Penduduk 4 kampung dapat bercucuk tanam anggap bagai bulan jatuh ke riba
SELEPAS berpuluh tahun dibelenggu kemiskinan, penduduk di Hulu Kinabatangan yang dikenali sebagai Orang Sungai akhirnya menadah kedua belah tangan - isyarat menerima sepenuh hati pelaksanaan Projek Perhutanan Sosial Mangkuwagu di Hutan Simpan Mangkuwagu, di Tongod.
Malah, masyarakat setempat yang meluap-luap semangatnya untuk mengubah kehidupan dengan majoritinya miskin dan tinggal jauh terpencil dari arus pembangunan, turut menyifatkan projek yang dilaksanakan pada pertengahan 2006 itu ibarat `bulan jatuh ke riba'.
Empat kampung di kawasan Hutan Simpan Mangkuwagu yang terbabit dalam projek perintis itu ialah Kampung Mangkuwagu, Tampasak (Laut dan Darat), Alitang dan Saguon, kira-kira 260 kilometer dari Kota Kinabalu atau lebih tiga jam perjalanan menerusi laluan lori balak.
Selama ini, mereka cuma bercucuk-tanam untuk sara diri kerana tanah yang didiami sejak sekian lama termasuk dalam atau di pinggir Hutan Simpan milik kerajaan negeri.
Ini ditambah dengan ketiadaan kemudahan asas seperti dinikmati penduduk bandar iaitu bekalan elektrik, air, sekolah, hospital dan jalan raya, sekali gus menambah lagi kepayahan penduduk yang sudah sedia hidup dalam serba kekurangan.
Berdasarkan buku `Malaysia Sustainable Community Forest Management in Sabah' terbitan Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP), perangkaan 2004 menunjukkan Sabah adalah negeri yang mencatat kadar kemiskinan tertinggi iaitu 23 peratus.
Bagaimanapun, projek kerjasama di antara UNDP dan Jabatan Perhutanan Sabah membolehkan 260 keluarga dengan kira-kira 1,600 penduduk di kampung terbabit berpeluang menceburi bidang pertanian tanaman jangka panjang dan pendek.
Tinjauan Berita Harian di empat kampung terbabit baru-baru ini mendapati, setiap keluarga atau peserta projek menerima satu hingga dua hektar lot tanah sebagai permulaan bagi menanam tanaman jangka pendek seperti keladi, ubi keledek, halia dan kacang.
Tanaman jangka panjang seperti getah akan dilaksanakan di empat kampung terbabit dalam masa terdekat ini.
Penulis turut berpeluang melawat beberapa kawasan penanaman keladi dan keledek yang bermula awal tahun ini di Kampung Mangkuwagu, Saguon, Alitang dan Tampasak yang majoritinya digerakkan golongan wanita.
Projek itu juga bertujuan menangani cabaran sosio-ekonomi yang dihadapi empat kampung di Hulu Kinabatangan.
Paling utama, projek itu mengetengahkan pendekatan pengurusan hutan dengan memberi ruang perkongsian tanggungjawab di antara komuniti dan pihak berkuasa dalam mengurus kawasan hutan.
Ia bagi memastikan kawasan hutan simpan di Sabah terpelihara kerana lokasi Kampung Mangkuwagu ialah di tengah Hutan Simpan Mangkuwagu manakala Kampung Alitang, Tampasak dan Saguon di pinggir hutan berkenaan.
Hasil pertemuan dengan penduduk kampung dalam lawatan sehari ke empat kampung itu bersama rombongan UNDP dan Jabatan Perhutanan negeri, dapat disimpulkan bahawa masyarakat setempat menerima sepenuhnya projek berkenaan.
Kastinah Julan, 43, dari Kampung Tampasak Laut, berkata kegiatan hariannya berubah sejak terbabit dalam projek itu kerana sudah turut meninjau keladi dan keledek di kebunu seawal jam 6 pagi selepas menyediakan makanan untuk anak ke sekolah.
"Saya melakukan aktiviti ini setiap hari sejak terbabit dalam projek itu awal tahun ini.
"Selain keladi, kami turut menanam keledek tetapi banjir pada Februari lalu menyebabkan hasil tanaman terjejas.
"Benih keladi dan keledek diberi Jabatan Perhutanan Sabah dan kami yakin tanaman ini mampu dipasarkan atas bantuan UNDP dan Jabatan Perhutanan negeri," kata ibu kepada lima anak yang masih bersekolah itu.
