Oleh Nazmi Yaakub
SHIELA (dari kiri) Nazly, Prof Rahman, Riduan dan Subroto (berdiri) bergabung tenaga menjayakan Sekangkang Kera. |
ISU perebutan tanah warisan antara pewaris asal dengan pemegang sementara menjadi metafora kepada pertembungan dua parti politik dalam landskap politik kemelayuan dan keislaman di negara ini dalam teater Sekangkang Kera karya Subroto Katimin.
Dua parti besar itu dijelmakan lewat cucu kandung dan anak angkat Allahyarham Haji Sidek, sekali gus penonton terperangkap dalam teka-teki sebelum dapat mencari jawapan mengenai identiti sebnar parti yang diwakili dua watak berkenaan.
Teater Sekangkang Kera arahan Subroto yang dipentaskan di Stor Teater Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Kuala Lumpur, bermula 15 hingga 17 Mei ini, bagaikan sudah 'berjanji' dengan senario politik tanah air apabila tampil pada saat isu perpaduan Melayu dan Islam digembar-gemburkan.
Pak Riduan lakonan Prof Rahman Shaari menjadi antagonis apabila menafikan hak cucu kandung Haji Sidek, Ibrahim (Ridzuan Dollah) yang cuba menuntut haknya kembali ke atas tanah warisan tinggalan datuknya itu.
Ironinya, Ibrahim berpakat dengan anak Pak Riduan, Lolita lakonan Shiela Neesya untuk mengambil hak milik tanah itu walaupun datuknya dulu sudah berpatah arang dan berkerat rotan dengan arwah ibunya, Badariah kerana berkahwin dengan lelaki Jepun.
Badariah sanggup dibuang keluarga apabila berkahwin dengan Yamamoto, lalu mengikut suaminya berhijrah ke Negara Matahari Terbit itu sehingga Haji Sidek mewariskan hartanya kepada Pak Riduan.
Bagaikan bulan jatuh ke riba, Pak Riduan membolot harta warisan itu meskipun beliau hanya anak angkat Haji Sidek, sekali gus menghalang Ibrahim daripada menuntut hak berkenaan.
Pada masa sama, A lakonan Nazly Mistam muncul sebagai orang tengah antara pakatan Ibrahim dan Lolita dengan Pak Riduan, sekali gus menyelesaikan isu perebutan tanah warisan itu.
Kemunculan watak itu turut menguji minda penonton untuk memberikan tafsiran terhadap identiti watak yang muncul di pentas dalam gelak ketawa menonton teater komedi ini.
Penonton juga pasti tidak terlepas daripada cuba menghubungkan antara pementasan teater itu dengan penganjuran Kongres Permuafakatan Melayu meskipun pengarang dan pengarah teater itu mungkin mempunyai pandangan tersendiri.
INFO: Sekangkang Kera
- Karya & Arahan: Subroto Katimin
- Tempat: Stor Teater Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Kuala Lumpur
- Tarikh: 15 hingga 17 Mei
- Masa: 8.30 pm
- Tiket: RM 15.00
- Maklumat: 012-6993482 (Noor Maliza)