KEGAGALAN sistem komputer berfungsi di Bursa Malaysia kelmarin ternyata memberi impak buruk kepada pasaran saham tempatan, yang sudah pun suram ekoran prestasi buruk pasaran saham dunia. Kejadian itu menyebabkan bukan saja pelabur rugi besar, malah Bursa Malaysia dilaporkan turut kerugian hampir RM450,000 melalui yuran atas urus niaga saham yang mencecah RM1 bilion sehari itu berikutan dagangan terpaksa digantung sehari. Apa yang berlaku secara tidak langsung menjejaskan ekonomi negara berikutan ramai pelabur asing dan tempatan mulai ragu terhadap kecekapan sistem di bursa tempatan yang turut menjadi petunjuk ekonomi semasa negara. Dilaporkan, masalah teknikal sejak jam 5.30 pagi itu menyebabkan sesi pertama urus niaga saham tidak dapat dijalankan sehingga ia terpaksa digantung terus pada jam 3.30 petang. Kejadian yang berlaku itu dianggap paling buruk dalam sejarah Bursa Malaysia berbanding insiden pertama pada Jun 2000. Apa pun alasan yang diberikan Ketua Eksekutif Bursa Malaysia, Datuk Yusli Mohamed Yusoff berikutan kejadian itu, ia belum tentu dapat mengembalikan keyakinan pelabur terutama dalam tempoh terdekat terhadap bursa tempatan. Mereka ternyata kecewa dengan kegagalan sistem yang digunakan. Kita dapati penggantungan urus niaga pasaran saham tempatan selama sehari itu yang kebetulan turut dialami pasaran saham dunia terutama di Amerika Syarikat, memberi impak buruk kepada sentimen pelabur. Ini ditambah kemelut politik tanah air yang tiada tanda noktah, menyebabkan ramai bimbang terhadap kedudukan ekonomi negara.
Kita bimbang sekiranya kepercayaan pelabur asing terhadap ekonomi negara semakin menipis dan cukup jelas melalui petunjuk kesuraman Bursa Malaysia sejak kebelakangan ini, ekonomi negara tidak berada pada landasan yang betul. Sekiranya keadaan ekonomi kita stabil, pasaran saham pasti tidak terjejas teruk. Negara mempunyai daya tahan ekonomi yang kukuh berikutan harga komoditi sawit, minyak, getah dan timah yang tinggi di pasaran, selain produk industri buatan yang mempunyai pasaran luas di luar negara. Penggantungan Bursa Malaysia kelmarin walaupun disebabkan masalah teknikal menimbulkan pelbagai andaian dan spekulasi mengenai politik negara.
Keadaan ini berlaku kerana hampir setiap hari rakyat didedahkan dengan cerita politik walaupun pilihan raya umum sudah berlalu.
Kita berharap semua pihak terutama pemimpin politik sama ada di pihak kerajaan atau pun pembangkang, supaya kembali memikirkan kepentingan negara dan kestabilan ekonominya. Kembalilah kepada asas politik iaitu berkhidmat kepada rakyat bagi menjamin kesejahteraan dan keselesaan hidup semua lapisan masyarakat melalui perhatian yang lebih terhadap pembangunan ekonomi. Rakyat yang kenyang perut dan terjamin kehidupannya akan memberi keselesaan kepada negara. Inilah yang perlu menjadi tumpuan pemimpin politik sekarang yang perlu menghentikan segera perbalahan untuk merebut kuasa sehingga menjejaskan keharmonian dan prestasi ekonomi negara. Kerana menjamin kesejahteraan rakyat adalah tema perjuangan kerajaan Barisan Nasional, parti pembangkang pasti akan sentiasa menggagalkannya. Tindakan pembangkang sejak akhir-akhir ini adalah salah satu usaha melengahkan usaha kerajaan membantu rakyat. Justeru, kita berharap pemimpin kerajaan tidak harus menari mengikut rentak parti pembangkang sehingga mengabaikan tugas membela rakyat. Sudah pasti rakyat bimbang jika hala tuju negara dibiarkan tergelincir daripada matlamat asal, sehingga akhirnya menyukarkan semua.