Oleh Azmi Md Deros
ALOR STAR: Kerajaan Pas Kedah akan memastikan agensi dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) miliknya tidak bersaing secara terus dengan usahawan Melayu bagi menggalakkan kegiatan ekonomi usahawan Bumiputera itu berkembang.
Menteri Besar, Azizan Abdul Razak, berkata beliau akan berbincang dengan pengurus besar GLC dan ketua agensi kerajaan negeri bagi merangka strategi membantu usahawan Bumiputera, khususnya kontraktor.
"Kita menerima rungutan daripada usahawan Melayu, terutama kontraktor yang mendakwa mereka sukar berniaga kerana terpaksa bersaing dengan GLC dan agensi kerajaan.
"GLC dan agensi kerajaan sepatutnya membantu usahawan Bumiputera, bukannya bersaing dengan mereka kerana jika tidak usaha mencapai kuota penguasaan ekonomi 30 peratus milik Bumiputera dalam Dasar Ekonomi Baru sukar dicapai," katanya kepada pemberita di sini, kelmarin.
Terdahulu, beliau menerima kunjungan Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) cawangan Kedah yang diketuai Presidennya, Datuk Zainal Abidin Abdul Hamid.
Azizan berkata, masalah persaingan itu turut dibangkitkan oleh DPMM dalam perjumpaan berkenaan.
Katanya, kerajaan negeri juga akan memastikan GLC yang melaksanakan sesuatu projek turut mengagihkan kerja kepada kontraktor Bumiputera mengikut kelayakan dan kemampuan mereka.
Sementara itu, beliau berkata, kerajaan negeri juga sedang mencari lokasi yang sesuai untuk membuka lebih banyak ruang perniagaan yang sesuai untuk usahawan Melayu di kawasan bandar di negeri ini bagi memberi peluang lebih luas kepada mereka berniaga.
"Ketika ini kebanyakan usahawan Melayu tidak mampu menyewa atau memiliki premis perniagaan di pekan kerana kosnya mahal dan kerajaan melalui Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah (PKNK) akan meneliti perkara berkenaan.
"Sebagai permulaan, kerajaan mengenalpasti sebuah bangunan pasar lama di Seberang Perak, di sini yang boleh dijadikan arked perniagaan seperti Pekan Rabu untuk menggalakkan usahawan kecil Melayu berniaga," katanya.