Maju Melayu Perkasa!

Program SMS Prepaid Terunggul Dari MYeCASH

09 Mei 2008

Kerenah birokrasi halang usahawan

KOTA BHARU 5 Mei - Dewan Perniagaan Melayu Malaysia Negeri Kelantan (DPMMNK) meminta kerajaan supaya menghapuskan halangan kerenah birokrasi bagi menarik lebih ramai terutama golongan muda menjadi usahawan.

Yang Dipertunya, Nik Ab. Rahman Nik Taib berkata, pelbagai prosedur dan peraturan yang diwujudkan agensi kerajaan menyebabkan golongan itu tidak berminat untuk menjadi usahawan.

Beliau berkata, malah ada di antara mereka yang baru menyertai dunia perniagaan terpaksa gulung tikar kerana gagal mendapatkan pinjaman walaupun kerajaan telah menyediakan peruntukan yang besar melalui pelbagai dana.

Katanya, kebanyakan usahawan muda itu mampu untuk memulakan perniagaan dengan modal sendiri tetapi mereka tidak boleh bertahan lama kerana tidak mempunyai modal pusingan disebabkan kelewatan kelulusan pinjaman oleh agensi kerajaan.

"Sebagai contoh, DPMM sendiri ada membuka peluang perniagaan seperti skim francais dan pinjaman boleh dibuat kepada agensi kerajaan.

"Daripada 10 peserta kini hanya tinggal empat saja yang mampu bertahan, yang lain gulung tikar sebab tak mampu nak bayar sewa premis atau masalah lain," katanya semasa berucap pada Mesyuarat Agong Tahunan Ke-34 DPMMNK di sini semalam.

Justeru itu, Nik Ab. Rahman berharap kementerian terbabit dapat memperbaiki kelemahan yang ada dan memperkemaskan sistem tersebut bagi membantu usahawan untuk terus hidup.

"Cuba bayangkan untuk mendapatkan pinjaman daripada agensi kerajaan ini memakan masa sehingga dua bulan tetapi jika mereka pergi meminjam kepada Ah Long dan ia hanya dapat diselesaikan dalam tempoh sejam.

"Jadi mereka terpaksa membuat pinjaman daripada Ah Long untuk meneruskan perniagaan walaupun mereka menyedari jika tersalah langkah ia akan memakan diri.

"Tidak ada guna kerajaan membuat pelbagai tabung untuk membantu usahawan tetapi ia tidak disalurkan kepada mereka yang memohon kerana kerenah birokrasi," katanya.