Maju Melayu Perkasa!

Program SMS Prepaid Terunggul Dari MYeCASH

28 Jun 2008

Lihat iklan akhbar Inggeris secara positif


ABU ASLAM dari Bandar Baru Bangi, Selangor menerusi pandangannya dalam ruangan Forum Utusan Malaysia 25 Jun dan ramai lagi orang Melayu yang sepemikiran dengannya tidak dapat menerima iklan National Monument yang disiarkan di televisyen.

Kumpulan ini menganggap penyampaian iklan tersebut yang mempromosi sebuah akhbar bahasa Inggeris sebagai "menjatuhkan martabat bahasa kita".

Sebagai seorang Melayu yang dibesarkan dalam sistem pembelajaran aliran Melayu dan bapa kepada anak-anak yang fasih menggunakan bahasa Melayu dan bahasa Inggeris, saya memohon supaya iklan tersebut tidak ditarik balik dan terus disiarkan sehingga tamat tempoh kontrak iklan itu ditayangkan di televisyen.

Saya melihat banyak elemen positif dalam iklan tersebut yang perlu diberi perhatian dan dipelajari oleh orang Melayu terutama generasi muda. Apabila iklan tersebut ditayangkan, beri perhatian kepada perkara berikut dari awal iklan:

Merujuk kepada rentetan pemerhatian terhadap budaya dan nilai 'Melayu' yang digarap menerusi iklan tersebut, orang Melayu terutama generasi Melayu tidak boleh menjadikan iklan tersebut sebagai bahan ketawa atau iklan yang menjatuhkan martabat bahasa kita.

Iklan itu mengusulkan teguran-teguran yang positif kepada masyarakat Melayu supaya bergerak menghapuskan budaya dan nilai negatif yang masih tebal menjadi amalan dalam darah daging masyarakat Melayu.

Orang Melayu mesti cergas, aktif dan sentiasa bersedia membina masyarakat Melayu yang lebih bertamadun. Iklan seumpama ini pun sudah kita anggap sebagai menjatuhkan martabat bahasa, bermakna kita belum bersedia untuk menerima kritikan dan saranan yang lebih besar untuk membentuk masyarakat Melayu berperadaban yang mampan dan bersedia diuji.

Persekitaran ekonomi, politik dan sosial di sekeliling orang Melayu berubah dengan cepat tanpa menunggu orang Melayu yang sentiasa beremosi menangisi nasib bangsa dan bahasa. Orang Melayu mesti maju setapak ke hadapan mengejar pergerakan kemajuan yang amat laju hari ini.

Menjadi bangsa Melayu yang lebih bertamadun dan mengisi setiap ruang negara yang maju akan mengangkat bersama kecemerlangan bahasa dan budaya Melayu. Ketika masyarakat Melayu sudah tinggi tamadunnya, bahasanya dimartabatkan dan budayanya gemilang maka tidak akan ada syarikat yang bersedia mengiklankan National Monument lagi.

GIFANI LUKAS UNGGAI

Bagan Serai, Perak