Kastinah berkata, sebelum pelaksanaan projek itu, beliau dan suami hanya menanam padi bukit dan ubi kayu untuk sara diri tetapi sering berdepan masalah babi hutan merosakkan tanaman.
Penyelia Lapangan Projek Kampung Saguon, Richat Patula, 48, berkata projek terbabit memberi banyak manfaat kepada penduduk kampung.
"Inilah cara penduduk terutama peserta projek meningkatkan taraf hidup, malah mereka memberi sambutan memberangsangkan setiap kali ada bengkel atau seminar dilaksanakan.
"Kita memberi keutamaan kepada golongan muda terutama yang baru tamat belajar menyertai bengkel kerana mereka lebih bertenaga dan berupaya mengusahakan lot tanah yang diperuntukkan untuk penanaman," katanya.
Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Tampasak, Tomi Gambili, 44, berkata projek itu adalah alternatif menambah sumber ekonomi.
"Banyak perbezaan ketara sejak projek itu dilaksanakan di kampung kami. Malah, penyertaan wanita dalam projek tanaman jangka pendek seperti keladi, keledek, halia dan kacang menggalakkan," katanya.
Perjalanan ke empat kampung itu bukan mudah. Badan mendapat `urutan' semula jadi berikutan keadaan laluan lori balak yang berlopak dan ada kalanya kenderaan terpaksa meredah anak sungai apabila jambatan kayu didapati tidak selamat dilalui.
Semuanya adalah warna kehidupan penduduk di Tongod tanpa mengira siang atau malam. Matahari dan bulan menjadi sumber cahaya manakala Sungai Pinangah adalah `pili besar' yang memberi bekalan air untuk memasak, mandi serta membasuh.
Mungkin mereka yang serba kekurangan di pedalaman lebih memahami erti kemajuan.
Program pertingkat tahap ekonomi
KOTA KINABALU: Projek Hutan Simpan Mangkuwagu, Tongod yang dilaksanakan sejak 2006 bertujuan membantu meningkatkan tahap ekonomi masyarakat di Hulu Kinabatangan, Sabah.
Wakil Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP) Malaysia, Singapura dan Brunei, Dr Richard Leete, berkata pelaksanaan program itu bersesuaian dengan golongan sasar kerana majoriti peserta adalah golongan miskin.
"Mereka juga mendiami penempatan terpencil dan jauh daripada arus pembangunan dan kemajuan.
"Kehidupan masyarakat Bumiputera di situ ketinggalan dari segi kemudahan asas termasuk tidak mempunyai bekalan elektrik, air, jalan raya dan sekolah yang sempurna.
"Saya harap lebih banyak jalan tar dibina di kampung yang terbabit dengan projek ini bagi membolehkan hasil pertanian dipasarkan secara lebih mudah," katanya.
Sejajar pelaksanaan projek usahasama di antara UNDP dengan Jabatan Perhutanan negeri mulai pertengahan 2006, sebuah buku berkaitan iaitu `Malaysia Sustainable Community Forest Management In Sabah' dilancarkan baru-baru ini.
Menerusi fasa pertama pelaksanaan Projek Hutan Simpan Mangkuwagu, setiap peserta terbabit akan diberi lot tanah sehingga dua hektar bagi setiap keluarga untuk penanaman getah.
Projek di kawasan seluas 340 hektar itu membabitkan 85 peserta daripada empat kampung terbabit.
Pecahan penduduk mengikut kampung iaitu Kampung Alitang seramai 353 orang; Kampung Mangkuwagu (370); Saguan (472) dan Tampasak (415) dengan sebahagian besar menjadi petani.
Leete berkata, projek itu selaras dengan objektif Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) yang turut memberi tumpuan membasmi kemiskinan di seluruh negara menjelang 2010.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Perhutanan Sabah, Datuk Sam Mannan, berkata pembabitan masyarakat tempatan dengan lebih berkesan dalam projek seperti itu mampu menangani masalah berkaitan pembasmian hutan dan kerosakan tanah.
"Pada masa sama, ia turut memulihara dan mengekalkan kehijauan hutan. Projek ini sesuai dalam menangani masalah pencerobohan dalam hutan simpan didiami penduduk Bumiputera.
"Keseluruhan projek menelan belanja RM7.2 juta dan dibiayai kerajaan negeri serta Persekutuan yang masing-masing memperuntukkan RM3 juta manakala UNDP menampung RM1.2 juta," katanya.