07 September 2008

Belasungkawa A. Samad Ismail - Duka lara pejuang merdeka



WAJAH karikatur Pak Samad hasil karya Datuk Lat menghiasi muka depan majalah Massa pada tahun 2000.


HADIAH yang paling “mahal” pernah diberikan selepas lebih daripada setengah usianya diabadikan memperjuangkan kemerdekaan ialah dihumban sebagai tahanan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) tahun 1976. Ini merupakan kali ketiga beliau ditahan, dua kali semasa negara belum merdeka. Ironiknya negara yang beliau perjuangkan supaya bebas daripada penjajah memberikan ganjaran yang lebih kurang sama semasa dengan zaman penjajah. Ketika ditahan beliau adalah Timbalan Ketua Pengarang Kumpulan New Srtaits Times dan dituduh berkomplot menggulingkan kerajaan.

Penahanan nasionalis bernama A. Samad Ismail (kini Tan Sri) memberikan tamparan hebat kepada dunia kewartawanan negara ini. Samad yang merupakan antara generasi awal kewartawanan Melayu serta turut terlibat secara langsung dalam gerakan memperjuangkan kemerdekaan yang disertai oleh golongan politik, wartawan dan sasterawan menjadi mercu tanda sumbangan wartawan kepada negara.

Demikian secebis episod duka daripada sekian banyak lagi ranjau, duri dan api yang dilalui pada zaman penjajah oleh Samad yang menghembuskan nafas terakhir Khamis lalu pada usia 84 tahun. Pemergiannya meninggalkan legasi yang bukan kecil kepada negara khususnya dalam laras kewartawanan supaya memperjuangkan kepentingan rakyat dan negara. Tuduhan berkomplot menggulingkan kerajaan belum dibuktikan kesahihannya sehinggalah Allahyarham Pak Samad menutup usianya. Allahyarham telah mengorbankan kebebasan sebagai manusia selama lima tahun di sebalik jeriji besi.

Tetapi sebenarnya semua ini sedikit terkuak dan terbongkar apabila bekas Presiden Singapura, Lee Kuan Yew dalam memoirnya From Third World to First World menceritakan penglibatannya dalam konspirasi dengan kerajaan Malaysia bagi menahan bekas rakannya dalam People Action Party (PAP) itu. Malah Lee Kuan Yew juga menerusi buku itu mendakwa Allahyarham sebagai anggota Parti Komunis Malaya (PKM) tahun 1950. Maka kalau dibaca semula kisah dendam antara Allahyarham Samad dengan Lee Kuan Yew kerana pertentangan ideologi dalam PAP, penahanan di bawah ISA itu satu kejayaan konspirasi Lee Kuan Yew.

Allahyarham Pak Samad bersara dalam kewartawanan pada 1988 sebagai Penasihat Kumpulan New Straits Times. Sekalipun bersara, Allahyarham terus menulis pelbagai isu terutama menyentuh tentang politik dan sosial kerana baginya bersara hanya dalam jawatan bukan dalam kewartawanan. Dilahirkan pada 18 April 1924 di Singapura, Allahyarham memulakan kerjaya kewartawanan di Utusan Melayu pada 1941 di Singapura dan kemudiannya dilantik sebagai Penolong Pengarang Berita Malai semasa penjajahan Jepun. Allahyarham dianggap “anak Utusan Melayu” ini diasuh oleh tokoh wartawan Melayu, Rahim Kajai akhirnya kembali semula ke Utusan Melayu pada 1946. Ini kerana Utusan Melayu merupakan satu-satunya akhbar Melayu yang memperjuangkan kemerdekaan seterusnya menjaga kepentingan orang Melayu di negara ini.

Semangat perjuangan
Dalam Memoir A. Samad Ismail Di Singapura yang diterbitkan oleh Penerbit UKM, Allahyarham menulis tentang kedaifan fizikal pejabat Utusan Melayu di Cecil Street Singapura. Tetapi di sebalik kedaifan itu di dalamnya menyala-nyala semangat perjuangan nasionalisme kalangan anak-anak muda Melayu yang menjadi wartawan di situ.

“Tenaga kerja Utusan Melayu waktu itu tidak ramai, barangkali kurang daripada 100 orang. Jabatan Pengarang hanya terdiri daripada empat orang saja: Kajai, Ramli, Zabha dan saya. Pejabat kami pula sangat sempit, hanya muat empat meja tulis saja,” tulis Allahyarham Pak Samad dalam memoirnya.

Pemergian Allahyarham bukanlah cukup dengan ungkapan klise “satu kehilangan”, malah membawa kita khususnya warga dunia kewartawanan menoleh dengan jujur adakah cebis perjuangan dan ketulusan Allahyarham Pak Samad ada kepada kita? Allahyarham seorang wartawan dan bukan jutawan hingga ke akhir hayatnya. Barangkali kalau Allahyarham memilih untuk menjadi jutawan, impian itu sudah lama tercapai. Cuma menjadi seorang wartawan yang jutawan mungkin boleh menggugat prinsip yang seharusnya didukung oleh seorang wartawan.

