Oleh AZMAN ISMAIL
ZULKIFLI Wazir (paling kiri) menyampaikan sijil dan cenderamata kepada salah seorang Munsyi Dewan di Kuala Lumpur baru-baru ini. Turut kelihatan Ketua Pengarah DBP, Datuk Dr. Firdaus Abdullah (dua dari kiri).
ADA perbandingan yang menarik antara Amerika Syarikat dan Malaysia dalam aspek bahasa rasmi dan pengiktirafannya berdasarkan perlembagaan negara masing-masing.
Apa bahasa rasmi Amerika Syarikat? Pasti kita akan menjawab Inggeris - jawaban yang hanya tepat selepas 18 Mei 2006. Sebelum itu, negara tersebut tidak mempunyai bahasa kebangsaan!
Tarikh tersebut memberi makna yang cukup besar. Ia bererti Amerika Syarikat baru memiliki bahasa rasmi selepas 230 tahun merdeka dan usul kepada Senat tersebut dikemukakan oleh James Inhofe (parti Republikan dari Oklahoma).
Sesungguhnya perjuangan menjadikan bahasa Inggeris sebagai bahasa rasmi negara itu merupakan perjuangan yang tidak mudah. Usul Inhofe tersebut dipersetujui 64 ahli Senat manakala 36 lagi menentang.
Pada awalnya, pungutan suara yang dijalankan di seluruh negara itu menunjukkan sebahagian masyarakat negara itu menginginkan kemajmukan bahasa sebagai simbol Amerika didiami oleh pelbagai keturunan.
Inggeris bukanlah bahasa yang dominan di negara itu. Bahasa Sepanyol menduduki tempat kedua dengan diikuti oleh bahasa Jerman dan potensi bahasa-bahasa lain juga sangat besar kerana faktor penghijrahan.
Sebenarnya gerakan untuk menjadikan bahasa Inggeris sebagai bahasa rasmi negara itu bermula sejak 1981. Pada ketika itu wakil Republikan (California) di Senat, S.I Hiyakawa telah mengemukakan usul tersebut, namun gagal.
Ekoran kegagalan tersebut, Hiyakawa menubuhkan US English sebagai wadah perjuangannya. Inspirasi daripada persatuan itu turut memunculkan gerakan lain seperti English Only Movement dan English First.
Kenyataan tentang Amerika Syarikat tersebut hanya sebuah analogi. Ia membuktikan bertapa bahasa menjadi jiwa bangsa dan landasan nasionalisme sesebuah bangsa tanpa kompromi.
Dalam hal itu, Malaysia jauh lebih terkedepan berbanding Amerika Syarikat yang kini dianggap sebagai gergasi dalam ekonomi, kewangan, teknologi dan ketenteraan dunia.
Kedudukan bahasa Melayu yang telah diiktiraf sebagai bahasa rasmi negara seperti tertera di dalam perlembagaan telah diputuskan sejak 1957 - 47 tahun sebelum bahasa Inggeris diakui sebagai bahasa kebangsaan Amerika Syarikat.
Malah, jauh sebelum itu, bahasa Melayu telah menjadi lingua franca yang dipertuturkan oleh seluruh pedagang asing yang mengunjungi Melaka pada era kegemilangan kesultanannya lebih 500 tahun lalu.
Pada ketika penjajahan, bahasa Melayu turut menjadi alat komunikasi utama kerana kesulitan penjajah untuk berhubung dengan masyarakat peribumi dalam banyak aspek.
Ketika gerakan kemerdekaan berkembang, bahasa Melayu turut menjadi inti. Media-media cetak yang menjadi suara mereka juga diterbitkan dalam bahasa itu yang dianggap sebagai alat persatuan dan kesatuan.
Ironisnya, hari ini bahasa Melayu yang menjadi alat komunikasi sejak lebih 500 tahun lalu berada dalam dilema. Ia semakin terpinggir dalam banyak aspek walaupun ia menjadi bahasa rasmi negara.
