06 Julai 2008

Isu sosial dan hakisan budaya


Oleh Nurul Huda Kosnon

Pameran Berkumpulan Lukisan Ilham II di Galeri Pelita Hati tampil idea tujuh pelukis

ISU sosial masyarakat kontemporari di samping penghakisan nilai budaya Melayu menjadi teras dalam sebahagian karya tujuh pelukis pada Pameran Berkumpulan Lukisan Ilham II di Galeri Pelita Hati, Jalan Bangsar, Kuala Lumpur yang berlangsung sehingga 9 Julai ini.

Karya dua daripada tujuh pelukis, Rosli Zakaria dan Zainuddin Abindinhazir, menggunakan besi, kanvas, campuran warna terang dan kayu menjadi tarikan penggemar seni arca dengan keunikan ukiran kedua-dua pelukis dalam menampilkan keindahan dunia haiwan.


Ayam dengan nilai negatif dalam peribahasa menarik perhatian Zainuddin sehingga dipindahkan ke bentuk arca, Ibu Ayam, dalam karyanya bagi memberi peringatan kepada peminat seni betapa hinanya perbuatan menjana pendapatan dengan memperdagangkan wanita dalam industri seks.

“Saya sememangnya suka memerhatikan ibu ayam yang sentiasa berusaha melindungi anak-anaknya, tetapi apabila dipindahkan ke peribahasa menjadi negatif dan sengaja dipilih sebagai karya untuk saling ingat mengingatkan,” katanya pada Seni di Kuala Lumpur, Jumaat lalu.

Keprihatinan pengarca ini dalam menghayati perubahan budaya dari sudut pemakaian dan cara hidup sebilangan besar remaja ketika baru berhijrah dari kampung ke bandar metropolitan digarap dalam Ayam Bandar.

“Saya dapati semakin ramai remaja masa kini mudah terpengaruh dengan perkara tidak elok seperti berpakaian mencolok mata dan terpengaruh dengan pergaulan bebas khususnya kepada yang baru berhijrah ke bandar Kuala Lumpur,” katanya.

Kekaguman Rosli Zakaria terhadap seni permainan tradisional wau dicerna melalui Siri Seni Batik I dan II dalam percubaannya mengangkat budaya masyarakat dahulu terutamanya di sekitar Pantai Timur yang kini masih menjadi amalan.

Seperti Zainuddin, Rosli turut mengagumi haiwan seperti terpancar pada karyanya, Cat, yang diolah menggunakan gabungan batu dan besi bagi memberi kesan unik kepada arca itu, dalam percubaannya mengingatkan peminat seni betapa mereka juga perlu dilindungi.

“Kucing adalah haiwan peliharaan yang menjadi kesayangan ramai dan lebih istimewa kerana ia kesayangan Nabi Muhammad SAW. Kedua-dua faktor ini mendorong saya melakarnya dalam bentuk arca,” kata lulusan seni halus dan seni reka, UiTM Melaka ini.