Oleh AMRAN AHMAD
S. M Nasimuddin ketika bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.
SATU ketika dahulu Allahyarham Tan Sri S. M Nasimuddin S. M Amin pernah ditanya apakah kekangan atau masalah yang mungkin dihadapi walaupun beliau memiliki perniagaan automotif bernilai berbilion ringgit dan aset ratusan juta ringgit, beliau berkata : "Ada, kelajuan atau masa yang dikejar."
Seakan-akan tahu usia beliau tidak akan sepanjang jangka hayat purata 70 tahun di kalangan rakyat negara ini, Tan Sri S. M Nasimuddin S. M Amin yang menghembuskan nafas terakhir semalam pada usia 53 tahun bekerja dan terus bekerja seawal usia 20-an setelah memulakan perniagaan dengan menjual empat kereta terpakai.
Dengan 'bermodalkan' empat buah kereta itu kira-kira 30 tahun yang lalu, hari ini, Kumpulan Naza yang diasaskan Allahyarham kira-kira tiga dekad lalu mampu memberi pekerjaan kepada sejumlah 4,800 kakitangan di seluruh negara menerusi teras perniagaan utamanya, automotif.
Sektor lain yang turut disertai oleh Kumpulan Naza setakat ini selain permotoran ialah perhotelan, hartanah kediaman, pengangkutan, insurans dan perladangan.
Bermula dengan sebuah lot kedai di Taman Maluri, Kuala Lumpur pada tahun 1975, anak kontraktor kelahiran Negeri Sembilan itu melipat-gandakan usaha berbanding usahawan tempatan lain sehingga menjadikan Naza sebagai gergasi automotif di negara ini.
Gergasi kerana mampu mengeluarkan pelbagai jenis termasuk kenderaan pelbagai guna (MPV) jenama tempatan dan motosikal berkuasa tinggi setanding keluaran antarabangsa menerusi tiga kilang di Gurun, Bertam dan Shah Alam, Selangor.
Kilang automotif Naza di Gurun adalah terbesar dan memberi pekerjaan kepada lebih 1,200 anak tempatan selain melantik 84 vendor tempatan dengan lebih 22,000 pekerja untuk membekalkan komponen kenderaan kepada kilang itu.
Di samping itu, Allahyarham turut menubuhkan Akademi Naza Kia di Gurun, Kedah yang menjadi pusat latihan luar negara Kia bagi rantau Asia Pasifik dengan melatih lebih 2,000 delegasi Kia Motor Corporations (KMC) serantau termasuk tempatan pada setiap tahun.
Akademi bernilai RM21 juta yang terletak di kawasan seluas 4.0 hektar itu menyediakan latihan dan sistem bertaraf dunia yang membekalkan pekerja berkemahiran tinggi yang diperlukan oleh Kia.
Walaupun sering kali dikatakan sebagai antara penerima permit import (AP) terbanyak di negara ini, Allahyarham membuktikan bahawa Dasar Ekonomi Baru (DEB) memberinya peluang membangunkan ekonomi negara menerusi tawaran pekerjaan kepada anak tempatan dan aliran masuk teknologi asing.
Ini dilakukan menerusi kerjasama dengan banyak syarikat automotif antarabangsa antaranya PSA Peugeot Citroen (PSA) dari Perancis, KMC dari Korea Selatan dan Hasei Motor daripada China yang membawa masuk teknologi automotif ke Malaysia.
Namun, sejajar peribahasa Melayu yang berbunyi 'ajal dan maut di tangan tuhan', Allahyarham bersama isterinya terbang ke luar negara tanpa sebarang tanda-tanda atau disyaki menghidap penyakit sekitar awal tahun ini dan kini telah 'kembali' kepada-Nya.
Kembalinya Allahyarham ke Malaysia hanyalah jasad beliau untuk disemadikan bersebelahan arwah ibunya dan empat adik-beradik yang lain di Batu 9, Hulu Langat, Selangor selepas terlebih dahulu menerima penghormatan terakhir di Masjid Wilayah Persekutuan, Jalan Duta, Kuala Lumpur.
Pada asalnya, tujuan pemergian beliau bersama isteri adalah untuk menjalani rawatan biasa ke atas isterinya yang disahkan menghidap kanser payu dara sejak tiga tahun yang lalu.
Namun doktor menasihati Allahyarham turut membuat pemeriksaan kesihatan setelah Allahyarham mengadu batuk-batuk.
Tanpa disangka, pemeriksaan akibat batuk-batuk biasa itu mengesan kewujudan kanser yang telah merebak ke beberapa bahagian badan sehingga doktor mengesahkan ia berada di tahap keempat, suatu peringkat yang sangat kritikal dan memerlukan rawatan segera.
Keadaan menjadi bertambah kronik kira- kira tiga minggu yang lalu sehinggalah Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada jam 1.15 pagi waktu Malaysia di hospital di Los Angeles, Amerika Syarikat di hadapan kesemua anak-anaknya dan isterinya yang meratapi pemergian Allahyarham.
Allahyarham meninggalkan balu, Puan Seri Zaleha Ismail yang akan ditemani oleh lima anaknya, S. M Faisal, 29, Nur Diana, 27, S. M Nasaruddin, 25, S. M Faliq, 23, dan Nur Nadia, 22 tahun bersama-sama dua menantu lelaki dan perempuan serta seorang cucu lelaki.
Menurut adiknya, Datuk S. M Shalahuddin S. M Amin yang tidak sempat bersama beliau di saat-saat akhir kehidupan Allahyarham, seluruh ahli keluarga tidak tahu menahu mengenai penyakit Allahyarham kerana beliau sememangnya tidak suka menceritakan mengenai hal-hal peribadinya kepada orang lain.
"Allahyarham mempunyai perwatakan yang lemah-lembut, senang untuk didampingi dan bekerjasama walaupun sukar berahsia, tentunya kami sekeluarga dan kakitangan Kumpulan Naza sangat terasa kehilangan beliau,
"Selama 30 tahun kami bersama-sama membangunkan perniagaan ini dan saya li- hat beliau sangat pandai merancang dan me- nguruskan perniagaan selain kenderaan adalah hobinya," katanya dalam nada sedih mengenangkan pemergian mengejut abangnya itu.
Sementara itu, Presiden Persatuan Automotif Malaysia (MAA) Datuk Aishah Ahmad berkata, beliau sangat terkejut dengan berita pemergian Allahyarham yang disifatkan usahawan automotif paling cemerlang di negara ini.
"Walaupun berjaya dalam banyak aspek terutama perniagaan kenderaan, Allahyarham masih suka merendah diri dan akan bekerja kuat bagi mencapai apa yang dimahukan terutama dalam bidang permotoran.
"Pemergian ini tentunya memberi kesan yang bukan sedikit kepada industri dan negara, oleh itu, saya sifatkan pemergian Tan Sri S. M Nasimuddin S. M Amin ini sebagai ke- hilangan besar yang sukar untuk dicari ganti," katanya.
Dalam pertemuan terakhir dengan penulis sebelum Allahyarham berlepas ke Los Angeles kira-kira empat bulan lalu, beliau pernah berkata, bidang automotif akan berkembang pesat di negara ini dan ia penting untuk anak tempatan terutama Melayu meraih peluang daripada perkembangan itu.
"Saya nampak itu dan jika benar aset automotif negara, Proton Holdings Berhad mahu dijual, utamakanlah syarikat tempatan dalam menjadi rakan strategik Proton yang ke- mudiannya akan mengadakan kerjasama tek- nikal dan pemasaran dengan firma asing," kata-kata akhir Allahyarham yang masih ter- ngiang di telinga penulis.