SELAMA ini masyarakat sekadar mengetahui dan lebih memberi penekanan serta perhatian kepada atlet normal dan tidak kepada atlet orang kurang upaya (OKU).
Ada juga saranan supaya perkataan OKU ini ditukar kepada maksud 'orang kelainan upaya' yang dirasakan membawa erti paling tepat untuk kelompok individu sedemikian.
Bagaimanapun, kita semua bersetuju bahawa OKU ini adalah kelompok yang kurang bernasib baik dalam masyarakat hari ini dan tidak banyak perhatian diberikan kepada mereka termasuk dalam sukan.
Agak lama kumpulan OKU ini dipinggirkan tanpa pembelaan yang wajar kerana mereka dilihat sebagai tidak penting. Sebenarnya OKU merupakan golongan istimewa dalam masyarakat dan mereka harus dilayani sama adil seperti rakyat biasa.
Tetapi sejak beberapa tahun kebelakangan ini, telah ada usaha oleh pihak kerajaan, Majlis Paralimpik Malaysia dan NGO bagi meningkatkan keprihatinan masyarakat terhadap golongan OKU, terutama dalam aktiviti sukan.
Para atlet OKU negara sendiri setakat ini telah mempamerkan kebolehan mereka dalam beberapa pertandingan sukan peringkat antarabangsa dan yang terbaru di Kejohanan Paralimpik ASEAN di Korat Thailand, tahun lalu.
Pada kejohanan di Korat itu, beberapa atlet OKU negara telah pun memenangi beberapa butir pingat emas dan layak bertanding di pertandingan Paralimpik Beijing Ogos ini.
Kejayaan yang dicapai oleh atlet OKU ini menunjukkan komitmen dan kesungguhan mereka dalam menaikkan lagi nama dan imej negara kita Malaysia di mata dunia.
Sesungguhnya kejayaan atlet OKU adalah sesuatu yang membanggakan kita semua di atas sumbangan ikhlas dan terbaik yang telah ditunjukkan oleh mereka.
Mulai 3 hingga 9 Mei berlangsung Sukan Paralampik ke-14 yang melibatkan seramai 2,000 atlet dan 15 kontinjen negeri mengambil bahagian. Kejohanan ini merupakan suatu usaha berterusan dalam meningkatkan lagi prestasi atlet OKU.
Saranan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ismail Sabri Yaakob supaya lebih banyak lagi pusat latihan dibina untuk atlet OKU adalah bertepatan sekali dalam memberi layanan wajar kepada golongan itu supaya mereka boleh menikmati kemudahan yang lebih selesa dan lengkap bagi menjalankan latihan bagi meningkatkan prestasi.
Atlet OKU tidak harus dipinggirkan dan sebaliknya perlu mendapat hak yang sama rata dengan atlet normal yang lain.
Kementerian Belia dan Sukan juga berharap masyarakat dapat membuka minda untuk mengalih tanggapan salah terhadap kemampuan atlet OKU.
Pihak kerajaan juga disaran dapat mempertimbangkan insentif kepada atlet OKU yang memperoleh emas di Bejing Ogos ini.
Kalau kerajaan telah mengadakan skim pencen untuk atlet normal yang berjaya mendapat pingat emas di Sukan Olimpik, kenapa tidak skim yang sama diwujudkan untuk para atlet OKU?
Rasanya atlet OKU juga layak untuk dipertimbangkan skim yang sama kerana mereka juga turut menyumbang bakti kepada negara dan mereka juga rakyat Malaysia.
Jadi sudah sepatutnya kumpulan OKU ini dibela dengan lebih baik lagi berdasarkan status mereka sebagai golongan yang kurang bernasib baik.