04 Mei 2008

Kongres menggerakkan perubahan


Mingguan: Apa sebenarnya yang ingin dihasilkan oleh Kongres Permuafakatan Melayu ini?

Osman: Kita mahu melihat Kongres Permuafakatan Melayu ini mencari jalan yang boleh menggerakkan perubahan di kalangan orang Melayu sambil sekiranya boleh tidak mengulangi cerita-cerita lama yang telah acap kali diperkatakan. Perubahan yang saya maksudkan ialah perubahan minda dan sikap ke arah pembentukan bangsa Melayu yang maju di negara sendiri untuk masa akan datang. BBPM melihat perlunya ada kesedaran di kalangan pemimpin-pemimpin Melayu, parti-parti politik Melayu, pemikir-pemikir Melayu dan korporat-korporat Melayu untuk bersatu dan terus menuju perubahan. Apa yang kita hendak sekarang ialah kita menjadi tuan di negara kita.

Sebab itu dalam Piagam BBPM penekanan kita ialah memberi kesedaran kepada orang-orang Melayu untuk bersatu padu ke arah membangkitkan semula ketuanan Melayu di negara kita. Maksud ketuanan adalah secara menyeluruh iaitu dalam bidang politik, ekonomi, pendidikan dan masalah-masalah berbangkit di kalangan generasi muda. BBPM berfikir jika generasi muda tidak digerakkan fikirannya, tidak digerakkan hala tuju mereka dan tidak digerakkan kecintaan mereka kepada negara sendiri, kepada sejarah asal, maka kita akan ke belakang 50 tahun lalu.

Sebab itu kita tubuhkan BBPM untuk menggerakkan usaha-usaha seperti ini supaya perubahan yang dibuat kelak radikal, progresif dan aktif. Jadi sekarang kita mahu kongres membincangkan lebih daripada isu-isu Perlembagaan, kedudukan orang Melayu, masalah ekonomi Melayu yang telah terlalu kerap diperkatakan.

Tetapi untuk membuat perubahan kita perlu memperkatakan tentang kegagalan?

Osman: Masalahnya isu kelemahan orang Melayu baik dari sudut pencapaian ekonomi atau masalah sosialnya telah disebut banyak kali. Dalam Perhimpunan Agung UMNO misalnya isu-isu seperti itu sentiasa dibangkitkan begitu juga dalam persidangan-persidangan bersangkutan dengan hak orang Melayu. Kita lihat kongres mengenai bahasa Melayu yang diadakan Johor dua tahun lalu begitu lantang memperkatakan tentang penggunaan bahasa Inggeris bagi pengajaran dan pembelajaran sains dan matematik. Tetapi di mana hasilnya? Oleh itu saya percaya kongres dua hari ini perlu menawarkan agenda yang berbeza iaitu mendesak dan bertindak, bukannya mengulangi kesemuanya itu tetapi hasilnya tidak ke mana. Saya percaya cadangan penubuhan Majlis Permuafakatan Hal Ehwal Orang Melayu selepas kongres ini menjadi platform pertama ke arah menyegerakan usaha melaksanakan segala cadangan serta resolusi yang telah diputuskan.

Macam mana kongres boleh menggalas tanggungjawab mengembalikan kedaulatan Melayu sedangkan UMNO sebagai parti orang Melayu pun dilihat gagal berbuat demikian?

Osman: Peranan UMNO berbeza jika dibandingkan dengan kongres kerana UMNO bergerak di atas landasan politik sedangkan kita menggabungkan NGO Melayu dan melihat isu-isu yang melibatkan orang Melayu dari sudut pertubuhan bukan kerajaan. Kongres ini misalnya menunjukkan bagaimana NGO Melayu bersatu dan bersungguh-sungguh untuk memberi kesedaran kepada orang Melayu supaya mempertahankan jati diri di negara sendiri. Kita mahu supaya pendekatan yang seperti ini berjaya memupuk kesedaran kepada orang Melayu untuk mula menggerakkan diri membangunkan ekonomi misalnya dan bukan lagi sekadar bercakap. Ini peranan kongres sebenarnya dan ia hanya boleh dijayakan menerusi kerjasama semua pihak yang juga semestinya mempunyai kekuatan untuk memartabatkan kedudukan bangsa Melayu.

Lemah sangatkah kedudukan orang Melayu sekarang ini sehingga bangsa-bangsa lain semakin berani mempertikaikan hak - hak yang termaktub dalam Perlembagaan terutamanya selepas pilihan raya baru-baru ini?