Allahyarham Pak Samad merupakan pengasas PAP bersama Lee Kuan Yew dan berpotensi menjadi orang penting dalam parti itu yang kini memerintah Singapura. Tetapi jiwa wartawan dan nasionalis, hala tuju yang dibawa oleh Lee Kuan Yew bertentangan dengan prinsip Allahyarham dan mengambil keputusan meninggalkan PAP. Tentunya tidak banyak ahli politik yang akan berbuat demikian apa lagi berada di tangga teratas tetapi kerana Allahyarham bukanlah ahli politik yang menutup diri kepada kewarasan lain, meninggalkan PAP juga satu perjuangan menegakkan prinsip.

Sebagai pejuang kemerdekaan, Allahyarham mencipta sejarah tersendiri dan juga kalangan wartawan apabila menyertai delegasi ke London untuk rundingan kemerdekaan pada tahun 1956. Ironiknya Allahyarham Pak Samad tidak dapat menyaksikan detik 31 Ogos 1957 kerana dipaksa menjadi wakil Utusan Melayu di Jakarta.

Menurut bekas Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Datuk Seri Zainuddin Maidin, memisahkan Allahyarham Pak Samad dengan Utusan Melayu sekaligus menghalang menyambut kemerdekaan adalah episod yang sangat melukakan hatinya. Allahyarham diberitahu oleh Ketua Pengarang dan Pengarah Urusan Utusan Melayu ketika itu, Yusof Ishak bahawa kerajaan Perikatan yang akan berkuasa di Malaya tidak senang dengan tindak tanduk Allahyarham.

Terbuang jauh
Dalam wawancara dengan wartawan majalah MASSA, Siti Mariam Md Zain tahun 2000 selepas menerima Anugerah Tokoh Wartawan Negara, Allahyarham memberitahu, saat-saat yang paling manis dalam hidupnya adalah tarikh 31 Ogos, sekali pun waktu itu Allahyaram terbuang jauh di Jakarta.

“Waktu merdeka saya tak ada di sini, saya dihalau ke Indonesia. Yusof Ishak kata, kononnya kuncu-kuncu Tunku Abdul Rahman tidak mahu saya datang ke Kuala Lumpur. Saya banyak kritik Tunku fasal kemerdekaan. Saya kata tak lengkap sebab orang putih banyak mengawal dan tentera British masih banyak di sini,” demikian luahan Allahyarham Pak Samad kepada Siti Mariam. Begitulah malangnya seorang penjuang kemerdekaan, dihumban dalam tahanan di negara yang dimerdekakannya dan tidak berpeluang menyaksikan detik manis sebuah kemerdekaan yang diperjuangkannya.

Prinsip perjuangan Allahyarham Pak Samad tidak pernah berubah. Malah kalau dilihat daripada tulisan-tulisannya, Allahyarham banyak menyedarkan orang-orang Melayu yang sedikit leka selepas menggenggam kemerdekaan.

Dalam akhbar The Singapore Standard tahun 1953 misalnya , Allahyarham Pak Samad menulis, “Kita tidak boleh lagi mengkaji mutiara tanpa merujuk kepada tiram yang menghasilkan mutiara. Pada masa yang sama kita tidak boleh membincangkan tentang bahasa Melayu tanpa memikirkan masa depan orang Melayu. Bahasa Melayu adalah produk kehidupan orang Melayu. Sejarah bahasa Melayu adalah sejarah orang Melayu. Maka masa depan bahasa Melayu akan menjadi masa depan orang-orang Melayu juga.”

Dalam rencana yang bertajuk The Future of the Malay Language itu Samad menghujah tentang peri pentingnya bahasa Melayu kepada orang Melayu untuk menongkah zaman akan datang. Pemikiran yang dialirkan dalam rencana ini memperlihatkan Samad seorang nasionalis Melayu yang melihat masa depan bangsanya dengan pemikiran yang kritis. Pemikiran Allahyarham Pak Samad yang dialirkan dalam rencana itu sebenarnya tidak pernah luput ditelan zaman.

Terpisah
Apa yang dibahaskan oleh Allahyarham dalam rencana itu sebenarnya terus relevan dengan semua zaman selagi orang Melayu tidak mendaulatkan bahasa Melayu di negara mereka sendiri. Rencana itu ditulis oleh Allahyarham Pak Samad sebelum negara mencapai kemerdekaan tetapi ketajaman intelektualiti seorang wartawan membuatkan Allahyarham melihat bahawa bahasa Melayu akan terpisah dengan orang Melayu pada masa depan. Ini sudah berlaku pada hari ini.

Pemergian abadi Allahyarham Pak Samad bukan saja kehilangan kepada anak-anak tersayang, isteri tercinta, keluarga yang amat mengerti. Tetapi pemergian ini juga satu kehilangan kepada semua yang mempunyai prinsip perjuangan yang tulus kepada bangsa dan negara. A. Samad Ismail adalah sebuah monumen tentang perjuangan dan prinsip yang tidak pernah dipengaruhi oleh ledakan dan asakan materialisme. Kita semua sebenarnya sangat terhutang kepadanya.