SUDAH seminggu umat Islam menjalani ibadah puasa. Sudah seminggu juga para peniaga di bazar-bazar Ramadan yang berselerak di seluruh negara mencari rezeki menjual juadah berbuka puasa.
Sebagaimana biasanya, aneka kuih muih dan lauk pauk dijual di bazar Ramadan bagi memenuhi selera orang ramai yang menahan diri daripada lapar dan dahaga sementara tibanya waktu berbuka.
Begitu juga pelbagai jenis minuman dengan aneka perisa turut dijual untuk memeriahkan lagi suasana di bazar Ramadan.
Kehadiran orang ramai yang berpusu-pusu pasti menggembirakan para peniaga di bazar Ramadan yang menganggap tempoh sebulan ini adalah masa untuk menambah pendapatan.
Ramadan juga dilihat sebagai bulan rezeki di mana orang ramai tidak terlalu berkira soal harga asalkan apa yang dihajati dapat dipenuhi.
Manakala bagi umat Islam yang berpuasa, Ramadan seolah-olah menjadi bulan untuk memenuhi selera, sehingga kalau boleh apa saja yang dijual mahu dibelinya.
Seperkara yang pasti, apabila tiba waktu berbuka tidak semua juadah disentuh, maka terjadilah pembaziran sedangkan dalam keadaan apa pun kita diajar supaya berjimat cermat terutama hikmah berpuasa itu sendiri adalah supaya kita dapat menjiwai penderitaan golongan miskin yang kais pagi makan pagi.
Lebih-lebih lagi dalam keadaan ekonomi kurang memberangsangkan, amalan membeli secara berlebih-lebihan semata-mata kerana terikut-ikut dengan desakan hawa nafsu semestinya dijauhi.
Begitu juga dengan tindakan para peniaga menaikkan harga makanan sesuka hati tanpa mengira daya pembeli di kalangan pengguna yang semakin menyusut.
Kesempatan mengunjungi beberapa bazar Ramadan membuktikan bahawa juadah berbuka puasa tidak lagi dijual pada harga yang munasabah.
Memang mengejutkan apabila sekeping murtabak bersaiz biasa dijual pada RM7 sekeping sedangkan di pasar malam ia boleh dinikmati dengan bayaran RM3 atau RM3.50.
Manakala murtabak sebesar saiz tapak tangan pula dijual dengan harga RM2.50, sepotong agar-agar 50 sen dan semangkuk kecil bubur RM1.50.
Paling mengejutkan ada bazar Ramadan yang menjual ikan bakar paling murah RM10 seekor dan menjangkau RM18 mengikut saiz dan jenis ikan.
Memang tidak dinafikan para peniaga terpaksa menanggung kos yang tinggi berikutan kenaikan harga bahan mentah yang nampaknya berlaku di luar kawalan.
Namun meletakkan harga yang keterlaluan bermakna memindahkan keseluruhan beban kenaikan kos kepada pengguna yang juga mengalami kesempitan untuk berbelanja.
Pengguna-pengguna terutama yang kesuntukan masa untuk menyediakan juadah berbuka puasa tidak mempunyai pilihan selain berbelanja di bazar Ramadan.
Oleh itu, bagi menghayati keindahan bulan Ramadan, para peniaga disaran supaya tidak mementingkan keuntungan yang keterlaluan seolah-olah berniaga sebulan untungnya mesti setahun.
Tanggungjawab sebagai peniaga iaitu menyediakan kemudahan kepada pengguna dan bukannya menekan pengguna mesti disematkan di fikiran setiap peniaga untuk memastikan rezeki yang diperoleh mendapat berkat.
Perlu diingatkan bahawa Ramadan bukannya untuk menimbulkan kesulitan di pihak lain terutama pengguna yang tidak mempunyai pilihan selain membeli juadah untuk berbuka puasa.
Manakala di pihak pengguna, berjimat cermat semasa berbelanja dan memastikan juadah yang dibeli tidak disumbat ke dalam tong sampah mesti menjadi amalan yang tidak boleh dikesampingkan.
Sering kali keghairahan membeli kerana terpengaruh dengan penampilan kuih muih dan lauk pauk yang berwarna warni sering berakhir dengan kekecewaan kerana rasa yang tidak enak.
Akibatnya, pelbagai juadah yang dibeli tidak disentuh dan terpaksa dibuang keesokan harinya tanpa rasa bersalah sedangkan amalan seperti itu bertentangan dengan ajaran Islam yang mahu umatnya bersederhana dan tidak membazir.
Di pihak penguat kuasa pula, bulan Ramadan bukan alasan untuk mereka beristirahat dan membiarkan para peniaga mengaut keuntungan sewenang- wenangnya.
Jalankan tanggungjawab serta tugas yang diamanahkan iaitu memastikan setiap peniaga mematuhi peraturan yang telah ditetapkan supaya hak pengguna terpelihara.