05 September 2008

50 menu berbeza setiap hari


RAMADAN menjelma lagi dan ketika ini hotel-hotel terkemuka di seluruh negara mengadakan promosi menarik berbuka puasa dengan menawarkan pelbagai jenis juadah istimewa dari dalam dan luar negara.

Warga Kuala Lumpur pastinya sudah mempunyai rancangan untuk berbuka puasa bersama keluarga dan rakan-rakan di hotel pilihan masing-masing.

Namun keadaan ekonomi yang tidak menentu membuatkan ramai tertanya-tanya adakah wang yang dibelanjakan berbaloi atau tidak dengan menu serta kelazatan juadah disajikan itu.

Sehubungan itu, hotel-hotel itu sendiri mengadakan beberapa program sampingan untuk menarik pelanggan.

Prince Hotel & Residence Kuala Lumpur misalnya menawarkan sesuatu yang menarik dan selesa untuk tetamu berpuasa dengan memasang skrin televisyen serta mengetuk gong bagi menandakan waktu berbuka puasa.

Chef Masakan Melayu, Azman Ahmad berkata, pakej bufet berbuka puasa di Eccucino mempunyai pilihan lebih 50 menu yang berbeza setiap hari bermula 1 September sehingga pada malam sebelum Hari Raya Aidilfitri.

Katanya, pengunjung boleh mencuba pelbagai jenis pilihan masakan Melayu dari setiap negeri popular seperti asam pedas, ikan lemak tempoyak, rendang ayam dan daging, sambal udang serta sup ekor.

Tambah beliau, selain kambing panggang yang merupakan menu utama, turut menjadi pilihan menarik adalah mi, laksa, sate, acar, otak-otak, kerabu, ulam dan serunding.

‘‘Terdapat pelbagai pilihan masakan Melayu, India, China, Asia Barat, Barat dan Jepun yang popular termasuk Teppanyaki, Tempura, Sushi dan Sashimi.

‘‘Selepas menikmati hidangan-hidangan lazat, anda boleh merasai keenakan pencuci mulut kuih tradisional, kek, manisan, buah-buahan dan aiskrim selain sup serta jus segar,’’ katanya.

Surau turut disediakan untuk mereka yang ingin menunaikan solat Maghrib. Dalam pada itu, mereka yang sedang menjamu selera dihiburkan dengan persembahan ghazal bersama dendangan lagu-lagu klasik.

Juadah Negeri Sembilan di Saloma Theatre Restaurant

Chef Kamaruzzaman Halim dan pasukannya telah memilih juadah dari Negeri Sembilan bagi sajian utama berbuka puasa di Saloma Theatre Restaurant tahun ini.

Pada amnya, juadah yang pedas menggunakan cili padi merupakan ciri utama juadah negeri yang mengamalkan adat Pepatih ini.

Dendeng lambuk, udang goreng cili padi, asam pedas ikan jenahak, daging salai lemak pedas, daging gulai belimbing besi, pindang ikan tempoyak, ikan keli goreng berlada sambal manis, rendang Minang tulang rusuk, ayam gulai cili padi, paru lembu goreng cili manis, sambal ketam manis, sambal udang petai dan rendang pucuk paku antara juadah istimewa yang dihidangkan kepada tetamu.

Pengunjung juga turut dihiburkan dengan persembahan tarian selama satu jam. Lokasi untuk berbuka boleh dipilih sama ada ingin menjamu selera di dewan makan atau laman terbuka.