Maju Melayu Perkasa!

Program SMS Prepaid Terunggul Dari MYeCASH

04 Mei 2008

Resolusi rangkumi tiga aspek utama Kongres Permuafakatan Melayu


04/05/2008 4:52pm

JOHOR BAHRU 4 Mei - Kongres Permuafakatan Melayu yang berakhir di sini hari ini, membuat resolusi yang merangkumi tiga perkara utama iaitu piagam, tuntutan dan ikrar.

Resolusi berkaitan piagam merangkumi sembilan rukun perjuangan utama, antaranya menjunjung kedaulatan dan keluhuran Perlembagaan Persekutuan dan Undang-undang Tubuh Negeri sebagai muktamad dan sahih tentang kewujudan bangsa dan Persekutuan Malaysia.

Selain itu, ia juga meliputi prinsip perjuangan mempertahankan kemuliaan dan kesucian Islam sebagai agama Persekutuan; menjaga, memelihara dan mempertahankan institusi raja-raja Melayu dan kedaulatannya sebagai tonggak kewujudan Persekutuan Malaysia dan menegaskan kedudukan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi yang berfungsi sebagai saluran komunikasi untuk menyatupadukan rakyat.

Tuntutan pula merangkumi aspek Perlembagaan, politik, ekonomi, Islam, Bahasa Melayu, pendidikan, sosial dan budaya.

Intipati tuntutan itu antara lain mempertahankan hak, keistimewaan dan kedudukan bangsa Melayu seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, memohon Majlis Raja-raja Melayu menyempurnakan tugas, tanggungjawab dan obligasi untuk memelihara dan mempertahankan seluruh kedaulatan Melayu dan menuntut pelaksanaan keadilan sosial dan kesaksamaan pengagihan kekayaan negara bagi semua warganegara seperti yang diperuntukan dalam Perlembagaan Persekutuan.

Resolusi terakhir adalah seluruh bangsa Melayu berikrar akan menguatkan iman, meneguhkan tekad dan menggunakan pendekatan strategik untuk mencapai matlamat 'Kedaulatan Melayu Paksi Kewujudan Bangsa'.

Dalam pada itu, kongres juga sebulat suara bersetuju menubuhkan Majlis Muafakat Melayu Malaysia (MMMM) dan sekretariatnya bagi tujuan pelaksanaan semua tuntutan, pertahanan dan pengisian kedaulatan Melayu di negara ini.