17 Mei 2008

Kreativiti pelukis Bali tidak mati


Oleh Shaidah Shafie

PELBAGAI petaka yang menimpa Indonesia khususnya Bali sejak mutakhir ini meninggalkan kesan mendalam kepada rakyatnya termasuk kalangan anak seni rupanya sehingga gelodak jiwa ekoran segala macam peristiwa terpancar dalam karya mereka.

EM Sumba, Lukman Usdianto, Yoesoef Olla dan Ricky L Karamoy nyata pasrah untuk meneruskan hidup bersama keluarga sehingga ia diluahkan dalam karya pada Pameran Naively Bali di Galeri Kebun Mimpi, Bangsar yang berlangsung sehingga 30 Mac ini.

Lukisan Bermain Boneka karya Em Sumba umpamanya, memperincikan kesedihan pelukis itu apabila bayi sulungnya menemui Pencipta seperti dipancarkan melalui watak kanak-kanak perempuan bermain boneka dalam lapisan warna latar suram yang dipalit sedikit warna merah dan kuning.


Yoesoff senada dengan Em, menjadikan anak kecil sebagai sasaran karya lewat Innocent dengan menampilkan kepala manusia berduri manakala mata dan mulutnya bulat bagi mewakili kekosongan jiwa dan pemikiran kanak-kanak tanpa dapat mengerti ketentuan Ilahi.

Kecintaan Yoesoef kepada kanak-kanak turut terpancar pada Mama Don’t Leave Me yang menampilkan anak kecil berjambul di belakang haiwan bersayap, seolah-olah ingin memberitahu khalayak bahawa ibu berkuasa dan pasti melindungi si anak dalam apa juga keadaan.

Berbanding Em dan Yoesoef, Ricky pula cuba menyatakan perasaan mendalamnya kepada wanita pujaan seperti cinta tidak kesampaian melalui Crowded Women Na-Na dan The Na-Na on The Way, berfokus kepada wajah wanita yang dibentuk secara berlapis dengan objek mata memenuhi kanvas.

Lukman tidak mensia-siakan senario Bali sebagai kota pelancongan dengan menghidupkan kegiatan keagamaan penduduk Bali menerusi Mengharap Matahari Dari Bali sambil mengetengahkan manusia sedang berdoa melambangkan agama Islam dan citra memegang salib mewakili kristian.

Lukman lewat lukisan itu, nyata bertegas dengan pendapat Bali sentiasa hidup di tangan penduduknya yang bebas melakukan kegiatan harian seperti biasa, walaupun orang asing sibuk membahaskan isu keselamatan di Pulau Dewa yang kononnya tidak lagi selamat dikunjungi.

Menerusi 16 lukisan akrilik di atas kanvas, khalayak dapat mengesan pandangan telus pelukis terhadap kepentingan nilai kekeluargaan yang hidup saling bergantung ibarat pepatah, berat sama dipikul, ringan sama dijinjing, lewat beberapa karya dan antaranya Lindu Gempa, Kursi Anjing dan Aku, Pohon dan Burung.