15 Mei 2008

Memperjuang nasib guru Ph.D


Esok adalah hari yang ditunggu-tunggu oleh para guru. Seperti mana tahun-tahun sudah tarikh keramat ini diisytiharkan sebagai Hari Guru. Seperti biasa, hari guru disambut secara meriah di seluruh negara setiap kali menjelangnya tarikh 16 Mei. Ya! Hari Guru merupakan hari untuk kita mengingati jasa dan pengorbanan yang dicurahkan oleh insan yang bernama guru. Pada kali ini, perayaan hari guru peringkat kebangsaan akan diadakan di Ayer Keroh Melaka.

Antara Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP) ialah memartabatkan profesion perguruan. Di ruangan ini, mari kita berbicara masalah yang dihadapi oleh guru-guru secara umum dan Guru-guru Bertaraf Doktor (GBD) secara khusus.

Secara amnya, kenaikan pangkat bagi guru adalah terhad berbanding pegawai sektor awam yang lain. Ini kerana bilangan warga pendidik adalah yang teramai iaitu lebih 320,000 orang.

Secara dasarnya GBD dilantik sebagai Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Siswazah (PPPS). Mereka bertugas di pelbagai tempat seperti Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM), Jabatan Pelajaran Negeri, Pejabat Pelajaran Daerah, Institut Perguruan dan kebanyakannya masih bertugas di sekolah-sekolah.

Dalam sistem kenaikan pangkat Kementerian Pelajaran, ijazah lanjutan seperti sarjana dan kedoktoran (Ph.D) bukanlah sesuatu keutamaan. Biasanya ia hanya dianggap sebagai prioriti yang terakhir dalam kenaikan pangkat.

Dengan kata lain, seorang guru siswazah yang memiliki sarjana atau Ph.D adalah sama sahaja taraf, kedudukan, pangkat dan gajinya berbanding rakan mereka yang memiliki sarjana muda. Malah, GBD lebih berisiko tinggi untuk ketinggalan dalam kenaikan gaji berbanding rakan mereka.

Ini kerana semasa belajar selama lima tahun (dua tahun sarjana + tiga tahun Ph.D), guru di sekolah ada peluang mendapat kenaikan gaji melintang atau menegak. Semasa belajar, GBD hanya diberi pergerakan gaji secara mendatar walaupun cemerlang. Jika gagal pula GBD berisiko tinggi untuk mendapat gaji statik.

Walaubagaimanapun, sebagai warga pendidik yang diberi peluang menimba ilmu sehingga peringkat tertinggi, GBD merasa bersyukur kerana mendapat sesuatu yang berharga iaitu pengetahuan tentang pendidikan. Berbekalkan sedikit ilmu, mereka menjadikannya sebagai bekalan bermakna dalam meneroka pelbagai ilmu Allah yang sangat luas ini.

Dalam hal ini, GBD bukanlah dikategorikan sebagai guru yang mengejar pangkat, wang, kebendaan material, kemasyhuran dan sebagainya. Apa yang dilakukan oleh GBD adalah semata-mata mengharapkan keredaan Allah. Sehubungan itu, kesediaan dan kesetiaan mereka berkhidmat dalam KPM walaupun mendapat imbuhan yang kurang berbanding rakan mereka di Kementerian Pengajian Tinggi harus dipuji.

Umumnya, GBD begitu bersemangat untuk membantu KPM menjayakan PIPP terutamanya berkaitan misi memartabatkan profesion perguruan.

Cabaran pertama ialah bagaimana hendak melaksanakan apa yang dipelajari semasa di universiti dahulu. Banyak teori terpaksa dibiarkan sahaja walaupun ia terbukti berkesan. Malah inovasi yang pernah dikemukakan GBD dan telah memenangi anugerah masih sukar dipraktikkan kerana terdapat beberapa halangan dasar.

Cabaran kedua ialah kesukaran dalam membuat kajian dan membentangkan hasil kajian sama ada di dalam dan luar negara. Kekurangan peruntukan atau tiada peruntukan seringkali dijadikan alasan. Ini jauh berbeza dengan rakan mereka di institut pengajian tinggi (IPT) yang sememangnya diarah berbuat demikian.

Bermutu tinggiCabaran ketiga ialah kemudahan dan keselesaan semasa menjalankan tugas untuk menghasilkan kajian bermutu tinggi seperti tiada bilik khas seperti pensyarah di universiti.

Walaupun terdapat berbagai halangan yang ditempuhi, namun GBD tetap tabah menghadapinya. Ada ketikanya GBD terpaksa mengeluarkan wang sendiri untuk membentangkan kertas kerja yang dianjurkan pihak universiti sama ada di dalam mahupun di luar negara. Ini termasuklah kos perjalanan, penginapan, makan minum dan yuran seminar.

Walaupun kajian ilmiah paling kurang diambil kira dalam kenaikan pangkat, minat yang mendalam dan amanah yang dipikul mendorong GBD melakukan usaha murni ini. Ini berbeza dengan pensyarah universiti yang sememangnya membuat kajian untuk kenaikan pangkat.

