04 Mei 2008

Tuntutan Kongres Permuafakatan Melayu perlu direalisasikan


04/05/2008 5:23pm

JOHOR BAHRU 4 Mei – Para peserta Kongres Permuafakatan Melayu yang berakhir di sini hari ini melahirkan harapan agar idea, luahan dan tuntutan yang dijadikan resolusi kongres itu didengari oleh para pemimpin Melayu tanpa mengira parti politik yang diwakili.

Malah, mereka mahu pemimpin-pemimpin bukan Melayu turut memahami resolusi kongres itu dengan fikiran terbuka tanpa wujud sebarang penentangan kerana tuntutan-tuntutan yang dikemukakan adalah dalam kerangka Perlembagaan negara.

Mereka juga berharap pandangan-pandangan yang dikemukakan dalam kongres itu akan terus diperjuangkan dan direalisasikan setelah tamatnya kongres berkenaan.

Ketua Satu Gabungan Penulis Nasional (Gapena), Tan Sri Prof. Emeritus Dr. Ismail Hussein berkata, pemikiran intelektual dan budayawan Melayu sudah lama disisihkan di negara ini dan gejala itu kini perlu berubah.

Beliau berkata, dalam konteks yang melibatkan masa depan orang Melayu, apa yang terhasil dalam kongres itu hendaklah diberikan pertimbangan oleh semua pemimpin Melayu merentasi parti yang mereka wakili.

Katanya, apa yang dicadangkan dalam kongres itu datang daripada hati nurani masyarakat Melayu pasca Pilihan Raya Umum Ke-12 yang melihat kuasa mereka selaku bangsa asal di negara ini terhakis dan berada dalam keadaan getir.

Menurutnya, piagam, tuntutan dan ikrar dalam resolusi kongres berkenaan bukan hanya untuk pemimpin UMNO tetapi juga pemimpin Melayu dalam Pas dan Parti Keadilan Rakyat (PKR).

"Ini adalah suara-suara kecil dari bawah yang jarang didengari, tetapi saya yakin ia akan berubah kali ini," katanya kepada Utusan Malaysia selepas pengumuman resolusi Kongres Permuafakatan Melayu di sini.

Kongres yang disertai 2,100 peserta itu bermula Jumaat lalu dengan pembentangan empat kertas kerja sebelum diikuti perbahasan dan rundingan meja bulat. Resolusi yang dipersetujui diumumkan pagi ini.

Ahli Jawatankuasa Kerja Gapena, Prof. Datuk Dr. Zainal Kling pula berkata, jawatankuasa kongres itu akan mengirim dokumen resolusi yang dipersetujui kepada semua pemimpin Melayu dan bukan Melayu untuk memaklumkan kepada mereka apa yang dituntut dan cuba dikekalkan oleh masyarakat Melayu.

"Bukan sesuatu yang bersifat perkauman bila kita cuba mempertahankan hak Melayu kerana ia terkandung dalam Perlembagaan," katanya.

Sementara itu, ahli Persatuan Anak Melayu Johor, Datuk Yahya Jalil berkata, resolusi yang terhasil dalam kongres itu mempunyai kepentingan dan kaitan langsung dengan para pemimpin Melayu.

"Para pemimpin Melayu bukan pemimpin parti masing-masing sahaja. Mereka adalah pemimpin bangsa Melayu," katanya.

Justeru, menurut beliau, segala yang dicapai dalam kongres berkenaan perlu diberikan perhatian dan pertimbangan oleh para pemimpin Melayu.

Pengerusi Peniaga Kecil Melayu Negeri Johor Cawangan Pontian, Abdul Majid Yahya berpendapat orang Melayu sebenarnya buntu selepas pilihan raya umum 8 Mac lalu dan tidak tahu ke mana hendak mengadu.

"Kongres ini amat penting dan kita mesti cepat bertindak menyalurkan apa yang difikirkan oleh orang Melayu di peringkat akar umbi," katanya.

Menurut Abdul Majid, keistimewaan Melayu kini terhakis secara perlahan-lahan dan jika tidak diberikan perhatian ia akan terhakis terus.

Presiden Kelab Pengundi Melayu Semenanjung Malaysia, Mohd. Ariff Abdul Aziz pula berkata, Kongres Permuafakatan Melayu itu telah menghasilkan pelbagai idea yang baik terutama berkaitan dengan kedudukan raja-raja Melayu.

"Persatuan yang saya wakili berpendirian bahawa kuasa raja yang telah dikurangkan sebelum ini perlu diperkukuhkan kembali kerana raja Melayu adalah benteng pertahanan masyarakat Melayu," katanya.

Beliau berkata, kuasa raja-raja Melayu hendaklah diperkuatkan tanpa prejudis tetapi dengan niat untuk membantu memperkukuhkan kedudukan masyarakat Melayu yang menjadi bangsa asal di negara ini.