maklumat yang kini semakin mudah dan pantas diperolehi melalui bantuan teknologi sepatutnya mencambahkan minda manusia supaya menjadi lebih bertamadun.
Maklumat seharusnya menjadikan sesebuah masyarakat itu lebih bijaksana dalam mengurus kehidupan mereka.
Tetapi malangnya di negara ini, maklumat digunakan untuk menyukarkan hidup orang lain dan menimbulkan keresahan serta keraguan di kalangan orang ramai.
Kini seperti berlaku perang 'maklumat' yang dahsyat, sehingga sukar untuk membezakan antara fakta dengan pembohongan dan antara berita sahih dengan fitnah.
Malah akuan berkanun, yang sepatutnya dinyatakan secara benar di hadapan Pesuruhjaya Sumpah pun dimanipulasi untuk menyebarkan maklumat yang diragui kebenarannya. Semuanya demi kepentingan politik. Undang-undang disalah guna untuk menghancurkan kredibiliti individu dan institusi.
Malah bagi kes akuan bersumpah penyiasat persendirian, P.Balasubramaniam yang mengaitkan hubungan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dengan wanita Mongolia, Altantuya Shaaribuu yang mati dibunuh, ditarik balik hanya dalam tempoh kira-kira 24 jam.
Agak aneh kerana akuan bersumpah itu didedahkan kepada media dengan sokongan sebuah parti politik dan pemimpin pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang sering mendakwa dirinya menjadi mangsa fitnah.
Kita seperti tidak peduli lagi akibat daripada fitnah yang dilemparkan ke atas individu, keluarga dan institusi masyarakat negara ini yang selalu berpegang kepada adab dan tatasusila.
Maklumat yang diperoleh ditokok-tambah dan diadun supaya kelihatan menepati dengan kejadian sebenar.
Fenomena ini tentunya menjadi satu kebimbangan. Seperti kata Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, beliau tidak pernah melihat fitnah yang kini bermaharajalela dalam tempoh 30 tahun berpolitik.
Kenyataan Abdullah merujuk perkembangan politik semasa, dengan apa juga kejadian yang berlaku, ia sengaja dikait-kaitkan untuk menimbulkan keresahan dan keraguan rakyat terhadap kepimpinan negara.
Inilah mungkin yang disebut sebagai fitnah kekuasaan - fitnah yang menimpa pemimpin. Fitnah kekuasaan yang bertujuan untuk menimbulkan perpecahan dan saling menjatuhkan ini sering disebut dalam sejarah manusia.
Kecintaan melampau untuk terus kekal berkuasa adalah antara punca fitnah kekuasaan ini. Asasnya, untuk memberi gambaran bahawa negara ini tidak stabil dengan para pemimpin dan anggota pentadbiran terus dikaitkan dengan perbuatan korup, penyelewengan dan salah guna kuasa.
Apakah puncanya sehingga fitnah kini begitu bermaharajalela? Apakah ini gara-gara untuk menyelamatkan seorang individu, atau ketaksuban individu dan organisasinya yang terlalu ingin mendapatkan kekuasaan?
Tindakan Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang terus-terusan menyerang, menabur pelbagai dakwaan dan membuat spekulasi politik, dilihat sebagai antara punca fitnah kini bermaharajalela.
Apabila seorang tokoh politik mendedahkan hal-hal berunsur fitnah, tentulah ia sedikit sebanyak boleh mempengaruhi orang lain.
Maklumat yang berkecamuk itu bertambah buruk apabila, PKR pula melalui kepimpinan utamanya, Anwar tanpa segan silu telah menjemput negara asing untuk mencampuri urusan dalam negara.
Kes liwat yang dihadapinya telah dipesongkan dengan dakwaan konspirasi kerajaan dan salah guna kuasa sedangkan tuduhan itu masih disiasat oleh polis dan prosesnya masih jauh untuk kemungkinan dibawa ke mahkamah.
Agak aneh juga apabila tidak semena-mena Amerika Syarikat (AS) yang sering dikecam oleh sekutu PKR iaitu Pas, memberi sokongan kepada Penasihat PKR itu.
Bagi menghadapi kes terbaru yang menimpa Anwar ini, PKR melalui Pakatan Rakyat akan menggunakan apa juga muslihat untuk menutup sebarang ketempangan yang ada.
Demonstrasi dan perhimpunan akan sekali lagi mewarnai kehidupan kita ke depan ini. Mungkin sahaja kerana emosi, perhimpunan aman boleh bertukar menjadi keganasan.
Soalnya, apakah kita akan mempercayai atau tidak tuduhan yang dilemparkan kepada seseorang. Pilihan di tangan kita dan perlukah kita terus dilenakan dengan pelbagai dakwaan dan fitnah. Janganlah kita tertipu dengan fitnah yang dalam sejarah manusia boleh menghancurkan bangsa.