Dalam konteks Bahasa Arab, tugas GBD semakin mencabar. Berdasarkan buku Directory of Expert yang diterbitkan oleh Bahagian Penyelidikan dan Dasar Pendidikan (EPRD), KPM 2007, hanya dua GBD sahaja yang memiliki kepakaran dalam bidang Bahasa Arab. Jadi tugas untuk mengembangkan dan meningkatkan kualiti pengajaran dan pembelajaran semakin banyak menghadapi halangan.

Bayangkan betapa banyak wang peruntukan KPM untuk menghasilkan seorang guru sehingga menjadi GBD. Terdapat empat peringkat pengajian terpaksa ditanggung sepenuhnya iaitu sarjana muda (empat tahun), diploma pendidikan (satu tahun), sarjana (dua tahun) dan ijazah kedoktoran (tiga tahun). Ini bererti, selama 10 tahun pengajian ditanggung dengan 19 tahun ikatan perjanjian untuk berkhidmat dengan KPM iaitu (10+0+4+5).

Jadi, kos untuk menghasilkan seorang GBD dalam bidang Bahasa Arab adalah tinggi iaitu menelan belanja ratusan ribu ringgit seorang. Ini termasuk kos biasiswa, yuran pengajian, kos sara hidup, elaun keluarga, gaji dan lain-lain lagi.

Sehubungan itu, membiarkan GBD mengajar subjek lain yang bukan opsyennya suatu kerugian besar untuk mencapai kualiti pendidikan.

Dalam hal ini, GBD telah mengambil keputusan yang proaktif. Bagi GBD, walau di mana juga diletakkan sama ada di sekolah, jabatan, institut mahupun di kementerian, GBD tetap berusaha mempraktikkan ilmu yang dipelajari.

Sebagai contoh, walaupun GBD tidak dibekalkan dengan komputer berbanding pensyarah di universiti, mereka masih mampu menghasilkan bahan bermutu seperti buku teks, akhbar, majalah, rakaman radio dan laman web dalam bahasa Arab.

Perlu diingatkan juga GBD sebenarnya menghadapi masalah kerana kebanyakan kafe siber tidak menyediakan program bahasa Arab dan jawi. Oleh itu GBD yang berinovasi telah menukarkan masalah tersebut kepada peluang.

GBD juga sangat diperlukan perkhidmatannya di peringkat antarabangsa oleh pelbagai pihak di luar kementerian. Antaranya pihak Tabung Haji yang menawarkan jawatan Guru Agama di tanah suci kepada GBD. Hasil inovasi GBD pula mendapat penganugerahan daripada dalam dan luar KPM.

Antaranya Guru Inovatif dari Pusat Perkembangan Kurikulum dan Tokoh Inovasi mengikut prinsip Islam Hadhari sempena sambutan hari kebesaran Islam oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia.

GBD dalam bidang bahasa Arab juga berjaya mengembangkan bahasa tersebut kepada masyarakat awam. Usaha GBD tersebut adalah bertepatan dengan saranan Perdana Menteri supaya berfikir di luar kotak.

Hasilnya memang sungguh memberansangkan apabila pembelajaran Bahasa Arab kini mula menarik minat bangsa Cina dan India.

Sehubungan itu, sempena Hari Guru ini, pihak KPM diharap dapat meletakkan kepakaran GBD sesuai dengan tempat yang selayaknya. Permudahkanlah urusan kenaikan pangkat Guru Cemerlang (GC) untuk GBD.

Setakat tahun ini, bilangan GBD yang dilantik sebagai GC boleh dibilang dengan jari. Sekiranya pihak KPM mengiktirafnya dalam Directory of Expert, adalah diharapkan pihak Nazir Sekolah dapat menimbangkan agar taraf GBD adalah setaraf dengan Guru Cemerlang atau Pensyarah Cemerlang secara automatik.

Marilah kita mengambil iktibar daripada kisah seorang profesor berbangsa Turki, Prof. Dr. Fuat Zeghzin yang berumur 84 tahun. Beliau adalah pakar sains tamadun Islam yang bertanggungjawab membawa pameran Tamadun Islam pada awal Januari tahun lepas ke Pusat Sains KLCC.

Walaupun dianggap pakar sains, beliau sebenarnya bukanlah pemegang ijazah sains tulen. Beliau pada hakikatnya merupakan pemegang PhD dalam bidang Bahasa Arab ketika berumur 40 tahun. Beliau berjaya membuktikan bahawa bahasa Arab adalah kunci ilmu pengetahuan dalam apa jua bidang yang diceburi.

Oleh kerana Kerajaan Turki kurang menghargai kepakarannya, maka Kerajaan Jerman terus menyambar kepakarannya dengan menawarkan jawatan yang menarik. Bayangkan bagaimana Jerman memanfaatkan kepakarannya selama lebih 40 tahun.

Pada masa yang sama pula, Turki yang tidak mengambil manfaat daripada kepakaran warganya sendiri kini hanya mampu menggigit jari hasil kesilapan sendiri.

Selamat Hari Guru. Semoga semangat GBD menjadi inspirasi kepada guru-guru di sekolah dan para pensyarah universiti yang masih belum memiliki ijazah kedoktoran.