Maju Melayu Perkasa!

Program SMS Prepaid Terunggul Dari MYeCASH

05 September 2008

Menghargai hero tidak didendang


MENJELANG 2020, Malaysia memerlukan sejumlah besar jururawat bagi memenuhi keperluan sektor penjagaan kesihatan negara. Ini berikutan berlakunya pertambahan penduduk dan keprihatinan masyarakat dan kerajaan terhadap penjagaan kesihatan.

Kerajaan juga menyasarkan nisbah bilangan jururawat kepada penduduk adalah bersamaan 1 jururawat untuk 200 penduduk. Justeru, secara purata, kerajaan memerlukan lebih kurang 75,000 jururawat bagi tujuan berkenaan, ini bermakna kerajaan perlu melatih dalam anggaran 5,000 jururawat setahun.

Mengikut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), jururawat mewakili kategori pekerja penjagaan kesihatan yang terbesar dengan kira-kira 50 peratus daripada keseluruhan tenaga kerja dalam sektor itu.

Pengumuman bajet 2009 baru-baru ini yang turut menyentuh kerjaya kejururawatan. Ini menunjukkan kesedaran kerajaan mengenai peranan individu yang terlibat dalam bidang ini yang kerap dilihat sebagai ‘hero yang tidak didendang’ (unsung heroes).

Dalam bajet yang dibentangkan, Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengumumkan kerajaan akan menambah bilangan jururawat di hospital kerajaan.

Peruntukan sebanyak RM70 juta disediakan bagi melatih 5,600 jururawat di institusi kejururawatan Kementerian Kesihatan Malaysia, termasuk 2,000 pelatih di institusi latihan swasta yang diiktiraf.

Di samping itu, untuk menambah baik kemahiran dan kualiti perkhidmatan jururawat, semua jawatan penolong jururawat akan dinaikkan taraf kepada jawatan jururawat masyarakat, selepas mengikuti kursus kejururawatan selama enam bulan.

Turut diumumkan bagi menyokong pembangunan pusat pelancongan kesihatan di Wilayah Ekonomi Koridor Utara, kerajaan akan menyediakan geran pelancaran RM30 juta untuk mewujudkan pusat latihan jururawat tidak bermotifkan keuntungan.

Ini bertujuan mempertingkatkan kebolehan dan kemahiran jururawat dan perkhidmatan berkaitan untuk menampung permintaan pasaran yang semakin tinggi.

Pengurus Kanan Kejururawatan di Pusat Perubatan Darul Ehsan (DEMC), Shah Alam, Noraini Md. Said, menyambut baik cadangan tersebut sambil menyifatkan bajet 2009 menunjukkan keprihatinan kerajaan terhadap isu penjagaan kesihatan di negara ini.

Kerjaya masa depan

Katanya, pengumuman tersebut juga secara tidak langsung dapat mengatasi masalah kekurangan jururawat bertauliah yang selama ini bukan sahaja dihadapi di hospital-hospital kerajaan tetapi juga swasta.

Beliau yang telah berkecimpung hampir dua dekad dalam bidang kejururawatan itu juga melihat cadangan tersebut memberi peluang lebih ramai golongan muda menceburi kerjaya yang sememangnya mendapat permintaan tinggi.

“Di Malaysia, ia diiktiraf sebagai satu kerjaya yang mempunyai masa depan yang baik serta menjanjikan pendapatan yang boleh dikatakan mencukupi.

“Namun begitu masalah kekurangan jururawat masih terus berlaku berikutan mereka yang dilahirkan dalam bidang tersebut tidak seimbang dengan permintaan di hospital-hospital kerajaan mahupun swasta,’’ ujarnya.

Noraini juga melihat kemunculan institusi latihan swasta yang turut menawarkan kursus dalam bidang kejururawatan sejak kebelakangan ini juga jelas menunjukkan kerjaya tersebut antara kerjaya profesional yang semakin diminati.

Sementara itu, Presiden Kesatuan Penolong Jururawat Semenanjung Malaysia, Jimilah Harun menyambut baik bajet 2009 yang diumumkan Perdana Menteri itu sambil menyifatkan sebagai sesuatu yang paling dinantikan.

Ini termasuklah kenaikan taraf penolong jururawat kepada jawatan jururawat masyarakat yang selama ini diperjuangkan kesatuan bertahun-tahun lamanya.

Sambil mengucapkan terima kasih kepada kerajaan, kata Jimilah, ia juga berita gembira bukan sahaja kepada kesatuan di Semenanjung, tetapi juga Sabah dan Sarawak.

‘‘Saya mewakili kesatuan mengucapkan ribuan terima kasih kepada kerajaan atas keprihatinan kerana memberi laluan menaikan skim jururawat sekali gus melahirkan lebih ramai jururawat yang profesional dan berdaya saing,’’ ujarnya.

Jimilah juga berharap bajet 2009 dapat melahirkan jururawat yang berkualiti selain mengatasi masalah kekurangan jururawat yang selama ini dihadapi kebanyakan hospital kerajaan mahupun swasta di negara ini.