17 Mei 2008

Ketokohan Ahmadinejad, gerunkan dunia Barat


Oleh Shaidah Shafie




AHMADINEJAD Singa Baru Dunia Islam karya Muhsin Labid, Ibrahim Muharam, Musa Kazhim dan Alfian Hamzah membawa khalayak menelusuri kisah tokoh politik dunia Islam, Dr Mahmoud Ahmadinejad yang tidak pernah dikenali rakyat Iran, tetapi akhirnya muncul sebagai kebanggaan negara yang sentiasa bergolak itu.

Keempat-empat penulis ini yang menguasai bahasa Parsi dan pernah berkhidmat sebagai wartawan bebas ketika menimba ilmu di Iran, menulis buku ini berdasarkan penyelidikan selain menimba pengalaman Ketua Pengarang Saluran 6, SCTV, Rosianna Silalahi, yang mewawancara Presiden Iran itu dalam tempoh kurang 10 minit.

Buku yang diakhiri dengan surat terbuka Ahmadinejad kepada Presiden Amerika Syarikat, George W Bush ini dimulai dengan kisah pemimpin revolusi moden di Iran, Shah Pahlevi, meskipun membawa perubahan besar kepada negaranya, tetapi sempat mengumpul kekayaan untuk dirinya.


Perbuatan Pahlevi itu dilihat tidak menjaga kepentingan rakyat dan mendorong mereka mencari pemimpin terdahulu, Ruhullah Khomeini yang berada dalam buangan di Paris dan kemarahan rakyat dengan segala macam penyelewengan menyaksikan kejatuhan takhta pemerintahan Pahlevi sejurus Khomeini diterbangkan dari Paris ke Tehran.

Khomeini, sebagai individu berpengaruh besar terhadap gerakan bawah tanah Iran mewujudkan gagasan berasaskan al-Quran dengan segera mengedarkan risalah dan pita syarahan kepada pengikutnya sehingga pengaruhnya tampil sebagai suatu kebangkitan baru dalam situasi rakyat menghendaki pemerintah berfikiran luas.

Kepulangan Khomeini tidak merencatkan pemilihan Datuk Bandar Tehran, sebaliknya menyebarluaskan lagi khabar angin mengenai anak tukang besi di pinggir bandar Tehran, Mahmoud Ahmadinejad disebut sebagai tokoh yang akan memberi warna harmoni kepada Tehran.

Ahmadinejad yang hidup dalam serba sederhana bersama-sama keluarganya dan tidak dikenali sesiapa, sehinggalah memulakan pengajian di Universiti Sains dan Teknologi Iran, mula menunjukkan minat terhadap politik , sebelum cergas selepas tamat pengajian.

Suasana politik di Iran yang sentiasa bercelaru, memunculkan pelbagai reaksi di kalangan penyokong parti terhadap calon pilihan mereka manakala Ahmadinejad pula tidak menunjukkan apa juga tindakan sebagai calon parti kerana kekurangan modal, tetapi mempunyai gagasan besar untuk memajukan rakyat Iran.

Persiapan calon Datuk Bandar Tehran merebut undi menyaksikan pelbagai tipu muslihat, tetapi penyokong Ahmadinejad giat memikirkan cara terbaik memperkenalkan tokoh pilihan mereka dengan dana terhad bagi menarik pengundi agar mengundi pemimpin yang boleh membawa kesenangan kepada rakyat.

Cara unik yang digunakan penyokong Ahmadinejad ialah merakam perjalanan hidup tokoh berkenaan di dalam bas di ibu kota Iran yang menunjukkan beliau bertanyakan masalah penumpang dan senario itu menggambarkan seolah-olah calon itu sedia berkhidmat untuk rakyat walau di mana juga.

Tayangan video itu memberi gambaran bahawa Ahmadinejad meletakkan kepentingan rakyat pada tangga teratas dan tidak pernah mengambil kesempatan sehingga 'terbongkar' bahawa wang gaji sebagai Datuk Bandar dibelanjakan untuk rakyat manakala pendapatan sebagai pensyarah untuk menyara keluarga.

