Maju Melayu Perkasa!

Program SMS Prepaid Terunggul Dari MYeCASH

11 Mei 2008

Kontrak sosial dan pembangunan bangsa

BANGSA lahir daripada sebuah rasa kebersamaan. Ia diperkuatkan dengan wacana kesedaran tentang bahasa, ideologi, budaya, sejarah dan gagasan yang akhirnya membentuk doktrin etika serta falsafah nasionalisme.

“Kelahiran sebuah bangsa bermula dengan kontrak sosial (social contract). Kesefahaman itu lahir daripada rasa percaya antara satu sama lain yang kuat,” tulis Plato dalam karyanya, Republic yang dihasilkan sekitar 2,500 tahun lalu.

Pendapat Plato tersebut dikembangkan oleh pemikir-pemikir Barat lain. Antaranya oleh Hugo Grotius, Imannuel Kant, John Locke, Jean Jaques Rousseau, Francis Bacon dan Thomas Hobbes.

Para pemikir tersebut umumnya bersetuju tentang perlunya kontrak sosial atau ikatan perjanjian eksekutif antara pemimpin dengan rakyat.

Idea dasar kontrak sosial itu dibangunkan berdasarkan tesis atau premis bahawa kekuasaan utama berdirinya suatu negara terletak pada rakyat (popular sovreignity).

Mandat rakyat tersebut oleh Rousseau dapat diperbaharui, dikaji semula, dibatalkan atau akan ada tindakan tertentu bila salah satu pihak melakukan ‘pelanggaran kesepakatan’.

Rousseau (1588-1679) berpendapat bahawa manusia pada dasarnya adalah tidak baik dan tidak juga buruk. Mereka hidup dengan jujur dan mencintai diri secara spontan.

Kejujuran manusia itu terkoyak akibat pertembungan di tengah-tengah masyarakat yang egoistik. Mungkin hanya kerana merebutkan padang rumput untuk ternakan, manusia dengan mudah menumpahkan darah, saling berperang dan membunuh antara satu sama lain.

Bagi menjamin keharmonian tersebut dan supaya antara individu serta kelompok dapat menghargai hak masing-masing dalam damai, maka Rousseau mengutarakan perlunya kontrak sosial.

Rousseau ketika memperkatakan tentang kontrak sosial itu, mengkaitkan perlunya penyertaan rakyat untuk turut menentukan nasib dan masa depan mereka sendiri dengan para pemimpin dan wakilnya.

Secara kontekstual, ia akan melahirkan sentimen moral untuk menentang setiap bentuk monopoli kekuasaan terhadap masyarakat atas nama kekuasaan.

“Manusia itu pada dasarnya baik. Mereka adalah sama dalam semua barisan dan lapisan. Barisan atau lapisan terbesarlah yang layak mendapat kehormatan tertinggi untuk diperhatikan dan mendahului.

“Namun, mereka perlu mengambil kira kepentingan-kepentingan kelompok minoriti demi kesejahteraan bersama dalam erti kesepakatan sosial,” tulis Rousseau dalam bukunya Confessions.

Falsafah sosial yang dikembangkan Rousseau tersebut sebenarnya banyak diadaptasi daripada pemikiran John Locke iaitu setiap kelompok sosial berhak mencapai kebahagian atau kepuasan diri.

Locke sendiri berpendapat bahawa manusia bergerak untuk bekerjasama disebabkan kepentingan dan keuntungan peribadi masing-masing, yang perlu dihimpun sebagai kehendak umum bersama.

Semua manusia adalah sama dalam semua barisan dan lapisan. Barisan atau lapisan terbesarlah yang cukup patut untuk mendapat kehormatan tertinggi untuk diperhatikan dan mendahului.

Rousseau dalam hal ini berbeza pandangan dengan Hobbes yang berpendapat manusia secara individual merupakan makhluk moral tetapi tidak di luar masyarakat.

Rousseau dalam tulisannya, Plan for a Constitution of Corsica mengatakan negara mesti dimiliki secara bersama, sama ada oleh golongan minoriti atau pun majoriti. Jika negara tidak menjamin hak-hak manusia, termasuk hak milik, maka kekayaan bukanlah suatu alat untuk kesejahteraan.

Jika pandangan Rousseau, Locke atau Hobbes itu diambil kira dalam konteks Malaysia, kita beruntung kerana kebersamaan yang dinikmati hari ini adalah hasil daripada kontrak sosial. Di negara ini, kita memasuki wacana tentang kehendak umum (general will).

Kehendak umum itu didasarkan kepada keperibadian perundangan (moi cummun) iaitu perbandingan organik untuk suatu lingkungan kemasyarakatan yang diciptakan oleh permuafakatan (parti-parti politik).

Kehendak umum daripada keperibadian perundangan itu sendiri yang kemudian meletakkan ukuran-ukuran moral yang mengikat masyarakat Malaysia dalam satu kebersamaan.

Kecenderungan untuk membentuk masyarakat adalah tabiat yang universal. Di mana saja individu-individu mempunyai kepentingan bersama maka mereka membentuk masyarakat yang bersifat tetap atau sementara.

Setiap masyarakat mempunyai kehendak umum yang mengatur tingkah laku anggota-anggotanya dengan sikap patriotisme sebagai kebajikan

tertinggi.

“Kehendak umum adalah kenyataan masyarakat yang mengandungi kebaikan kolektif kerana mereka mempunyai kehendak sendiri iaitu kehendak individu manakala negara pula adalah suatu peribadi moral yang mengandungi anggota-anggotanya iaitu warga negara,” tulis George H. Sarbine dalam A History of Political Theory (1961).

Oleh itu, hari ini kita tanpa mengira keturunan mempunyai hak yang sama berdasarkan kehendak umum di negara ini atau oleh Rousseau disebut kebersamaan kehendak umum - berdasarkan kontrak sosial.