Oleh itu banyak masalah yang perlu diatasi ketika ada pihak melontarkan beberapa pertanyaan yang tentang sejauh mana kepentingan bahasa Melayu dan sampai bila ia mampu terus bertahan.
“Dua faktor penting yang mempengaruhi kelangsungan bahasa Melayu ialah pelaksanaan politik yang merangkumi Dasar Pendidikan Negara serta amalan rasmi negara dan rakyat.
“Faktor kedua ialah sikap dan tindakan masyarakat Melayu sendiri yang boleh menjejaskan masa depan bahasa itu,” kata pakar bahasa Melayu, Prof. Emeritus Datuk Nik Safiah Karim ketika menyampaikan ceramah bahasa sempena Konvensyen Munsyi Dewan IV di Kuala Lumpur baru-baru ini.
Tahap penguasaan bahasa Melayu yang berbeza-beza juga merupakan satu hambatan kepada masa depan bahasa itu jika tidak ada usaha menyeluruh untuk mengatasinya.
Beliau berkata, secara umumnya terdapat tiga kelompok penguasaan bahasa Melayu iaitu golongan yang menguasai dengan amat baik, sederhana dan langsung tidak menguasai bahasa itu.
Beliau melihat kewujudan golongan kedua dan ketiga tersebut membawa kesan negatif terhadap kedudukan bahasa Melayu, sekali gus menggambarkan sikap tidak menghormati bahasa kebangsaan.
“Lebih malang, ada segelintir masyarakat Melayu yang tidak mempunyai rasa bangga terhadap bahasa Melayu dan menggunakan dengan cara yang memalukan, melanggar segala peraturan bahasa dan menggunakan pada tahap yang agak rendah.
Mekanisme
“Jika diteliti bahasa Melayu berkembang dengan amat pesat dan terbukti ia mempunyai mekanisme untuk menanggani perkembangan yang berlaku, sekali gus memenuhi keperluan semasa,” tambahnya.
Namun, hakikatnya bahasa Melayu terpaksa berhadapan dengan cabaran yang begitu besar, bukan hanya daripada bahasa lain tetapi segelintir masyarakat Melayu sendiri yang memandang rendah terhadap keupayaannya.
Fenomena inilah menurut Nik Safiah yang perlu diubah melalui pendekatan pengajaran, penulisan dan penggunaan bahasa Melayu yang tepat di semua sektor sama ada awam mahupun swasta.
Kewujudan Munsyi Dewan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka menurutnya, adalah satu pendekatan yang baik untuk mendekati masyarakat daripada pelbagai golongan supaya menghargai bahasa Melayu dan ia perlu terus diperluaskan.
Dalam pada itu, objektif utama konvensyen tersebut ialah meningkatkan pengetahuan dan kepakaran bahasa para Munsyi Dewan dalam aspek tatabahasa selain meningkatkan kepekaan mereka terhadap masalah bahasa.
Sementara itu, sejak diperkenalkan pada 1995, seramai 157 orang Munsyi Dewan telah dilantik dalam empat fasa pemilihan dan sekitar 80 peratus daripadanya merupakan guru sekolah.
Pentauliahan Munsyi Dewan Fasa IV disempurnakan oleh Pengarah Bahagian, Kemeterian Pelajaran, Zulkifli Wazir.
Menurut Nik Safiah, bahasa Melayu yang telah menjadi bahasa perhubungan dan rasmi yang harus digunakan dalam pemerintahan serta bahasa pengantaur dunia pendidikan.
Dalam hal ini kita mendahului Amerika Syarikat.
Sewajarnya, bahasa Melayu jauh lebih mantap kerana ia diakui oleh perlembagaan sejak 50 tahun lalu jika dibandingkan dengan negara itu yang hanya baru dua tahun memiliki bahasa rasminya.
Katanya, agak malang apabila tidak ada kesedaran yang sesungguhnya terhadap kepentingan bahasa Melayu di kalangan rakyat negara ini dan tidak wajar tugas memperkasakannya hanya terletak di bahu Munsyi Dewan.