Tindakan terbabit nyata menarik minat rakyat dan membawa kemenangan tidak diduga kepada pemuda dari pekan Aradan itu dan kejayaan sebagai Datuk Bandar Tehran tidak menghilangkan sifat rendah hati sehingga sudi menjadikan rumah Datuk Bandar sebagai muzium dan beliau sekeluarga meneruskan kehidupan di rumah lamanya di jalan mati.

Sifat Ahmadinejad yang suka merendah diri dalam segala hal, berjaya meraih perhatian rakyat dan tidak menghalangnya untuk tegas dalam mempertahankan pendirian Iran bila berdepan dengan tekanan blok Barat khususnya dalam kes nuklear sehingga tampil sebagai 'singa' baru dunia Arab yang memeningkan Presiden Amerika Syarikat, George Bush.

INFO: Ahmadinejad Singa Baru Dunia Islam

  • Muhsin Labid, Ibrahim Muharam, Musa Kazhim dan Alfian Hamzah
  • Penerbitan: PTS Publication & Distributors Sdn Bhd
  • Harga: RM17
  • Tebal: 146 halaman
  • Bintang: ****
Kuasa bahasa buka minda

MUHSIN Labib dilahirkan di Jember, Jawa Timur, pada 1967, menerima pendidikan di Yayasan Pesantren Islam, Bangil dan meneruskan pengajian tinggi di Qum, Iran, sebelum menamatkan pengajian Doktor Falsafahnya di Universitas Islam Negeri Syarif Hidayatullah, Jakarta.

Pengurus di Penerbitan Al-Huda dan Penerbit Citra, Muhsin yang juga anggota sidang redaksi Majalah Adil yang diterbitkan di Indonesia serta berkhidmat sebagai pensyarah di Kolej Pengajian Islam Lanjutan, Universiti Paramadina, Indonesia.

Beliau gemar mengisi masa lapang dengan menghasilkan rencana pelbagai topik di blog peribadi di samping cenderung menterjemah teks luar dan menulis karya sendiri seperti Sejarah Fikih terbitan Penerbit Citra dan Kamus Shalat (Penerbit Arifa).

Ibrahim Muharam pula dilahirkan di Jember, Jawa Timur, pada 1975 dan menerima pendidikan awal di Sekolah Dasar Islamiah, sebelum melanjutkan pelajaran di Yayasan Pesantren Islam, Bangil bagi mendalami bahasa Arab serta ilmu asas mengenai Islam.

Sejak 1984, Ibrahim merantau ke Iran bagi menyelesaikan pengajian ijazah dalam jurusan pemikiran Islam dan sekembalinya ke Indonesia, bertugas sebagai pensyarah pelbagai bidang di Kolej Pengajian Islam Lanjutan, Universiti Paramadina serta jurubahasa Parsi.

Beliau yang mempunyai minat mendalam hukum Islam, dipilih sebagai jurubahasa ketika Presiden Iran, Mahmoud Ahmadinejad, berkunjung ke Indonesia pada 2006.

Musa Kazhim dilahirkan di Jember, Jawa Timur pada 1976, memilih aliran Inggeris untuk ditekuni dan meneruskan pengajian dalam bidang falsafah dan teologi Islam di Qum, Iran serta aktif menterjemah, menyunting, mengarang buku bertema agama dan politik Timur Tengah.

Alfian Hamzah lahir dan membesar di Makassar, tetapi merantau ke Bandung untuk melanjutkan pelajaran di Universiti Islam Bandung dalam bidang Pengurusan Industri sambil berkhidmat sebagai wartawan bebas dan menulis untuk The Indonesian Times, Indonesiamu.com serta majalah Pantau.

Laporan khasnya mengenai operasi militan di Aceh, Kejarlah Daku Kau Kusekolahkan menaikkan namanya dalam dunia persuratkhabaran sehingga menerima anugerah khas daripada Persatuan Wartawan Indonesia dan bukunya, Alfian antaranya Melaju Menuju Kurun Baru (1998) serta Skenario Penghabisan: Perang Dunia III di Pelupuk Mata (2007).