12 Ogos 2008

Sistem PTB selesai masalah tanah rizab



SISTEM Pembangunan Tanah Bersepakat (PTB) dikenal pasti kaedah paling berkesan menyelesaikan pelbagai isu yang membelenggu usaha merumus pembangunan dan meningkatkan nilai ekonomi tanah rizab Melayu.

PTB ialah kaedah pembangunan tanah memerlukan kerjasama dan persetujuan pemilik tanah atau waris untuk menyerahkan tanah mereka bagi dibangunkan pemaju dan sebahagian tanah disumbangkan itu dijadikan tanah kewangan dan dijual pada harga pasaran bagi menampung sebahagian kos projek.

Pengarah Bahagian Penyelidikan dan Pembangunan Jabatan Perancang Bandar dan Desa Semenanjung Malaysia, Mohamed Jamil Ahmad, berkata menerusi kaedah itu pemaju akan memulangkan sebahagian hartanah yang dibangunkan dalam bentuk beberapa unit hartanah dan sebahagian lagi dalam bentuk wang tunai atau insentif lain.


Katanya, PTB adalah pendekatan bagi membangunkan kawasan tertentu termasuk tanah rizab Melayu di pusat atau pinggir bandar yang mengalami kesesakan dan tertinggal daripada arus pembangunan perdana.

"Menerusi sistem PTB, pemilik tidak perlu mengeluarkan modal untuk kos pembangunan, sebaliknya mereka terus mengekalkan hak milik bagi unit hartanah yang dipulangkan semula kepada mereka," katanya.

Mohamed Jamil berkata, projek perintis PTB di Kampung Pulau Meranti, Daerah Sepang, Selangor menunjukkan perkembangan menggalakkan dengan pembangunan hartanah sudah memasuki fasa kedua.

Sementara itu, Timbalan Pengurus Bahagian Pembangunan dan Pelaburan, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Syed Nokman Syed Abu Bakar, berkata pembangunan harta wakaf dengan kaedah inovatif Istibdal adalah cara terbaik bagi mengoptimumkan manfaat wakaf.

Katanya, menerusi kaedah itu, pemegang amanah menggantikan harta wakaf dengan aset lain yang lebih baik melalui pertukaran, jualan atau belian menurut syarak dengan mengekalkan tujuan asal manfaat harta wakaf itu.