Bagaimanapun, untuk mendapat bantuan ini, persatuan belia wajib memenuhi syarat iaitu perlu mendaftar persatuan dengan Pendaftar Pertubuhan Belia (ROY) terlebih dahulu dan mempunyai akaun bank.

Kita akan semak akaun setiap tahun. Mesyuarat agung mesti diadakan mengikut perlembagaan persatuan masing-ma- sing. Jika tidak ada mesyuarat bantuan akan dihentikan.

Sempena Hari Belia, apakah harapan Datuk kepada golongan ini?

Saya harap belia benar-benar menjiwai tema hari belia kali ini iaitu ‘Belia Cemerlang, Negara Terbilang’. Belia perlu pastikan diri mereka cemerlang.

Jadikan diri sebagai contoh dan model masa depan. Saya nampak banyak peluang telah diberikan. Belia mesti menyedari ba- hawa mereka adalah golongan terpenting negara ini.

Saya minta suara belia didengar. Saya kini memulakan usaha pada peringkat paling bawah iaitu meminta Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) memberi ruang kepada mereka menjadi ahli jawatankuasa.

Masalah sosial di kalangan remaja mesti dijadikan agenda. Mereka perlu di- beri peluang bersama-sama memberi pandangan.

Untuk hari belia ini, saya mahu golongan belia mempunyai keyakinan bahawa mereka adalah penting kepada negara dan masa depan negara adalah bergantung kepada mereka.

Cita-cita Datuk sebagai Menteri Belia dan Sukan?

Jika dalam dunia sukan, saya akan per- tingkatkan mutu sukan dan mencapai kemenangan yang kita rancangkan.

Untuk belia pula, saya harap belia-belia kita dapat berubah daripada tidak ak- tif menjadi aktif dan bebas daripada un- sur-unsur negatif yang merosakkan.

Saya mahu lahirkan belia beridentiti cemerlang kerana kalau kita lihat hari ini rata-rata orang melihat belia sebagai bermasalah.

Belia selalu dikaitkan dengan unsur negatif. Saya juga mahu tukar persepsi orang ramai pada belia. Dalam masa empat tahun ini, saya akan cuba ubah persepsi ini.

Saya mahu supaya belia dilihat sebagai individu yang dihormati.

Kita tidak boleh paksa belia terima idea kita, tetapi bawa perubahan kepada mereka dengan tanamkan input-input positif. Saya mahu belia enjoy.