04 Mei 2008

Kedudukan Songket di Indonesia

Oleh Nazmi Yaakub

MEMERLUKAN KESABARAN: Menenun songket memerlukan ketelitian penenunnya.

Masyarakat Melayu dan Batak menerima fabrik terbabit sebagai warisan serta meletakkannya pada kedudukan tinggi

KAIN songket di Sumatera Utara diterima di kalangan masyarakat Melayu dan Kristian sehingga melancarkan kesinambungan budaya antara generasi, memudahkan kaedah menenun diperturunkan dan pemakaiannya turut meluas di kalangan etnik Batak Toba, Mandailing-Angkola, Simalungun dan Karo.

Persekitaran sedemikian rupa memungkinkan wilayah terbabit memiliki budaya songket Batubara dan kain tenun ulos Batak dengan kedua-duanya saling mempengaruhi bentuk mahupun gaya tenunan, sekali gus membuktikan bahawa mereka memiliki satu budaya serta hidup serumpun.

Perkara ini didedahkan pengkaji di Akademi Pengajian Melayu (APM), Universiti Malaya (UM), Fadlin Muhammad Djafar, ketika memperkatakan Songket Melayu Batubara: Kajian dalam Konteks Sosio-Budaya pada Seminar Pembentangan Ijazah Tinggi di APMUM, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

“Justeru, motif songket ada yang dibuat dalam ulos Batak, manakala penenun ulos di Tanah Batak pula ada yang menenun songket sama ada daripada Batubara atau Palembang,” katanya

Fadlin menjelaskan, dalam kebudayaan Batak Toba, songket Melayu terutama yang berasal dari Palembang memiliki nilai sosial tinggi kerana mutunya dianggap baik dan mencerminkan tingkat sosial pemakai kerana harganya mahal berbanding ulos.

“Kualiti yang baik dan nilai status sosial ini menyebabkan ramai penenun ulos memilih untuk menenun songket Palembang dan songket Batubara bagi kegunaan di kalangan orang Batak Toba. Justeru tidak hairanlah, hubungan antara budaya ulos Batak dan songket Melayu di Sumatera Utara, dapat dilihat melalui penggunaan songket yang meluas,” katanya.

Di samping itu, songket tidak hanya digunakan dalam pelbagai upacara tradisional Melayu, bahkan turut diamalkan oleh masyarakat Karo, Batak Toba dan Simalungun terutama apabila mereka mahu melaksanakan upacara perkahwinan sama ada mengikut agama Islam atau Kristian.

“Selain itu, terjadi hubungan secara semula jadi antara budaya songket Melayu dengan ulos Batak Toba, abit Mandailing-Angkola, ulos Simalungun dan uis Karo di kawasan Sumatera Utara. Simalungun dan Karo yang beragama Kristian banyak memesan songket untuk kain samping dan dipakai dalam upacara ibadat di geraja terutama Gereja Moria Batak Karo Protestan,” katanya.

Menurut Fadlin, walaupun kain songket dianggap kain orang Melayu, mereka turut menganggapnya sebagai kain orang Batak Toba kerana hidup serumpun meskipun berbeza agama.

“Masyarakat Mandailing-Angkola yang sebahagian besar beragama Islam terutama di Batubara sudah memelayukan diri, sehingga songket kegemaran mereka menggabungkan konsep abit dalam budaya etnik terbabit dan songket Melayu,” katanya.

Peserta seminar turut dimaklumkan bahawa kelompok terbabit biasanya gemar menggunakan warna merah dan hitam yang menjadi warna asas abit dalam memesan songket, selain menyukai motif berbentuk garis seperti siku keluang, pucuk betikam dan pucuk rebung.

Karyawan Tamu APM, yang juga budayawan dari Riau, Tenas Effendy, turut berkongsi pengetahuan mengenai budaya pemakaian songket di wilayahnya dengan mendedahkan bahawa songket sebagai budaya yang hidup dan dinamik di Kepulauan Riau.

“Di Riau, songket dianggap maruah Melayu sehingga pemakaiannya diutamakan dalam upacara adat khususnya iaitu perkahwinan, peminangan dan adat semasa mengandung di samping wajib digunakan dalam penabalan Raja. Songket ada ciri khusus untuk mengangkat maruahnya selain pembuatan songket mengambil falsafah alam dan adat,” katanya.

Tenas turut mendedahkan songket menerapkan warna yang menjadi simbol penting dalam kebudayaan Melayu dengan putih melambangkan tulang; kuning pula mewakili daging; merah (darah); hijau dan biru (urat) serta hitam (kulit).

“Dalam pengertian awal tradisi itu, makna berkenaan dialihkan kepada simbol status sosial apabila kuning menjadi simbol daulat dan kekuasaan; putih (menegakkan maruah); merah dan hitam (adat membalut tubuh) serta hijau dan biru (urat mengedarkan darah ke seluruh tubuh)," katanya.

Sesuai dengan tafsiran makna di sebalik penggunaannya, maka kuning dan kekuningan yang dipakai di kalangan Raja dan kerabat Diraja; hijau dan biru (pembesar, datuk dan panglima); putih (ulama); hitam (orang adat) manakala merah (orang biasa).

Tenas berkata, dari sudut cara pemakaiannya dalam tradisi Riau, anak gadis memakai dengan muka kain di depan yang melambangkan mereka memangku perpaduan nilai yang ada pada muka kain itu, manakala wanita berkahwin meletakkan muka kain di belakang, sekali gus menjadi simbol mereka duduk di atas nilai yang ada.

“Sekiranya wanita itu bersuamikan pembesar, datuk dan penghulu, muka kain diletakkan di sebelah kanan, manakala mereka yang menjadi janda pula meletakkan muka kain di sebelah kiri,” katanya.

Lelaki bujang pula memakai kain samping songket dengan kedalaman kain itu berada di atas lutut, manakala mereka yang sudah berumah tangga di bawah lutut; pembesar (satu perempat di bawah lutut) dan ulama (dua perempat di bawah lutut).