Osman: Sebenarnya 'usikan' terhadap kedudukan orang Melayu telah berlaku sejak lama dulu malah ia disuarakan oleh parti-parti komponen Barisan Nasional sendiri cuma selepas pilihan raya kali ini ia semakin kuat berkumandang. Di sini juga peranan kongres seperti ini iaitu memastikan hak-hak kita difahami oleh orang bukan Melayu yang berakar umbi dalam sejarah kita. kita bukan meminta atau memperjuangkan yang bukan hak kita tetapi kita ingin mengumpulkan hak kita. Kita ingin memastikan bahawa teras orang Melayu menjadi teras nasional. Ia bukan kerana kita lemah tetapi kerana hak-hak kita ini enggan difahami oleh bangsa-bangsa lain.

Bolehkah orang Melayu bersatu terutamanya selepas keputusan pilihan raya yang mencerminkan kegoyahan penyatuan di kalangan bangsa Melayu?

Osman: Realitinya penyatuan di kalangan orang Melayu masih boleh dicapai. Dalam banyak keadaan orang Melayu akan bersatu dan ini pernah dibuktikan semasa peristiwa 13 Mei 1969, secara spontan orang Melayu bersatu begitu juga semasa menentang Malayan Union. Saya yakin orang Melayu boleh bersatu jika segala kepentingan lain diketepikan sebaliknya semua pihak membulatkan fikiran dan tekad untuk bersama-sama memperjuangkan kedudukan orang Melayu.

Bukankah tindakan para perwakilan dalam kongres kali ini masih membangkitkan isu-isu yang sama kerana semuanya itu masih tidak terjawab?

Osman: Bukan soal tidak terjawab tetapi tiada siapa yang melaksanakan. Sebab itu kongres mesti menyebut bahawa bidang pendidikan misalnya Melayu mesti dibantu secara hak istimewa orang Melayu, seperti yang dibangkitkan oleh seorang pembentang kertas kerja, pelajar-pelajar kini diberi pinjaman pendidikan berserta kadar faedahnya sekali, di mana biasiswa seperti yang diperuntukkan dalam Perlembagaan. Sedangkan kita tahu hak istimewa orang Melayu dalam Perlembagaan ialah biasiswa.

Pihak tuan yakin kongres kali ini akan menghasilkan sesuatu?

Osman: Saya yakin kongres dua hari ini akan menghasilkan sesuatu kerana usaha-usaha ke arah itu amat jelas menerusi gabungan pemikiran ulama, intelektual dan ahli akademik untuk memikirkan sesuatu yang baru. Saya percaya ia tidak akan menjadi seperti kongres atau persidangan yang diadakan sebelum ini.

Bagaimana pula usaha memastikan setiap resolusi dilaksanakan atau diguna pakai?

Osman: Saya jangka bertitik tolak daripada kongres seperti ini BBPM akan menghantar resolusi yang dipersetujui oleh semua kepada pemimpin-pemimpin dalam negara secara tepat dan segera dan kita akan pastikan ia tidak senyap begitu sahaja. Kita akan memastikan hasilnya dan pemantauan akan dilakukan secara bersama antara BBPM dan semua NGO yang bersama-sama ingin melihat adanya perubahan dalam usaha menyatukan orang Melayu . Kita akan bawa resolusi ini seperti mana piagam yang kita sudah hantar kepada Yang di-Pertuan Agong dan raja-raja Melayu.

Apa sebenarnya masalah orang Melayu sehingga perlu diadakan kongres seperti ini?

Osman: Kongres ini perlu diadakan kerana selepas pilihan raya lalu orang Melayu berasa tercabar dan kita memikirkan apa sebenarnya yang perlu dilakukan serta apa tindakan sepatutnya. Itu juga antara sebabnya BBPM diwujudkan dan kongres yang berlangsung dengan kerjasama BBPM akan memantapkan perjuangan Melayu. Kita lihat orang Melayu tercabar dari semua sudut - politik, ekonomi, sosial, kebudayaan, pendidikan - dan kita tidak ada satu badan yang menyuarakan dengan tegas rasa tercabar ini kepada pemimpin. Paling penting perjuangan kita ialah memastikan ia dilaksanakan. Sebab itu BBPM bercadang untuk menghantar semua piagam ini kepada pemimpin-pemimpin Melayu sama ada parti kerajaan mahupun pembangkang, individu, korporat dan ulama, kita akan pergi secara keseluruhan.

Saya nampak kali ini berbeza kerana semua pihak semakin sedar tentang kedudukan Melayu yang semakin terhakis. Susulan daripada kongres ini kita akan memainkan peranan dalam hal-hal lain seperti kenaikan harga barang. Kita ingin mendapat penjelasan kerajaan mengapa masih berlaku kekurangan bekalan, kenaikan harga barangan sedangkan kerajaan tidak habis-habis memberitahu kesemuanya dikawal. Kesemuanya itu mesti dijawab.

Apa harapan daripada kongres ini?

Osman: Saya berharap usul-usul di dalam kongres ini menampakkan sesuatu yang baru dan menjadi penggerak untuk kita bertindak. BBPM akan memantau dan memastikan setiap resolusi dilaksanakan serta melihat kaedah mana ia dapat dilaksanakan.