Maju Melayu Perkasa!

Program SMS Prepaid Terunggul Dari MYeCASH

09 Mei 2008

Titian budaya kukuhkan Malaysia-Singapura

Oleh AZMAN ISMAIL

HUBUNGAN erat Malaysia-Singapura bukan hanya dalam aspek sejarah, ekonomi, politik dan biletral lainnya tetapi juga bidang kesenian serta kebudayaan. Ia lahir daripada semangat muhibah dan kebersamaan semangat ASEAN.

Keakraban dalam bidang itu tidak dapat dipisahkan daripada persamaan akar budaya yang membentuk masyarakat majmuk di kedua-dua negara ini - sesuatu yang sukar ditemukan di negara serantau lain.

Keanekaragaman budaya, seni warisan tersebut hanya dapat ditemukan di Malaysia dan Singapura yang mempunyai etnik Melayu, Cina dan India sebagai kumpulan majoriti.

Atas dasar untuk mewujudkan hubungan erat dalam semua bidang melalui kerjasama seni, kedua-dua negara akan mengadakan Program Titian Budaya Malaysia-Singapura pada 8 hingga 11 Mei ini.

Dengan misi turut mewujudkan hubungan yang lebih erat, Titian Budaya Malaysia-Singapura bertujuan untuk mengukuhkan persahabatan serantau melalui program ‘pertemuan’ kebudayaan.

Ia berprinsip untuk tidak membezakan faktor geopolitik, keturunan mahupun latar belakang kedua-dua negara tetapi diwujudkan atas nama persahabatan dan nilai-nilai estetika seni.

Penganjuran program itu juga merupakan saranan memupuk persahabatan dua negara dan mempromosi sektor pelancongan Malaysia-Singapura kepada masyarakat setempat serta antarabangsa.

Di sisi lain ia bertujuan memulihara warisan tradisional etnik dalam bidang muzik, tarian, seni pentas, busana, kraf dan tekstil tradisional di kedua-dua negara.

Ia juga bertujuan mengeratkan hubungan dua hala dan kerjasama antara Malaysia dan Singapura melalui pertukaran kebudayaan, kesenian dan warisan kedua-dua negara selain memberi peluang kepada rakyat kedua-dua negara untuk saling mengenali dan menghayati kebudayaan, kesenian dan warisan mereka dengan lebih dekat.

Memperluaskan

Selain itu, program tersebut dapat menyediakan ruang dan peluang kepada penggiat seni kedua-dua negara memperluaskan kegiatan kebudayaan, kesenian dan warisan mereka.

Sempena program tersebut, kedua-dua negara akan mengadakan pertunjukan seni budaya masing-masing dengan menampilkan persembahan tarian, muzik, nyanyian, tarian dan pertunjukan busana berasaskan batik dan songket.

Malaysia akan menampilkan pertunjukan gamelan sebagai pembuka majlis yang akan berlangsung di Esplanade Theatre, Singapura dengan diikuti oleh persembahan tarian Melayu, Cina dan India oleh penari-penari Istana Budaya.

Ia akan diikuti oleh nyanyian lagu tradisional Zapin Bunga Hutan oleh Haziq dengan iringan tarian pelbagai kaum di Malaysia. Beliau juga akan mendendangkan lagu Di Ambang Sore yang dipopularkan oleh Datuk Ahmad Jais.

Tarian tradisional yang bakal dipersembahkan juga ialah tarian Bidayuh dan Igal-Igal (Sarawak), Joget Pahang (Pahang) tarian etnik oleh penari-penari Singapura dan Malaysia.

Selain Haziq, dua penyanyi popular, Camelia dan Jaclyn Victor masing-masing akan mendendangkan Terlanjur Sayang, Greatest Love of All dan Gemilang manakala penyanyi tuan rumah, Maiya Rahman akan menyampaikan lagu Benar Setia serta Nongkrong.

Lebih 130 orang delegasi Malaysia akan menjayakan Program Titian Budaya Malaysia-Singapura 2008 yang melibatkan pegawai, tenaga kreatif, teknikal, penari, model serta penyanyi.

Sementara itu, Menteri Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, Datuk Shafie Apdal akan menjadi tetamu kehormat pada majlis tersebut.