Maju Melayu Perkasa!

Program SMS Prepaid Terunggul Dari MYeCASH

13 September 2008

Kredibiliti agensi risikan


Peristiwa serangan pengganas di Amerika Syarikat yang telah mengorbankan hampir 3000 nyawa pada 11 September 2001 telah berlalu tujuh tahun yang lepas. Peristiwa 11 September ini telah banyak memberi pengajaran dan sebahagian besar masyarakat antarabangsa telah menerima kesan akibat peristiwa tersebut sama ada secara langsung atau tidak.

Afghanistan dan Iraq dianggap dua negara yang sinonim dengan peristiwa 11 September kerana telah menerima kesan secara langsung yang memporak-perandakan kedua-dua negara tersebut.

Begitu ironis sekali upacara peringatan yang diadakan di 'Ground Zero', Pentagon dan Pennsylvania beberapa hari lepas hanya mentafsirkan AS sahaja yang menjadi mangsa serangan tersebut.

Antara pengajaran paling penting peristiwa tersebut adalah kegagalan dua agensi perisikan AS iaitu Agensi Perisikan Pusat (CIA) dan Biro Siasatan Persekutuan (FBI) berkongsi maklumat risikan yang mengakibatkan komplot serangan tidak dapat dikesan dan dibendung lebih awal.

Washington telah mengambil beberapa langkah untuk membetulkan kepincangan tersebut dan telah menubuhkan jabatan Homeland Security yang antara lain bertanggungjawab menyelaraskan maklumat risikan kesemua agensi perisikan AS.

Malaysia telah lama mempunyai struktur serupa dengan Homeland Security dalam bentuk peranan yang dimainkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang bertanggungjawab terhadap isu keselamatan negara. Dua organisasi perisikan utama negara dikendalikan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Walaupun kedua-dua organisasi risikan tersebut mempunyai peranan dan tanggungjawab yang agak berbeza, tetapi lazimnya maklumat risikan yang diperolehi adalah selari, iaitu sesuatu yang ada kena-mengena dengan keselamatan dalam negeri.

KerjasamaPerkongsian maklumat risikan di antara MKN, PDRM dan ATM adalah kritikal untuk memastikan bahawa maklumat tersebut dapat disalurkan kepada pihak yang bertanggungjawab secepat dan setepat mungkin. Begitu juga kerjasama di antara dua organisasi keselamatan terbesar negara iaitu PDRM dan ATM juga amat penting untuk memastikan tiada berlaku perselisihan komunikasi.

Sebab itu apabila PDRM dan ATM mengadakan eksesais bersepadu pada 2 Julai lepas, ia dianggap sebagai perkara lazim. Eksesais yang dinamakan Eksesais Bersatu Aman memakan masa selama lima hari tersebut adalah persediaan pasukan keselamatan menangani situasi ketenteraman awam.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan berkata tujuan utama eksesais tersebut adalah untuk menguji kemampuan dan ketangkasan PDRM dan ATM menghadapi situasi ketenteraman awam yang mencabar. Latihan tersebut banyak tertumpu kepada aspek penyelerasan arahan pemerintahan kerana kedua-dua organisasi tersebut mempunyai struktur pengurusan yang amat berbeza.

Tetapi ada pihak yang merasa sangsi dengan tujuan sebenar Eksesais Bersatu Aman kerana maklumlah ini adalah kali pertama pernah diadakan kerana kebiasaannya latihan hanya dilakukan berasingan di antara PDRM dan ATM kerana tanggung-jawab kedua-dua organisasi tersebut adalah berlainan.

Pihak yang curiga dengan eksesais tersebut begitu khuatir kerana bimbang masalah ketenteraman awam yang selama ini menjadi urusan PDRM akan turut melibatkan ATM. Mereka juga bimbang penglibatan ATM adalah lebih menjerumus kepada pra-syarat sebelum darurat diisytiharkan oleh kerajaan.

Beberapa hari lepas ATM sekali lagi mencuri perhatian kerana kenyataan Panglima ATM, Jeneral Tan Sri Abdul Aziz Zainal yang mengingatkan bahawa keadaan keselamatan dalam negara boleh menjadi huru-hara sekiranya isu perkauman terus dimainkan oleh ahli politik.

Agak pelik juga apabila Ketua Pemuda Pas, Salahuddin Ayub yang seakan-akan membuat andaian bahawa ATM telah mencampuri urusan politik negara dan memandang serius terhadap kenyataan Panglima ATM tersebut.

Bukan sahaja Dewan Pemuda Pas Pusat mengambil pendekatan serius tetapi sepatutnya seluruh rakyat Malaysia mengambil pendekatan yang serupa kerana cakap-cakap lepas mengenai isu perkauman boleh menjerumus kepada keadaan yang lebih mudarat dan tidak terkawal.

Salahuddin menambah bahawa kenyataan Panglima ATM tersebut jelas menunjukkan bahawa pihak tentera sedang memantau keadaan yang sedang berlaku tetapi beliau tidak bersetuju dengan tentera turut terlibat sama secara terbuka.

Adalah tidak adil bagi Salahuddin untuk membuat andaian bahawa aktiviti pemantauan ATM turut disertai dengan campur tangan ATM kerana dua aktiviti tersebut adalah jauh berbeza.

Semua mesti akur bahawa adalah menjadi tanggung jawab ATM untuk memantau keadaan keselamatan dalam negeri yang bersangkutan dengan isu perkauman yang agak panas. Tambahan pula organisasi risikan ATM adalah antara yang terbaik di rantau ini dan sudah tentu maklumat yang diperolehi mempunyai kredibilitinya yang tersendiri.

Panglima ATM telah pun menafikan andaian Ketua Dewan Pemuda Pas tersebut dengan menegaskan organisasi pimpinan beliau merupakan sebuah badan yang profesional serta bertindak tanpa dipengaruhi sebarang unsur politik.

Sejarah telah membuktikan bahawa ATM tidak pernah terlibat dalam sebarang politik domestik kecuali melalui proses undang-undang yang sah.

Rakyat Malaysia tidak perlu meragui kewibawaan kepimpinan ATM kerana cubaan untuk mengaitkan dengan apa yang berlaku di Thailand dengan apa yang bakal berlaku di Malaysia adalah sama sekali tidak adil kerana ia bercanggah dengan sejarah dan fakta ATM itu sendiri.