Maju Melayu Perkasa!

Program SMS Prepaid Terunggul Dari MYeCASH

07 September 2008

Demonstrasi mahu jatuhkan demokrasi


MODUS operandi Perikatan Rakyat untuk Demokrasi (PAD) begitu mudah. Kumpulan yang diketuai oleh Sondhi Limthongkul dan Chamlong Srimuang ini hanya perlu mengumpul penduduk Thailand yang tidak berpuas hati dengan kerajaan. Maka tunjuk perasaan pun bermulalah. Desakan demi desakan dibuat bagi meminta Perdana Menteri berundur.

Cara itulah yang digunakan ketika PAD mendesak pengunduran Thaksin Shinawatra pada 2006. Kini cara yang sama digunapakai untuk meminta Samak Sundaravej meletak jawatan.

Ketika krisis 2006, bantahan kecil-kecilan yang bertukar kepada sokongan ribuan penduduk akhirnya mendapat campur tangan tentera. Kerajaan Thaksin tumbang pada 16 September.

Selepas tentera yang merampas kuasa berundur untuk memberi peluang kepada pelaksanaan demokrasi menerusi pilihan raya akhir tahun lalu, perasaan tidak puas hati PAD kini berputik kembali.

Semudah modus operandi PAD, punca mereka tidak berpuas hati juga mudah.

Parti yang disokong PAD kalah pada pilihan raya lalu kerana rakyat masih memilih parti-parti yang bersimpati dengan Thaksin. Itulah punca kenapa mereka tidak berpuas hati.

PAD tidak boleh menerima hakikat kekalahan dan kesannya, Samak yang memerintah tidak sampai setahun, kini berdepan dengan ketidakpuasan hati segelintir rakyat.

Walaupun segelintir tetapi kumpulan ini bertindak berani. PAD sekali lagi berjaya mengumpul penyokong dan kali ini mereka bertindak lebih nekad.

Hari ini genap 13 hari penyokong PAD menawan Rumah Kerajaan. Bangunan yang menempatkan pejabat Perdana Menteri Thailand itu kini diduduki oleh golongan pembantah yang tidak berpuas hati dengan Samak.

Mereka memberi satu syarat untuk berundur dari situ iaitu pengunduran Samak.

Kumpulan itu terus tegar di Rumah Kerajaan walaupun pada Selasa lalu darurat diisytiharkan di Bangkok. Pengisytiharan itu bagaimanapun hanya dibuat selepas lapan hari bangunan itu ditawan PAD.

Namun perintah darurat yang dikenakan pada 2 September itu tidak langsung memberi bekas kepada penyokong PAD.

PerkelahanMereka bebas di dalam Rumah Kerajaan seperti "tiada apa-apa yang berlaku".

Gambar yang dikeluarkan oleh agensi-agensi berita menunjukkan penyokong PAD menjadikan konflik yang mencemarkan imej Thailand itu seperti sebuah perkelahan.

Mereka bersantai termasuk mendapatkan urutan percuma selain penjaja bebas berjualan di Rumah Kerajaan. Mereka masih mendapat bekalan elektrik serta air bersih dan menjadikan keadaan mereka begitu selesa di sana.

Kumpulan yang mengaku sangat sayangkan raja dan negara itu bertindak tanpa mempedulikan perhatian dunia yang memandang dengan 1,001 prejudis terhadap negara itu.

Persoalannya, adakah PAD begitu kebal dalam percaturan politik Thailand? Adakah kerajaan Samak terlalu takut untuk bertindak?

Kenapakah tindakan keterlaluan PAD sehingga menawan Rumah Kerajaan yang menjadi ibu pejabat institusi demokrasi Thailand dibiarkan begitu sahaja?

Jika kerajaan Thai begitu pantas mematahkan tunjuk perasaan di Tak Bai pada 25 Oktober 2004, kenapa tindakan yang sama tidak dilakukan ketika ini?

Samak mungkin tidak berani bertindak tegas terhadap mereka dan pihak tentera juga tidak sanggup menyerbu kerana tidak mahu peristiwa berdarah di Tak Bai dan Pattani berulang.

Thailand mungkin tidak boleh berdepan lagi dengan insiden seperti Tak Bai yang meragut hampir 100 penunjuk perasaan dan serbuan ke atas Masjid Kerisek di Pattani yang mengorbankan lebih 30 penduduk. Kedua-dua peristiwa itu mendapat kecaman hebat dari masyarakat antarabangsa.

Namun, tidak bolehkah penyokong PAD yang 'menghuni' Rumah Kerajaan ketika ini disuraikan dengan ketegasan tanpa perlu berlakunya pertumpahan darah?

Sekiranya dikatakan pembantah PAD tidak berbahaya berbanding penduduk Tak Bai yang mengadakan bantahan di depan balai polis ketika itu, ia meleset sama sekali.

Para pembantah di Rumah Kerajaan juga bersenjata. Gambar-gambar menunjukkan mereka bukan sahaja bersenjatakan cota, kayu hoki atau kayu golf tetapi turut membawa parang dan senjata berbahaya lain.

Mereka juga bertindak ganas termasuk bertempur dengan polis antirusuhan dan merobohkan benteng yang didirikan bagi menghalang mereka menghampiri Rumah Kerajaan pada 26 Ogos lalu.

Malah sebelum menggempur Rumah Kerajaan, mereka turut menawan sebuah stesen televisyen di Bangkok. Jadi, sampai bilakah Thailand akan membiarkan orang seperti Chamlong dan Sondhi terus bermaharajalela?

Sampai bilakah PAD akan terus menerajui tunjuk perasaan selagi kerajaan yang dipilih majoriti rakyat bukannya pilihan mereka?

Apakah ada jaminan daripada PAD bahawa tiada lagi tunjuk perasaan untuk mendesak pengunduran Perdana Menteri baru sekiranya Samak meletak jawatan?

AkurSekiranya desakan penunjuk perasaan diikuti, bagaimana dengan majoriti pengundi yang memilih parti Samak ketika pilihan raya lalu?

Sepatutnya sebagai orang yang faham mengenai demokrasi, para pemimpin PAD perlu akur dengan keputusan majoriti rakyat. Bukannya bertindak melancarkan demonstrasi apabila pemimpin yang dipilih bukan pilihan mereka.

Sampai bilakah Thailand akan menyaksikan setiap kemelut politik atau ketidakpuasan hati diselesaikan menerusi bantahan atau rampasan kuasa?

Mungkin rakyat Thai sudah lali dengan tunjuk perasaan dan rampasan kuasa kerana sejak selepas Perang Dunia Kedua, hampir 20 rampasan kuasa disaksikan oleh rakyat negara itu.

Namun adakah itu penyudah kepada kemelut politik Thailand ketika ini?

Dalam soal ini Samak perlu bijak menyelesaikan krisis. Samak mungkin bukan seorang Perdana Menteri yang bagus mengikut perkiraan PAD namun itulah Perdana Menteri yang dipilih oleh majoriti rakyat.

Partinya dipilih secara demokrasi dan wajarkah beliau berundur hanya kerana desakan segelintir rakyat yang berkumpul di Rumah Kerajaan? Apa yang pasti, bantahan itu bukan mewakili suara majoriti rakyat Thailand.