06 Julai 2008

Muslim Britain sambut baik syor rujuk Syariah



LONDON: Pemimpin satu kumpulan guaman Muslim menyambut baik ulasan Ketua Hakim Britain yang menyokong anggota perundangan negara itu menggunakan undang-undang Syariah untuk menyelesaikan masalah.

Lord Phillips dalam ucapannya kelmarin berkata, undang-undang Islam tidak akan menggantikan undang-undang sedia ada.

“Tetapi, tidak ada sebab mengapa prinsip Syariah atau mana-mana garis panduan agama lain tidak boleh menjadi asas menyelesaikan pertikaian,” katanya.


Katanya, sebarang penggunaan Syariah dalam kes sivil perlu sejajar dengan undang-undang British dan mustahil bagi mahkamah Syariah menjatuhkan hukuman.

Seorang peguam dan Pengerusi Tribunal Pengadilan Muslim, Shaykh Faiz Siddiqi, berkata mereka yang tidak setuju dengan sebarang penggunaan undang-undang Islam gagal mengakui bahawa dua pihak perlu bersetuju untuk membolehkan sebarang penyelesaian masalah dicapai di Britain.

Berucap di Pusat Muslin timur London, Phillips berkata, ramai orang di Britain tidak memahami undang-undang Syariah.

“Antara salah faham itu ialah kepercayaan bahawa Syariah hanyalah mengenai sebat, merejam dengan batu, memotong tangan atau hukum mati terhadap orang yang melanggar undang-undang.

“Kebanyakan pihak terpengaruh dengan cakap golongan militan yang mewajarkan keganasan seperti serangan bunuh diri sedangkan saya memahami ia bercanggah dengan prinsip Islam,” kata Phillips.