05 Mei 2008

Kesegaran Hutan Lipur Lata Kekabu


Oleh Mohd Idris Sulaiman


BATUAN besar dan kecil menjadi laluan air yang menyegarkan dan menyamankan di sekitar Hutan Lipur Lata Kekabu.

Pengunjung boleh nikmati keindahan alam semula jadi berhampiran Kota Tampan yang belum 'ternoda'

HUTAN Lipur Lata Kekabu, Lenggong yang terletak di tengah-tengah perjalanan dari Ipoh ke Grik, Perak, tidak asing kepada pelawat untuk berehat dan bersantai pada hujung minggu, selain melepaskan penat lelah selepas bekerja di pejabat.

Gemersik semilir angin menujah ke gegendang telinga setiap pengunjung yang datang bersantai ke Hutan Lipur Lata Kekabu, sambil menikmati keindahan alam semula jadinya yang belum ternoda dengan pelbagai aktiviti pembangunan.


Kawasan hutan aslinya yang cantik dengan udara nyaman, kaya dengan berbagai pokok seperti meranti, kempas, jelutong, keruing dan lain-lain memudahkan pengunjung mengenai pokok berkenaan. Ini kerana Jabatan Perhutanan Negeri Perak menyediakan label pada pokok berkenaan yang boleh dilihat melalui lorong kaki yang dibina di sepanjang kawasan perkelahan.

Malah, pengunjung juga pasti terpegun dengan kejernihan air terjun setinggi 50 meter yang kadang kala menampakkan longgokan ikan di dasarnya.

Justeru, jika anda masih tercari-cari kawasan perkelahan yang sesuai untuk membawa keluarga bersantai pada hujung minggu, ada baiknya jika anda sekeluarga datang berkunjung ke sini.



Ini kerana Hutan Lipur Lata Kekabu turut dilengkapi kemudahan asas yang baik dan sesuai bagi kegunaan seisi keluarga. Jika cuaca panas, ia bukan satu bermasalah kerana terdapat rimbunan pepohon hijau seolah-olah seperti sebuah kanopi semula jadi untuk berteduh.

Air terjun yang mengalir jelas kelihatan cantik apabila disinari pancaran matahari. Setiap hujung minggu pasti kawasan air terjun ini diselangi suara gurauan pengunjung yang datang berkelah.

Setelah penat dan kelaparan kerana seharian bermandi manda, pengunjung boleh berehat dan menjamu selera di bawah pondok teduhan yang disediakan.

Di kawasan hutan lipur ini juga disediakan dewan terbuka yang boleh menempatkan kira-kira 50 orang untuk menjalankan pelbagai aktiviti persatuan atau berkumpulan.

Pengunjung yang inginkan lebih ketenangan bolehlah menyusuri laluan pejalan kaki yang disediakan untuk menuju ke kawasan hutan lipur.

Laluan lebih menarik apabila pengunjung menaiki titi gantung yang panjangnya kira-kira 50 meter yang dibina melintasi aliran air yang mengalir laju sambil disulami susunan indah batuan semula jadinya.

Selain itu pengunjung juga berpeluang untuk melihat pelbagai pokok buah-buahan yang ditanam oleh Jabatan Perhutanan seperti pokok durian, manggis, koko dan rambutan.

Malah, jika anda bernasib baik, anda akan dapat melihat pelbagai jenis unggas terutama ayam hutan yang sedang mencari makanan .

Selain itu, pengunjung juga boleh membuat lawatan ke kawasan pra sejarah Kota Tampan, Lenggong dan Tasik Raban yang berada tidak jauh dari Hutan Lipur Lata Kekabu.

Info

Hutan Lipur Lata Kekabu


  • Hutan Lipur Lata Kekabu terletak dalam Hutan Simpan Bintang Hijau dan mempunyai jenis Hutan Dipterokarp Bukit.

  • Air terjun yang cantik kira-kira 50 meter tinggi dan sungai yang bersih mengalir di kawasan ini.

  • Kawasan ini sesuai dikunjungi untuk bersiar-siar, berehat dan berkelah pada hujung minggu.

  • Kemudahan tapak khemah, dewan serba guna, surau serta bilik mandi disediakan untuk kemudahan pengunjung yang ingin tinggal lebih lama atau untuk menjalankan berbagai bentuk aktiviti pendidikan, rekreasi dan riadah.