13 September 2008

Keluh kesah tinggal rumah baru


TINGGAL di taman perumahan baru cukup mencuakkan. Satu pagi bulan tiga lepas penulis mencabut undi dengan isteri untuk menetapkan tarikh berpindah ke satu kawasan sederhana di pinggir Shah Alam.

Penulis memikirkan bulan November masa sesuai kerana saat itu anak-anak sudah bercuti sekolah panjang. Ketika itu pasti ramai jiran berpindah sama. Namun isteri berpandangan seelok-eloknya awal lagi sebab kunci sudah ada di tangan. Lagi pun rumah yang didiami sudah dibeli orang.

Semasa menanti antara tiga hingga lima bulan proses jual beli, urusan peguam dan bank selesai, elok sahaja disewakan buat sementara kepada pembeli. Dapat sedikit wang buat bayar ansuran rumah. Tapi yang lebih penting - tinggal di rumah baru.

Begitu keterujaan memiliki rumah sendiri. Satu senja, perabot dan segala isi rumah lama tiba di rumah baru. Keterujaan tiba-tiba bertukar 'senak perut'. Hanya rumah penulis bercahaya sedangkan di sekeliling 'gelap gelita'. Gundah gulana mengapa tidak berfikir panjang.

Bukan tidak kedengaran insiden samun bersenjata parang dan pistol di taman-taman perumahan sebelah. Bukan tidak ada laporan anak isteri mangsa samun diugut untuk dianiaya. Tapi pendirian sudah dibuat kerana buat apa menunggu lagi. Bertawakal kepada-Nya. Harus berani tanggung risiko.

Malam hari pertama di rumah baru cukup merisaukan. Apa sahaja pintu, tingkap malah 'lubang tikus' syiling dipastikan tip top kuncinya. Jenama solexlah jawabnya. Ketika terfikirkan tentang loceng kecemasan, tiba-tiba disapa oleh anak, "kalau berbunyi sekuat manapun, siapa yang akan datang menolong. Kita jauh dari taman sebelah."

Kalau ada persediaan pun, cukup diletakkan pengunci stereng atau parang pendek potong ayam di bawah katil. Itupun berserabut hendak difikir sebelum mahu 'disasar'. Di taman-taman perumahan baru sekitar, antaranya Perdana Heights, Nusa Rhu, Puncak Perdana, Subang Impian dan Sunway Kayangan, kekerapan kes pecah rumah pada suatu ketika amat membimbangkan. Ada satu bulan sehingga mencecah 10 kes.

Namun kadar kes semakin menurun disebabkan inisiatif penduduk menggaji home guard yang cajnya dikutip RM50 sebulan untuk setiap rumah. Meskipun lima bulan pengawal keselamatan meronda, pecah rumah masih terus berlaku dek pengawal tidak cukup kudrat berdepan lima lawannya serentak.

Jika taktik mencuri pada dini hari sekitar 3.30 pagi hingga 5 pagi semakin diketahui muslihatnya, operasi samun ditukar pelannya ketika tengah hari. Dalam satu kejadian pada Jumaat, dua lelaki berkopiah putih melambai-lambai tangan kepada seorang jiran mangsanya dengan dua lagi rakannya tanpa berasa takut dan gusar mengumpil jeriji. Sejam kemudian, baru disedari si jiran, kumpulan lelaki terbabit tiada perkaitan saudara dengan mangsa.

Berkata anak penulis belasan tahun pada malam pertama kami di rumah baru. ''Rumah kawan di taman atas tu, bapanya pasang banyak point di setiap inci pintu, tingkap dan syilingnya. Tapi kalau sesiapa nak 'masuk' pun, mereka akan fikir macam-macam cara nak 'masuk'.

Enam bulan berlalu. Dan kini kawasan kejiranan penulis sebahagiannya sudah terisi. Dua minggu sekali akan muncul jiran baru. Cuma, yang tidak sedap mata memandang, pagar elektrik berlitup rapat tersergam indah bagaikan tinggal di perumahan mewah.

Dan cukup melegakan dari bayangan tingkap bilik selepas 12 tengah malam, terpancar cahaya kebiru-biruan yang rupanya daripada siren peronda meninjau persekitaran taman.

Lalu ingatan penulis terus melayang kepada luahan hati Puteri Noor Erika Elina Yusof Abdul, 20, anak mangsa rompakan kejam di D'Kayangan, Seksyen 13 Shah Alam tempoh hari.

Ketika saat-saat cemas dia pasrah menyelamatkan diri dalam kesakitan teramat semasa ibunya, Allahyarhamah Raja Noriana Raja Ahmad dianiaya perompak, dua anggota polis muncul pada waktu yang tepat untuk membantu.

Home guard dan peronda polis tidak akan melengkapi keselamatan penghuni mana-mana taman perumahan sekalipun tanpa disertai semangat kejiranan yang utuh.

Semalam, penulis lena awal sebelum pukul 12. Semuanya kerana kelmarin, sudah ada pangkalan bit polis dan keterampilan persatuan jawatankuasa penduduk.