17 Mei 2008

Keunggulan UKM jadi aspirasi bangsa


Oleh Koh Aik Khoon dan Radzuan Ghazali

IPTA ketiga tertua Malaysia banyak lahirkan pakar, diiktiraf universiti penyelidikan

SUATU petang pada Oktober tahun lalu, masyarakat beragama Islam berduyun-duyun menuju masjid Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) untuk menunaikan solat Jumaat. Jumaat, hari yang dianggap paling istimewa berbanding hari lain.

Masjid bukan hanya dipenuhi dengan warga kampus, malah turut dikunjungi masyarakat sekitar Bandar Baru Bangi. Masjid yang terletak di dalam kampus UKM itu bukan hanya untuk komuniti UKM, malah terbuka untuk semua ahli yang ingin beribadat kepada-Nya.


Jalinan kerjasama dan ikatan antara masyarakat dan warga UKM adalah kukuh yang menginginkan komitmen perkhidmatan disumbangkan menjangkaui kampus UKM dan bandar berhampiran. Apabila Johor dilanda banjir besar pada 2007 di kawasan tertentu, kakitangan dan mahasiswa UKM segera menghulurkan bantuan dan memberikan perkhidmatan.

Mangsa banjir terharu dan menghargai sumbangan diberikan, lantas UKM menjadikan kampung yang dikunjungi sebagai kampung angkat. UKM sentiasa bersedia memberikan bantuan jika berlaku banjir seumpama itu dan bersedia menghulurkan bantuan tidak kira di mana sekiranya berlaku di seluruh negara tanpa arahan.

Adakah UKM hanya melihat kejadian yang berlaku hanya secara kebetulan? Jawapannya tidak. Keteguhan iman diperlukan dalam beribadat, justeru seorang doktor perubatan UKM, Dr Sheikh Muszaphar Sheikh Mustapha menjalankan penyelidikan di Stesen Angkasa Antarabangsa, di angkasa.

Ramai yang terbabit dalam projek Angkasawan Negara mempunyai kaitan dengan UKM. Ahli akademik seperti Prof Datuk Dr Mazlan Othman dan Prof Dr A Rahman A Jamal menyumbangkan bukan hanya sedikit peranan mereka, malah secara keseluruhan misi itu.

Kejayaan UKM adalah istimewa dan menarik untuk dikenang. Esok, 18 Mei, UKM menyambut 38 tahun penubuhannya sejak ia bermula di Lembah Pantai.

Ahli akademik dari masa ke masa menjalankan penyelidikan, perundingan selain membentangkan kertas kerja peringkat dalaman dan luar negara.

Hasil penyelidikan diterbitkan dalam penerbitan antarabangsa bagi memastikan UKM kekal sebagai universiti penyelidikan di Malaysia sejak mendapat pengiktirafan pada 2006.

Pada tahun sama, UKM menerima Anugerah Kualiti Perdana Menteri (AKPM) yang dinilai dan disahkan oleh Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (Mampu). Laporannya menjelaskan konsisten UKM secara berkekalan bagi mengekalkan jaminan kualiti sejak menerima anugerah ini. Itu tidak boleh disangkalkan.

UKM juga memenangi anugerah berprestij dalam penyelidikan yang menjadikan universiti itu hebat dan unik. Naib Canselor, Prof Datuk Dr Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabudin menggariskan beberapa perkara penting antaranya menyebut hanya UKM, universiti di Malaysia yang mempunyai perkataan 'Kebangsaan'.

Selain itu, UKM membawa harapan tinggi dan aspirasi kepada bangsa - satu bangsa yang mempunyai pelbagai bahasa ibunda meletakkan maruah dalam sistem pendidikan tinggi. Menerusi pengajaran, penyelidikan dan pentadbiran, bahasa Melayu digunakan secara meluas di kampus.

Keseluruhan tesis atau teks syarahan perdana ditulis dalam bahasa Melayu. Kebenaran khas dimohon sekiranya tesis ditulis dalam bahasa Inggeris atau Bahasa Arab. Mungkin bagi universiti lain, ia adalah sebaliknya.

UKM memartabatkan bahasa Melayu, ketamadunan, kebudayaan dan sejarah yang unik dan tidak dicemari. Ia tidak menghapuskan pendirian intelektual. Sebab itu, kekuatannya diperteguhkan. Apa yang menarik, institut penyelidikan pertama ditubuhkan iaitu Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA) pada 1 Disember 1972 dengan ilmuwan antarabangsa yang dihormati, Prof Dr Syed Muhamad Naquib al-Attas sebagai pengarah pengasasnya. Beliau adalah profesor pertama yang menyampaikan syarahan perdana.

Hari ini, UKM mempunyai 13 institut dengan pelbagai disiplin dan bidangnya yang tersendiri. Institut terbaru ialah Institut Kajian Etnik (Kita) dan Institut Kajian Rantau Asia Barat (Ikrab) di bawah pimpinan Prof Datuk Dr Shamsul Amri Baharudian yang mengkaji hubung kait hubungan manusia sepenuhnya. Institut ini adalah unik ke arah sumbangan manusia dalam pembangunan bangsa.

Hanya di UKM, syarahan perdana yang disampaikan oleh profesor menjelaskan pemikiran dalam bidang kepakaran masing-masing untuk masyarakat umum melihat syarahan berkenaan selain proses kenaikan pangkat dan lanjutan perkhidmatan.

Ramai beranggapan dengan mengemukakan draf syarahan, lantas mendapat kelulusan, akhirnya ia dicetak dan diedarkan. UKM mahukan syarahan perdana yang terbaik, setaraf dengan mereka bergelar Profesor. Ini menunjukkan UKM adalah unik � sebuah universiti yang 'mengilhamkan harapan, mencipta masa depan'.

FAKTA
Universiti Kebangsaan Malaysia


  • Ditubuhkan secara rasmi pada 18 Mei 1970.

  • UKM ialah universiti ketiga yang ditubuhkan di Malaysia, tetapi yang pertama menggunakan Bahasa Malaysia sebagai bahasa pengantar.

  • Misi UKM ialah untuk menjadi institusi pengajian tinggi awam terpilih yang memartabatkan Bahasa Melayu serta mensejagatkan ilmu beracuan budaya kebangsaan.

  • UKM diiktiraf sebagai satu daripada empat universiti penyelidikan di Malaysia.

  • Kampus-kampus utama Bangi, kampus Kuala Lumpur dan kampus Cheras (Hospital UKM)

  • Kakitangan - Akademik (1,991), Pentadbiran (termasuk kakitangan hospital 6,094 ).

  • Pelajar (setakat Jun 2007) - Prasiswazah (17,500) Siswazah (5,105 ) Pelajar antarabangsa (1,368).

  • Graduan (1970 hingga 16 Ogos 2007) - Sarjana Muda (103,066), Sarjana, termasuk Ijazah Pakar (13,015), Doktor Falsafah (994).

    Dr Koh Aik Khoon ialah Timbalan Pengarah (Komunikasi Korporat), Pusat Perancangan dan Komunikasi Korporat (PPKK), UKM dan Radzuan Ghazali adalah Pegawai Perhubungan Awam Kanan, Pejabat Perhubungan Awam dan Korporat.